Selasa, 25 Disember 2012

Gabungan NGO anjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari 2013


KUALA LUMPUR, 25 DIS: Seluruh rakyat Malaysia dipelawa menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan diadakan secara aman di Stadium Merdeka mulai jam 2 hingga 5 petang, 12 Januari 2013..
Perhimpunan yang mensasarkan kehadiran sejuta rakyat itu bertujuan mendesak kerajaan memenuhi beberapa tuntutan antaranya lapan tuntutan BERSIH, menghentikan pemusnahan dan pencemaran alam sekitar, membebaskan tahanan ISA, menyediakan pendidikan percuma, menyelamatkan Felda dan menuntut agar royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Pengarah HKR, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan anjuran NGO dan parti politik itu akan diadakan di stadium sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.
“Sesiapa saja yang marah dengan kerajaan dijemput melepaskan kemarahan mereka secara aman dan demokratik, seperti yang diamalkan di seluruh dunia,” katanya pada sidang media di KLSCAH, baru-baru ini.
Menurut beliau, permohonan untuk menggunakan stadium berkenaan sudah dibuat.
“Saya yakin melalui himpunan sebelum ini, akan berlaku kerjasama yang baik di semua jabatan termasuk pihak polis untuk menjaga keamanan,” jelasnya.

Menurut aktivis sosial Hishamuddin Rais pula, sekiranya pihak penganjur tidak dibenar menggunakan stadium, perhimpunan akan tetap diteruskan di Kuala Lumpur.
“Simulasi perhimpunan yang sama juga akan diadakan di Sabah, Sarawak, New York, London, Hong Kong, Perth dan Melbourne,” tambahnya.
Antara NGO yang akan menyertai dan memberi sokongan kepada perhimpunan itu ialah Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sekretariat Prihatin OKU, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit), Gerakan anti-PPSMI, Himpunan Hijau dan Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) dan beberapa NGO lain.
Perhimpunan itu bertemakan empat warna iaitu kuning, hijau, oren dan merah sebagai simbolik kepada tuntutan yang disuarakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA