Khamis, 22 Mac 2012

Pencapaian negeri Pakatan menjadi ketakutan Najib

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Pencapaian tiga negeri yang diperintah Pakatan membuktikan kepada rakyat bahawa hidup mereka lebih baik tanpa Umno, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar).

"Tiga negeri teratas yang mendapat pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi ialah negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan.

"Hanya dalam satu penggal, kerajaan-kerajaan Pakatan boleh mencapai perkara-perkara baik itu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) adalah satu testimoni yang tidak boleh dipertikai bahawa orang-orang Pakatan lebih berbakat.

"Itulah yang paling ditakuti oleh Umno dan BN serta Presiden Umno," kata bekas Adun Pulau Manis itu.

Negeri-negeri yang dilaporkan menerima FDI tertinggi itu ialah Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Menurut Ariff, rakyat semakin sedar bahawa hidup tanpa Umno adalah lebih baik.

"Hakikatnya hidup tanpa Umno adalah lebih baik lagi. Beritahu kawan-kawan, jiran-jiran anda perkara ini - mari kita usir kegilaan pemerintahan pencuri-pencuri dari Putrajaya dan membentuk masa hadapan yang baru.

"Mari jadikan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai ketua pembangkang. Kita akan lihat beliau adalah harimau kertas yang tanpa teks yang ditulis terlebih dahulu tidak boleh menjawab soalan-soalan yang tidak dipersetujui terlebih dahulu," katanya dalam tulisan blognya yang bertajuk "Get real Mr Prime Minister!"

Selepas media-media pro-Umno mendakwa bahawa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menjangka keputusan yang baik untuk BN dalam pilihan raya akan datang, Ariff merasa lega apabila akhirnya dilaporkan bahawa Daim sebenarnya menjangka hanya tiga negeri sahaja selamat untuk BN.

(Tun Daim...ramal hanya tiga negeri selamat untuk BN)


Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Melaka dan Pahang.

Ariff berkata, beliau menemui sumber yang tersangat rapat dengan Daim hampir setiap bulan sedangkan Utusan Malaysia yang membuat dakwaan bahawa Daim menjangka keputusan yang baik untuk BN hanya bertemu dengan bekas Menteri Kewangan itu hanya sekali dalam setahun.

"Anda nilailah sendiri pemerhatian siapa yang lebih absah," kata beliau yang sebelum itu terlebih dahulu melaporkan dalam blognya bahawa Daim hanya menjangkakan tiga negeri tersebut sahaja yang selamat untuk BN.

Ariff seterusnya menceritakan, sumber yang sangat dekat dengan Daim itu juga memberitahu bahawa BN boleh kalah sehingga 16 kerusi di Sarawak dan sehingga 12 kerusi Parlimen di Sabah.

Selain tiga negeri tersebut, kesemua negeri lain di Semenanjung adalah medan yang sukar bagi BN.

"Mereka bolehlah bercakap besar, apabila mereka turun ke medan nanti, mereka akan mendapat sambutan yang sangat asing kepada mereka," kata Ariff yang kini menyertai DAP.

Beliau memberitahu, sumber yang dekat dengan Daim itu juga menyifatkan era membeli undi untuk menang sudah berakhir.

Hari ini, kata sumber itu, rakyat bertanya ke arah mana negara ini dibawa?

"Selama lebih 50 tahun, anda (Umno) kehilangan arah anda. Bagaimana kami boleh percaya bahawa anda tahu ke mana hendak dituju?" kata Ariff.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA