Sabtu, 29 Januari 2011

Tenang : Pengundi sudah tetapkan pilihan mereka

Pengundi Melayu sejak hari penamaan calon sudah tahu siapa yang mereka hendak pilih.

LABIS: Rata-rata pengundi telah menentukan siapakah calon yang akan dipilih dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang hari Ahad ini.
Tinjauan terbaru mendapati para pengundi telah menetapkan pilihan mereka dan sebarang kempen di saat-saat akhir tidak boleh mempengaruhi mereka lagi.
Dalam PRK Tenang, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim menentang Normala Sudirman dari PAS setelah kematian Datuk Suleiman Taha, akhir November lalu.
Roniza Aman berkata, pengundi Melayu sejak hari penamaan calon sudah tahu siapa yang mereka hendak pilih.
“Kedua-duanya kita kenal. Jadi tidak perlulah berkempen secara berlebihan. Orang Tenang saya nampak tidaklah begitu ghairah tetapi yang paling sibuk orang yang datang dari luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Zuraida Taib menambah, beliau hanya sekali mendengar orang ceramah di tempatnya tinggal iaitu di Tenang Stesen.
Menurutnya, beliau tidak berminat dengan ceramah atau kempen kerana ia tidak memberi banyak faedah kepada penduduk Tenang.
“Mereka bercakap mengenai isu negara Islam tetapi apa kena mengena dengan orang Tenang. Mereka sudah tahu mengenai perkara tersebut. Tidak perlu diulang-ulang setiap hari,” tambahnya.
Menurutnya, beberapa isu lain seperti isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan buku Interlok tidak akan mempengaruhi pengundi.

PRK Tenang: Pengundi Cina jadi teka-teki

Tidak terdapat tanda-tanda yang jelas, parti manakah yang akan disokong oleh masyarakat Cina

LABIS: Masyarakat Cina yang menghuni kawasan bandar di sekitar daerah ini menjadi teka-teki kerana tidak menampakkan sokongan
secara nyata kepada mana-mana parti, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (Dun) Tenang esok.
Dalam tinjauan terbaru, tidak seperti ditempat-tempat lain, masyarakat Cina di sini lebih kuat menyimpan rahsia dan tidak terdapat tanda-tanda yang jelas, parti manakah yang akan mereka sokong nanti.
Namun, BN yakin peluang mereka lebih cerah terutama selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkempen untuk meraih undi di kawasan ini.
Seorang petugas Umno berkata, ada kemungkinan sokongan kepada BN terus meningkat ekoran kehadiran Muhyiddin semalam dan mendakwa parti itu telah menguasai 60 peratus dari jumlah pengundi Melayu.
“Orang Tenang sangat bangga dengan Muhyiddin kerana dia orang Johor. Tanyalah kepada mana-mana orang Johor di sini (Tenang),” tambahnya.
Beliau mendakwa kempen besar-besaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di saat-saat akhir untuk merampas kerusi ini kelihatan hampir mustahil.
“Semua kawasan Melayu kita kuasai. Begitu juga dengan kawasan Felda.
Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) tidak berjaya menembusi kawasan kubu kuat Umno ini.
Pengundi wanita serba salah
Bagaimanapun, seorang penyokong PAS yang ditemui memberitahu memang kelihatan lebih ramai yang akan menyokong BN tetapi kehadiran Ketua Muslimat PAS Kawasan Labis, Normala Sudirman telah menyebabkan ramai pengundi wanita serba salah.
PAS yakin peluang parti itu tetap ada walaupun pemimpin BN memainkan isu cuti sakit suami Normala atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala.
Penyokong PAS itu mendakwa, sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi wanita akan mengundi Normala esok.
“Ini maklumat yang kita terima selepas petugas-petugas, terutama Muslimah berkempen dari rumah ke  rumah,” katanya.
Beliau mememberitahu, kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan pengundi Melayu yang sebelum ini condong kepada Umno berkemungkinan besar akan menyokong PAS kali ini.
Selain Anwar, pemimpin besar PAS dan DAP berkempen siang malam untuk membawa kemenangan kepada Normala dan PAS.
Dalam pengundian esok, Cikgu Mala akan ditentang oleh Mohd Azahar Ibrahim dari BN. Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Suleiman Taha dari BN, akhir November lalu.

Kajian: BN boleh kekal kerusi, majoriti 5,000 tak mungkin



Mohd Azahar Ibrahim (tiga dari kanan) mencuba motosikal lama yang dipamerkan di bilik gerakan Kongres India Muslim Malaysia semasa melawatnya pada hari terakhir kempen hari ini. Turut kelihatan ialah Pengerusi Kimma Datuk Syed Ibrahim Kadir (dua dari kiri). — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 29 Jan — Kajian umum menunjukkan Barisan Nasional (BN) masih boleh mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang di Johor esok, tetapi tidak akan mencapai sasaran majoriti 5,000 yang pernah diperoleh calonnya pada 2004. Laporan kajian firma penyelidikan bebas Ilham Centre menunjukkan, calon BN Mohd Azahar Ibrahim mendahului PAS dengan majoriti sekitar 3,000 undi di mana BN dijangka memperoleh sekitar 6,000 hingga 7,000 undi.
Normala pula dijangka akan mengumpulkan sekitar 4,000 undi.
“Ilham Centre mambuat bacaan berdasarkan dapatan kajian ini bahawa calon BN akan memenangi kerusi Tenang ini menewaskan calon PAS dengan berlaku peningkatan sokongan pengundi dan majoriti berbanding keputusan pilihan raya umum 2008.
“Jentera PAS perlu menampilkan imej gabungan Pakatan Rakyat yang sebenar sebagai gabungan utama berdepan dengan jentera BN jika mahu menang dalam siri pilihan raya akan datang,” kata firma itu dalam hasil kajian yang dikeluarkan hari ini.
Lebih 65 peratus responden yang ditemui menjangkakan BN akan menang berbanding hanya 8.2 peratus meramalkan PAS sementara 23.2 peratus tidak pasti.
Malah 65.2 peratus responden juga berkata mereka akan memilih BN berbanding 13.7 peratus memihak PAS dan 17.5 peratus tidak pasti.
Pilihan raya kecil DUN Tenang merupakan pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008 dan yang pertama di Johor.
Kempen selama lapan hari berakhir tengah malam ini.
Keputusan pilihan raya kecil ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri tetapi dilihat penting bagi BN dan Pakatan Rakyat sebagai “kekuatan moral” menjelang pilihan raya umum ke-13.
Firma itu menambah, berdasarkan hasil dapatan silang kaum dengan soalan parti yang dijangka menang, BN mungkin akan memperoleh 73.1 peratus undi Melayu, Cina (48.6 peratus), India (50 peratus) dan kaum-kaum lain (75 peratus).
Kajian itu dikendalikan selama tiga hari mulai 26 Januari lalu untuk melihat perspektif pengundi terhadap parti, calon dan kecenderungan pengundian mereka membabitkan 549 responden.
Kajian itu meliputi 10 daripada 13 daerah mengundi. Rakat kajian yang dilaporkan sekitar 3.11 peratus.
Daripada 549 responden itu 67 peratus adalah orang Melayu, Cina 31 peratus dan masing-masing satu peratus India dan Orang Asli.
Kata Ilham Centre, faktor utama responden memberi undi adalah berasaskan aspek parti berbanding faktor calon dan isu yang dimainkan.
“Faktor parti diwakili 62.5 peratus daripada keseluruhan responden,” katanya.
Seramai 22.4 peratus memilih faktor calon, 10.4 peratus (faktor isu) dan baki 4.8 peratus tidak pasti.
“Jika dilihat kepada kekuatan calon, kedua-dua parti dilihat mempunyai kelebihan masing-masing,” kata hasil kajian itu dengan merujuk kepada hasil kajian bahawa Azahar atau lebih dikenali sebagai “Tok Ai” mendapat 91.4 peratus sokongan responden berbanding Normala atau Cikgu Mala mendapat 79.6 peratus sokongan.
Mengenai isu yang mempengaruhi pengundi, seramai 44.1 peratus memilih isu tempatan berbanding 26.8 peratus merujuk kepada isu nasional dan 24.1 peratus tidak pasti.
Bagaimanapun kata firma itu, isu serangan peribadi ke atas Normala tidak memberi kesan kepada pengundi.
Antara isu serangan terhadap peribadi Normala ialah mengenai pemakaian sarung tangan apabila berjabat tangan dengan pengundi lelaki.
“Ia tidak dilihat sebagai isu yang kuat,” katanya lagi.
“Begitu juga isu lain seperti penyelewengan tanah (yang disasarkan ke atas Azahar), sijil cuti sakit suami Cikgu Mala dan sebagainya tidak cukup untuk mempengaruhi pola pengundian di sini,” kata kajian itu lagi.
Ilham centre juga berkata hasil kajian juga menunjukkan PAS masih gagal menembusi kubu kuat Umno di perkampungan tradisi dan Felda.
Ia menambah, merujuk kepada dapatan kajian juga, jentera PAS di Tenang kali ini cukup agresif dalam siri-siri kempen dan ziarah rumah ke rumah.
Dengan menyasarkan undi wanita dan kakitangan kerajaan terutama nya guru, tema Cikgu Mala dilihat signifikan dalam strategi kempen PAS, kata Ilham Centre sambil menambah, “namun, berdasarkan maklum balas responden di perkampungan tradisi sekitar Kampung Tenang, Pekan Ayer Panas, Kampung Redong, tidak berlaku anjakan ketara paten sokongan di sana.”
Malah katanya, jentera PAS-Pakatan Rakyat juga dilihat belum mempunyai kekuatan untuk mengubah pendirian politik golongan peneroka Felda.
“Namun terdapat sedikit sinar harapan terutama generasi kedua Felda yang mempunyai pendirian politik rasional untuk memilih Pakatan Rakyat,” katanya.

Habis modal tolak debat, Najib alih isu pengganas

LABIS, 29 Jan:
Mengulas isu itu, Anwar semasa berceramah di Dataran Cikgu Mala dekat sini 29 Jmalam tadi berkata, Najib pada tahun 2010 telah bertemu dengan pemimpin Arab Saudi bagi menyiasat dakwaan kononnya Anwar ada menerima dana dari negara teluk untuk kempen pada pilihan raya umum ke-13.
Turut serta dalam ceramah tersebut ialah, Presiden PAS, Datuk seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi KeADILan Johor, Dr Chua Jui Meng; Adun Sungai Abong, Dr Syed Ibrahim dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin.
Anwar berkata, stesyen televisyen antarabangsa Cable News Network (CNN) telah melihat laporan rahsia dari siasatan Arab Saudi itu menunjukkan tiada bukti menunjukkan adanya tokoh-tokoh negara teluk membiayainya.
Laporan CNN itu juga menyebut, tidak ada bukti pegawai Arab Saudi yang pernah menyokong Anwar Ibrahim dan dakwaan sokongan dari keluarga diraja Saudi yang disebutkan dalam laporan awal [nama diubah] adalah tanpa asas.
Anwar sendiri menyatakan laporan itu bukan suatu yang mengejutkannya, malah bagi Ketua Pembangkang itu, tindakan tersebut  menunjukkan bahawa Najib takut berdepan dengannya menjelang pilihan raya umum ke-13.
Sehingga kini Najib belum mampu menyahut cabaran debat Anwar, tetapi  membuka gelanggang lain untuk menyerangnya dalam isu dana pengganas, katanya.
Anwar juga tidak pelik dengan laporan Najib ke luar negara bukan atas urusan pelaburan, sebaliknya sanggup singgah untuk memfitnahnya.
“Saya tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda.
“Mereka sedar rakyat Malaysia mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN), sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.
Anwar berkata, laporan itu memperlihat reaksi Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang saban hari membina sokongan rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kepincangan pentadbiran BN yang lemah mentadbir negara dan tiris akibat rasuah yang membarah.
Ujat Anwar, Buku Jingga adalah dokumen mengandungi saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno BN hingga menyebabkan Najib berasa takut.

Serangan peribadi BN amat memalukan’

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.

LABIS: PAS menyifatkan serangan peribadi terhadap calon PAS Normala Sudirman salam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai sangat memalukan.
“Ini kempen pilihanraya yang paling buruk dalam sejarah Malaysia,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau menambah, “isu serangan peribadi ini yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) menunjukkan mereka dalam keadaan bertahan.”
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.
“Apa yang kita katakan mengenai calon BN, Mohd Azahar Ibrahim ialah mengenai intergiriti, kita tidak sebut mengenai kisah rumah tangga beliau.
“Kita tahu perangai dia tetapi kita tidak sebut kisah rumah tangga dia,” katanya.
Tambah Mahfuz, PAS menetapkan tidak ada sebarang isu peribadi pemimpin disentuh dalam kempen pilihanraya ini.
“Kita boleh sebut kisah Datuk Seri Najib (Tun Razak) atau isterinya Datin Seri Rosmah (Mansor) tetapi kita tidak mahu.
“Kita boleh sebut kisah perceraian mereka terdahulu tetapi kita tidak mahu kerana supaya mereka tidak malu. Kita tidak mahu anak-anak mereka malu,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mahfuz, pemimpin BN telah membangkitkan kisah perceraian Normala dengan suami terdahulu.
Beliau juga menyifatkan tindakan pemimpin BN `menyerang’ suami Normala,seperti tidak dapat tanduk telinga dipulas.
“Suami calon PAS jadi mangsa. Isu MC (sijil sakit) kalau hendak siasat, siasatlah. Tetapi siasat juga petugas Umno di Tenang dan di pilihanraya lain yang mengambil cuti sakit.
“Ramai juga kawan saya terdiri dari guru yang ambil MC setelah berunding dengan guru besar dan mengambil cuti untuk berkempen bagi pihak Umno.
“Saya tidak fikir isu MC ini menjadi isu besar. Isu yang besar ialah sama Normala kepada Mohd Azahar,” katanya.

PRK Tenang: Pusingan akhir pergelutan

Hari paling sibuk dalam pilihanraya biasanya adalah hari-hari akhir menjelang pengundian.  Di sinilah "senjata akhir" akan digunakan oleh parti-parti yang bertanding.  Hari terakhir berkempen bermakna hari kritikal bagi kedua-dua pihak.  Hari "panas" untuk mengambil seberapa banyak peluang berkempen!  Bagi pengundi, ini mungkin hari terakhir mereka mendapat sebarang bentuk hadiah dari langit.  Tangan-tangan yang memangkah dalam pilihanraya merupakan tangan yang amat berkuasa menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan.
Dalam konteks Tenang; rakyat diberi pilihan samada memilih PAS ataupun BN.  Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.  Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Kurang dari 24 jam lagi, tempoh berkempen akan tamat.  Jentera kedua-dua parti bertungkus lumus berperang memenangi psikologi dan hati rakyat.  Ada banyak cerita dapat didengar, ada banyak emosi boleh dikongsi.  Para pengundi semestinya telah ada pilihan di hati.  Semangat kerja berpasukan dengan moral dan disiplin yang tinggi terutama dari jentera Pakatan Rakyat boleh diberi salut!  Ia bukan disebabkan upah atau nasi bungkus.  Harapan dan sokongan dalam merintis jalan kesepaduan PAS, DAP dan PKR tidak lain hanya untuk Malaysia yang lebih adil dan berkebajikan.
Malaysia dengan sinar yang begemerlapan!
Pakatan Rakyat mantap
Tidak dapat dinafikan, BN dibantu dengan jentera kerajaan.  Akan tetapi, jentera sahaja tidak cukup kalau tanpa isu yang baik.  Kempen politik boleh jadi sangat menjengkelkan dengan isu peribadi yang "terlalu remeh" dan dilihat tiada maruah.  Penganalisis politik melihat BN ketandusan isu sejak mula berkempen lagi.  Sehingga saat-saat akhir tempoh berkempen, BN dilihat gelabah apabila telah mempolitikkan MC suami calon PAS Makrof Abd Mutalib.
Selain itu, kes lelong tanah yang menyeret calon BN Mohd Azahar Ibrahim secara langsung dan tidak langsung dikatakan sedikit sebanyak telah mempengaruhi mood sebahagian pengundi yang bersimpati.  Jelas, Azhar Ibrahim punya rekod kurang baik untuk difikirkan warga Tenang.  Isu ini merupakan kredit percuma untuk PAS.
Harapan Malaysia Baru untuk Tenang
Seluruh Malaysia sedang memerhati perkembangan politik di Tenang.  Kita diperlihatkan dengan Kugan, Teoh Beng Hock dan Amirulrasyid yang meninggal dunia akibat salah laku dan kerakusan pihak berkuasa.  Apakah tragedi yang meragut nyawa ini tidak menjadi sentimen rakyat di Tenang?
Atau; harga minyak harus dinaikkan lagi supaya rakyat Tenang sedar?  Apa yang akan berlaku?  Adakah keputusan pilihanraya nanti akan memihak kepada rakyat?  Sekiranya BN menjaja isu Negara Islam, "salam", hudud PAS, ketuanan Melayu dan percaturan Saiful dengan bekas bosnya; Pakatan Rakayat lebih mendahului dengan senarai panjang isu-isu lokal dan nasional melibatkan keadilan dan intergriti yang masih segar dan bermaruah.  Tak perlulah saya senarikan semuanya di sini.  Anda lebih sedia maklum.  Saya yakin PRK kali ini akan memperlihatkan sejauh mana jentera Pakatan Rakyat berjaya membebaskan pemikiran rakyat Tenang khususnya masyarakat FELDA mengenai isu-isu nasional atau; rakyat Tenang selesa dengan keadaan sekarang.
Akbar Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2011 memetik Mashitah Ibrahim; Ketua Wanita UMNO Baling memberi ingatan kepada BN supaya jangan memandang remeh strategi PAS meletakkan "pemidato" sebagi calon.  Apatah lagi calon PAS adalah calon dari kalangan kaum wanita.  Penulis melihat Cikgu Mala punya aura tersendiri sebagai seorang yang penuh semangat, tabah dan "tidak gemuk". Beliau tidak kekok bercakap, tidak lekang senyuman.  Untung nasib. Tangan yang menghayun buaian ini mampu menggegarkan DUN Johor!

BN cuba selamatkan undi Cina, PR pula sasar FELDA dan estet

Meskipun PRK Tenang menyaksikan pertarungan antara UMNO-Barisan Nasional dengan PAS-Pakatan Rakyat, namun kelihatan rakan partinya lebih bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen.  Antaranya, MCA menurunkan tujuh orang Timbalan Menteri untuk mengetuai pasukan kempennya, malah Presidennya Chua Soi Lek dan anaknya, Chua Tee Yong, juga penyandang kerusi parlimen Labis, melawat ke semua tokong Cina dan pasar malam di situ.
Sementara itu, DAP pula mencurahkan sokongan sepenuhnya kepada PAS untuk menangkis serangan isu Negara Islam yang memanah Pakatan Rakyat.  Selain strategi kreatifnya yang bertemakan "TUKAR" sempena Tahun Baru Cina, kenyataan demi kenyataan media dikeluarkan untuk menyanggah setiap tuduhan yang dilemparkan MCA, malah mencabar agar Chua Soi Lek tampil berdebat.
Ceramah anjuran DAP juga mendapat sambutan yang memberangsangkan di kawasan yang majoritinya pengundi Cina.  Hampir setiap ceramah yang diadakan DAP pada waktu malam menarik kira-kira 500 orang - bukan sahaja penuh sesak, tetapi orang yang datang berdiri sepanjang malam sehingga ceramah tamat.
Jamuan malam MCA disambut dingin
Sebaliknya, jamuan malam anjuran MCA menerima sambutan yang dingin daripada penduduk tempatan.  Kekosongan meja dan kerusi kelihatan di merata-rata sungguhpun Chua Soi Lek turun sendiri ke jamuan tersebut.  Malah, Chua Soi Lek kelihatan kekok apabila tidak ramai yang menyahutnya ketika beliau melontar soalan untuk memanaskan suasana.  Situasi ini berbeza dengan apa yang berlaku di ceramah anjuran DAP - meriah dengan sorakan dan tepukan.
Jika dilihat kepada statistik PRU ke-12 - di kawasan Bandar Labis Tengah yang 96% terdiri daripada pengundi Cina, PAS memperolehi 66.8% undi.  Namun, untuk kerusi parlimen Labis pula, DAP memperolehi 73.8% undi.  Dengan kata lain, DAP mampu melonjakkan sokongan pengundi Cina di Bandar Labis Tengah ke paras 73.8%, sebagaimana yang diraihnya dalam PRU ke-12.
MCA yang semakin terasa bahangnya membariskan lebih ramai pemimpin untuk ceramahnya, misalnya Naib Presiden Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu; Ketua Pemuda MCA Wee Ka Siong, Timbalan Ketua Pemuda merangkap EXCO kerajaan negeri Perak Mah Hang Soon dan sebagainya.  Bagaimanapun, usaha ini digagalkan cuaca yang menurunkan hujan pada Khamis lalu.  Begitu juga dengan ceramah PR, yang terjejas bilangan kehadiran lantaran cuaca hujan, sungguhpun membariskan Nik Aziz, Lim Kit Siang, Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim, bekas Menteri Besar Nizar Jamaluddin dan sebagainya.
Langkah MCA agak lambat
MCA yang mengasak dengan isu Negara Islam, akhirnya berdepan dengan tuntutan pertubuhan Cina, yang mahu agar Sekolah Menengah Swasta Cina (SMSC) di Segamat diwujudkan semula.  MCA agak lambat dalam langkahnya untuk mengendalikan isu ini, sehingga Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berjaya mengambil kesempatan untuk mendesak MCA-BN.
Chua Soi Lek cuba melontar balik isu ini dengan mencabar agar kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor mengambil mereka yang tamat pengajian di sekolah swasta Cina sebagai kakitangan awam.  Malah, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai mendakwa ini kali pertama dirinya tahu isu "mewujudkan semula sekolah menengah swasta" ini, yang pada hakikatnya janji BN pada 25 tahun lalu.
Sejauh manakah isu sekolah cina swasta ini mempengaruhi pola pengundian hanya diketahui pada malam 30 Januari.  Apa yang pasti, PR memiliki kelebihan dalam penguasaan undi Cina.  Dan ia menjadi cabaran kepada Chua Soi Lek, lebih-lebih lagi kawasan DUN Tenang berada di bawah kerusi parlimennya, yang diwarisi dari bekas Presiden Ling Liong Sik, sebelum dilepaskan kepada anaknya ekoran skandal seksnya.
UMNO kukuh di FELDA
Bagaimanapun, UMNO kini kelihatan menguasai tiga kubu tradisionalnya, iaitu FELDA Tenang, Cehmpal Barat dan Chemplak.  Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai 4,118 undi peneroka FELDA keturunan Melayu, iaitu kira-kira 28% daripada undi keseluruhan DUN Tenang, atau bersamaan 59% undi Melayu.
Pengamatan MerdekaReview mendapati harga getah dan kelapa sawit yang melonjak mungkin menjadi faktor positif untuk BN.  Kawasan kediaman mereka agak selesa, bersih dan segar, dihiasi bendera UMNO mahupun BN.  Jelas, peneroka FELDA agak takut untuk berdepan dengan media, dan enggan menjawab soalan yang diajukan wartawan.
Menurut pengurus kempen PAS, Syed Osman, mereka berdepan dengan kerumitan ketika cuba menyebarkan maklumat di kawasan FELDA.  Penduduk di kawasan FELDA tidak berani untuk menghadiri aktiviti anjuran PAS, terutamanya aktiviti kecil-kecilan, kerana takut identitinya dikenalpasti.
Di kawasan ladang yang majoritinya pengundi India pula, telah digulakan BN dengan hamper, kemudahan infrastruktur sejak awal lagi.  Malah, pemimpin BN yang turun ke situ menyelitkan amaran yang tersirat dalam gurauannya, bahawa pemilik ladang adalah pemimpin BN.  PR kini cuba menembusi ladang estet dengan pemimpin India-nya dalam tempoh yang kurang daripada 48 jam, sebelum hari pengundian pada 30 Januari.
Sesungguhnya, PRK Tenang juga merupakan satu cabaran kepada PAS, yang menguji sama ada parti politik ini mampu bertahan di kawasan campuran.  Malah, ia juga menguji sejauh manakah hubungan kerjasama antara DAP-PAS-PKR, yang hampir tiga tahun terjalin di bawah nama Pakatan Rakyat.

Tenang dan Doktrin Keramat UMNO

Hafiz Zainuddin 


Saya tidak dapat membuat sebarang tilikan awal siapa yang bakal memenangi PRK Tenang.  Saya cuma percaya; keajaiban boleh berlaku di mana-mana.  Lihat saja apa yang berlaku di PRK Sibu, Pakatan Rakyat yang diwakili DAP telah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 398 undi!  BN gagal mempertahankan kerusi Sibu.  Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu menunjukkan penolakan besar rakyat terhadap BN.  BN terjun dengan labu-labunya di Sibu.
Mari kita membuat sedikit analisa ringkas.  Sibu dan Tenang berbeza.  Kedua-duanya terpisah dari sudut geografi dan pembangunan.  Sibu adalah sebuah kawasan Parlimen manakala Tenang adalah kawasan DUN.  Selain itu, Sibu dilihat sebagai salah sebuah bandar yang sedang pesat membangun di Sarawak manakala Tenang adalah sebuah kawasan "pekan" kecil yang aman.  Malah teh tarik di Sibu berbeza dengan teh tarik di Tenang.
Dari sudut jumlah pengundi, hampir 67% pengundi di Sibu terdiri dari keturunan Cina manakala hampir 50% pengundi di DUN Tenang berketurunan Melayu.  Sentimen politik, gaya hidup dan cara berfikir dipisahkan dengan kedudukan geografi dan populasi kaum.  Ia adalah satu perbezaan yang amat ketara.
FELDA dikatakan sebagai kubu kuat bagi BN.  Dikatakan "kebal" dari sebarang perubahan.  Mungkin FELDA ini "dilihat" sebagai sebuah badan yang memberi kebajikan kepada rakyat terutamanya orang-orang Melayu.  Perjuangan FELDA sama ada dilihat ikhlas atau tidak ikhlas sekurang-kurangnya telah mengeluarkan sebahagian rakyat Malaysia yang menetap di kawasan pedalaman dan kampung dari belenggu kemiskinan.
Secara umumnya, ia tidak lain dan tidak bukan adalah atas usaha dan dasar yang telah diasaskan oleh kerajaan yang ditadbir oleh BN sejak sekian lamanya.  Siapa yang mahu pertikaikannya?  Itu soal lain.  Saya melihat; sudah tentu acuan pemikiran di FELDA jauh sama sekali berbeza dengan acuan pemikiran masyarakat di Bangsar contohnya.
Catatan terpenting yang perlu diambil perhatian oleh Pakatan Rakyat dari Pilihanraya Umum 12 ialah pengundi Melayu secara umumnya masih bersama BN.  Analisa menunjukkan swing undi pengundi Melayu adalah 5% berbanding 20% dari pengundi Cina dan 30% dari pengundi India.  Swing dan mood pengundi ketika ini kebanyakannya disebabkan oleh isu.  Persoalan "Dasar" bagi saya cuma teori dan terlalu subjektif.
Saya pernah berkata di dalam artikel terdahulu bahawa akses kepada informasi alternatif seperti internet dan tabloid politik boleh masuk dengan mudah ke mana sahaja.  Ya. Ia benar; tetapi bagaimana dengan penerimaan masyarakat Melayu yang menetap di kampung dan FELDA?  Sehinggakan aqidah politik sebahagian besar masyarakat kampung rata-rata masih berkiblatkan UMNO-BN?  Apakah "guna-guna" yang telah UMNO calitkan selama ini?  Apakah mitos keramat di sebalik songkok tinggi dan "keris sakti" sehingga UMNO dilihat kebal di kawasan kampung yang majoritinya Melayu?  Jawapan kepada permasalahan ini saya fikir, tidak lain tidak bukan adalah struktur sejarah dan kebudayaan Melayu itu sendiri sebermula zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.
Sepertimana yang diungkapkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang bahawa Melayu sebagai "setia dan sabar tanpa sempadan".  Kesetiaan ini tiada kaitannya dengan Islam yang datang membawa mesej keadilan dan kesaksamaan.  Kesetiaan ini telah wujud lebih lama sejak munculnya feudalisme di nusantara ini.  Kesetiaan dalam masyarakat melayu telah diprogramkan dengan doktrin-doktrin tertentu sehingga kelihatan bercantum dengan DNA mereka.
Kedudukan Raja atau Sultan pada waktu itu dikeramatkan.  Penuh mitos dan magis!  Sepertimana apa yang dianggap kepada Maharaja China sebagai Wakil Tuhan (Son of Heaven) di muka bumi.  Doktrin Keramat inilah yang menjadikan salah satu sebab Melayu boleh "setia dan sabar tanpa sempadan".  Perubahan zaman menuntut perubahan segala-galanya.  Walaupun kedudukan raja bukan lagi bersifat mutlak, tetapi faham feudalisme masih tetap berakar umbi yang akhirnya memenjarakan minda!  Doktrin Keramat cuma bertujuan management.  Memudahkan urusan pentadbiran Istana berjalan lebih baik tanpa soal lagi.  Sebab itu Hang Jebat dianggap derhaka!
Sedikit sebanyak, faham feudalisme ini berjaya dengan cemerlang digarapkan oleh UMNO sebagai tangkal.  UMNO telah mempromosikan diri mereka sebagai "sultan" yang perlu ditaati.  Tanpa UMNO; umat Melayu akan musnah ditimpa "daulat".  Ini adalah doktrin keramat yang memenjarakan minda.  Ini adalah doktrin yang sangat kuat dipegang terutamanya di kampung-kampung dan FELDA.  Untuk masa depan yang lebih menjamin kebahagiaan.  Masyarakat Melayu perlukan satu revolusi minda sebagai sebuah langkah ke hadapan.  Dan...tidak hanya sibuk dengan MLM misalnya.
Saya tidak pasti sama ada banjir yang melanda DUN Tenang baru-baru ini adalah sebuah petanda buruk buat BN atau tidak.  Yang saya pasti adalah penyelewengan dalam pentadbiran FELDA memang wujud.  Laporan Harakahdaily pada September 2010 menyatakan Mahkamah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan FELDA perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka FELDA Sungai Koyan 2 dan 3 yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.
Selain itu; Mahkamah Persekutuan juga memberi arahan kepada FELDA untuk menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di FELDA Kemahang 3, Kelantan ekoran isu manipulasi penggredan kelapa sawit pada tahun lepas.  UMNO dilihat mendominasi FELDA.  Apakah bukti penyelewengan dan salah guna kuasa FELDA ini tidak membuka mata masyarat FELDA itu sendiri?
Kita serah kepada rakyat khususnya pengundi di DUN Tenang ini untuk menilai.  Keputusan PRK DUN Tenang ini akan menjadi kayu ukur.  Sekiranya berlaku peningkatan undi dari masyarakat FELDA kepada Pakatan Rakyat, ia beerti BN semakin tenggelam dan dimakan "daulat"-nya sendiri.

Tenang : Sebelum Mengundi

TINGGAL tidak sampai 20 jam lagi pengundian akan berlangsung di pilihan raya kecil Dun Tenang, Johor. Seramai 14, 753 pengundi berdaftar berhak membuang undi. Undi pos seramai lebih 170 pengundi terdiri dari polis dan pegawai SPR telah membuang undi. Dari jumlah itu seramai 7,000 pengundi Melayu, 5,700 pengundi Cina dan 1,700 pengundi India.

Mungkin kedua-dua parti sudah pun dapat mengagak berapa banyak undi yang diperolehi dan berapa majoriti yang yang diraih parti yang menang. Parti politik ada makenismenya tersendiri dalam membuat perhitungan ini. Dalam sistem bancian dan penculaan undi diamalkan di Malaysia membolehkan parti-parti politik mengenali sebanyak mana pengundi mereka. Biasanya 70% dapat dikenal pasti dan sekitar 30% undi saja yang samar. Tumpuan tegar kerap dilakukan kepada golongan dinamakan atas pagar ini.

Dalam pilihan raya kecil seperti Tenang ini tidaklah sukar untuk membuat ramalan mengenai keputusannya kelak. Biasanya trend pengundian tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku sebelum ini. Selalunya kalau pilihan raya kecil ia memberi kelebihan kepada parti kerajaan. Inilah yang tidak disukai oleh pihak pembangkang. Tetapi saya percaya kalau pembangkang berkesempatan memiliki agensi seperti parti kerajaan, Kemas, Kada, Feleda, polis dan sebagainya mereka juga mengamalkan perkara yang sama. Nama lagi demokrasi, tindak tanduk manipulasi dan hipokrasinya tidak jauh berbeza!

Agaknya siapakah yang akan menang besok? Siapakah yang akan memasuki ke Dewan Undangan Negeri Johor di antara "Sophia Loren" (Normala Sudirman) dengan "Mat Bok", (Azahar Ibrahim). Mari kita bermain dengan angka dan teka teki yang sudah hampir terjawab atau boleh memberi jawaban ini. Senario semasa dan laporan dalam berbagai-bagai media, cakap-cakap dan laporan sulit membantu kita membuat andaian ini.

Umno awal-awal lagi telah mendabik dada membuat provokasi kira-kira 4,500 orang pengundi di kalangan peneroka adalah miliknya. Di Tenang ada tiga kawasan Felda, Cempelak, Cempelak Barat dan Tenang. Peneroka adalah masyarakat yang dipelihara oleh kerajaan menerusi agensi pembangunan tanah dan sosial Felda.

Mereka ini berterima kasih kepada agensi berkenaan, tanpa mengira penat lelah yang mereka sendiri lakukan untuk memajukan diri mereka. Walaupun pulangannya tidak seberapa, tetapi mereka bangga dengan Felda. Orang miskin.. begitulah sangat merasai budi berbanding dengan orang lega (kaya). Mereka akan berterima kasih kalau hanya kulit pisang diberikan oleh orang kaya. Dia terlupa yang menanam dan membajai pisang itu sampai berbuah adalah dia. Titik peluhnya yang membesarkan benih yang disediakan orang kaya itu.

Selagi Felda masih didiami oleh peneroka awal, keadaan termakan budi dan menerima budi akan berterusan. Kecualilah sesudah anak-anak peneroka sudah pandai mengira, menghitung serta menimbangkan keadilan dan kesaksamaan barulah perasaan menerima dan merasa budi itu akan berakhir. Nah ketika itulah baru peneroka Felda tidak boleh dijerat oleh Felda hanya dengan kulit pisang tadi.

Bermakna masyarakat dalam Felda akan bebas dan tidak terikat dengan mengaggap Umno memberi makan kepada mereka setelah peneroka itu melairkan generasi ke 10. Untuk sampai generasi ke 10 ini perlu tunggu tahun 5050.

Apakah pada waktu itu bumi ini masih ada lagi? Saya bimbang takut Semanjung Malaysia sudah ditenggelam air akibat bencana atau bumi pecah dari bawah pantak Semanjung. Makanya harapan untuk melihat peneroka Felda berubah dan tidak merasai budi Umno akan sia-sia saja, sudah terlewat ketika itu. Justeru kalau para peneroka mahu bangkit membela kehidupan mereka dan mengambil hak mereka bertindaklah sebelum tahun 5050!

Berdasarkan kepada dakwaan Umno tadi, bermakan secara tunai mereka sudah ada sekitar 4,000 undi. Katanya ada kesedaran dalam kalangan peneroka Felda kerana mereka sudah insaf dan mendapat maklumat mengenai penganiayaan ke atas mereka. Katanya sokongan masyarakat Felda sudah merosot sekitar 10 %? Kalau ini benar bermakna Umno masih ada lagi 3,600 undi lagi tunai.

Keadaan ini menunjukkan Umno masih menang di ketiga Felda berkenaan. Apa yang Umno perlukan untuk menang sekitar 3,000 undi saja lagi untuk menjadikan 6,600. Mana-mana parti yang berjaya meraih 6,000 undi mereka akan menang. Dam sekiranya peratus keluar mengundi sekitar 80% ini bererti Umno boleh menang dengan majoriti yang tipis sekitar 500 undi saja.

Ini tidak susah bagi Umno. Bagi mengenapkan angka itu Umno hanya memerlukan sekitar 30 hingga 35 peratus undi dari kalangan orang Cina dan 50% undi India saja. Sekiranya Umno memperolehi 30 peratus (1,300) undi Cina dan 60% (850) bermakna Umno akan menang dengan majoriti di bawah 2,000 undi.

Mojoriti di bawah 2,000 walaupun UBN menang tetapi dari segi moralnya parti itu kalah. Keputusan itu memberi kegembiraan dan harapan besar kepada Pas. Ia akan ditafsirkan bahawa pengaruh dan kekuataan UBN merosot, apa lagi ia berlaku di dalam negeri kubu Umno Johor.

Saya pecaya dalam pilihan raya ini Pas tidak menanti kemenangan. Kekalahan adalah kenyataan yang sudah diterima seawal hari penamaan calon. Tetapi sebagai parti politik Pas mencuba untuk menawarkan perubahan dan pembaharuan kepimpinan kepada rakyat. Kerana itu kalau Pas menang besok ia dibantu oleh kuasa magic dan pertolongan ikkhlas dari malaikat di langit dan di bumi! Apakah mengarap kepada kuasa itu sesuatu yang praktikal?

Untuk masa depannya kejayaan Pas mengurangkan majoriti BN di bawah 2,000 undi adalah petanda tidak baik bagi Umno. Umno harus bersiap sedia untuk menyerahkan kerusi itu kepada Pas dalam pilihan raya umum akan datang dan sedia merasai keruntuhan sebuah negeri yang menjadi kubu kuat Umno sejak tahun 1946.

Tetapi dalam syok melayani analisa ini jangan terkejut kalau tiba-tiba Umno boleh pukul maut Pas dengan majoriti lebih 4,000 undi. Berpandukan senario ini kalau ini berlaku sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Jangan lupa Umno akan mengemukakan strategi dan tektik baru pada setiap kali pilihan raya. Inilah kelebihan Umno dan UBN yang menjadi parti memerintah dan tidak pula diberi kepekaan oleh pembangkang.

Gambar Yang "MEROYAN"kan Umno Di Tenang..

(Terselah sikap hormat kaum lain terhadap kepimpinan Islam,
lihatlah bagaimana tangan Tuan Guru dipimpin..Aduhh sadiss)

Suasana seperti ini tidak wujud pada masa dulu..kini Pimpinan PAS
sudah dipercayai dan diterima oleh kaum lain menyebabkan Umno
menjadi gila meroyan dengan suasana ini..kerana takut "kuasa reput"
mereka akan lenyap sedikt masa lagii...
Kalau dulu hanya Umno saja yang diterima sebegini rupa,tapi
kini,apabila kaum lain sudah sedar akan kezaliman,tipudaya
dan fitnah pimpinan UMNO terhadap Parti Islam,lantas
mereka kembali bersama dengan pimpinan dan parti Islam yang
menegakkan kebenaran sejagat lalu semakin reputlah
Parti Sekularr pimpinan Umno..Takbirr

Juragan : Maka Umno kini semakin mereputtttt

Umno hilang punca serang suami calon PAS

LABIS, 29 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Umno kini terpaksa defensif berdepan kempen Pakatan Rakyat pada PRK Dun Tenang sehingga terpaksa membuat serangan peribadi terhadap calon PAS, Normala Sudirman.
Katanya, kerana tersepit dengan serangan Pakatan Rakyat, Umno terpaksa membangkitkan isu rumahtangga terdahulu Normala dan menyerang suami calon, Maarof Abd Mutalib berhubung isu cuti sakit.
"Saya fikir ini sejarah lah. Ini menggambarkan ketidaktamadunan pemikiran Umno BN.
"Kita tidak sentuh pun soal isteri calon BN, sebab yang bertanding dia, bukan isteri dia," katanya pada sidang media PAS hari ini.
Mengulas isu serangan perkahwinan dahulu Normala, Mahfuz berkata ianya satu perbuatan melampau kerana boleh mengaibkan keluarga yang terlibat.
"Saya sebut kepada kawan-kawan jangan bangkit isu Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) bercerai dengan bekas suami dia, isu Najib (Datuk Seri Najib Razak) bercerai dengan bekas isteri dia, kemudian mereka berkahwin bersama.
"Saya kata jangan sebut, itu tidak baik, itu satu perkara peribadi," katanya.
Dalam kempen di Tenang kali ini, Mahfuz mendakwa Umno secara gelap membangkitkan soal perkahwinan terdahulu Normala.
Beberapa kain rentang turut dipasang berhubung perkara itu yang mempersoal siapa Maarof.
"Termasuk juga isu Chua Soi Lek berkenaan kes dia, VCD dia sebab yang akan malu bukan sahaja dia, anak dia, isteri dia dan keluarga dia," tambah Mahfuz lagi.
Menyentuh isu cuti sakit Makrof yang dimainkan Umno pula, Mahfuz berkata Umno sebenarnya hilang punca setelah gagal menyerang peribadi calon PAS.
"Pemimpin Umno, tak dapat calon suami calon jadi mangsa.
"Banyak program yang dihadiri oleh cikgu-cikgu termasuk perhimpunan agung Umno yang yang difahamkan berpakat dengan cikgu besar untuk ambik cuti, ini juga mesti disiasat," katanya.

SPR: Pengundi Tenang perlu keluar pagi elak hujan lebat

Contoh kertas undi yang tertera nama Normala Sudirman dan Azhar Ibrahim, calon pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang, yang hari pengundiannya berlangsung esok. — Foto oleh Choo Choy May
LABIS, 29 Jan — Penduduk di kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang diseru menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelak hujan lebat yang dijangka berlaku petang esok. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pagi esok mendung manakala hujan lebat pada sebelah petang.
“Kita mahu pengundi turun mengundi di sebelah pagi... jangan tangguh-tangguh,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi amanat kepada petugas SPR di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis hari ini.
Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata banjir dikhuatiri berlaku di sebatang jalan sepanjang tiga kilometer menuju ke pusat mengundi Kampung Sawah Baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sawah Baru, kerana terletak di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air.
“Pengundi tidak perlu risau kerana SPR telah mengadakan persiapan yang rapi dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan polis bagi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat tersebut,” katanya.
Beliau berkata jentera pilihan raya parti yang bertanding turut menyediakan pengangkutan bagi penyokong masing-masing.
Pusat mengundi akan dibuka pada 8 pagi dan ditutup 5 petang, manakala pengiraan undi dijangka siap pukul 6 petang.
Kesemua kotak undi dijangka tiba di pusat penjumlahan di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis pada 6.45 petang, dan keputusan awal boleh diketahui sekitar 7.30 malam.
Keputusan pilihan raya kecil yang menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan calon PAS Normala Sudirman, 38, dijangka diumumkan pada 8 malam. — Bernama

Tenang: PAS masih optimis, harapkan keajaiban esok

LABIS, 29 Jan — Walaupun ramai yakin Barisan Nasional (BN) dengan keseluruhan jenteranya hampir pasti mempertahankan kerusi DUN Tenang esok, namun PAS masih optimis akan berlaku “keajaiban” yang akan memihak kepada calon mereka Normala Sudirman.
Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang Salahuddin Ayub berkata, jentera parti komponen Pakatan Rakyat telah bergerak ke tahap paling maksimum sepanjang kempen pilihan raya kecil kawasan itu.
Kempen berakhir tengah malam ini. Pengundian bermula 8 pagi esok.
Beliau juga mengakui menghadapi masalah untuk mendekati pengundi Melayu terutama di kawasan Felda yang merupakan kubu kuat BN.
“Kita dah bergerak ke tahap paling maksimum, kita dah kerahkan kekuatan untuk pastikan segala maklumat dapat disalurkan seperti yang diharapkan.
“Saya akui kita menghadapi saingan yang hebat di kawasan peti-peti undi Melayu tapi kita akan terus ke garisan penamat.
“Walaupun sekarang kita tumpu kepada pengundi Melayu, namun kita tak tinggalkan pengundi bukan Melayu yang kita serahkan kepada PKR dan DAP,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Dengan menyasarkan hanya 75 peratus pemilih yang akan keluar mengundi esok, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, Pakatan Rakyat berharap pengundi Melayu akan memihak kepada Normala.
Kerusi DUN Tenang menjadi saingan Normala dan calon Umno-BN Mohd Azhar Ibrahim.
“Kita hanya sasarkan lima hingga tujuh peratus undi Melayu termasuk kawasan Felda. Kita realistik, dulu pada 2008 kita dapat 28 peratus undi Melayu dan sekarang kita sasarkan antara 35 peratus hingga 40 peratus sahaja.
“Bagi pengundi Cina, kita sasarkan antara 75 peratus hingga 80 peratus akan memihak kepada kita manakala pengundi India hanya 50 peratus sahaja.
“Kita boleh menang walaupun majoriti kecil, kita harap akan berlaku sentuhan dan keajaiban esok,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, dengan kempen yang dilakukan Pakatan Rakyat, tidak mustahil sekiranya Normala akan memenangi pilihan raya kecil kawasan itu.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mahu BN mempertahankan DUN Tenang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada pilihan raya kecil itu.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

BN gagal capai majoriti sasaran - ILHAM Center

Gobalakrishnan keluar PKR, MP keenam jadi Bebas


N. Gobalakrishnan
KUALA LUMPUR, 29 Jan — Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Gopalakrishnan sebagaimana telah dijangkakan sejak awal tahun lalu mengumumkan keputusan keluar parti itu berkuat kuasa hari ini. “Ya, saya melepaskan semua jawatan dan saya sudah keluar PKR... sekarang saya wakil rakyat Bebas,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.
Ketika ditanya sama ada akan menyertai mana-mana parti atau Konsensus Bebas, Gobalakrishnan berkata: “Buat masa ini saya akan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas, saya bergerak sendiri... saya Bebas.”
Sebelum ini beliau berkata tidak akan keluar parti, biar pucuk kepimpinan memecatnya ekoran kecaman keras terhadap parti.
Beliau menolak akan menyertai parti Kita yang kini diketuai oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang November lalu turut keluar PKR.
Gobalakrishnan (gambar) juga menghadiri majlis pelancaran parti itu di ibu negara 19 Januari lalu.
“Saya tidak menyertai (parti Kita),” katanya lagi.
Menjawab soalan sama ada sudah memaklumkan PKR tindakannya, wakil rakyat itu menambah: “Parti sudah tahu, saya sudah membuat pemakluman menerusi blog (dan Twitter) dan juga media, mereka tahu.”
Pagi tadi bekas calon naib presiden PKR itu mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Beliau yang juga ketua PKR cabang Padang Serai pada Mei lalu didenda RM3,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang kerana didapati bersalah terhadap pertuduhan menghalang anggota polis sebagai penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002.
Dengan itu beliau berhadapan dengan risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Rayuannya masih didengar.
Keputusan Gobalakrishnan hari ini, yang sebenarnya telah dijangkakan ramai sejak setahun lalu, diumumkan ketika tinggal sehari lagi sebelum pengundi kecil DUN Tenang keluar mengundi pada pilihan raya kecil.
Ada yang pernah menyebut beliau akan kembali ke MIC, parti yang beliau pernah anggotai sebelum menyertai MIC.
Pengumuman itu yang dibuat menerusi akaun Twitter beliau, juga menyebut bahawa beliau akan meneruskan kerja-kerjanya melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru.
Awal bulan ini beliau diberikan surat tunjuk sebab 45 halaman oleh PKR tetapi sehingga kini beliau belum menjawabnya.
Oleh itu, PKR sedang mengambil langkah untuk memanggil jawatankuasa disiplin mendengar kesnya.
Dalam mesej yang dikeluarkan sekitar 10.50 pagi tadi, Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Padang Serai berkata:
“Selamat pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO baru.”
Bagaimanapun dalam mesej itu beliau tidak memberikan maklumat mengenai kedudukannya wakil rakyat kerusi itu yang dimenangi di bawah tiket PKR 8 Mac 2008.
Dengan itu, sejak awal tahun lalu beliau menjadi Ahli Parlimen keenam meninggalkan atau dipecat dari PKR.
Awal tahun lalu lima Ahli Parlimen PKR telah meninggalkan parti itu manakala seorang lagi dipecat.
Mereka ialah wakil rakyat Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim, Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).
Mereke kini membentuk Konsensus Bebas.
Dalam pada itu, pengikut akaun Twitter Gobalakrishnan menimbulkan persoalan mengapa beliau mengumumkan keputusan itu hari ini sementara pengundian kerusi DUN Tenang berlangsung esok.
Malah seorang menghantar mesejnya dengan berkata, “adakah YB turut meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat? Itu baru NGO...”
Seorang lagi pula bertanya, “... bermakna jawatan sahaja atau keahlian sekali.”
“Nak dapatkan penjelasan, anda mengatakan melepaskan semua jawatan, bermakna anda masih ahli PKR?” tanya seorang lagi.
“Gobalakrishnan tinggalkan PKR ke?” soal seorang lagi pengikut mesejnya.
Akhir bulan lalu, Gobalakrishnan walaupun mengecam keras kepimpinan PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali tetapi “berjanji” tidak akan keluar parti.
Mengkritik Anwar dan Azmin, Gobalakrishnan yang merupakan bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, “apa yang saya sampaikan menerusi Twitter, sebenarnya sudah lama saya bangkit dalam parti, Anwar pun tahu, Azmin pun tahu.”
“Malangnya Anwar tidak melakukan apa-apa,” kata beliau yang sekali lagi menolak tanggapan pihak luar PKR bahawa akan meninggalkan komponen Pakatan Rakyat sebagaimana persekitaran disaksikan awal tahun ini.
“Saya sangat pasti, Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor akan bersetuju jika ekuiti ekonomi masyarakat India Malaysia perlu dipertingkatkan,” kata Gobalakrishnan.
Katanya, Azmin, salah seorang pemimpin pengasas PKR tidak pernah memihak kepentingan masyarakat India sejak 2002 lagi meskipun “saya menderita, saya bersabar.”
“Ini masanya ahli-ahli politik semasa tampil bersama demi kebaikan masyarakat India Malaysia yang sudah dilupakan,” katanya.
“Masyarakat India seperti juga masyarakat Cina telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” tulis Gobalakrishnan lagi, yang turut mengecam layanan tidak adil dan tidak memadai bagi pembangunan sekolah rendah Tamil dan kuil di Selangor.
“Kerajaan-kerajaan negeri ada kuasa untuk pembangunan dan akta berkaitan dengan tanah adalah alat yang TKS (Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim) dan kesemua Menteri Besar perlu gunakan untuk mempertingkatkan rakyat Malaysia yang miskin,” kata Gobalakrishnan dalam mesej susulan.
Masyarakat India merupakan ahli kedua terbesar dalam PKR yang ditubuhkan pada 1999, setahun selepas Anwar dipecat oleh Umno dan Tun Dr Mahathir Mohamad setahun sebelum itu.
Malah ketika proses pemilihan sedang berjalan, Gobalakrishnan pernah mempertikaikan perjalanan proses pengundian dan memberi kata dua kepada jawatankuasa pemilihan pusat agar memperbaiki kecacatan dan kepincangan yang wujud.

PAS yakin masyarakat Cina kekal bersama Pakatan

LABIS, 29 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin masyarakat Cina di Dun Tenang akan bersama Paktan Rakyat pada pilihan raya kecil itu esok.

Berucap pada majlis makan malam anjuran DAP malam tadi, beliau yakin sokongan lebih besar akan diberikan kaum itu berbanding Pilihan Raya Umum lalu.

“Pada 2008, kaum Cina telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. PAS dan DAP menang di kawasan Cina, harap kemenangan selepas ini lebih besar.

“Saya yakin pengundi Cina akan melakukan kerja menumbangkan Barisan Nasional untuk anak tangga menuju Putrajaya,” lapor portal The Malaysian Insider.

Tambahnya, hasrat utama Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP adalah untuk membela nasib rakyat semua kaum yang ditindas kerajaan BN selama ini.

“Pakatan yang diajar oleh Islam dinamakan tahaluf (kerjasama politik). Dalam satu negara, kita berpakat menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman.

“Kita berpakat dalam perkara asas yang sama. Umno Islam duduk dalam BN, barisan ini berbaris bukan berpakat... Umno tidak konsisten dan tak tunjuk perangai baik depan orang bukan Islam.. Ini tidak selesai masalah,” katanya.

“Kita perlu mengajar pengundi memahami dengan betul perbezaan antara PAS dan Umno dan perbezaan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

“Orang melihat secara zahir Umno Islam dan Pas Islam... PAS tegakkan Islam sepertimana dalam al-Quran dan Umno anggap Islam hanyalah agama rasmi dalam Perlembagaan (Persekutuan) yang digubal British. Islam adalah sekular, Ini beza PAS dan Umno.

“Dalam politik yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan (Islam) yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional, tiada masalah kita berbilang bangsa tinggal di tanah air, kita menolak politik perkauman,” katanya menjelaskan perbezaan.

Sehubungan itu jelasnya, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat yang telah terbukti di beberapa buah negeri yang diperintah memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

“Selamanya kita berpakat di atas persetujuan mengekalkan keadilan dan menolak yang zalim, adil untuk semua, tolong rakyat tanpa mengira kaum.

“Boleh tanya orang Kelantan, orang bukan Islam macam mereka diberi hak yang sama. Di Terengganu juga begitu, kita selesaikan tanah di Kampung Baru," kata bekas menteri besar Terengganu itu.

39 peratus pengundi Dun Tenang adalah terdiri daripada masyarakat Cina.

Pengundian diadakan esok. Kempen akan berakhir secara rasmi tengah malam ini.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Calon PAS, Normala Sudirman akan berdepan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.

Cikgu Mala berkarisma, lebih bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Calon BN bagi pilihan raya kecil Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim sehingga hari ini masih lagi gagal menjawab dakwaan terhadap beliau yang melelong tanah penduduk semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.
Oleh itu, beliau tentunya dilihat oleh orang ramai bukanlah sebagai seorang yang layak dipilih dalam pilihan raya Dun Tenang 30 Januari ini kerana tidak selayaknya menjadi pemimpin.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya calon BN itu tidak bersalah, beliau pasti sudah dapat menjawab dakwaan terhadapnya itu, tetapi sehingga kini beliau tetap gagal menjawabnya.
Menurut beliau, sebaliknya, semua kenyataan yang dibuat oleh calon BN itu berhubung dakwaan tersebut bukanlah jawapannya, sebaliknya jauh menyimpang dari jawapan dan realiti sebenar.
"Keadaan itu amat jauh bezanya dengan calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang sememangnya diketahui umum sebagai seorang yang baik, berkarisma dan bertanggungjawab.
"Keistimewaan Cikgu Normala itu bukan hanya pada mata saya, tetapi turut diakui oleh penduduk di kawasan Tenang sendiri dan mereka yang mengenalinya," katanya ketika ditemui di sini.
Selain itu, keistimewaan Cikgu Normala juga, katanya, boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai apabila beliau pernah dianugerahkan dengan anugerah guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri sewaktu beliau menjadi guru dulu.
Mohd Azahar sewaktu menjadi ADO didakwa dengan cuai telah melelong tanah seseorang secara tidak sah dan tidak mengikut prosedur.
Semua kesalahannya itu sudah terbukti apabila keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada tahun 2008 sudah pun mengarahkan tanah tersebut dipulangkan kepada pemilik asalnya, Mansor Mohamad bersama kosnya.
Azahar akan dibicarakan di dalam satu tuntutan saman di mahkamah oleh pembeli tanah Mansor melalui lelongan tersebut iaitu Norhana Mohd Ali yang mendakwa terpedaya oleh Azahar, sehingga menyebabkan beliau membeli tanah Mansor secara lelongan yang disyaki palsu dan tidak sah itu.
Menurut Nurul Izzah, kes yang dihadapi oleh Azahar itu tidak mampu disembunyikan oleh beliau kepada orang ramai terutama kepada penduduk di kawasan Tenang, sehingga menyebabkan semakin ramai orang yang semakin hilang keyakinan terhadapnya.
"Ini amat berbeza dengan Cikgu Normala yang sememangnya semakin mendapat tempat di hati para pengundi di kawasan itu.
"Buktinya, semasa saya pergi ke Tenang Selasa dan Rabu lalu dan mengadakan ceramah di kawasan felda, ramai penduduk di kawasan itu yang hadir.
"Jumlah kehadiran mereka ratusan orang. Ini amat jauh bezanya ketika saya mengadakan ceramah di kawasan felda lain termasuk di kawasan Felda Suharto," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.
Kehadiran dengan jumlah itu di kawasan felda, menurut beliau, merupakan satu jumlah yang besar.
Ini jelas membuktikan Cikgu Normala dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya itu semakin diterima oleh orang ramai, setelah didedahkan kepada orang ramai tentang keistimewaannya oleh para pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau yakin Normala mempunyai harapan besar untuk menang dalam pilihanraya itu, memandangkan para pengundi di kawasan itu sendiri ternyata amat senang kepadanya.
Namun, beliau turut kesal kerana Umno atau BN terus menggunakan politik kotor dalam kempen mereka di Tenang, termasuk menggunakan politik mengugut para pengundi dengan ugutan yang bukan-bukan agar mereka tidak menyokong calon PAS.

Najib Semakin Terdesak Raih Sokongan Rakyat

SHAH ALAM 29 JAN : Penasihat DAP Lim Kit Siang menyelar sikap Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dan pimpinan Umno-BN yang berterusan memburuk-burukkan nama baik pemimpin Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihanraya umum ke-13 ini.
Sebelum ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  membidas Datuk Seri Najib Razak kerana membuat aduan kepada kerajaan Arab Saudi bahawa terdapat dua orang putera Diraja negara itu membiayainya dalam kempen pilihanraya.
Laporan Cable News Network (CNN) yang bertajuk "Saudis discover newfunding channels for Taliban, al Qaeda"  menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.
Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.
Bagaimanapun laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat.
" Bahawa pilihanraya kecil di Tenang ataupun dalam pilihanraya  yang akan datang khususnya dalam piliharaya umum ke-13, Najib dan pemimpin-pemimpin Umno sangat khuatir akan kehilangan kuasa mereka dan mereka rela menggunakan segala muslihat dan taktik-taktik yang kotor untuk merosakkan nama baik pemimpin Pakatan Rakyat," kata Lim Kit Siang yang dihubungi TV Selangor.
Tambah Kit Siang lagi keengganan Najib Razak memberikan komen berkenaan perkara ini menunjukkan sikap lepas tangan pemimpin itu selepas perkara ini didedahkan kepada umum.
" Apabila Najib enggan membuat apa-apa komen tidak tahulah ia sukar untuk menjelaskan kenapa pendirian beliau. Ini sangat jelas bahawa Najib Razak sangat terdesak dan mengenai kemajuan yang dicapai oleh Pakatan Rakyat yang memberikan satu alternatif politik kepada rakyat," katanya.
Kit Siang juga mempertikaikan tindakan Najib Razak keluar negara yang menggunakan wang rakyat bukan berusaha untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara tetapi bersikap mengambil tindakan politik yang hanya merosot.
"Beliau lebih mementingkan kedudukan dan kepentingan politik beliau daripada masa depan negara, dan kita tahu baru-baru ini laporan Global Financial Integrity bahawa negara akan hilang modal dalam aliran wang haram berjumlah RM888 bilion dan itu sepatutnyanya menjadi perhatian beliau dan bukan perkara-perkara yang tidak benar," katanya lagi.

Tenang : BN yakin Tenang miliknya dengan majoriti besar

Kurang 24 jam, kempen pililhan raya DUN Tenang alam melabuhkan tirainya, namun bagi BN, mereka tetap yakin kerusi akan tetap miliknya. Malah, ramai juga yang menganggarkan BN akan mencatatkan pertambahan majoriti melebihi seperti yang diraih pada pilihan raya umum 2004.

tenang by election 280111 fireworks at 1 malaysia new year partyIni berdasarkan faktor, BN berjaya mengenal pasti faktor utama mengapa pengundi tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008. Parti itu juga dikatakan telah menyelesaikan isu dan masalah berbangkit di kalangan pengundi.

"Pergerakan kita di sini seperti pokok, kita tak menilai pokok itu kita berbuah tetapi kita menilai pokok itu (pada) kali pertama kita menanam benih pokok tersebut. Dengan bajanya, dengan kualiti benihnya, kerana jangkauan kita adalah buah tersebut.

"Kami mengambil berat segala persoalan. Maksudnya tidak ada isu atau masalah yang kita tidak pandang ringan. Pengundi-pengundi sedar kewajipan dalam menentukan kepimpinan di Labis ini.

"(Oleh itu) dalam masa tinggal sehari, kami berkeyakinan bahawa kami mampu untuk menyamai (majoriti) 2004, atau mungkin melebihi (majoriti) pada 2004," kata seorang pemimpin Umno bahagian yang enggan namanya disiarkan.

NONESebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mahu BN mempertahankan DUN Tenang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada pilihan raya kecil yang berlangsung esok.

Muhyiddin pada hari pengumuman calon BN Mohd Azahar Ibrahim DUN Tenang - dilaporkan berkata Tenang adalah merupakan antara kubu terkuat BN, justeru, beliau mahu jumlah itu ditebus kembali berbanding yang diperolehi pada pilihan raya umum 2008.

Ketika ditemui Malaysiakini petang semalam, sumber berkata walapun tempoh berkempen masih berbaki sehari, jentera pilihan raya BN masih terus bergerak bagi memastikan kemenangan Mohd Azahar yang berdepan dengan calon PAS Normala Sudirman.

NONE"Kami mendekati pengundi secara terus, secara peribadi khususnya di bahagian Felda, kampung tradisi, ladang-ladang, taman perumahan sehingga kepada peniaga dan pengusaha kecil.

"Gerak kerja kami menyeluruh. Kami berjumpa dengan pengundi bertanyakan masalah, menyelami isu-isu yang dibangkitkan dan lebih penting kami mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Menurut sumber itu berdasarkan maklum balas berhubung penerimaan pengundi terhadap jentera BN sewaktu menjalankan kempen, pihaknya melihat ada "satu perkembangan yang baik" penerimaan terhadap BN.

tenang by election day 1 230111 mohd azahar and chua soi lek giving oranges"Mereka mula memahami dan menilai perkembangan dana kemajuan yang di oleh kerajaan sebagai asas dalam penghakiman untuk lebih memahami BN.

"Kita tidak mahu berasa terlalu yakin, kita menghormati pihak lawan. Yang paling penting bagi kita adalah pembangunan dan kebajikan pengundi kita itu dapat diketengahkan dan dapat dibela. Itu paling penting sekali," katanya.

Bagaimanapun, sumber menasihatkan jentera supaya jangan terlalu yakin sehingga perasaan tersebut menguasai dan menjejaskan tumpuan dan gerak kerja pilihan raya walaupun berbaki sehari lagi.

tenang by election day 1 230111 mohd azahar with girl"Kita kena kerja kuat dan kemenangan menanti di hadapan," tegasnya.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan peratusan keyakinan parti itu mempertahankan kerusi tersebut sekalipun didesak beberapa kali sambil menegaskan "majoriti yang diperolehi bertambah".

Ditanya mengenai bantuan komponen BN yang lain dalam kempen pilihan raya kecil ini, pemimpin itu berkata mereka memberikan "respon" yang baik, termasuk ahli gabungan dan ahli bersekutu yang lain.

