KUALA LUMPUR 22 Feb: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memenjarakan 16 peserta himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.“Kita mengutuk keputusan yang menentang hak rakyat untuk berhimpun di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan,”
“Keputusan bersalah ini sekali lagi menunjukkan bahawa institusi kehakiman di negara kita gagal untuk mengiktiraf dan melindungi hak-hak rakyat.
“Ini juga membuktikan bahawa kita perlu mereformasikan sistem kehakiman negara kita,” kata Surendran.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2000 setiap orang ke atas semua yang didakwa kerana menghadiri himpunan tersebut, pada 2009.
Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjarakan selama seminggu.
Di antara mereka adalah lima wanita terdiri daripada Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, aktivis Gerakan MAnsuhkan ISA (GMI), Nashita Md Nor dan Norlaila Othman dan dua lagi adalah Salmah Ismail and Hayati Abd Samad.
Bercakap lanjut, Surendran berkata keputusan ini bukti bahawa laungan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan transformasi hanya janji kosong.
Tambah beliau, ia juga merupakan cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada bersuara menentang kezaliman undang-undang lapuk seperti ISA.
“Ini mendedahkan dengan jelas bahawa kerajaan BN adalah kerajaan yang menindas rakyat dan mereka perlu disingkirkan,” katanya sambil menggesa rakyat menyokong Pakatan Rakyat untuk mereformasikan sistem kehakiman di negara ini.
“Pakatan Rakyat akan terus perjuangkan hak-hak rakyat kerana 16 orang ini adalah mereka yang berjuang untuk sesuatu yang mereka percaya,” tegasnya.
0 comments:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA