Selasa, 17 April 2012

Juham sedia wakili pelajar saman UniMAP


Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Malaysia Perlis hari ini yang telah menjatuhkan hukuman amaran keras, denda RM100  dan menggantung selama 66 hari seorang Mahasiswa mereka iaitu Mohd Izuwan Zaini kerana didakwa menganjurkan suatu Perhimpunan “Watch 13”.
Terdahulu, JUHAM telah pun menghantar representasi dan bantahan awal kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UniMAP memaklumkan kecacatan prosedur dan hak asasi yang tidak dipatuhi oleh pihak universiti sebelum daripada Perbicaraan lagi.

Namun, UniMAP tetap berdegil dan meneruskan dengan Perbicaraan Tatatertib terhadap mahasiswa terbabit.


Mahasiswa terbabit kemudiannya telah memberitahu JUHAM bahawa UniMAP turut melanggar banyak prosedur dan hak asasi ketika perbicaraan apabila beliau telah dinafikan hak untuk memanggil saksi mahupun menyoal balas saksi ketika perbicaraan dilakukan.

JUHAM melihat ini jelas suatu tindakan yang zalim kerana menafikan hak Mahasiswa terbabit daripada mendapat suatu perbicaraan yang adil.

Mahasiswa terbabit juga telah diiringi oleh Peguam daripada JUHAM Perlis iaitu Saudara Mohd Hafiz Leman, namun dinafikan oleh pihak UniMAP untuk masuk ke dalam Perbicaraan tersebut.

JUHAM melihat tindakan UniMAP tersebut merupakan tindakan yang angkuh dan zalim kerana membuat suatu Perbicaraan yang dilihat terburu-buru dan pada masa yang sama melanggar pelbagai prosedur seolah-olah mendapat tekanan daripada pihak ketiga bagi menghukum Mahasiswa terbabit.

Tindakan UniMAP yang menggantung mahasiswa terbabit dilihat sengaja dirancang bagi menekan mahasiswa terbabit dan keluarganya kerana mahasiswa terbabit dijangka akan menduduki peperiksaan akhir pada hujung Mei atau Jun tahun ini dan seterusnya menamatkan pengajian pada bulan Ogos tahun ini.

Justeru, tindakan penggantungan ini jelas menghalang mahasiswa terbabit untuk menduduki peperiksaan akhir dan menjejaskan graduasi beliau.

Tindakan UniMAP yang menggantung Mahasiswa terbabit juga satu tindakan yang zalim kerana Perhimpunan “Watch 13” tersebut sendiri pada dasarnya merupakan suatu perhimpunan yang terpuji kerana bermatlamatkan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang daftar pemilih dan Pilihanraya.

Malah, Mahasiswa terbabit juga hakikatnya tidak terlibat di dalam penganjuran Perhimpunan “Watch 13” tersebut.

Justeru, UniMAP hakikatnya tidak mempunyai sebab untuk menghukum Mahasiswa terbabit.

Tindakan UniMAP juga seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, UniMAP dan lain-lain Institut Pengajian Tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan Mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara Mahasiswa

Malah, JUHAM melihat mutakhir ini ia seumpama suatu trend di kalangan Institut-institut Pengajian Tinggi Awam yang mengenakan hukuman menggantung pelajar-pelajar walaupun Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti secara terang-terangan diisytihar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan ini dilihat sebagai tindakan terdesak UMNO dan Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan para Mahasiswa daripada menolak UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Ironinya, tindakan UniMAP dan Institut-institut Pengajian Tinggi Awam yang agresif dalam menghukum para Mahasiswa ini turut bercanggah dengan Pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen baru-baru ini bahawa segala tindakan disiplin yang berjalan akan dihapuskan.

Justeru, JUHAM akan membela dan menyokong para Mahasiwa khususnya dalam kes Mohd Izuwan bin Zaini ini sekiranya beliau ingin memfailkan Saman terhadap UniMAP yang terang-terangan telah menafikan hak beliau daripada mendapatkan perbicaraan yang adil dan sempurna.

Akhirnya, JUHAM menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa gentar dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.


Ahmad Zamri ialah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA