KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA & PEMUDA PAKATAN RAKYAT (24 Oktober 2012)
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) bersama-sama Dewan Pemuda Pas
Malaysia serta Pemuda Sosialis DAP di bawah Pemuda Pakatan Rakyat
terpanggil untuk memberikan respon balas kepada penafian yang dilakukan
oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung isu
skandal RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Di
dalam perbahasan Dewan Rakyat pada 22 Oktober yang lepas, Rahman yang
juga merupakan Setiausaha BN Negeri Sabah, menyatakan bahawa beliau
menolak dakwaan bahawa Michael ditahan di lapangan terbang Hong Kong
kerana menyeludup ‘secara fizikal’ wang tunai berjumlah RM40 juta oleh
pihak berkuasa Hong Kong.
Malah beliau menganggap tindakan Pakatan Rakyat yang berterusan
berada di dalam ‘imiginasi’ apabila berterusan mempertegas isu tersebut.
AMK bersama Pemuda Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa Rahman
seharusnya tidak berterusan mengelirukan rakyat dengan teori yang
merepek dan menjengkelkan.
AMK melalui saya telahpun mengemukakan laporan rasmi kepada
Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) pada OKtober 2009,
yakni setahun selepas media antarabangsa mendedahkan penahanan seorang
rakyat Malaysia bernama Michael Chia, confidante Musa Aman yang telah
ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana disyaki
membawa wang haram di dalam matawang Singapura berjumlah 16 juta Dollar
Singapura bersamaan RM40 juta.
Terdahulu beberapa laporan telah dibuat termasuklah melalui AMK
Sabah terhadap Musa Aman sebelum laporan ke ICAC dilakukan pada tahun
2009.
Dan sepanjang tempoh itu jua, tidak ada sebarang penafian pun
dilakukan oleh Musa Aman mahupun Umno serta BN Sabah bersabit skandal
berkenaan.
Penafian
Rahman, yang berhujah dan berselindung di sebalik imuniti Parlimen,
tidak sekelumitpun menamatkan polemic berhubung isu ini. Sebaliknya ia
lebih menimbulkan pelbagai persoalan berbanding merungkai permasalahan.
(i) Sedari tahun 2009 sehingga 2012, tidak pernah sekalipun
penafian dilakukan oleh pihak Musa sendiri mahupun Umno Sabah bahawa
wang sejumlah RM40 juta tersebut adalah merupakan dana untuk Umno Sabah.
Justeru mengapakah hanya baru-baru ini sahaja isu bahawa wang tersebut
merupakan dana untuk Umno Sabah muncul? Mengapa ianya mengambil masa 3
tahun ini didedahkan?
(ii) Bagaimanakah pembuktian yang kredibel dapat dilakukan oleh
Umno Sabah bahawa RM40 juta tersebut adalah merupakan dana Umno Sabah?
Apakah mereka bersedia untuk diaudit secara professional untuk
membuktikan penafian mereka tersebut boleh diterima?
(iii) Apakah wujud kebarangkalian RM40 juta tersebut sebenarnya
ialah wang haram yang dialirkan kepada Umno melalui Yayasan Sabah
menggunakan pemalsuan pelan kawasan pembalakan? Sekiranya ini berlaku,
maka tidak mustahil ia juga berlaku di negeri-negeri lain yang dikuasai
oleh Umno.
(iv) Sekiranya wang RM40 juta tersebut ialah wang Umno Sabah,
apakah wang sejumlah USD90 juta yang didakwa dimiliki oleh Musa dalam
proses pembekuan aset oleh Jabatan Peguam Negara Switzerland ke atas
bank UBS, juga merupakan wang Umno Sabah?
(v) Sekiranya USD90 juta itu juga merupakan wang Umno Sabah, maka
wujud satu persoalan baru bagaimana Umno Sabah begitu produktif menerima
tajaan dan sumbangan ikhlas mencecah puluhan dan ratusan juta ringgit
seolah-olah ada skandal tersembunyi yang berlaku di sebalik penindasan
berterusan kepada rakyat Sabah.
(vi) Layanan berbeza ke atas Musa juga dilihat ketara oleh Perdana
Menteri jika dibandingkan dengan kes melibatkan bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada tahun 1990-an tatkala
disabitkan dengan kesalahan membawa keluar wang secara tidak sah ke luar
negara.
AMK dan Pemuda Pakatan Rakyat dengan ini membangkitkan enam
persoalan baharu yang perlu dijawab secara berfakta oleh Umno umumnya
dan Musa khususnya berbanding hanya mengatakan Pakatan Rakyat
berimiginasi untuk mencemarkan reputasi Musa.
Butang panik yang ditekan oleh Perdana Menteri melalui pelbagai
siri lawatan di samping serangan demi serangan ke atas Pakatan Rakyat
di Sabah menunjukkan bahawa Sabah kian dalam bahaya. Bahaya bagi Umno
kerana ia menghilangkan fixed deposit mereka zaman berzaman.
Sungguhpun begitu bahaya bagi rakyat Sabah kerana berpemimpinkan
seorang Ketua Menteri yang rakus dan obses kepada wang dengan
mengenepikan agenda memacu pembangunan Sabah secara holistik.
Dan kewajaran untuk berubah bukan lagi satu kompromi, tetapi wajib dilaksanakan.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
YB Loke Siew Fook
Ahli Parlimen Rasah
Pengerusi Kebangsaan DAPSY
YB Mohd Nasir Bin Zakaria
Ahli Parlimen Padang Terap
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen
Dewan Pemuda Pas Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA