Bagi pemimpin UMNO dan lidah rasmi mereka Utusan Malaysia, perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini adalah konspirasi Kristian, Yahudi, komunis, ejen asing, dan mungkin juga penjual-penjual
t-shirt berwarna kuning.
Bagi mereka, Bersih tidak ada kena-mengena dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sudah tidak tahan lagi dengan politik kotor UMNO dan Barisan Nasional dalam mengendalikan pilihan raya di negara.
Mereka menganggap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu adalah manusia dungu yang tidak ada akal fikiran yang dengan mudah boleh dicucuk hidung oleh anasir-anasir asing.
Ia bermula dengan tuduhan Bersih dipimpin oleh seorang “ejen Yahudi”, sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk menggambarkan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. Malah Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam dituduh sebagai “wanita Hindu yang merbahaya”.
Kemudiannya tuduhan ditokok-tambah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebagai dalang Bersih.
Kemudian merebak dengan tuduhan terhadap Parti Sosialis Malaysia di mana aktivis-aktivisnya ditahan di Pulau Pinang kerana berkempen untuk Bersih Sabtu lalu, didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis serta mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong.
Semalam timbul pula laporan khas Utusan yang mendakwa “gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian yang berpangkalan di luar negara dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada (Bersih)”.