Sabtu, 1 September 2012

Merdeka, sejarah dan kebenaran

Sudah menjadi satu kewajipan bagi sesebuah negara yang telah merdeka daripada genggaman penjajah pasti ada sejarah yang dinukilkan supaya menjadi tatapan dan pengajaran buat rakyat di kendian hari. Kebiasaannya sejarah akan ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan manakala golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan hanya akan menulis syair, puisi, ataupun sajak di helaian-helaian kertas. Inilah hakikat bagaimana sejarah ditulis oleh golongan yang tidak jujur dengan ilmu.

Sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan sudah tentu akan menceritakan perkara yang baik-baik sahaja berkaitan mereka. Bahkan, apabila bercerita berkenaan musuhnya sudah tentu tiada satupun yang baik dan ditambah-tambah pula ceritanya agar rakyat merasa benci kepada musuhnya. Tidak cukup dengan penerapan kebencian rakyat yang sedia ada kepada musuhnya, difikirkan pula bagaimana hendak menerapkan perasaan kebencian itu kepada generasi akan datang.

Usaha memasukkan fakta sejarah ke dalam sistem pendidikan negara telah dilakukan untuk memastikan rakyat terus menerus menyanyangi mereka agar mereka boleh terus untuk berkuasa, manakala musuhnya tidak diberikan peluang sedikitpun untuk membela diri. Sedari kecil pelajar di sekolah rendah telah dihidangkan dengan hidangan yang tidak boleh dipersoalkan dari mana datangnya dan bagaimana cara membuatnya. Rentetan ini terus menerus berlaku sehinggalah pelajar itu bergelar mahasiswa.

Sedari kecil sehinggalah dewasa, rakyat tidak dibenarkan mempertikai mengapakah sejarah negara kita begini atau begitu, dan jika dipertikaikan ianya menjadi satu kesalahan kepada individu yang mempertikaikan; pengkhianat negara, memecah perpaduan negara dan menggugat negara. Ini dibuktikan apabila salah seorang tokoh politik yang datang daripada pembangkang mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang negara. Maka, tanpa diselidik dan diteliti dahulu dikatanya tokoh itu penyokong komunis.


Tidak cukup dengan tuduhan yang melulu, tindakan seterusnya ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan mengatakan bahawa tokoh tersebut cuba menghasut rakyat untuk memberontak dan menukarkan negara kepada corak pemerintahan komunis. Setelah itu, lahirlah pula golongan yang kecewa kerana seakan-akan perjuangan mereka selama ini tidak dihargai. Jerit perih dalam perjuangan menentang komunis dipandang enteng oleh tokoh politik itu kononnya.

Walaupun pada akhirnya tiada tindakan undang-undang yang diambil terhadap tokoh politik tersebut kerana beliau berjaya membuktikan apa yang diperkatakannya adalah benar berdasarkan fakta; fakta beraliran kiri. Rakyat secara umumnya terkejut kerana apa yang diperkatakan oleh tokoh politik tersebut bukanlah satu kebiasaan di negara yang rakyatnya menjadi kuih kepada acuan kerajaannya. Jika kuih itu berlainan daripada acuannya maka kuih itu akan dibuang dan tidak akan digunakan untuk perniagaan.

Sudah tiba pada masanya, rakyat bukan lagi menerima bulat-bulat fakta sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan tetapi sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan untuk membela diri. Kini bukan masa lagi, rakyat berpuas hati dengan penjelasan daripada sebelah pihak sahaja tetapi rakyat sewajarnya mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak agar pisang tidak berbuah dua kali.

Dalam bidang penulisan sudah menjadi lumrah fakta yang ditulis kadang-kadang tidak benar atau kurang tepat. Ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kekeliruan maklumat, kekurangan maklumat, dan demi menjaga kepentingan segelintir kelompok. Jika perkara seperti ini berlaku, sewajarnya rakyat yang berada dalam arus kemodenan haruslah lebih terbuka menerima kritikan dan penyemakan semula penulisan tersebut agar keadilan ilmu tertegak.

Al Hafidz Ibnu Kathir dalam kitabnya Al Hidayah Wan Nihayah terdapat beberapa isi sejarah yang tersalah faktanya tetapi kemudiannya telah dilakukan pembetulan oleh Imam ath-Thabari dalam kitabnya Tarikh ath-Thabari. Contohnya Ibnu Kathir mengatakan Thulailah mempunyai seorang anak yang bernama Hibal. Apabila diselidiki dengan lebih mendalam oleh ath-Thabari rupanya Hibal bukanlah anak kepada Thulailah tetapi adalah anak saudara kepada Thulailah.

Rakyat sewajarnya menyemak semula setiap sejarah yang telah kita pelajari selama ini. Menyemak semula sejarah bukanlah bermaksud kita ingin menggugat kesejahteraan tanah air tetapi sebenarnya memberikan kita ruang dan peluang untuk mencintai tanah air dengan lebih mendalam. Tak kenal maka tak cinta; begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada tanah air kita. Bagaimana mungkin kita mampu untuk mencintai tanah air sendiri sekiranya kita tidak menghadami asal usul sejarah terlebih dahulu.

Lebih dibimbangi sekiranya kita mencintai seseorang berdasarkan bukan perwatakannya yang sebenar. Takut-takut perasaan yang tadinya luhur dan suci boleh bertukar kepada marah kebencian yang teramat. Kesimpulannya, selidik dan telitilah sejarah tanah air agar kita mampu memerdekakan diri dengan sebenar-benar merdeka. Sesungguhnya fakta tidak semestinya benar tetapi kebenaran tetap berada dalam kebenaran. Sehebat manapun penipuan dilakukan tidaklah dia mampu mengalahkan kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA