KENYATAAN AKHBAR YB DATO HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH SEBAGAI JAWAPAN TERHADAP AKHBAR SINAR HARIAN 17 /3/2011 ‘JUDI JEJAS UNDI’
Sebagai pimpinan dalam PAS yang berjuang berteraskan Islam, kita tidak mengambil kira soal undi sebagai pertimbangan dalam hal perjudian, sebaliknya ketakwaan kepada Allah SWT wajib diutamakan. Menang kalah dalam satu pertandingan hanya merupakan perkara duniawi tapi ketakwaan akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Encik Hu Phang Chaw adalah pandangan yang memberi gambaran kepada masyarakat lain bahawa masyarakat Cina hanya akan memberi undi kepada PAS sekiranya mereka diberi peluang atau hak untuk berjudi adalah amat mengelirukan.
Kenyataan ini jelas akan memalukan masyarakat Cina seolah-olah orang Cina terlibat dengan aktiviti perjudian. Ini tidak benar, hanya sebahagian kecil orang Cina dan bangsa-bangsa lain di dunia ini terlibat dengan aktiviti perjudian.
Dalam konteks masyarakat Cina Kelantan, saya berani katakan bahawa majoriti orang Cina tidak berjudi kerana dasar kerajaan PAS untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan lesen premis untuk berjudi telah dilaksanakan sejak 20 tahun yang lepas kerana masyarakat Cina di Kelantan mempunyai moral dan pendidikan yang tinggi.
Saya sendiri dan sebahagian besar masyarakat Cina mendapat pendidikan di sekolah Cina, dididik oleh guru-guru orang Cina supaya jangan terlibat dengan gejala judi. Dan saya yakin tiada satu guru di dunia ini yang mengajar murid mereka berjudi. Sudah menjadi amalan dan budaya institusi keluarga orang Cina terutama ibubapa mereka daripada awal lagi mendidik anak mereka untuk menjauhi daripada judi.
Yang terpenting, semua agama termasuk agama dan kepercayaan yang dianuti oleh orang Cina semuanya mengharamkan judi kerana judi satu masalah sosial, satu fenomena tanpa mengira agama, kebudayaan, adab resam, falsafah, bangsa dan negara yang perlu dibenteras oleh umat manusia.
Sebagai kerajaan negeri, tanggungjawab kita bukan hanya untuk mentadbir negeri, berkhidmat kepada rakyat dan ianya juga merupakan tanggungjawab kita seboleh mungkin untuk mendidik masyarakat dengan unsur-unsur dan amalan yang murni dan luhur.
Penyokong-penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang bersama dengan perjuangan PAS sepatutnya memahami PAS merupakan satu gerakan untuk menyebarkan syariat Islam untuk membina satu masyarakat yang adil, saksama kepada umat dan bukan hanya untuk meraih undi tanpa mengambil kira hukum halal dan haram.
Isu tiket loteri ini perlu difahami dengan lebih teliti. Tiket loteri yang diperkenalkan dalam tahun 50-an sudah diswastakan dan hari ini namanya adalah ‘ Big Sweep’ seperti TOTO, Magnum 4 Digit dan sebagainya merupakan judi yang membayar cukai dan lesen kepada Kerajaan Persekutuan seperti jenis perjudian yang lain.
Apa yang masyarakat Cina nilaikan terhadap kerajaan negeri, yang penting adalah ‘good governence’ iaitu kerajaan yang adil dalam semua aspek kepada masyarakat berbilang kaum.
DHPP perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan melalui kerajaan tempatan supaya tidak meluluskan lesen premis perjudian. Inilah perbezaan di antara kerajaan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang perlu kita jelaskan kepada masyarakat untuk menjadi pilihan mereka.
Sekiranya dasar kerajaan negeri dikatakan bercanggah dengan dasar perjudian Kerajaan Persekutuan yang membenarkan perjudian dan dasar kerajaan Persekutuan boleh memaksa kerajaan negeri untuk membuka ‘flood gate’ dan membenarkan pelbagai aktiviti perjudian di Kelantan, maka serahlah kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan untuk menjawab di akhirat kelak kerana pimpinan kerajaan negeri telah melakukan segala yang boleh dan termampu dalam hal perjudian ini.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Hj Anuar Tan bin Abdullah
Exco Pembangunan Usahawan, Perdagangan & Perpaduan Masyarakat
merangkap ADUN Kota Lama
Pejabat MMK
Kota Darulnaim, Kota Bharu
12 Rabiulakhir 1432H
17 Mac 2011
Berkaitan :
“Isu loteri jejas undi Cina”
KOTA BHARU - Isu pengharaman judi, loteri yang dikuatkuasakan Kerajaan Negeri boleh mengurangkan undi masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Hu Pang Chaw berkata, masyarakat Cina kini sedang menilai pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang melakukan beberapa tindakan yang dilihat sensitif kepada masyarakat itu.
“Isu loteri sebenarnya tidak sedikit pun menguntungkan Pas, sepatutnya Kerajaan Kelantan berhati-hati dalam menyelesaikan masalah ini, saya banyak mendengar pandangan dan keluhan mereka yang bimbang apakah bentuk perkara yang akan diharamkan lagi sekiranya Pas memerintah negara nanti.
“Saya bukan nak takutkan pemimpin Pas, tetapi perkara ini sudah menjadi bualan masyarakat Cina dan ia sangat membimbangkan,” katanya semalam, mengulas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang bertindak menyerbu dua kedai buku menjual loteri kebajikan di negeri ini, baru-baru ini.
Tindakan itu turut dibantahkan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkan tindakan Kerajaan Pas Kelantan itu bertentangan undang-undang Persekutuan dan mendesak ia ditarik balik.
Malah dalam masa sama, sebuah akhbar arus perdana tabloid melaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung pendiriannya mengharamkan perjudian, termasuk loteri kebajikan.
Mengulas lanjut, Pang Chaw berkata, amalan loteri menjadi budaya kepada masyarakat Cina dan ia berbeza kegiatan judi yang jelas mempunyai unsur pertaruhan.
“Masyarakat Cina juga seperti orang Islam tidak sukakan keburukan, tetapi dalam amalan orang Cina, loteri adalah budaya yang banyak dikaitkan dengan unsur tuah dan kekayaan, jadi ini adalah perkara yang harus diteliti, ia dua perkara berbeza,” katanya.
Menurutnya, masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) daripada memfokuskan isu loteri yang banyak memberi kesan negatif kepada sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR). SH - 17-3-2011