Ahad, 28 November 2010

PKR umum keputusan rasmi pemilihan

Azmin Ali hari ini diumumkan secara rasmi sebagai timbalan presiden PKR yang baru, selepas menang jawatan tersebut dalam pemilhan parti itu dengan majoriti besar.
Berdasarkan keputusan yang diumumkan di Kongres PKR di Petaling Jaya awal petang ini, Azmin mendapat 19,543 undi.
Bagaimanapun jumlah undi yang diterima pencabarnya Mustaffa Kamil Ayub tidak diumumkan.
Bagi jawatan naib presiden, tiga pemenangnya ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Selain Nurul yang juga anak sulung ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga lagi pemenang jawatan tersebut ialah ahli parlimen Batu Tian Chua, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mansor Othman.
Berikut keputusan rasmi pemilihan:
Presiden (menang tanpa bertanding)
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan presiden
Azmin Ali - 19,543 undi
Naib presiden
Nurul Izzah Anwar - 13,211
Tian Chua - 11,744
Fuziah Salleh - 8,927
Mansor Othman - 8,576
Majlis pimpinan pusat
  1. Elizabeth Wing 10,897
  2. Badrulamin Bahron 9,672
  3. Heee Loy Sian 8,473
  4. Khalid Jaafar 7,889
  5. Johari Abdul 7,719
  6. Abdul Rahman Yusof 7,719
  7. Haniza Talha 7,588
  8. Fariz Musa 7,511
  9. Zakaria Abdul Hamid 7170
  10. Roland Chian Ming Shen 7,095
  11. Siti Aishah 6,876
  12. Ismail Yusof 6,332
  13. Latheefa Koya 6,242
  14. S Kesavan 6,139
  15. Shuhaimi Shafie 6,095
  16. MR Summugam 5,964
  17. Yusmadi Yusoff 5,810
  18. S Manikumar - 5,789
  19. Mustafa Kamal Yusoff - 5,745
  20. Christina Liew - 5,707

Bukan singkir, tapi disiplinkan, jelas Azmin

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau tidak pernah menyebut untuk menyingkirkan pihak tertentu selepas kongres PKR berakhir, seperti yang dilaporkan media.

"Ia bukan proses untuk witch hunting. Apa yang dibincangkan dalam kongres ini, yang berlegar di kalangan ahli parti adalah (bagi) memastikan kepimpinan baru ini mempunyai semangat untuk mendisplinkan pemimpin dan ahli.

"Ini adalah perkara penting untuk memastikan persediaan parti dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang," katanya selepas kongres parti itu berakhir lewat petang ini.

Pada 22 November lalu, media melaporkan, Azmin berikrar untuk membersihkan PKR daripada "pengkhianat" ekoran tindakan dalam pemilihan dua bulannya yang mencemarkan imej parti di mata awam.

Bercakap kepada parlimen di lobi Parlimen, Azmin - ketika itu masih naib presiden - berkata, "pembersihan" itu akan bermula serta-merta selepas kongres PKR yang akan tamat hari ini.

Bercakap dalam sidang media di Dewan Sivik MBPJ - tempat persidangan berlangsung - Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata kepimpinan baru juga akan memastikan setiap aduan yang diberikan akan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau yang juga ahli parlimen Gombak yakin kepimpinan baru yang dipilih akan memberikan komitmen dan kesetiaan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Sehubungan itu, mengulas pasukan baru Majlis Pimpinan Pusat PKR, Azmin mengharapkan sumbangan dan idea daripada naib presiden baru yang dipilih.

Sementara itu, beliau juga berkata akan mengadakan hubungan lebih erat dengan kumpulan lain dan penulis blog untuk memastikan kesedaran tentang hak rakyat dapat dibela.

Nurul Izzah: Institusikan prinsip, bukan personaliti

Naib presiden PKR yang baru, Nurul Izzah Anwar berkata rakyat akan memilih parti yang bermaruah seandainya pemimpin jujur dan berjuang berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi dan bukan berdasarkan personaliti sahaja.

"Kita mesti membezakan antara personaliti dan prinsip yang dibawa personaliti.

"Hanya prinsip dan bukannya personaliti yang mesti diinstitusikan di dalam parti kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Kongres PKR hari ini.

Katanya, PKR bersedia mempelajari apa yang berlaku daripada proses pemilihan yang baru berlangsung melalui pelaksanaan langkah-langkah susulan yang dapat meleraikan keresahan anggota.

Menurutnya lagi, PKR berkebolehan seandainya meremajakan dan menawarkan kepimpinan yang mahir, beramanah dan berpegang teguh kepada prinsip dan asas perjuangan parti.

Sementara rakan sejawatannya, Fuziah Salleh juga turut menggariskan tiga peringatan kepada anggota sebelum dikatakan bersedia menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 tahun hadapan.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya berkata, tersebut adalah mengarahkan jentera pilihan raya di negeri dan cabang mendaftar mengundi penyokong dan anggota sebelum 15 Disember ini.

"Kemudian membuat analisa di kawasan masing-masing, kerana pilihan raya adalah (melibatkan) angka. Ketiga, siapkan jentera pilihan raya di daerah mengundi.

"Insya-Allah, (kalau cukup tiga perkara) hujung tahun ini, boleh lah kita kata, kita boleh bersedia (dengan pilihan raya)... Kita harus bertindak," katanya yang juga ahli parlimen Kuantan.

Manakala timbalan ketua menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman pula berkata PKR terus diserang kerana mempunyai kekuatan tersendiri dan dilihat sebagai parti masa depan.

Selain itu, katanya, mereka juga menyerang ketua umum PKR dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah Pakatan Rakyat.

"Siapa sangka DAP boleh membawa bendera PAS, dan penyokong PAS membalut (diri mereka) dengan bendera DAP. Ini yang menakutkan mereka," katanya.

Manakala ahli parlimen Batu Tian Chua pula berkata perjuangan PKR adalah hasil daripada perjuangan rakyat yang tertindas.

PKR hadiah pantun 'talkin' untuk Umno

Perwakilan Kelantan hari ini mencuit hati perwakilan PKR dengan membaca beberapa rangkap pantun yang didakwanya sebagai 'talkin' kepada Umno sewaktu membahaskan usul memartabatkan maruah bangsa.

Wan Ibrahim Wan Abdullah berkata rakyat perlu membentuk bangsa yang bermaruah dalam negara yang terdiri daripada perlbagai kaum dan etnik bagi menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.

"Selagi tidak menguburkan Umno, cita-cita bangsa kita, (maka) negara kita terus dijajah lebih teruk daripada penjajahan British," katanya dalam Kongres PKR di Petaling Jaya.

Sehubungan itu, Wan Ibrahim membacakan pantun yang kemudiaannya mendapat tepukan gemuruh sambil berdiri daripada sebilangan perwakilan yang hadir dalam kongres ini.

Pantun empat kerat tersebut berbunyi:

Celaka Umno menabur fitnah
Jahat pekerti menunjuk kuasa
Biar mati bergalang tanah
Menentang kezaliman rela binasa

Pemimpin Umno mungkir khianat
Amarah bangsa dicabul noda
Kekejaman mereka dikutuk laknat
Tumbangkan petualang dibumi persada

Lima puluh tiga Umno belut
Bermaharaja lela menggalakkan rasuah
Kekayaan negara diratah dibolot
Dibiar menderita rakyat dibawah

Pemimpin dan kroni bergaya sakan
Hidup mewah melimpah ruah
Daging lemak digonggong dimakan
Rakyat marhaen menghidu kuah

Dasar Umno songsang bercanggah
Salah laku silih berulang
Isi lazat dilahap diranggah
Miskin papa menjilat tulang

Mutakhir Umno semakin penat
Tapi masih bongkak takbur
Uzur dan sakit bertambah tenat
Menunggu saat untuk berkubur

Zalim ganas janji mungkir
Perjuangan Umno tidak berkat
Sebelum menghembus nafas terakhir
Panggillah waris jauh dan dekat

Parti keadilan jangan menanti
Tamatkan riwayat pantas segera
Usah menunggu Umno mati
Muat rakit hanyutkan ke muara

Takziah dan belasungkawa
Bersemadilah Umno di lubang neraka.

Azmin: Saya memang rapat dengan Anwar

Azmin Ali memulakan ucapan sulungnya sebagai naib presiden yang baru dalam kongres parti itu hari ini dengan mengakui mempunyai hubungan yang rapat dengan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak apologetik. Nak kata saya rapat dengan Anwar Ibrahim, memang saya rapat.

"Nak kata saya sokong, memang saya sokong. Dan saya tidak akan berundur bila di depan sahaja musuh dan dedalu politik," katanya yang juga bekas setiausaha sulit Anwar ketika beliau masih menjadi timbalan perdana menteri.

Selama ini, hubungan rapat Azmin - yang 26 tahun berkhidmat kepada Anwar sejak bekas pemimpin Umno itu menjawat kerusi timbalan perdana menteri - dianggap pihak tertentu sebagai "yes man" dan "anak emas" kepada pemimpin itu.

Perkara itu bagaimanapun dinafikannya berulang kali.

Menyampaikan ucapan penggulungan dalam Kongres PKR ke-7 di Petaling Jaya hari ini, Azmin berkata walaupun selepas pelbagai rintangan, Anwar terbukti masih menjadi pemimpin yang paling ditakuti "Umno, BN dan Rosmah Mansur".

"Kalau benar mereka hebat kenapa takut dengan seoran insan bernama Anwar Ibrahim?" soalnya.

Azmin juga memberitahu, antara tugas awalnya termasuklah turun ke Sarawak untuk "turun padang" selama dua minggu pada bulan depan untuk membantu parti menghadapi pilihan raya negeri.

Sementara itu, Azmin juga mengulangi ikrar akan menolak konsep ketuanan Melayu dan mengangkat ketuanan rakyat seperti yang dilaungkan dalam ucapan dasar presiden walaupun diserang pihak media sebagai "pengkhianat Melayu."

Anwar mahu kumpul semua calon kalah

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa calon-calon yang kalah dalam pemilihan PKR termasuk naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub tidak akan diketepikan oleh parti.

Sebaliknya mereka akan diberikan peranan tertentu dalam dalam kepimpinan parti sebagai usaha memperkuatkan PKR.

"Mengapa beliau (Mustaffa Kamil) harus diketepikan. Beliau adalah orang yang teruji... Kita akan panggil semula rapatkan kepimpinan," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam kongres PKR di Petaling Jaya.

Katanya, selain Mustaffa, beliau juga akan memanggil calon yang kalah antaranya, calon Ketua Pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin dan ahli parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Mustaffa berkata beliau akan berbincang dengan kepimpinan baru yang dilantik untuk memberi kepada pihak yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Dalam ucapan juga, Anwar menjanjikan peranan yang penting kepada pemimpin daripada Sabah dan Sarawak dalam memperkuatkan barisan kepimpinan parti itu.

Mengulas tentang aduan kelemahan pengurusan pemilihan, Anwar berkata perkara itu akan diperbaiki termasuk memberi jaminan bahawa partinya akan menjawab segala aduan yang dikemukakan.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan berpesan kepada perwakilan supaya tidak rasa tergugat dengan serangan yang dilemparkan kepada Anwar dan PKR.

Sambil mengungkap kembali apa yang dihadapinya sejak suaminya dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri, beliau menegaskan tidak rasa tergugat dengan semua itu.

"Saya pergi kemana-mana, ada orang pandang hina kepada saya. Saya tidak terasa apa-apa, sebab saya percaya kepada keadilan. Peduli apa orang kata," katanya.

Mustaffa: Saya tidak akan keluar PKR walaupun diajak orang Zaid, Muhyiddin

PETALING JAYA, 28 Nov — Walaupun tewas dalam saingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, Mustaffa Kamil Ayub berjanji akan terus bersama parti itu, sekali gus menamatkan spekulasi akan meninggalkan komponen Pakatan Rakyat itu. Mustaffa berkata beliau telah memutuskan untuk terus bersama meskipun ada diajak oleh penyokong Datuk Zaid Ibrahim yang meninggalkan PKR baru-baru ini dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Zaid meninggalkan parti selepas memutuskan untuk keluar saingan timbalan presiden atas alasan pemilihan diselubungi kecacatan dan kepincangan.
Mustaffa juga meletakkan dakwaan itu tetapi terus bersaing dengan protes.
Beliau ditewaskan oleh Azmin Ali yang hari ini disahkan sebagai timbalan presiden.
“Kalah dalam pertandingan adalah satu perkara biasa. Bila bertanding kita perlu bersedia sama ada akan menang atau kalah.
“Jangan salah faham bila saya buat aduan, walaupun pahit ditelan saya harus beritahu mengenai kepincangan yang berlaku dalam pemilihan parti.
“Saya buat aduan bukan sebab nak lemahkan parti tapi mahu supaya menjadi model contoh kepada Pakatan Rakyat,” kata bekas naib presiden ini ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini.
Mustaffa menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama PKR demi perjuangan kepada rakyat.
“Kali ini betul orang Datuk Zaid cuba menarik saja, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi saya kata saya tidak akan keluar.
“Saya tetap dengan PKR, parti masa depan untuk saya, untuk Melayu, Cina, India, Kadazan dan masa depan kita,” katanya.
Tambah Mustaffa selepas 12 tahun bersama PKR, beliau pernah menang dan kalah tetapi tidak pernah meninggalkan parti.
“Dulu saya setiausaha politik Muhyiddin Yassin. Kemudian saya tinggalkan Muhyiddin demi sertai reformasi Anwar Ibrahim.
“Dan, saya tidak pernah menyesal (melakukannya),” kata beliau disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin pula mencabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak supaya membubarkan semua 13 parti komponen yang berada dalam parti itu.
Beliau berkata sekiranya BN benar-benar mahu melakukan perubahan langkah tersebut perlu dilakukan segera.
“Kalau BN benar-benar nak lakukan perubahan saya nak cabar mereka.
“Saya cabar mereka untuk membuburkan parti-parti perkauman dalam BN, bubarkan MIC, bubarkan MCA biar hanya ada satu parti sahaja iaitu parti BN.
“PKR ini bukan parti Melayu, bukan parti Cina dan bukan parti India tapi kita adalah parti untuk semua rakyat. Ini yang kita bangkitkan selama ini,” katanya.
Shamsul Iskandar juga mempertahankan Anwar yang sebelum ini didakwa telah memberikan arahan supaya calon tertentu dipilih dalam pemilihan parti itu.
“Datuk Seri Anwar hanya usik-usik sahaja, tetapi ada orang cakap, ‘eh, Datuk Seri sokong orang itu, sokong orang ini’.
“Takkan kita nak sekat ketua umum daripada memberikan pandangan. Beliau seorang pemimpin, nak beri teguran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin meminta supaya semua ahli dan kepimpinan parti supaya menghentikan politik wayang dan politik retorik dalam parti.
“Kita perlu hentikan politik wayang dan politik retorik. Saya harap selepas pemilihan kita akan menjadi lebih matang.
“Jadi pemimpin yang menang harus buat kerja,” katanya.
Ahli Parlimen Ampang itu juga mempersoalkan tindakan media yang mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai ketua umum PKR.
“Kenapa media nak sibuk? Siapa mereka? Parti ini milik siapa?
“Jadi ikut suka hati kita nak letak Anwar di mana, sama ada di bawah atau di atas. Jangan salah letak sudah,” tegasnya.

Waspada agenda pembersihan, 'kumpulan berempat'

Perwakilan PKR diingatkan supaya berhati-hati terhadap 'agenda' perbersihan dalam parti dan kemungkinan wujudnya "kumpulan berempat" yang mungkin merosakkan dan membawa keburukan.

Perwakilan Pahang Ahmad Nizam Hamid berkata, slogan pembersihan yang dilaung-laugkan itu hanyalah bersandarkan emosi 'cengeng' dan bukannya berdasarkan hujah intelektual.

"kalau ada gang of four (kumpulan berempat) dalam parti, (menyebabkan) parti akan longgar sendi," kata Ahmad NIzam Hamid yang membuka pentas membahaskan usul pemberdayaan demokrasi dalam Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut tentang agenda tersebut dan kumpulan yang dimaksudkannya itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ahmad Nizam yang juga ketua cabang Temerloh menjelaskan apa yang disuarakannya itu berdasarkan cakap-cakap di kalangan akar umbi yang dikongsi bersama.

Walaupun ditanya berulang kali, beliau masih enggan memaklumkan siapakan kumpulan berempat yang dimaksudkannya.

Bagaimanapun, menurutnya, kumpulan itu ditimbulkan berdasarkan suasana politik China di zaman revolusi kebudayaan yang dipimpin tokoh besar Komunis Mao Zedong sebelum ini, antaranya tahun 1966 hingga 1976.

Berdasarkan sejarah, kumpulan berempat merujuk kepada peranan isteri Mao, Jing Qing dan tiga lagi selepas kematian suaminya yang mengawal organ parti sesuka hati, tindakan yang mengakibatkan berlakunya kucar-kacir dalam parti.

Ketua Umum: Kalau PAS punyai Nik Aziz, kita ada Anwar, kata perwakilan PKR

PETALING JAYA, 27 Nov – Perwakilan PKR meneruskan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus mengetuai parti itu dengan meminta jawatan ketua umum tidak perlu melalui proses pemilihan sebagaimana dicadangkan oleh sayap Wanita semalam.
Anwar (gambar) sebelum ini menolak untuk bertanding bagi jawatan presiden PKR yang kini disandang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 11 tahun lalu.
“Terdapat pihak yang mempersoalkan Anwar untuk membuat keputusan-keputusan, yang membuat kami meragui kepimpinannya. Ada juga yang mempersoalkan kecekapannya untuk menjadi ketua umum.
“Beliau tidak lantik diri sendiri untuk menjadi ketua umum. Kita yang melantik beliau,” kata perwakilan PKR Selangor Faris Musa ketika membahaskan usul dasar ucapan presiden pada hari pertama kongres.
Faris kemudian meminta supaya 1,200 perwakilan berdiri untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar selaku ketua umum.
“Mari kita berikan sokongan tidak terhingga kepada Anwar,” kata timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan ini.
Sementara itu, perwakilan Srikandi Siti Aishah Shaik Ismail berkata, tindakan memaksa Anwar bertanding bagi jawatan presiden parti akan mengehadkan peranannya.
“Ramai yang mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar menolak untuk bertanding jawatan presiden. Saya kata itu adalah naif kerana kita tidak sepatutnya mengehadkan peranan Anwar untuk berkhidmat kepada parti.
“Beliau adalah pemimpin antarabangsa,” tambahnya.
Siti Aishah turut menyamakan kedudukan Anwar sebagai ketua umum PKR seperti Mursyidul Am PAS yang kini dipegang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kedudukan ketua umum ini tidak boleh dipertandingkan atau dipertikaikan. Jika PAS ada Mursyidul Am, kita ada ketua umum untuk memberikan nasihat kepada parti,” katanya.
Anwar dilantik sebagai Ketua Umum PKR ketika kongres parti itu pada 2007 selepas tidak dibenarkan untuk bertanding bagi jawatan presiden oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau dilarang daripada memegang mana-mana jawatan parti ekoran hukuman penjara yang dikenakan pada 1999. Larangan itu tamat pada April 2008.
Jawatan ketua umum tidak digubal secara rasmi dalam perlembagaan PKR yang sebelum ini dipersoalkan bekas calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan mencabar Anwar untuk mengambil alih jawatan presiden.
Semalam Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencadangkan supaya kedudukan Anwar sebagai ketua umum diwujudkan secara rasmi tetapi Dr Wan Azizah menolak cadangan itu.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara peribadi merasakan tidak perlu ada jawatan ketua umum yang formal bagi membolehkan Anwar, yang juga suaminya menyandang kerusi tersebut sebagaimana disarankan oleh Wanita PKR semalam.
Dr Wan Azizah berpendapat tidak perlu ada peruntukan perlembagaan khas bagi mewujudkan jawatan itu memandangkan amalan semasa membolehkan keputusan bersama dibuat membabitkan semua lapisan kepimpinan kanan parti.
Wanita PKR memberikan pandangan itu di sebalik pertikaian pihak-pihak pesaing PKR khususnya dari Umno-BN bahawa tiada jawatan khusus di bawah perlembagaan parti bagi membolehkan Anwar dipanggil sebagai ‘ketua umum PKR’.
“Itu pandangan ketua Wanita, ya saya menghormati pandangan beliau, tetapi saya kira bahawa walaupun tiada jawatan formal, namun ‘de facto leader’ itu, Saudara Anwar membuat keputusan yang efektif, tetapi dengan mengambil kira inputnya dengan kebijaksanaan (timbalan presiden Senator Dr) Syed Husin Ali, (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, dan mereka-mereka seperti Azmin (Ali), Saifuddin (Nasution Ismail), William Leong, Tian Chua, Sivarasa, semualah.
“Jadi, saya rasa tak perlulah jawatan itu, yang formal, yang kita ikut perlembagaan kerana perkiraannya kita membuat keputusan secara bersama. Memang ‘de facto leader’ itu Anwar, tetapi bukan ‘reserve’ bagi beliau, bukan satu jawatan ‘reserve’, yang dipegang oleh Anwar, oh tidak... sebab kita ada input daripada semua,” kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di rumahnya di sini malam tadi sempena Kongres Nasional PKR selama dua hari yang bermula hari ini.

Mustaffa janji tak menyeberang walau digamit

Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berjanji akan terus komited dalam PKR walaupun ada percubaan menariknya menyertai parti baru yang akan ditubuhkan Datuk Zaid Ibrahim.

"Ada percubaan meminta saya ke sana. Dan (juga sebelum ini) diminta untuk tidak bertanding (timbalan presiden), tetapi saya akan terus bertanding dan memberikan ruang kepada JPP (menangani aduan).

zaid ibrahim pc 091110 mustaffa kamil ayub and zaid"Ada yang menggamit, tetapi saya tegas dan komited dengan PKR," katanya yang tewas teruk dalam pemilihan merebut jawatan timbalan presiden di tangan pesaingnya Azmin Ali.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mustaffa Kamil ketinggalan lebih 11,000 di belakang Azmin.

Keputusan rasmi akan diumumkan esok oleh pengerusi persidangan.

Zaid - bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan - semalam dilapor mengumumkan akan menubuhkan parti baru pada Januari depan.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya di ibu negara, Zaid berkata butiran lanjut mengenai nama parti, bentuk perjuangan dan organisasi parti baru itu akan diumumkan pada bulan yang sama.

Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menggunakan nama 'Keadilan' atau Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) dalam penubuhan parti baru itu kelak.

