Jumaat, 22 April 2011

Syed Mokhtar luas empayar, DRB-Hicom kuasai Pos Malaysia


KUALA LUMPUR, 22 April — Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengembangkan empayar niaga beliau — hari ini diumumkan yang syarikatnya, DRB-Hicom Bhd berjaya dalam bidaan menguasai 32.2 peratus pegangan Khazanah Nasional di Pos Malaysia Berhad.
DRB Hicom dimiliki Syed Mokhtar (gambar) yang turut menguasai bisnes lain, antaranya perkhidmatan pelabuhan dan pengeluar tenaga bebas terbesar negara Malakoff Corp, pembekal beras nasional Bernas dan pengedaran gas melalui Gas Malaysia.
Syarikatnya MMC juga terlibat dalam projek MRT Lembah Klang dengan kerjasama Gamuda.
Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang ini, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-Hicom dipilih berdasarkan keseluruhan bidaan, yang bukan sahaja menawarkan strategi niaga baik tetapi juga harga yang boleh diterima.

“Strategi dan pelan bisnes yang disyorkan menyediakan platform yang efektif bagi pertumbuhan Pos Malaysia jika diterima oleh Lembaga Pos secara keseluruhan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut tiga pembida telah disenarai pendek daripada 50 pembida yang mengemukakan bida bagi membeli kepentingan berkenaan.
Selain DRB-Hicom, turut disenarai pendek ialah Nationwide Express Courier Services Bhd dan konsortium usaha sama antara Amanah Reit dan Malaysia Pacific Corp.
Antara strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom yang dikemukakan DRB-Hicom ialah mewujudkan sinergi strategik antara bank Islam yang dikuasainya iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd dengan Pos Malaysia.
Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset, dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.
DRB-Hicom juga dikatakan berupaya memastikan Pos Malaysia meneruskan tanggungjawab Universal Service Obligations (USO), selain mengekalkan kakitangan sedia ada.
Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA