KUALA LUMPUR, 26 Jun - DAP dan pertubuhan bukan kerajaan Suaram menggesa Putrajaya segera membebaskan kesemua aktivis termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput dari Parti Sosialis Malaysia yang ditahan kerana menyatakan sokongan kepada Himpunan Bersih 2.0.
Dalam satu ucapan di Masai, Johor petang tadi, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata pihak polis seharusnya dengan segera membebaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar dan aktivis-aktivis lain yang ditahan di Pulau Pinang semalam kononnya mahu menghidupkan semula fahaman komunis.
“DAP meminta agar mereka dibebaskan dengan segera,” kata Lim dalam ucapannya. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini lewat malam.
“Saya tidak dapat percaya apabila sebelum dipelawa berucap, saya membaca laporan portal
The Malaysian Insider, berita yang tidak dapat dipercayai sama sekali bahawa penyokong Bersih ditahan untuk siasatan mengadakan perang ke atas Agong,” kata beliau sambil menambah, ramai rakyat Malaysia juga terkejut dengan laporan itu.
“Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan kerajaan yang memerintah boleh pastikan kesetiaan dan patriotisme saya dan juga DAP tidak akan sama sekali terlibat dalam tindakan memerangi Agong, sebaliknya pada masa yang sama, tidak akan membenarkan diri kami dipergunakan dalam proses salah guna kuasa dan penindasan hak asasi manusia terhadap rakyat Malaysia yang patriotik, yang dihalang daripada mengamalkan hak bersuara dan berhimpun dengan aman dan demokratik,” kata beliau.