Rabu, 22 Februari 2012

Turun padang pastikan kemenangan di Johor

TIADA yang mustahil dalam politik. Itulah pegangan Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed ketika ditanya peluang Pakatan Rakyat di negeri kubu Umno yang paling kuat di selatan Semenanjung. Bagi beliauhttp://www.nst.com.my/polopoly_fs/1.33354.1326741058!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_454/image.jpg rakyat Johor semakin matang dan bijak membuat keputusan. Apa pun kepulangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ke Johor bakal menyuntik semangat juang. Ikuti wawancara Dr Mahfodz dengan wakil Harakah, ANIS NAZRI.

Wartawan: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, sejauh mana proses pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Rakyat sudah selesai?

DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED: Rundingan mengenai pembahagian kerusi ini masih dalam perbincangan. Tetapi masih belum diputuskan lagi secara muktamad. Secara dasarnya kita hampir setuju bahawa PAS akan bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi parlimen dan 29-30 kerusi Dun.

Bagaimana tahap kerjasama PAS dengan rakan-rakan lain di dalam Pakatan Rakyat?
Alhamdulillah, hubungan kita bagus. Di mana kita sentiasa bekerjasama bagi memastikan hasrat kita untuk meningkatkan jumlah undi di Johor ini tercapai.
Kita sedar, bagi tujuan tersebut ketiga-tiga parti perlu seiring bagi menghadapi BN pada PRU akan datang.
Sejauh mana Dato’ yakin PAS dan Pakatan Rakyat boleh menjatuhkan BN Johor pada PRU ke-13?
Pakatan Rakyat berhasrat untuk menambahkan kerusi di Johor. Maka ia memerlukan keazaman yang sungguh-sungguh bagi memastikan ia tercapai. Jika diimbau pilihan raya sebelum ini, BN Johor selalu mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlekehkan Pakatan Rakyat.
Dahulu, mereka pernah kata PAS akan hilang deposit. Tapi ternyata pilihan raya ke-11, PAS mendapat satu kerusi. Pada pilihan raya umum ke-12 pula, Alhamdulillah kita berjaya mendapat dua kerusi.
Jadi, kata-kata BN Johor itu sebagai satu cabaran untuk Pakatan Rakyat berjuang habis-habisan. Apapun, dalam politik tiada yang mustahil.
Difahamkan, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan kembali ke Johor. Mengapa tindakan tersebut dilakukan?
Ia merupakan idea saya, juga perhubungan negeri. Ia perkara serius. Sudah sampai masanya Salahuddin berkhidmat di negeri ini.
Kita minta PAS Kelantan melepaskan beliau kerana berasakan kehadiran Salahuddin sebagai satu lonjakan dan suntikan kepada Johor.
Apa pesanan Dato’ kepada jentera parti menjelang PRU ke-13 akan datang?
Semua jentera parti perlu turun padang, buat kerja bersungguhsungguh.
Jentera parti sama ada PAS, DAP dan KeADILan perlu bergerak dengan strategi yang disusun yang perlu diikuti dan dipatuhi bagi mencapai kemenangan. Kerja keras perlu dilakukan dalam usaha menawan Johor ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA