TAN SRI ABDULLAH AHMAD
January 22, 2012
Kawan lama Kadir Jasin, waktu blogging digemari ramai bagai sup seafood tomyam awal dekad pertama abad 21, cuba menggalakkan saya menjadi seorang blogger. Mula-mula saya tertarik juga. Setelah berfikir saya dapati saya tidak mempunyai kemampuan beraksi sebagai seorang blogger yang komited. Saya lebih senang dengan menulis kolum dengan tangan dan ditaip oleh setiausaha saya.
Dalam diskusi Politics Unusual – What To Expect In the Next General Election anjuran Asli (Asian Strategy and Leadership Institute) di Sunway Resort Hotel & Spa, Selasa 17 Januari 2012, Profesor James Chin, seorang panelis dan Ketua Jabatan Social Sciences, Monash University, Kampus Sunway, Selangor, menegaskan mengikut beberapa kajian mutakhir, bloggers tidak akan berperanan, atau berpengaruh dalam PRU13 seperti dalam pilihan raya umum lalu. Sebabnya pembaca blog telah mengetahui sebahagian besar bloggers tidak bebas, tidak berkecuali; tidak sederhana; mereka ada agenda tertentu, mereka sebagai ajung (adjunct) parti-parti politik tertentu. Ada ajung Pakatan Rakyat dan sekarang sudah wujud bloggers ajung BN/Umno. Hasil kajian itu nampaknya blog hanya dibaca oleh pengikut setia tertentu sahaja, bukan oleh pengundi bebas atau pembaca atas pagar. Apa yang perlu dan harus ada ialah bloggers yang moderate, sederhana dan neutral yang mampu mengalih perhatian dan mempengaruhi pengundi bebas dan pembaca yang independent.