KUALA LUMPUR, 1 April: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengajak Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berdebat berhubung dakwaan Rosnah bahawa PAS gagal mentadbir negeri Kelantan.Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, sebelum Rosnah meminta Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta maaf kepada rakyat negeri itu di atas kegagalannya, beliau perlu membuktikan dakwaannya melalui debat.
"DMPP mendesak Rosnah buktikan Tuan Guru Nik Aziz gagal tadbir Kelantan, dan saya dengan rasminya akan hantar surat jemputan debat dengan Rosnah di Kelantan.
"Kita akan minta urusetia perhubungan negeri Kelantan menguruskannya, sama ada saya sendiri atau Senator Mumtaz Md nawi menawarkan diri untuk berbedat dengan beliau," kata Aiman kepada Harakahdaily hari ini.
Aiman juga berkata, Rosnah sebagai Timbalan Menteri Kesihatan seharusnya membuat semakan sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa Kelantan gagal menyediakan bekalan air bersih.
Hal ini kerana jelasnya, laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 30 Oktober 2011 menunjukkan air di Perlis paling tinggi kandungan E Coli diikuti Pahang, Wilayah Persekutuan Labuan, Perak, Kelantan dan Johor.
"Sebelum Rosnah menempelak negeri Kelantan, dia kena tengok negeri lain dulu. Kelantan berada di tempat yang kelima, bukan di tempat yang pertama," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai permintaan Puteri Umno agar Tuan Guru Nik Aziz memohon maaf kerana dikatakan mengeluarkan perkatan "beruk" kepada mereka, Aiman berkata istilah tersebut terlebih dahulu dipopularkan oleh pemimpin Umno sendiri.
"Kita tidak pasti betul atau tidak Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan perkataan itu, mungkin beliau maksudkan perbuatan yang menyerupai beruk.
"Tetapi, sebelum minta tok guru minta maaf, Rosnah perlu menasihati pemimpin Umno terutamanya Khairy Jamaluddin yang berkata rakyat yang keluar berdemonstrasi ialah beruk-beruk di jalanan.
"Begitu juga blogger Umno yang menggunakan istilah ini terhadap pendemonstran termasuk muslimat yang turun pada 901 dahulu. Dia kena ingat, istilah ini disensasikan oleh Umno sendiri," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA