kanak-kanak hilang
JANGAN cepat membuat spekulasi, sebaliknya ambil iktibar ke atas siri pembunuhan, penculikan atau kes hilang anak yang berlaku di negara ini. Kepekaan masya­rakat juga tidak boleh hanya secara bermusim atau menunggu apabila sesuatu kejadian dihebahkan menerusi media.

Sebaliknya, perasaan takut jika anak diperlakukan penjenayah adalah perlu pada setiap saat. Pada masa sama, jangan gemar mencari kesalahan orang lain sekiranya berlaku tragedi tragis melibatkan kanak-kanak.

Ini kerana, setiap kali masyarakat­ digemparkan berita anak hilang disusuli tragedi menyayat hati, ramai seolah-olah menuding jari kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit.

Berikutan beberapa siri pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak sebelum ini, wujud segelintir pandangan yang mengecam keluarga mangsa sebagai kurang prihatin kerana membiarkan anak yang masih kecil keluar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.