4 APRIL — Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal.
Kalau kiraan saya betul, baru hampir tiga tahun sejak Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat memulakan tugas untuk “Berkhidmat Kepada Rakyat”. Sebenarnya, tidak cukup tiga tahun; jika ditolak segala perlakuan badut dan kurang pintar yang sering ditonjolkan oleh individu yang ada masanya “terpaksa” diundi oleh rakyat kerana tiada pilihan.
Sejak tiga tahun lalu, saya sebagai rakyat biasa amat menyampah membaca berita di mana ahli politik ini dan ahli politik itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya “bersiap sedia” menghadapi PRU-13.
Apakah tokoh seperti ini berfikir bahawa kehidupan Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen hanya untuk berkempen, memancing undi, menabur janji kosong, menang dalam pilihan raya, bercakaran seperti anjing dengan kucing dan kemudian mula berkempen bagi pilihan raya seterusnya; walaupun belum cukup tiga tahun memegang jawatan yang “disedekahkan” oleh rakyat?

“Selepas pemilihan parti selesai, parti kami kini bersiap untuk menjamin kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.” Demikian kata seorang pemimpin sebuah parti politik.
“Saya mahu semua ahli dan pemimpin parti bersiap sedia dan mendekati rakyat bagi memastikan kita menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.” Demikian seruan seorang lagi pemimpin lebih tinggi.
Tidak menghairankan bagi saya jika kelompok manusia seperti ini hanya pandai memperkudakan rakyat. Rakyat yang lupa bahawa merekalah yang sebenarnya berkuasa. Wakil daripada golongan rakyat yang diangkat menjadi Wakil Rakyat juga mudah lupa diri (harap bukan semua) apabila sudah mula pandai menyalak bersama-sama gerombolan anjing jalanan yang disertai.
Wakil Rakyat dipilih (diundi) untuk berkhidmat kepada dan untuk rakyat; bukan untuk parti politik tempat dia berselindung. Dewan Rakyat bukan tempat untuk mana-mana badut menunjukkan aksi sarkas, tetapi tempat untuk bersuara mewakili rakyat. Suara rakyat, bukan suara parti. Suara rakyat, bukan lawak lucah. Suara Rakyat, bukan bersuara dan melompat seperti katak puru.