Mohd Ali Rustam
MELAKA - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Melaka menyediakan senarai calon masing-masing bagi Pilihan Raya Umum ke-13 "dalam masa terdekat ini."
Mohd Ali, yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata senarai itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini, beliau berkata, jentera parti BN juga perlu meningkatkan aktiviti turun padang bersama bersama rakyat pada setiap minggu.
"Kita akan berusaha menyelesaikan segala masalah rakyat yang masih tertangguh dengan segera. Jika kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikannya, kita akan merujuk kepada kerajaan pusat," katanya.
Mohd Ali juga memuji langkah MCA Melaka untuk mewujudkan pergerakan puteri yang dianggap sebagai satu perancangan efektif yang mampu memperkukuh sokongan kepada BN dalam kalangan pengundi muda baru kaum Cina.
"Kita berharap semua komponen parti melalui pergerakan puteri dapat merancang stategi bersama bagaimana mahu meningkatkan penyertaan pengundi baru," katanya dipetik Bernama.