Setelah sekian lama cuba dijejaki, dengan tidak semena-mena usahawan Deepak Jaikishan muncul bagi menepis dakwaan yang dilemparkan ke atasnya.
Individu yang didakwa rapat dengan keluarga perdana menteri itu tampil menjelaskan hubungannya dengan Datin Seri Rosmah Mansor yang disifatkannya tidak lebih daripada "seorang kakak."
Deepak menafikan dakwaan bahawa beliau telah "memburuk-burukkan" Rosmah, seperti yang didakwa penulis blog Raja Petra Kamaruddin di laman Malaysia Today.

Dalam tulisan bertajuk "Carpetman, bagman, toyboy has been bagged" itu, Raja Petra antara lainnya mendakwa bahawa Deepak kini sedang berusaha supaya disukai semula oleh Rosmah.
Raja Petra juga mendakwa, Deepak berbuat demikian ekoran satu skandal melibatkan pinjaman yang ditanggung sebuah syarikat milik lelaki berketurunan Pakistan itu.
Dalam sidang media hari ini, Deepak menjelaskan mengenai
hutang berjumlah RM600 juta yang ditanggung syarikat Carpet Group.
Deepak juga berkata, beliau tidak pernah memuji Rosmah mahupun perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Anggap seperti kakak
"Saya kenal (Rosmah), saya anggap dia seperti seorang kakak. Tetapi dalam perniagaan permaidani, sekali sekala dia akan telefon dan dia mahu bercakap mengenai perkembangan yang berlaku di sekitar kota... Itu sahaja.
"Dia seorang yang baik. Jika anda mengenai dia secara peribadi, dia seorang yang baik," kata Deepak lagi.
Katanya lagi, beliau mula mengenali Rosmah apabila wanita itu mula mengunjungi kedai permaidani milik keluarganya di pusat bandar Kuala Lumpur "sekitar enam atau tujuh tahun lalu."