Sabotaj parti; boleh digelar pengkhianat parti. Kalau UMNO dianggap
‘Melayu’, maka si pensabotaj parti juga bolehlah kiranya dianggap
pengkhianat Melayu. Tak begitu tuan?
Tapi, nama saja parti Melayu taklah juga bermaksud orang Melayu
terbela, hidup senang, mewah dan berumah sendiri. Ramai saja Melayu yang
merempat di bawah kerajaan parti Melayu UMNO.
Tak boleh ditunggu-tunggu lagi. Mungkin untuk memastikan parti tak
tersabotaj, maka sebuah ‘kitab’ panduan yang merangkumi definisi dan
tindakan sabotaj parti akan diedarkan oleh UMNO kepada semua bahagian
UMNO satu Malaysia.
Ini adalah kitab terbaru UMNO pasca Laporan Audit 2011 yang
mengajarkan ahlinya untuk mengenali setia dan tak setia. Cuma tidaklah
kita tahu ianya bersifat jangka pendek seperti Belanjawan BN 2013 atau
bersifat jangka panjang.
Orang yang melanggar garis panduan tersebut kata Muhyiddin Yassin,
dia akan dikenakan tindakan gantung keahlian termasuklah kelayakan untuk
dipecat.
Lembaga Disiplin UMNO tak pandai?
Fikir kita sekarang, seolah-olah Lembaga Disiplin UMNO yang
dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
tidak pandai menjaga disiplin ahli-ahli UMNO. Nampaknya Muhyiddin sudah
mula menunjukkan siongnya. “Mau tunjuk taiko sama Najib ke?”
Pun begitu, mau tak mau terpaksa jugalah “…Jawatankuasa Khas yang
ditubuhkan dan dipengerusikan Tan Sri Tengku Rithaudeen Tengku Ismail
akan meneliti secara terperinci senarai berkenaan.” sepertimana laporan
berita Utusan Online baru-baru ini.
Biasalah, dah terhantuk baru nak terngadah. Ibarat kata; sudah
berjuta-juta PATI mendarat di Malaysia, baru sekarang nak buat
pemutihan. UMNO dah terlambat apalagi mereka telah masuk era senja.
Kad UMNO buat pinjaman TEKUN
Panduan sabotaj ini juga membawa maksud, bukanlah seorang dua sahaja
Muhyiddin nampak yang akan mensabotaj parti. Kalau setakat ahli
cawangan, dia pun tak pandang memandangkan keahlian UMNO yang sudah
lebih 3 juta ahli.
Lagipun, apalah sangat punya kad ahli UMNO. Nak ditayang tak dipeduli
orang, nak diguna buat isi petrol tak laku juga. Buat ahli biasa,
habis-habis dapat pinjaman Tekun, dapatlah kontrak potong-potong rumput.
Soalnya, kalaulah ada mana-mana orang kuat UMNO berceramah di pentas
oposisi, atau bersama-sama menganjurkan aktiviti, tidak bolehlah terus
dipecat. Nampak dayus. UMNO kenalah ikut contoh PAS; semacam kes Hasan
Ali, beliau tak terus dipecat sampailah buat hal-hal mengarut.
UMNO takut? siapa peduli…
Apapun, tindakan untuk mengedarkan ‘panduan sabotaj parti’ ini, ia
menggambarkan juga betapa takutnya UMNO terhadap ahli-ahli mereka
dikalangan ‘orang kuat’ yang mula menunjukkan tanda-tanda menyampah
terhadap kepimpinan dan parti sendiri.
Jangan tak tahu, keluarnya Tan Sri Abdul Kadir bin Sheikh Fadzir,
Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburim
telah bikin UMNO kecut. Orang-orang ini memang sudah hilang peduli pun
sama UMNO, apalagi dengan Muhyiddin dan Najib.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA