Khamis, 17 Februari 2011

Zulhaili mengidap ‘Nephrotic Syndrome’

Jabatan Kesihatan Sabah nafi hospital cuai hingga menyebabkan kematian pesakit.

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Mohd Yusof Ibrahim, berkata petugas di Hospital Daerah Papar tidak melakukan sebarang kecuaian berhubung kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Wawasan Ovai, Papar baru-baru ini.
“Siasatan kami mendapati bahawa pelatih berkenaan mengidap penyakit ‘Nephrotic Syndrome’, iaitu sistem daya kekebalan penyakit yang lemah dan mudah dijangkiti sebarang penyakit,” kata Dr Mohd Yusof hari ini.
Namun, Jabatan Kesihatan masih mengumpul laporan-laporan berhubung kematian pelatih tersebut yang dikenali, Mohd Zulhaili Noraihan, 18, dan kes ini akan diteliti semula pada hari Jumaat ini.
Dr Mohd Yusof berkata pihak hospital telah membuat kajian terperinci termasuk mengambil sampel dari Kem Wawasan Ovai, selain memeriksa 50 pelatih bagi tujuan pencegahan dan menghalang penyakit tersebut dari merebak.
“Namun, kami belum menerima keputusan dari kajian tersebut,” katanya.
Mohd Zulhaili, yang berasal dari Melaka dan menetap bersama keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia kira -kira jam 11 pagi pada 15 Februari di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini selepas dikatakan menerima rawatan di hospital daerah Papar.
Zulhaili mula demam sejak minggu lepas dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan kem sebelum diberikan ubat demam.
Bagaimanapun, demam beliau bertambah teruk pada Jumaat lalu dan beliau telah pergi ke pusat perubatan kem teseabut untuk kali kedua lalu kejarkan ke hospital.
Ketika berada di hospital, dikatakan Zulhaili hanya dirawat oleh pembantu perubatan malah ubat diberi selepas pembantu perubatan itu menerima arahan daripada doktor melalui telefon.
Pada sebelah malamnya, Zulhaili sekali lagi mengadu dia sakit dan mendakwa telah salah diberikan ubat kerana keadaannya semakin teruk tetapi pusat perubatan kem tidak berbuat apa-apa termasuk menghantarnya semula ke hospital.

Zulhaili dipindah ke QEH

Apabila keadaan Zulhaili kritikal beliau dipindahkan ke QEH di sini untuk rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Ahad lepas.
Menurut Pengarah Hospital Dearah Papar, Dr Abdul Kahar Abdul Afis, siasatan menunjukkan petugas hospital mengikuti kesemua prosedur yang ditetapkan semasa memberi rawatan kepada pelatih.
“Pelatih ditempatkan dalam perhatian sehari sebelum dibenarkan balik ke kem Wawasan pada keesokannya, Namun, dua hari kemudian, pelatih dibawa semula ke hospital dan dimasukkan ke wad kecemasan.
Terdapat kesan lebam-lebam dibahagian mata dan badan pelatih mungkin disebabkan alergi ubatan atau jangkitan. Keadaan beliau bertambah tenat dan terpaksa dihantar ke QEH pada hari Ahad,” katanya.
Dr Abdul Kahar menerangkan bahawa pelatih tidak diberikan sebarang ubat semasa di hospital Papar, termasuk ubat penahan sakit (painkiller) seperti yang didakwa, dan dia cuma diberi ubat penawar alergi.
“Pelatih diberikan ubat penahan sakit semasa di Kem Wawasan. Semasa di hospital beliau diperiksa oleh penolong pegawai perubatan sebelum di bawa berjumpa doktor. Beliau ditempatkan dalam pengawasan sepenuhnya dan tidak diabaikan seperti yang didakwa. Malahan, seorang doktor menemaninya semasa dipindahkan dengan ambulan ke QEH .”
Katanya, sejarah perubatan pelatih mengesahkan dia mengidap ‘Nephrotic Syndrome’ yang menyebabkan beliau mudah dijangkiti sebarang penyakit.
“Sebenarnya, pelatih tidak layak untuk mengikuti PLKN dan saya tidak tahu bagaimana beliau lulus pemeriksaan kesihatan dan dibenarkan untuk mengikuti program berkenaan,” tambah Dr Abdul Kadir lagi.
Dalam satu perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mahu siasatan menyeluruh dibuat berhubung kematian seorang pelatih PLKN di Kem Wawasan Ovai yang didakwa disebabkan oleh kecuaian serta sikap sambil lewa petugas hospital yang merawatnya.
Ahli jawatankuasa kesihatan, keluarga dan hal ehwal pengguna PKR negeri, Stephen Sandor berkata, pihaknya juga sanggup menawarkan khidmat guaman kepada keluarga Mohd. Zulhaili.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA