Isnin, 10 Januari 2011

Rais enggan ulas penafian bekas amah


KUALA LUMPUR, 10 Jan – Datuk Seri Rais Yatim memutuskan untuk berdiam diri berhubung perkembangan terbaru dakwaan insiden rogol walaupun bekas pembantunya sudah pun menafikan perkara tersebut.
Rais (gambar) enggan mengulas apa-apa mengenai penafian tersebut yang dibuat pembantu rumahnya di Indonesia, Jumaat lalu.
“Tiada komen. Saya ada perkara lain untuk hadir,” kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kenyataannya Jumaat lalu, wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu selama lapan tahun sehingga 2007 menafikan dakwaan  bahawa dirinya pernah diperkosa oleh bekas majikannya itu.
Menurut laporan portal berita detik.com hari ini, wanita itu menafikan dakwaan tersebut ketika ditemui empat petugas Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) Semarang.
Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia.
“Saya bekerja selama lapan tahun di rumah Datuk. Selama itu baik-baik saja, tidak pernah ada permasalahan, apalagi terkait perlakuan kasar serta tidak senonoh terhadap saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Jumhur Hidayat telah dilaporkan memberitahu detikcom mengenai pertemuan ini berdasarkan laporan empat petugas BP3TKI itu.
Rabu lalu, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.
“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya.
Malah Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mempertikaikan mengapa perkara tersebut ditimbulkan sekarang.
Kelmarin, Tun Abdullah Ahmad Badawi menafikan beliau mengarahkan kes itu ditutup kerana tidak mengetahui kewujudkan insiden sedemikian ketika masih menjadi perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA