Oleh Mohd Farhan Darwis

ADUN Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali
KUALA LUMPUR, 4 Feb — Adun Gombak Setia, Datuk Hasan Ali hari ini membuat keputusan untuk tidak merayu kepada Majlis Syura Ulama PAS berkenaan pemecatannya yang dibuat parti Islam tersebut pada 8 Januari lalu.
"Selepas mengambil kira pandangan-pandangan alim ulama serta ahli profesional di dalam dan di luar parti, saya mengambil keputusan untuk tidak akan membuat rayuan di atas pemecatan saya yang mana tempoh tamat rayuan tersebut adalah pada 7 Februari ini," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini.
Bekas Pesuruhjaya PAS itu membuat keputusan selepas menimbangkan beberapa faktor yang tidak dipersetujuinya seperti penguasaan golongan "parasit" di dalam parti yang memaksa pimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia dalam organisasi PAS.
Hasan turut menjelaskan, selagi wujud golongan parasit dalam PAS, beliau tidak akan mungkin mempertimbangkan untuk menyertai parti tersebut semula.
"Selagi wujudnya parasit di dalam PAS, saya tidak akan kembali kepada parti," demikian penegasan Datuk Dr Hasan Ali ketika diminta mengulas sama ada beliau akan kembali menyertai PAS atau tidak.
"Saya berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am yang menyatakan bahawa segala perkara yang melibatkan saya telah selesai selepas pertemuan di Kota Bharu pada 27 Disember lalu.