SILA KLIK UNTUK PENAJAAN

Selasa, 1 Mac 2011

Prk Kerdau :Setiap kali PRK Umno-BN sogok dengan duit

KERDAU : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas sikap Umno-BN yang lebih utamakan kuasa dengan memberi duit untuk memancing undi dalam setiap kali pilihan raya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan sikap PAS yang lebih mengutamakan memberi ilmu kepada orang ramai dan bukannya duit.

“Apabila warga negara berumur 21 tahun, kita beri ilmu dan Islam supaya mereka faham tanggungjawab terhadap negara. Umno-BN tidak. Bila pilihan raya dia mula buat jalan raya siang malam.

“Mereka mengumpan pengundi dengan duit, kerana tidak yakin rakyat boleh terima berbanding dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Tuan Guru Nik Aziz menyindir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak habis-habis bercakap pasal Melayu tetapi sebaliknya mengakui beliau gagal memimpin orang Melayu.

“Umno bawa kebangsaan, itu adalah salah. Nabi Muhammad datang ke dunia tidak membawa ketuanan Arab. Tetapi yang dibawa oleh Rasulullah adalah Islam dan sebab itulah kita pilih Islam,” tegasnya lagi.

“Melayu sepatutnya bersyukur kerana telah menerima Islam sejak zaman kesultanan Melaka lagi dan tidak wajar mereka menerima selain daripada Islam walau dengan apa cara sekalipun,” tegasnya.

Beliau juga menyeru rakyat agar terus memberi undi kepada Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya akan datang.

Jelas Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan itu, Umno marah kepada beliau kerana berkawan dengan DAP tetapi yang hairannya mereka boleh pula berkawan dengan MCA.

“Mu berkawan dengan MCA tak apa. Aku dengan DAP tak boleh. Cina belaka. Apa pula sebab mereka marah jika kita nak berkawan dengan DAP,” soalnya.

Beliau juga menceritakan sikap buruk Umno dengan meminta PAS menyertai Barisan Nasional apabila susah tetapi menendang parti itu apabila berasa tidak diperlukan lagi pada suatu ketika dulu.

“Kita masuk sertai mereka (Perikatan-BN) tetapi bila dia gemuk dia tendang kita,” jelasnya.

Begitu juga katanya apabila BN tumbang di lima negeri pada pilihan raya yang lalu, permintaan itu berulang kembali.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menolak tuduhan PAS menjadi alat DAP sebagai tidak bersasas.

“Tetapi Umno dah sah jadi alat MCA, buktinya Umno tolak Islam kerana mengikut kata MCA.

“Berbeza dengan PAS walaupun pernah suatu ketika DAP meminta supaya PAS menggugurkan Islam tetapi PAS tetap pertahan Islam sebagai perjuangan,” ujarnya lagi.

Begitu juga jelasnya sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh walaupun suatu ketika pernahmenjadi orang yang kuat menentang Islam tetapi sekarang telah mula menerima perjuangan PAS.

“PAS telah memerintah Kelantan 20 tahun. Berapa helai bulu roma atau urat yang saya cabut,” katanya sinis.

“Allah menyuruh manusia melakukan keadilan, sebab itu jika kita berpegang dengan Islam maka wujudlah keadilan,” ujarnya lagi.

0 comments:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA