Selasa, 9 Ogos 2011

PRU: Najib minta Umno jaga rumah tangga, calon biar pimpinan tentukan...sendiri mau ingat maa..!!!

PUTRAJAYA, 9 Ogos — Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli-ahli Umno agar mengukuhkan perpaduan dan penyatuan di peringkat bahagian yang menjadi tonggak kekuatan kepada parti dan untuk menang dalam pilihan raya umum ke-13.
Perdana Menteri berkata ini kerana sesuatu bahagian merupakan rumah tangga induk dalam pertubuhan dan kekuatan parti bersandarkan kepada kekuatan bahagian.
Najib yang juga Presiden Umno berkata ia merupakan antara tiga faktor yang menjadi panduan kepada anggota parti untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya berharap kita semua dapat menjaga “rumah tangga” kita dalam parti terutama sekali di peringkat bahagian. Jika benar-benar padu, seia-sekata, kita akan beri kekuatan yang lebih untuk berjaya dalam pilihan raya akan datang,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Jadi, pupuklah perpaduan ini, jika tidak ada apa-apa yang tidak kena, cuba betulkan. Janganlah kita mewujudkan politik mengikut puak masing-masing di peringkat bahagian.
“Jika berbuat demikian, pasti mengundang bencana kepada parti,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama sahabat beliau di Seri Perdana, di sini.
Najib (gambar) berkata selain itu, salah satu faktor penting sekali ialah mendekatkan diri dengan rakyat, dan Umno dan Barisan Nasional mesti dilihat dan diterima sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Faktor ketiga, menurut Najib ialah anggota parti perlu mengutamakan kepentingan parti dalam proses pembaharuan dan transformasi politik yang sedang diperjuangkan, dan salah satu tonggak kepada transformasi tersebut ialah mengetengahkan calon-calon yang boleh menang.
“Saya berharap konsep itu dapat diterima, apa kriterianya, sama-sama kita fikir dan sama-sama kita boleh gariskan.
“Bagaimana nak menentukan siapa calon berkenaan, biarlah pada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa yang dianggap calon yang boleh menang,” katanya. Beliau berkata jika konsep itu diterima, tidak ada kerusi yang akan terkorban semata-mata kerana tidak meletakkan calon yang paling layak.
“Jika dapat terima beberapa panduan ini, saya percaya apa jua yang dilakukan orang terhadap kita, di peringkat akar umbi, Umno tetap memainkan peranan utama supaya rakyat akan lebih serasi memilih Umno sebagai parti yang memerintah negara kita,” katanya.
Najib berkata kebelakangan ini juga, parti pembangkang dilihat banyak lakonan dan sandiwaranya yang boleh dimaklumkan kepada rakyat yang antara mereka boleh dicalonkan sebagai pelakon terbaik dan wujud ketidakserasian di antara satu sama lain.
“Tidak perlu mengatakan negara berkebajikan kerana kitalah juara kebajikan rakyat selama ini. Beri RM100, satu kampung riuh rendah, kononnya dialah juara kebajikan,” katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM20 bilion subsidi untuk rakyat dan ia mesti diuar-uarkan kepada rakyat.
Katanya anggota parti perlu pandai “jual” cerita dan mesti tahu menguruskan perkara ini, dan jangan hanya berharap kepada agensi kerajaan untuk melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA