Sabtu, 6 Ogos 2011

Ramadhan dan perpaduan di Sarawak

Ramadhan dan perpaduan di SarawakRamadhan bukan sahaja dihayati oleh penduduk Islam di Sarawak tetapi penduduk bukan Islam juga memainkan peranan penting tatkala bersama warga Islam apabila waktu untuk berbuka puasa.
Ramadhan bukan sahaja memfokuskan kepada berpuasa dan menunaikan solat, ia juga mengajar erti kesabaran dan merendah diri. Bagi umat Islam, ia juga membawa kepada mengeratkan tali persaudaraan dan juga silaturahim dengan kalangan sahabat bukan Islam.
Kaum Cina dan Dayak juga memeriahkan lagi bulan Ramadhan dengan turut serta mengunjungi gerai-gerai yang menjual juadah berbuka puasa bersama rakan-rakan Islam.
Maimunan Ishak paling gembira pada bulan Ramadhan kerana inilah masanya semua anak-anak lelaki yang sudah dewasa bebuka puasa dengannya. “Bila anak-anak membesar, mereka lebih banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka dan jarang makan bersama keluarga di rumah. Hanya pada bulan puasa, mereka mencuba sedaya-upaya untuk makan besama saya dan ayah mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berusaha pulang”, katanya lagi.

Pada hari pertama puasa, Maimunan bersusah-payah untuk memasak makanan kegeramaran anak- anaknya untuk bersahur. Apabila bangun pada pukul 4, semuanya telah tersedia. Baginya, memasak untuk bersahur sama seperti memasak untuk makan tengah hari.
Bertugas sebagai kerani, Maimunan, pulang dari kerja lebih awal sedikit untuk menyiapkan hidangan untuk berbuka puasa. “Memasak dan berbuka puasa di rumah adalah kebiasaan kecualilah jika saya bekerja pada waktu malam. Pada masa itu, anak-anaknya akan membeli makanan di pasar Ramadhan yang terdapat di sekitar bandaraya. Bila berada di tempat kerja, rakan-rakan yang bukan Islam juga sering menemaninya berbuka puasa. “Mereka suka bebuka puasa bersama kami walaupun ada diantaranya sudah makan. Mungkin ini kerana mereka rapat dengan kami yang beragama Islam dan juga saling menghormati budaya antara satu sama lain,” tambahnya lagi.
Walaupun ramai yang berjaya mengurangkan berat badan pada bulan puasa, bagi Maimunan, beliau tidak begitu bertuah. Beliau akan menambah satu atau dua kilo lebih pada bulan puasa kerana akan makan secara berlebihan pada saat berbuka puasa. Apa tidaknya, di bulan puasa, ada banyak lagi kuih muih yang sedap termasuk buah kurma.
Pelanggan pelbagai kaum
Zulina Said yang berasal dari Petra Jaya, berniaga di pasar Ramadhan di Stutong. Menurutnya, kuih-muih nya selalunya akan hampir habis dijual dan dia sudah biasa berbuka di dalam kereta kerana pada pukul 6.20 petang, masih ramai lagi pelanggan yang bukan Islam membeli juadah. Waktu berbuka puasa pada hari pertama Ramadhan di Kuching adalah pada pukul 6.55 petang. 80% dari pengunjung gerainya adalah orang bukan Islam dan dia telah menjalankan perniagaan itu selama 9 tahun pada setiap bulan puasa. “Pelanggan Cina selalunya mencari saya dan mereka juga datang ke rumah pada Hari Raya. Saya panggil mereka Ah Moi, tak kira muda atau tua sebab saya sendiri tak ingat nama mereka semua”, katanya sambil ketawa.
Ahmad yang menjual kuih donat di gerai kecil tersenyum sambil membungkus donat untuk pelanggannya yang berbangsa Dayak. Ahmad yang berusia lewat 50-an, berkata, gerainya lebih dikunjungi pelanggan Cina dan Dayak berbanding orang Islam.
Berniaga pada awal waktu petang, Ahmad berkata pelanggan Cina sudah berada disekitar pasar pada waktu itu. Orang Melayu selalunya akan hanya berada disana pada pukul 4 petang. Bila diamati, pelanggan terdiri dari 70% orang bukan Islam. “Kami memang 1Sarawak. Ia lebih relevan di sini berbanding 1Malaysia”, katanya lagi.
Berbuka mengeratkan perpaduan
Walaupun Ahmad tidak berbuka puasa bersama rakan bukan Islam, dia akan menerima pelawaan jirannya, yang berbuka bersama penduduk bukan Islam. “Jiran saya yang sudah pencen dari kerja kerajaan, akan mempelawa jiran yang bukan Islam untuk turut sama berbuka puasa, sekurang-kurangnya 2 kali dalam bulan puasa. Saya selalu ikut serta. Yang bukan Islam juga akan bawa kuih dan biskut, ini sudah menjadi kebiasaan disini”, tambah beliau.
McFerrer David, pelajar Politeknik yang berasal dari Sabah sudah berada di Sarawak sejak 3 tahun yang lalu. “Saya sering datang ke sini dengan sahabat Islam pada setiap bulan Ramadhan. Saya suka nasi goring disini sebab ianya lebih murah dari yang dijual di Sabah”, katanya.
David tidak pernah merasa ragu-ragu untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan Islam yang lain. “Orang Sabah dan Sarawak sama sama. Kami akrab sama ada Islam atau bukan Islam”, katanya lagi.
Juadah di pasar Ramadhan
Juliza Ahmad yang sedang bergegas membeli makanan bersama suami dan dua orang anaknya berkata beliau lebih suka memasak di rumah tetapi beban kerja yang banyak menyebabkannya beliau terpaksa membeli makanan di pasar Ramadhan. Juliza yang tinggal bersama mertuanya berkata, mereka bersembilan akan berbuka bersama-sama. “Lebih baik memasak dan makan di rumah. Memandangkan ramai wanita bekerja, jarang ada masa untuk berbuat demikian”. Walaubagaimanapun, dia akan memasak di hujung minggu.
Seorang wanita dari kaum Dayak, sedang membeli makanan bersama anaknya di pasar Ramadhan. Bekerja di kedai perabot, dia sentiasa menanti bulan puasa untuk berehat dari memasak. “Lebih mudah untuk membeli juadah di gerai dan suami pun tidak ada masalah. Juadah memang sedap”, katanya.
Mia, beserta kebanyakan orang Cina, akan balik ke rumah dengan bungkusan juadah. Dia bersama rakan bukan Islam yang lain merupakan yang paling akhir sekali meninggalkan pasar Ramadhan bila rakan Islam yang lain sudah berebut-rebut untuk pulang berbuka puasa. Jadi, ada sebilangan penjaja berbuka di gerai.
Puasa itu perpaduan
Di Sarawak, berbuka bersama rakan bukan Islam merupakan kebiasaan bebanding Semenanjung. Azim, seorang Melaya yang bekerja disini berpendapat orang Sarawak lebih menunjukkan semangat 1Malaysia berbanding tempat asalnya, di wilayah persekutuan. Di sana, kehidupan bergerak pantas dan berkongsi untuk berbuka adalah suatu yang jarang berlaku. Pekerja pejabat selalunya bergegas keluar dari pejabat, mencapai apa sahaja makanan siap dan kuih muih dan bergegas pulang untuk bersama kelaurga. Yang bujang juga akan membeli makanan siap dibungkus dan makan seorang diri atau bersama teman serumah yang juga membujang.
Perpaduan kaum lebih terasa di sini menurut Azim berbanding tempat asalnya. Dia juga mendapati, selain bulan puasa, dia bersama temannya lebih selesa pergi ke kedai minuman orang Cina bersama sahabat yang Islam untuk menghilangkan dahaga dengan kopi o pekat dan memesan makanan dari gerai-gerai yang berada di dalam kopitiam itu. Ini sesuatu yang tidak berlaku di KL, di mana sahabat seagamanya akan memilih tempat yang disahkan halal.
Walaupun terdapat budaya kepelbagaian kaum di sini, Ramadhan yang istimewa untuk para Muslimin telah menjadi bulan yang menyatupadukan rakyat Sarawak. Ia adalah contoh terbaik 1Malaysia tanpa perlu ada slogan yang melaungkan perpaduan nasional.
- Malaysia Chronicle

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA