Sabtu, 18 Februari 2012

PAS persoal Rugayah dilantik TNC UPNM


KUALA LUMPUR, 18 Feb: PAS mempersoal tindakan melantik Prof Dr. Rugayah Mohamed (gambar) sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang baru.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, PAS terkejut dan kesal dengan perlantikan tersebut kerana Rugayah merupakan bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi), Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia yang telah ditamatkan perkhidmatannya pada awal Februari 2012 yang lalu.

Malah katanya, sumber yang diperolehi mendapati bahawa Prof Rugayah telah mengheret pentadbiran UTHM ke mahkamah termasuk dua orang Timbalan Nasib Canselor dan dekan-dekan fakulti.


Kes tersebut dijangka akan dibicarakan selama lima hari mulai 29 Mac hingga 3 April depan dengan seramai 13 orang staf disapina termasuk Mantan Naib Canselor UTHM Datuk Prof Ismail Bakar.

"Persoalan yang timbul bagaimana seorang yang telah ditamatkan perkhidmatan sebagai TNC di salah sebuah IPTA lain dan telah mengaibkan institusi terdahulu berkenaan dengan tindakan saman mahkamah telah dilantik pula ke sebuah institusi lain.

"Dalam keadaan pula kes tersebut akan dibicarakan dan belum dapat ditentukan saman tersebut fitnah atau sebaliknya diangkat pula sebagai TNC sebuah IPTA lain sedang IPTA tersebut mempunyai ramai bilangan Professor yang lebih layak dan mempunyai integriti yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan turut mempersoal perlantikan itu.

Beliau mahu penjelasan, adakah perlantikan Prof Rugayah itu dibuat melalui Jawatankuasa Pemilih khas yang ditubuhkan untuk melantik Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor.

"YB Menteri Pengajian Tinggi juga pernah berjanji bahawa setiap lantikan Naib-naib Canselor dan TNC perlu melalui proses Jawatankuasa Pemilih (search committee) yang ketat.

"Maka tidak adakah calon-calon yang bersih dan mempunyai kredebiliti yang lebih tinggi layak untuk memikul tanggungjawab tersebut," soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA