Isnin, 27 Ogos 2012

Syria : Kekejaman Bashar berterusan


GAMBAR yang diedarkan Jawatankuasa Koordinasi Syria semalam menunjukkan mayat beberapa kanak-kanak yang dibunuh rejim Presiden Bashar Al-Assad di Daraya, dekat Damsyik.



DAMSYIK - Beberapa ratus mayat ditemui di bandar Daraya dekat sini selepas serangan besar-besaran tentera Syria, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam.
Satu klip video menunjukkan sejumlah mayat diletakkan dalam beberapa barisan di sebuah masjid di Daraya selepas askar-askar rejim Presiden Bashar Al-Assad (gambar kecil) menggempur pemberontak di pinggir bandar raya ini.
Semua yang terbunuh, kata kumpulan tersebut, merupakan mangsa serangan tentera Syria selama lima hari ke atas Daraya bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Beberapa pejuang FSA memuat naik klip video tersebut yang bertajuk 'Pembunuhan beramai-ramai di Masjid Abu Sleiman Addarani di Daraya'.

Rakaman itu menunjukkan berpuluh-puluh mayat disusun di dalam beberapa buah bilik di kompleks masjid berkenaan.
"Pembunuhan beramai-ramai yang amat kejam ini dilakukan oleh konco-konco rejim Bashar di dalam Masjid Abu Sleiman Addarani," kata ulasan yang mengiringi klip video berkenaan.
"Lebih 150 nyawa melayang dalam kempen keganasan oleh kumpulan-kumpulan militia Bashar di bandar ini (Daraya)," tambah komentar tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 320 mayat ditemui kelmarin dan semalam termasuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Daraya.
Beberapa kumpulan aktivis di negara berkenaan menyifatkan klip video tersebut sebagai bukti kekejaman yang dilakukan oleh rejim Bashar.
Menurut mereka, Bashar bertindak kejam kerana membenarkan rejimnya membunuh dan membakar mayat penduduk Daraya.
"Bashar membenarkan militia rejimnya, Shabiha, menjadi mesin pembunuh," kata satu kenyataan kumpulan aktivis berkenaan, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan (LCC).
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia pula menuduh rejim Bashar melakukan banyak kekejaman sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahannya bermula pada Mac lalu.
Pada awal bulan ini, sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan rejim Bashar turut bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.
Stesen televisyen Syria melaporkan Daraya yang mempunyai sekitar 200,000 penduduk kini 'dibersihkan' daripada saki baki pengganas FSA.
Tentera Bashar dalam pada itu mendakwa ia berjaya menguasai sebahagian besar bandar raya ini selepas pertempuran sengit selama dua minggu.
Beberapa aktivis menyifatkan serangan ke atas Daraya sebagai usaha untuk menghapuskan sama sekali penentangan di ibu kota Syria berkenaan.
"Rejim Bashar menyekat bekalan asas ke Daraya dan membedil bandar ini dengan menggunakan senjata berat dan jet pejuang," kata LCC.
"Selepas itu, geng-geng pembunuh (militia Shabiha) memasuki bandar ini dan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya sebelum mengerat dan dan membakar mayat-mayat mangsa," tambah kumpulan itu.
Sebelum ini, rejim Bashar dituduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla, tengah Syria pada Mei lalu.
Seramai 108 orang termasuk 49 kanak-kanak dibunuh dalam tragedi berkenaan yang mengejutkan dunia.
Setakat ini, PBB menyatakan angka kematian di Syria melebihi 17,000 orang. Badan dunia itu memberi amaran krisis kemanusiaan kini menanti 200,000 pelarian Syria di beberapa negara jirannya dan 2.5 juta penduduk negara itu.
Sementara itu, utusan antarabangsa baharu ke Syria, Lakhdar Brahimi yang akan mengambil alih tempat Kofi Annan pada bulan depan memberitahu bahawa beliau 'bimbang' berhubung tugas besar untuk menamatkan konflik di Syria.
Semalam, Syria memberi amaran kepada Brahimi supaya tidak mengikuti jejak yang sama dengan Annan.
Akhbar negara itu, Ath-Thawra menuduh bekas Setiausaha Agung PBB berkenaan sebagai tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Barat.
Annan berundur pada bulan lalu selepas pelan damainya untuk Syria menemui kegagalan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA