Isnin, 29 November 2010

Pertahan keyakinan rakyat

SHAH ALAM, 29 Nov: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya mempertahankan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang diperintah.
Ini, katanya kerana Umno BN sentiasa berusaha untuk memecahkan keyakinan itu dan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat menjelang Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.
Beliau berkata, ini kerana Umno BN tahu bahawa kemenangan yang dicapai oleh Pakatan Rakyat pada Pilihan raya ke-12 lalu kerana perpaduan.
Justeru, katanya Umno BN menggunakan media massa untuk meretak dan memecahkan perpaduan tersebut.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Persidangan Menteri Besar Dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat di sini, pagi ini.
Turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan dan Selangor, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Datuk Mustafa Ali.
Ustaz Azizan menambah, media massa sering menyiarkan perkara yang salah dan tidak benar mengenai Pakatan Rakyat supaya masyarakat tidak yakin kepada kerajaan Pakatan.
“Mereka (media) timbulkan suasana supaya orang tak yakin dengan kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya semua pemimpin Pakatan Rakyat mesti menjaga dan mempertahankan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai.
Ini, katanya kerana suasana yang berlaku pada hari ini membuktikan bahawa rakyat merasa selesa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan era pemerintahan Umno.
Dalam mempertahankan keyakinan itu, katanya ia memerlukan kepada pengorbanan.
Mengenai Kedah, beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri berjaya menyatukan rakyat sekalipun tidak mendapat publisiti daripada media massa.
Jelasnya, dengan pendekatan tersebut, rakyat Kedah merasa selesa dengan Kerajaan Pakatan rakyat negeri sekarang berbanding sebelum ini.
“Yang kata tak selesa, orang luar Kedah,” tegasnya.
Beliau juga menyarankan supaya kerajaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuat kajian dari semasa ke semasa apa yang disukai dan tidak disukai oleh kumpulan sasar.

Bola tanggung untuk BN?

29 NOV — Ketika Parti Keadilan Rakyat dan DAP sedang dilambung kemelut dalaman, ia sepatutnya membuka jalan untuk Umno dan Barisan Nasional menarik semula sokongan rakyat yang mereka hilang dalam pilihan raya umum 2008.
Tanpa membazirkan wang rakyat berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan khidmat perunding politik dari luar negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya perlu menggunakan kebijaksanaan dan sifat rendah diri untuk memujuk hati pengundi yang meninggalkan mereka lebih dua tahun lalu.
Ini tidak sukar dilakukan kerana apa yang dikatakan sebagai krisis keyakinan PKR serta dakwaan perpecahan kumpulan-kumpulan bersaing dalam DAP boleh menjadi satu kelebihan kepada BN sekarang.
Ramai pengundi yang meluat dengan kebongkakan dan kesombongan kepimpinan Umno dan BN telah memilih PKR, DAP dan PAS sebagai jalan keluar pada 2008. Tetapi kini rasa gelisah menikam kalbu pengundi apabila melihat cara pengendalian parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak banyak beza dengan mana-mana parti lain dalam soal perebutan kuasa.
Pengundi melihat amalan matlamat menghalalkan cara dilakukan oleh semua pemimpin politik; kotor atau tidak, itu bukan soal mereka yang mahukan jawatan. Yang bertanding menuduh yang melawannya sebagai gila kuasa dan yang mencabar pula mendakwa yang mempertahankan jawatan menggunakan taktik kotor.
Sebagaimana yang biasa dilakukan oleh pucuk pimpinan Umno dan BN, parti-parti seperti PKR menggunakan alasan yang sama apabila dikritik – tidak ada bukti penyelewengan pengundian, orang yang menentang kepimpinan ejen BN, dan sebagainya.
Keadaan-keadaan ini sepatutnya ia menjadi bola tanggung buat Umno dan BN. Mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno sudah tercium bau kemenangan dalam PRU akan datang. Mungkin ini juga akan mempercepatkan datangnya ilham kepada beliau untuk membubarkan Parlimen.
Tetapi benarkah keadaannya semudah itu?
Di sebalik cakar-cakar dalaman Pakatan, di pihak Umno dan BN mereka belum pulih dari imej sombong, bongkak dan kuku besi yang terpahat dalam benak pengundi pada 2008.
Sebagai contoh, dalam kongres PKR hujung minggu lalu, apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyeru supaya konsep Ketuanan Melayu ditinggalkan kerana menyifatkannya sebagai slogan yang memperdayakan bangsa Melayu, ia disambut dengan laporan polis oleh pertubuhan Perkasa terhadap Presiden PKR itu yang dituduh biadap.
Sikap kuku besi yang berselindung di sebalik undang-undang keras serta tidak mahu duduk berbincang inilah yang membawa kepada jatuhnya empat negeri kepada Pakatan Rakyat, dengan Kelantan kekal di tangan PAS, pada 2008.
Selain sikap kumpulan-kumpulan ultra kaum ini, tindakan pegawai-pegawai kerajaan tertentu termasuk pengetua dan guru sekolah yang amat lancang mulut mereka menyuruh pelajar-pelajar bukan Melayu “balik Cina” dan “balik India” tidak banyak membantu Umno dan BN dalam pemulihan sokongan pengundi. Bukan sekadar kerana kata-kata nista yang dihamburkan itu tetapi tiada sebarang tindakan tegas dari kerajaan yang berdiri atas slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Ini menjadi beban kepada Umno dan BN untuk mencuri kemenangan dari kelemahan yang sedang tertonjol dari komponen-komponen Pakatan Rakyat.
Melihat kepada keadaan semasa, agak sukar bagi Pakatan Rakyat menumbangkan BN untuk membentuk kerajaan pusat yang baru dalam PRU ke-13 akan datang, terutamanya jika ia dilaksanakan dalam masa enam bulan dari sekarang.
Pada masa yang sama, BN juga akan mengalami laluan sukar untuk mengembalikan kemenangan dua pertiga yang biasa dinikmatinya sejak 1974 (sehinggalah 8 Mac 2008). Bukan semua orang Melayu mudah percaya dengan slogan kosong. Orang bukan Melayu pula bukannya kaum yang mudah digula-gulakan dengan janji ekonomi sahaja.
Jika pentadbiran Najib yakin dengan apa yang diusahakan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN, mereka sepatutnya sedar bahawa ramai kalangan rakyat yang setuju dengan slogan dan konsep 1 Malaysia. Yang membuatkan rakyat marah dan meluat ialah ia cuma cakap tak serupa bikin.
Terserlah sudah buat Najib, Umno dan BN bahawa satu-satunya jalan keluar untuk mencapai kemenangan ialah melaksanakan dan mengamalkan sepenuhnya apa yang dijanjikan dalam idealisme 1 Malaysia.
Tak perlu meraung, menjerit dan berteriak di tepi jalan dengan sepanduk perkauman. Tidak boleh berdiam diri apabila pegawai dan kakitangan awam bersikap kurang ajar terhadap rakyat Malaysia dengan kata-kata kesat. Tidak boleh lagi menutup pintu kebebasan bersuara melalui kekangan undang-undang terhadap media massa dalam apa bentuk sekali pun.
Dalam bahasa yang paling mudah, rakyat tidak perlu kepada Pakatan Rakyat jika Umno dan BN melaksanakan segala apa yang dijanjikan oleh Pakatan — kerana kebanyakan janji-janji Pakatan adalah cerminan harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik buat anak cucu mereka. Sama ada Umno dan BN sedar atau tidak, prinsip-prinsip asas janji-janji Pakatan turut terkandung dalam konsep 1 Malaysia.
Jika BN, khususnya Umno, gagal mengambil kesempatan ini untuk mereformasikan diri, kalau pun tidak kalah dalam PRU ke-13, masa depan BN semakin kelam menjelang PRU ke-14 jika Umno masih tidak sedar diri dan merasakan rakyat tidak boleh hidup tanpa kepimpinan mereka.
Memang Pakatan Rakyat bermasalah hari ini. Namun belum terlambat untuk mereka kembali berpadu semangat menjelang PRU ke-13. Jika Pakatan berjaya sekurang-kurangnya mengekalkan jumlah kerusi Parlimen serta penguasaan negeri-negeri yang dimenangi pada PRU 2008, ia sudah cukup untuk memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Umno dan BN.
Dalam keadaan sekarang, pengundi semakin cepat meluat dengan gelagat para pemimpin yang dilihat mempermainkan mandat mereka. Setelah berani membuat perubahan besar pada 2008, tidak mustahil pengundi akan melakukan sesuatu yang lebih mengejutkan lagi jika merasakan maruah dan harga diri mereka diperkotak-katikkan oleh para pemimpin, walau dari apa parti sekali pun.

Saya tak layak jadi Canselor Unisel, .

PETALING JAYA, 28 Nov — Bekas timbalan presiden  Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Dr Syed Husin Ali menolak cadangan wakil Srikandi PKR Farah Afzan Faridi supaya beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel). Syed Husin (gambar) berkata beliau menolak menerima jawatan itu kerana berpendapat tidak layak untuk mengisi kekosongan itu.
“Saya tolak bulat-bulat cadangan itu, minta maaf.
“Saya rasa ada yang lebih baik selain saya untuk memegang jawatan itu,” katanya ketika berucap di sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di sini.
Farah berkata Syed Husin merupakan calon terbaik untuk jawatan Canselor Unisel dan memohon agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mempertimbangkan cadangan ini.
“Kita pasti Dr Syed Husin boleh menunaikan hasrat pelajar Unisel,” katanya ketika membahaskan usul pendidikan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan Ketujuh di sini, hari ini.
Pada 20 November lepas, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Lupakanlah nak cadangkan saya, sebenarnya saya tidak layak. Saya tidak sesuai langsung, tugas saya adalah pendidik.
“Apa-apa pun saya berterima kasih dengan cadangan itu,” kata bekas pensyarah ini.

Selepas 11 tahun apakah PKR akan lulus ‘UPSR’ politik?

Kongres Nasional PKR menutup tirai dengan Anwar diberikan penghormatan agar terus menerajui parti itu, yang tidak pernah bebas daripada serangan bertubi-tubi. — Gambar oleh Jack Ooi
ANALISIS, 29 Nov — Semenjak Malaysia merdeka, majoriti besar rakyat negara ini memberikan sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN). Namun sejak dua tahun lalu, senario itu berubah apabila mereka mula mengubah arah kepada pembangkang yang membawa kepada kelahiran Pakatan Rakyat (PR). Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tunjang kepada penyatuan tiga parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP.
Malah, perubahan senario politik negara bermula apabila PKR mengangkat martabat semua kaum di Malaysia sama ada Melayu, Cina, India dan Bumiputera.
Melalui usaha ini dilihat majoriti besar rakyat di negara ini memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-12.
Malah, dalam pilihan raya umum itu majoriti besar masyarakat India di negara ini meletakkan harapan kepada Pakatan Rakyat dalam membela nasib kaum itu yang selama ini didakwa tidak diberikan perhatian oleh kerajaan BN.
PKR yang ditubuhkan 11 tahun lalu dianggotai kira-kira 400,000 ahli dengan peratusan ahli 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus Sabah dan Sarawak.
Jika melihat daripada struktur rakyat di negara ini ternyata masyarakat India dilihat semakin jauh tertinggal jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu dan orang Cina.
Sepanjang 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, kerajaan BN seolah-olah mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat India.
Walaupun, MIC yang merupakan parti bagi masyarakat India, namun sehingga kini part komponen BN ini dilihat gagal menjalankan tanggungjawab untuk membela nasib masyarakat India.
Persoalannya sekarang sekiranya BN gagal membela nasib masyarakat India, adakah PKR bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut?
Di PKR pula lima pemimpin kalangan masyarakat India bertanding kerusi naib presiden tetapi semuanya tewas.
Jika dilihat melalui kempen dan ceramah yang diadakan jawapannya adalah “ya”. Tapi adakah PKR benar-benar serius atau hanya sekadar gimik politik semata-mata mahu menang dalam pilihan raya?
Malah dalam Kongres Nasional PKR yang berakhir semalam menunjukkan kepimpinan dan perwakilan parti itu tetap melaungkan slogan “keadilan untuk semua rakyat”.
Jika dilihat sepanjang kongres tersebut dijalankan, majoriti besar perwakilan membangkitkan isu kesemarataan bagi semua kaum ni negara ini.
Kelima-lima usul iaitu usul menyokong ucapan dasar presiden, usul pemberdayaan demokrasi, usul pendidikan, usul ekonomi dan usul memartabatkan maruah bangsa dan ketuanan rakyat yang dibentangkan perwakilan dalam kongres itu semuanya menyentuh soal menjunjung asprasi reformasi rakyat.
Melalui pembahasan itu, jelas membuktikan PKR sememangnya serius untuk memberikan keadilan seterusnya memartabatkan semua masyarakat di negara ini.
Bak kata pepatah Melayu “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”.
Selain itu, kongres yang berlangsung selama tiga hari ini turut menyentuh soal memantapkan dan memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan akan diadakan pada tahun depan.
Malah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar presiden berkata semua ahli parti itu bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata semua ahli parti tidak mempunyai pilihan kecuali untuk bersiap sedia kerana memikul amanah besar untuk membela rakyat.
“Kita berkumpul pada hari ini di dalam kongres yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, kalau desas-desus yang kuat bertiup itu benar.
“Apa pun, kita tidak punya pilihan kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk membela rakyat. Kalau ada yang pernah luka, hilangkanlah parutnya.
“Kalau ada yang sedikit tercalar, gilaplah supaya semangat juang kembali tinggi untuk berdepan dengan musuh. Yang menang memikul tanggungjawab memimpin, yang kalah bersiap sedia merempuh musuh bak kata pepatah biduk lalu kimbang bertaut,” katanya.
Malah Dr Wan Azizah turut berkata amanah membela rakyat dan mengangkat martabat negara adalah lebih besar dari parut atau calar dalam parti itu.
Persoalan juga timbal berhubung sama ada kepimpinan baru PKR yang diumumkan secara rasmi mampu membawa perubahan yang besar kepada parti itu.
Bagi jawatan timbalan presiden PKR ia dimenangi Azmin Ali yang sebelum ini menyandang jawatan naib presiden parti.
Empat jawatan naib presiden PKR disandang Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.
“Masa depan PKR kini bergantung kepada sejauh mana kepimpinan baru ini mampu meyakinkan semula rakyat terutamanya ahli parti sendiri selepas berakhirnya pemilihan yang telah menimbulkan banyak persoalan dan masalah.
“Jika tanya kepada saya, tiada perubahan yang besar pun dalam kepimpinan baru ini tetapi mereka perlu buktikan kepada ahli bahawa mereka benar-benar layak untuk memegang jawatan itu,” katanya penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian.
Sementara itu Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat struktur kepimpinan baru PKR itu masih tidak menampakkan parti itu benar-benar kuat apatah lagi untuk menghadapi pilihan raya umum.
“Dari segi kepimpinan yang baru saya tidak lihat banyak perubahan yang boleh dilakukan.
“Tapi saya berpendapat PKR boleh menjadi kuat sekiranya dapat memulihkan semula keyakinan ahli dan rakyat kepada parti itu selepas banyak masalah yang timbul selama ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Walaupun banyak persoalan yang timbul berhubung kepiminan baru PKR namun adalah lebih baik sekiranya mereka yang terpilih ini terlebih dahulu menjalankan tugas dan peranan masing-masing supaya ia boleh dinilai ahli.
PKR tidak bebas daripada serangan bertubi-tubi sejak ia ditubuhkan. Yang terbaru berkaitan dengan krikan dan kecaman cara yang mengendalikan pemilihan parti,
Dalam ucapannya Anwar berkata parti itu akan terus dengan bertahan walaupun Umno-BN terus-menerus menyerang beliau dan PKR.
Persoalannya apakah PKR mampu berbuat demikian selepas lebih satu dekad ia menghadapinya. Dilihat daripada sudut persekolahan seseorang kanak-kanak, PKR akan menduduki peperiksaan UPSR tahun depan. Apakah ia akan berjaya ujian itu tahun depan?

Melayu perolehi 70 peratus kontrak kerajaan P Pinang

Sistem tender terbuka yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah teraju Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuktikan bahawa kontraktor Melayu di negeri itu tidak 'lembik', apatah lagi 'dayus'.

NONEDi sebalik dakwaan negatif seumpama itu selama ini, Lim (pertama dari kanan) berkata, sistem berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti & Telus (CAT) yang menjadi pegangan pimpinan kerajaan negeri menunjukkan lebih 70 peratus bidaan kontrak kerajaan negeri berjaya dimenangi oleh kontraktor Melayu.

“Di Pulau Pinang, mana-mana kontraktor tidak perlu pakai kabel politik untuk dapat kontrak tetapi hanya pakai kabel komputer sebab kerajaan negeri mahu memartabatkan usahawan Bumiputera dengan tawaran tender secara terbuka menerusi e-perolehan dan kontraktor kelas F tidak perlu hanya datang dari Umno sahaja,

“Malah, program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta untuk membiayai program perniagaan ekonomi kecil telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81 peratus daripada jumlah itu ialah usahawan kecil Melayu di Pulau Pinang,

second penang bridge 091108 pilling“Biarlah Umno dan BN menerusi lidahnya, Utusan Malaysia hari-hari cuba menggambarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan saya anti-Melayu tetapi kita tahu kita memang memerintah berteraskan rakyat, berjiwa rakyat demi memartabatkan rakyat tanpa mengira kaum,” kata Lim dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Kerja Raya turut diminta untuk menambahkan bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang untuk projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada 24.5 peratus sahaja buat masa ini kepada lebih 50 peratus pada masa depan, jelasnya.

NONETambahan sub-kontraktor daripada Pulau Pinang adalah perlu untuk memberikan peluang kepada sub-kontraktor Pulau Pinang mendapat peluang daripada projek RM4.5 bilion yang bertapak di negeri mereka sendiri, katanya.

Bilangan sub-kontraktor dari Pulau Pinang yang kecil ini dinyatakan dalam jawapan Menteri Kerja Raya kepada Lim dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini yang menjelaskan bahawa setakat 30 September 2010, seramai 106 sub-kontraktor telah dilantik oleh kontraktor utama bagi melaksanakan projek ini.

Daripada jumlah itu, seramai 26 sub-kontraktor atau 24.5 peratus sahaja merupakan kontraktor yang berdaftar di Pulau Pinang, katanya lagi.

second penang bridge 091108 artist impressionKerajaan Persekutuan menubuhkan syarikat khas, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang konsesi projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pembinaan jambatan sepanjang 23.5 kilometer ini akan menghubungkan Batu Maung di Pulau Pinang dan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan telah dimulakan pada tahun 2008 dan dijangka siap pada bulan November 2013.

Kontraktor- kontraktor utama yang terlibat dengan pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini ialah Chec Contructions (M) Sdn. Bhd yang berasal dari Republik Rakyat China, UEM Builders Berhad, Cergas Murni Sdn Bhd., IJM Contructions Sdn Bhd., HRA Teguh Sdn Bhd.

Zaid, penyokongnya tak pernah ajak Mustaffa keluar PKR sertai parti baru .

Mustaffa mendakwa Zaid and Muhyiddin cuba menarik beliau keluar daripada PKR. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 29 Nov — Datuk Zaid Ibrahim yang keluar PKR baru-baru ini dan mahu menubuhkan parti yang baru menafikan pihaknya pernah mengajak bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub agar menyertai pihaknya untuk meneruskan perjuangan dari luar parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. “Sudah pasti tidak, pada bila-bila masa Datuk Zaid atau saya atau mana-mana orang kanan Datuk Zaid ada membuat tawaran kepada Mustaffa supaya keluar PKR dan menyertai parti baru yang hendak ditubuhkan, tidak, sama sekali tidak,” kata pembantu politik kepada Zaid, Muhammad Firdaus Christopher ketika dihubungi.
Kata beliau, pihaknya tidak pasti kemungkinan ada pihak luar yang mengadakan perbincangan dengan Mustaffa dan jika ada ia tidak boleh dikaitkan dengan Zaid.
“Tetapi bukan daripada kami. Beliau (Mustaffa) memberikan gambaran yang salah (kononnya diajak orang Zaid),” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, Muhammad Firdaus juga berkata, pihaknya tidak mahu menerima mana-mana individu yang tiada kredibiliti, merujuk kepada pendirian Mustaffa yang memberikan kata dua 48 jam kepada pucuk kepimpinan PKR agar pemilihan pusat dibatalkan dan diadakan semula tetapi meneruskan saingan dengan protes.
“Isunya ialah soal kredibiliti, kalau tiada kredibiliti macam mana (kita hendak menerima), kita tidak mahu orang yang suka ‘flip-flop’... bukannya seseorang yang merestui ketidakadilan, berbohong,” kata beliau.
Zaid meninggalkan PKR selepas menarik diri daripada saingan jawatan timbalan presiden.
Mustaffa juga memberikan kata dua 48 jam kepada PKR agar mengatasi masalah yang dibangkitkan berhubung kecacatan dan kepincangan yang wujud.
Dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR semalam, Mustaffa berkata, beliau akan terus bersama parti itu, sekali gus menamatkan spekulasi akan meninggalkan komponen PR itu.
Mustaffa berkata beliau telah memutuskan untuk terus bersama meskipun ada diajak oleh penyokong Zaid dan juga orang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalah dalam pertandingan adalah satu perkara biasa. Bila bertanding kita perlu bersedia sama ada akan menang atau kalah.
“Jangan salah faham bila saya buat aduan, walaupun pahit ditelan saya harus beritahu mengenai kepincangan yang berlaku dalam pemilihan parti.
“Saya buat aduan bukan sebab nak lemahkan parti tapi mahu supaya menjadi model contoh kepada Pakatan Rakyat,” kata bekas naib presiden ini ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini.
Mustaffa menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama PKR demi perjuangan kepada rakyat.
“Kali ini, betul orang Datuk Zaid cuba menarik saja, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi saya kata saya tidak akan keluar.
“Saya tetap dengan PKR, parti masa depan untuk saya, untuk Melayu, Cina, India, Kadazan dan masa depan kita,” katanya.
Jawatan timbalan presiden dimenangi oleh Azmin Ali.