SILA KLIK UNTUK PENAJAAN

Selasa, 1 Mac 2011

Muktamar PAS: Pemilihan Pemuda guna format baru, bakal rancak pencalonan


KUALA LUMPUR, 1 Mac — Dewan Pemuda PAS mengadakan pemilihan Jun ini dengan pertama kali memperkenalkan sistem pencalonan dibuat oleh peringkat kawasan - perkembangan yang dijangka akan membuka kepada persaingan lebih terbuka kali ini.
Mesyuarat agung tahunan Dewan Pemuda PAS kawasan atau lebih dikenali sebagai bahagian akan berlangsung mulai Isnin ini sehingga 18 April.
Ia akan berlangsung dengan melaksanakan beberapa peruntukan yang telah ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan PAS dua tahun lalu, di mana buat pertama kali Pemuda PAS peringkat kawasan diberi hak untuk mencalonkan dan memilih barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bagi sesi 2011/2013.
Setiausaha Pemuda PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pindaan perlembagaan ini telah pun dipraktikkan semasa muktamar tahun lalu, tetapi ia tidak melibatkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Pemuda PAS.
“Tahun lalu, buat pertama kali muktamar DPPP termasuklah Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat menerima kehadiran perwakilan dari peringkat kawasan.
“Sebelum itu, perwakilan hadir terdiri daripada perwakilan dipilih pada muktamar dewan-dewan di peringkat negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kayat ketika dihubungi The Malaysian Insider mengakui sistem baru ini akan membuka kepada lebih banyak pencalonan berbanding masa-masa lalu.
“Dengan cara baru ini, saya jangkakan lebih banyak pencalonan akan dibuat sebab ia datang dari peringkat kawasan.
“Kita ada sejumlah kawasan, yang banyak, dan sudah pasti banyak kawasan akan membuat pencalonan. Sebelum ini pencalonan dibuat oleh negeri-negeri,” katanya.
Ketika ditanya sama ada ia akan mendedahkan kepada persaingan sengit dalam PAS, kata beliau, “tetapi saya melihat kepada lebih banyak pencalonan.”
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-52 ini akan diadakan 1 dan 2 Jun ini.
Dalam kenyataannya, Khairul Faizi menambah, memandangkan ini adalah julung kali pencalonan akan dilakukan oleh kepimpinan kawasan, maka ada beberapa informasi yang perlu disampaikan kepada semua DPPK yang akan bermuktamar sehari selepas proses pengundian pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau.
Katanya, merujuk kepada Fasal 51 Perlembagaan PAS (Pindaan 2009), pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur 40 tahun ke bawah dengan sendirinya menjadi ahli bagi Dewan Pemuda PAS.
“Kelayakan seseorang itu untuk dicalonkan dan seterusnya bertanding mana-mana jawatan dalam Dewan Pemuda adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
“Bermakna, mana-mana ahli Pemuda yang lahir pada 2 Januari 1971 dan seterusnya masih lagi layak untuk dicalonkan bagi mengisi mana-mana jawatan di peringkat Dewan Pemuda pusat dan kawasan,” kata beliau yang turut menambah, “peruntukan ini tidak melibatkan jawatan ketua dan timbalan ketua Pemuda pusat.
Mengenai pencalonan jawatankuasa kerja Dewan Pemuda PAS pusat dan negeri, setiap kepimpinan kawasa berhak untuk membuat pencalonan mengikut peruntukan perlembagaan parti.
Bagi jawatankuasa peringkat negeri, Dewan Pemuda kawasan perlu mencalonkan jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang Pemeriksa Kira-kira peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri, mencalonkan bagi jawatankuasa kerja PAS Dewan Pemuda PAS Negeri sesi 2011-2013 iaitu seorang Ketua Pemuda, seorang Timbalan Ketua Pemuda, seorang Naib Ketua Pemuda dan 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri seperti ditetapkan dalam Fasal 57(2).
Bagi jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pusat, setiap kawasan perlu mencalonkan jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang Pemeriksa Kira-kira, seorang Ketua Pemuda, seorang Timbalan Ketua Pemuda, seorang Naib Ketua Pemuda dan 12 orang ahli jawatankuasa kerja Dewan Pemuda PAS pusat.
Katanya, Dewan Pemuda kawasan perlu memilih tiga orang wakil ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sepertimana yang diperuntukkan dalam Fasal 52(d) dan (e).
“Bagi Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri, seramai tujuh orang perwakilan dipilih sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 56 (d),” katanya lagi.

0 comments:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA