Oleh ZULKIFLI JALIL
JIKA dalam kehidupan, ia perlambangan bagi cabaran yang perlu direntasi seseorang

untuk mencapai masa depan yang agak baik, barangkali maksud sama boleh dipakai jika anda mahu ke kawasan tanah tinggi ini.
Terletak 1,829 meter dari aras laut di barat daya Pahang, negeri yang kaya dengan khazanah hutan semulajadinya, Cameron Highlands kelmarin mencatat sejarah hitam negara apabila sebuah bas yang baru turun dari pusat peranginan itu terlibat dalam kemalangan ngeri sehingga mengorbankan 27 nyawa.
Kemalangan melibatkan sebahagian besar nyawa pelancong Thailand itu terjadi di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Untuk ke tanah tinggi itu, ia merupakan salah satu laluan dari utara tanah air selain Tapah, Perak. Dari Kampung Raja pula, pemandu kenderaan boleh pergi ke Gua Musang di Kelantan.
Penulis yang berkesempatan mengunjungi Cameron Highlands Sabtu lepas melalui Tapah, terpaksa akur dengan selekoh-selekoh berbahaya dan liku-liku tajam yang perlu ditempuh sepanjang perjalanan.
Namun kerana keterujaan mendengar jenama daerah itu yang terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman iklim hawa sederhana seperti buah strawberi dan bunga teluki, impian yang dipasang atas permintaan anak-anak, berlepas juga penulis sekeluarga ke sana.
Melepasi Tapah dan mula memasuki laluan ke pusat peranginan yang ditemui oleh seorang pegawai Ingggeris, William Cameron pada 1885 itu, penulis sudah merasakan 'bahang' memandu. Dengan rimbunan hutan tebal di sebelah kiri kenderaan yang seakan-akan mahu 'menghempap' pengguna jalan raya serta gaung berbahaya di sebelah kanan, pemanduan menuntut sikap kewaspadaan yang tinggi.
Jika kenderaan yang sama saiznya dengan kereta, itu tidak mengapa, namun kegelisahan anda boleh terserlah jika yang ketemu itu adalah lori dan bas. Kereta terpaksa diperlahankan dan lebih elok diberhentikan seketika. Ini kerana meskipun kepala lori sudah melepasi sisi pemandu, 'ekornya' kalau tidak diperhatikan, akan 'melibas' ke kereta. Dengan lubang-lubang seperti mata air yang terbentuk di permukaan jalan, ia sekali-kali mengganggu perjalanan.
Sewaktu melintasi kawasan Lata Iskandar yang menempatkan air terjun, mana-mana kenderaan pun terpaksa berhenti apabila laluan dua lorong menjadi satu lorong pula. Ini disebabkan deretan kenderaan pelbagai jenis diletakkan di sepanjang bahu jalan. Jika tidak berhati-hati dengan sekadar memandu 50 kilometer sejam terhadap selekoh sebelum beberapa saat memasuki Lata Iskandar, anda boleh bayangkan risiko yang dihadapi jika berdepan dengan bas yang hanya 'muat-muat' selorong itu.
Perjalanan penulis sekeluarga ke Ringlet turut diserikan dengan pondok-pondok upih Orang Asli yang menjual rebung hutan dan petai. Beberapa kali kenderaan di hadapan mengambil tindakan melulu membelok ke kanan untuk singgah di gerai berkenaan.
Perjalanan mencabar penulis rupa-rupanya tidak tamat ketika ke Cameron Highlands. Ahad petang sewaktu pulang melalui Simpang Pulai, hal sama berulang. Laluan landai dengan selekoh tajam turut ditempuh seperti mana di Tapah. Beberapa kali penulis terserempak dengan beberapa kereta yang menderu laju bagaikan jalan raya berpermukaan lebuh raya Persekutuan. Itu belum lagi beberapa kereta yang memakai tayar bukan saiznya - bertayar besar yang menurut pakar keselamatan jalan raya tidak sesuai dengan cengkaman yang berkurangan atau lemah ketika hujan.
Memandu ke kawasan tanah tinggi - tidak kira sama ada Cameron Highlands atau Genting Highlands - realitinya menuntut sikap pemanduan yang berhemah dan penuh kewaspadaan.
'Kesengsaraan' memandu ke Cameron Highlands turut dikongsi oleh Ahli Parlimennya, Datuk S. K. Devamany yang menggesa pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan siasatan berhubung kewujudan tompokan minyak di laluan Simpang Pulai yang didakwa merupakan punca kemalangan maut terburuk negara kelmarin.
"Saya dapat aduan daripada penghuni dan warga Cameron Highlands bahawa mereka sering bertembung dengan tompokan minyak yang mungkin tertumpah dari kenderaan atau disengajakan," kata beliau semalam.
Dalam hal ini, beliau meminta kerajaan menaiktaraf dan meningkatkan aspek keselamatan di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berikutan terdapat banyak selekoh berbahaya di laluan berkenaan yang boleh menyebab kan kemalangan.
"Kawasan kejadian di Kilometer 15 memang selalu berlaku kemalangan. Lima tahun lalu, enam hingga tujuh orang meninggal dunia di tempat sama akibat kemalangan.
"Saya sendiri terlibat dengan empat kemalangan dalam tempoh tujuh tahun menjadi Ahli Parlimen di kawasan berkenaan. Dengan liku-liku yang begitu tajam, saya merayu kepada kerajaan untuk melihat kembali bagaimana (menaik taraf) jalan raya ini," kata Devamany.
Kata beliau: "Kita perlu memastikan jalan raya ini yang merupakan laluan utama dari negeri-negeri di utara tanah air ke Cameron Highlands dipantau rapi bagi mengelak kemalangan.
"Kalau kemalangan sering berlaku, saya rasa banyak orang tidak akan melancong ke Cameron Highlands lagi."U/M