MP Gobalakrishnan lepaskan semua jawatan PKR

G Manimaran

N. Gobalakrishnan
KUALA LUMPUR, 29 Jan — Bekas calon naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan pagi ini mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu. Keputusan itu yang sebenarnya telah dijangkakan ramai sejak setahun lalu diumumkan ketika tinggal sehari lagi sebelum pengundi kecil DUN Tenang keluar mengundi pada pilihan raya kecil.
Pengumuman itu yang dibuat menerusi akaun Twitter beliau, juga menyebut bahawa beliau akan meneruskan kerja-kerjanya melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru.
Awal tahun ini beliau diberikan surat tunjuk sebab 45 halaman oleh PKR tetapi sehingga kini beliau belum menjawabnya.
Oleh itu, PKR sedang mengambil langkah untuk memanggil jawatankuasa disiplin mendengar kesnya.
Dalam mesej yang dikeluarkan sekitar 10.50 pagi tadi, Gobalakrishnan (gambar), Ahli Parlimen Padang Serai berkata:
“Selamat pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO baru.”
Bagaimanapun beliau tidak memberikan maklumat mengenai kedudukannya wakil rakyat kerusi itu yang dimenangi di bawah tiket PKR 8 Mac lalu.

PRK Tenang: PAS mampu kecilkan majoriti serta kejutkan BN..!!

Dalam cuaca sedikit dingin dan tenang, BN dan PAS terus menghangatkan suasana Tenang

Hanya tinggal 12 jam tempoh berkempen, kurang 60 jam sebelum pemenang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diumumkan, dalam cuaca sedikit dingin dan tenang, dua calon bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS terus menghangatkan suasana Tenang.
Ketika ini, bagi kebanyakan pemerhati di kalangan media dan penganalisa politik negara melihat PAS yang bertanding dalam lubuk BN, sebagai parti bukan pilihan untuk menang dalam PRK ini.
Bagaimanapun, sasaran merapatkan jurang majoriti berbanding 2,492 undi dalam PRU-12 lalu sudah memadai bagi membolehkan PAS meraikan kemenangan moral buat mereka.
Berbanding BN, definisi kemenangan dalam PRK Dun Tenang bukanlah sekadar menang buat mereka tetapi perlu memperolehi kemenangan dengan majoriti lebih daripada 2,500 undi.
Ketika tempoh berkempen semakin suntuk, BN yang masih menunjukkan keyakinan tingginya, telah mula menunjukkan tanda-tanda terbabas daripada sasaran awal kemenangan majoriti berganda apabila memainkan isu keagamaan telah menjerat diri.
Ketika calon BN, Azahar Ibrahim dan calon PAS, Normala Sudirman berhempas pulas untuk meraih undi maksima, gandingan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong pula hampir tersepuk di sudut gelangang tatkala berhadapan dengan gandingan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Ramalan awal oleh pemerhati di kalangan media dan permerhati politik bagi kawasan majoriti pengundi Cina lebih cenderung menyebelahi PAS berbanding Umno dan BN.
Selain faktor kempen berkesan yang dijalankan oleh pemimpin Pakatan Rakyat di kawasan itu dan keterujaan terhadap imej Guan Eng sebagai seorang Ketua Menteri berbangsa Cina dengan rekod pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus (CAT).

Kenyataan hina Islam memakan diri

Kedua-dua Chua dari BN ini, tanpa disedari turut membantu PAS. Soi Lek terutamanya, dengan kenyataan-kenyataan yang menghina Islam dan akibatnya telah memakan diri.
Sementara itu, walaupun menurut beberapa pemerhati baru-baru ini yang menganggap PAS masih gagal menembusi kubu BN di kawasan Felda, kesilapan memainkan isu agama oleh pemimpin MCA dan Gerakan sebelum ini dijangka mewujudkan beberapa tembusan kecil ke atas kubu mereka oleh PAS di kawasan terbabit.
Selain itu, faktor calon yang dikaitkan dengan isu kecuaian melelong tanah seorang penduduk Melayu di Pekan Jabi yang memaksa beliau menghadapi perbicaraan kedua kes yang sama Februari ini dan kenyataan Soi Lek yang dilaporkan dalam sebuah akhbar sebagai berkata “apa baiknya untuk mengetahui nilai atau tata susila orang Islam?” turut melemahkan kubu BN sendiri.
Taktik kehadiran beberapa pemuda berbaju ‘T’ dengan logo BN bagi menganggu ceramah pemimpin Pakatan juga mampu memberi padah kepada sokongan terhadap BN sendiri.
Berdasarkan perkembangan semasa di Tenang, telah wujud persepsi yang menunjukkan tidak mustahil bagi PAS mampu merapatkan jurang majoriti sehingga di bawah paras 2,000 undi atau lebih baik dari itu, sesuatu yang boleh dianggap kemenangan bagi PAS.
Bagaimanapun, pemantauan dan keberkesanan jentera kempen parti bertanding sepanjang baki masa kempen yang ada khususnya 12 jam terakhir mampu mengubah sokongan pengundi di saat akhir.
Dijangkakan, parti bertanding akan menggandakan kekuatan jentera kempen masing-masing dan meningkatkan serangan terhadap lawan dalam isu-isu yang memberi kelebihan bagi parti masing-masing dalam tempoh 12 jam terakhir.
‘Startegi melemparkan bom saat akhir’ khususnya 12 jam sebelum tempoh kempen tamat dianggap mampu memberi kesan maksima oleh kebanyakan jentera parti politik dalam negara ini dan ia adalah strategi yang kerap diaplikasikan dalam pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun BN dianggap mempunyai kelebihan dalam mengaplikasi strategi ini apabila mempunyai kawalan terhadap media-media utama yang hebahannya lebih meluas dan pantas sekaligus membolehkan BN dapat menjawab asakan dengan cepat dan membuat serangan lebih pantas.
Pemantauan berterusan dalam setiap isu yang dinaikkan oleh lawan masing-masing dalam tempoh 12 jam terakhir sebelum tempoh kempen berakhir dijangka bakal diberikan perhatian utama oleh jentera kempen kedua-dua parti bertanding itu.

Tenang : Umno jadikan Masjid Tenang sebagai markas kempen politik BN!



Oleh: Pria Malaya

Apa kes??..boleh ke berpolitik dalam kawasan masjid? boleh ke anjur program dan kempen parti politik dalam kawasan masjid masa pilihan raya?..boleh ke gantung bendera dlm kawasan rumah ibadat?..

Sultan benarkan ke?..tafsiran "politik" tu merujuk kepada parti pembangkang sahaja ke?..hanya parti berlambang 'dacing' dan 'keris' sahaja ke dibenarkan?..

Dasar hipokrit punya manusia..ternyata undang2 hanya terpakai kpd parti politik pembangkang..alasannya tak sokong kerajaan..alasannya tak dapat restu sultan..alasannya tak dapat lampu hijau dari jabatan agama..sah munafiq!

Mcm biasa, isu ini akan dikemaskini dalam link berikut, "Koleksi Umno/BN berpolitik dalam surau/masjid..(bukti bergambar dan video)"..fikir2kan..wallahua'lam..










VIDEO: PRK Tenang : Bongkar !!! Umno Gunakan Masjid Untuk Berpolitik

Perbezaan Ketara Calon Pas Dan Calon BN Yang Jarang Diketahui Umum



Salam...kali ni ambo nak berkongsi tentang perbezaan ketara antara calon Pas dan calon Umno PRK Dun Tenang,apa yang hendak dikongsikan disini bukan dari segi politik yang semua orang dah tahu tapi dari aspek kehidupan kedua calon.Ni bukan fitnah ni bro tapi kenyataan yang sah dari kedua calon.Siap dengan bukti print screen lagi,korang lihat je kat bawah


Calon Pas Normala Sudirman dan Calon BN Azhar Ibrahim di hari Penamaan Calon PRK Dun Tenang


Nabi Muhammad SAW merupakan idola cikgu Mala,sudah semestinya kerena beliau mewakili parti yang memperjuangkan Islam...
Sementara calon BN menjadikan bekas PM Dr Mahathir sebagai idolanya,ya la bro puak2 sekular ni lebih suka jadikan idola mereka seseorang yang sealiran dengan mereka,baru ada klass gitu he..he..
Cikgu Mala juga mendengar muzik.Bagaimanapun beliau lebih meminati muzik nasyid yang lebih bercorak keislaman...
Calon BN juga suka muzik,tapi nasyid2 ni tak mainlah broo.Muzik barat beb R&B siap berkaraoke lagi...

Mungkin perkara yang dipaparkan diatas dianggap remeh bagi sesetengah orang.Tapi ianya sudah cukup menggambarkan keperibadian kedua dua calon.Fikir fikirkanlah...

Wawancara penuh dengan cikgu Mala boleh diikuti DISINI sementara dengan calon BN DISINI/Thijau

Gambar ribuan warga Tenang pelbagai kaum hadir program Pakatan Rakyat semalam!

PROGRAM 1

Ribuan penyokong menyertai ceramah perdana yang diadakan oleh PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Cikgu Mala sempena ceramah mega di Tenang malam tadi..







PROGRAM 2

Ribuan warga Cina hadiri Makan Malam Tahun Baru Cina bersama pemimpin Pakatan Rakyat di Pekan Labis, Dun Tenang semalam..