
KUALA LUMPUR, 27 Mei — Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik.
“Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan ... terpulang kepada mereka,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang ini.
Laporan Bernama Online memetik beliau mengulas sama ada benar atau tidak mesyuarat Majlis Ekonomi Negara meluluskan kenaikan tarif elektrik.
Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: “Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham.”
“Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.
“Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC pada hari ini.
Bagaimanapun ia masih diperhalusi dan pengumuman berhubung perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat, dijangka Isnin ini.