Saya tetap bertahan walaupun terus diserang Umno-BN, kata Anwar

Anwar menegaskan bahawa PKR adalah parti perjuangan. — gambar fail
PETALING JAYA, 28 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semalam diberikan kepercayaan agar terus kekal sebagai ketua umumnya berkata, walaupun diserang bertubi-tubi oleh Umno-Barisan Nasiona (BN) akan tetap bertahan bagi memperjuangkan hak rakyat. “Ramai kawan-kawan tanya sama ada saya rungsing dengan serangan yang dibuat Umno-BN, saya cakap jangan dengar.
“Walau apa pun serangan, saya akan tetap bertahan. Yang penting adalah keyakinan saya terhadap parti,” kata Penasihat PKR itu ketika berucap pada program khas bersama perwakilan Kongres Nasional PKR di sini malam tadi.
Anwar berkata, ahli dan kepimpinan parti perlu yakin terhadap perjuangan sekiranya mahu membawa perubahan.
“Kita kena ada keyakinan, kalau yakin akan perjuangan ini, baru kita boleh maju dengan kuat demi kepentingan dan kebebasan rakyat.
“Semuanya kena bermula dengan keyakinan, ini bukan gimik poltik. Kita perlu buktikan komitmen bahawa kita ini adalah parti yang berbeza,” kata Ketua Pembangkang ini.
Anwar berkata, sesiapa yang mahu menyertai parti itu terlebih dahulu perlu memahami asas perjuangan PKR.
“PKR adalah parti pejuangan, siapa yang nak masuk parti ini perlu faham agenda kita.
“Agenda parti adalah perjuangan dan keadilan yang selama ini menjadi tunggak kita. Kekuatan parti kita berbeza dengan Umno-BN.
“Dalam perjuangan keyakinan itu mesti ada, selama ini kita diserang bertubi-tubi. Kenapa kita diserang? Kerana kita adalah parti yang memperjuangkan keadilan dan mahu membebaskan rakyat daripada cengkaman kezaliman Umno-BN,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata Umno-BN akan melakukan apa sahaja untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap parti itu.
“Umno menggunakan media untuk menyerang kita, kenapa? Kerana mereka mahu menghakis keyakinan kita terhadap parti tapi adakah mereka berjaya? Tidak..
“Bila saya minta seranglah saya sebanyak mungkin mereka tidak berani kerana tiada keyakinan apa yang mereka boleh tunjukkan adalah kuasa.
“Jadi kita perlu yakin terhadap perjuangan parti, kita perlu yakin kepada perubahan untuk tegakkan keadilan untuk rakyat,” katanya.

Perwakilan lontar 'seribu' persoalan untuk JPP

Seorang perwakilan Kongres PKR mengemukakan soalan bertalu-talu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung isu yang berkaitan dengan pemilihan parti itu.

pkr congress 271110 zulkifli ibrahimPerwakilan Perak Zulkifli Ibrahim (kiri) antaranya mempersoalkan sama ada badan pentadbir pemilihan langsung itu diberi kuasa penuh tanpa diganggu oleh mana-mana pihak.

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden, Zulkifli juga mempersoalkan kelayakan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution membuat kenyataan berhubung berhubung pemilihan bagi pihak pengerusi JPP Dr Molly Cheah.

"Adakah benar, kadang-kadang pengerusi JPP tidak diberitahu ketika sesuatu pengumuman dibuat di akhbar?

"Adakah kuasa yang diberikan kepada ahli JPP membuat sesuatu keputusan sendiri tanpa merujuk kepada pengerusi dan ahli JPP yang lain, contohnya dalan kes Hulu Selangor?

"Betulkah setiap aduan dan bantahan oleh pengadu disiasat dan atau hanya dibuat keputusan di atas meja semata-mata?" soalnya bertalu-talu sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Zulkifli yang juga Ketua PKR cabang Tambun berkata, beliau sendiri sudah tiga kali menghantar bantahan kepada JPP tetapi belum pasti sama ada ia disiasat.

pkr congress 271110 crowdBeliau terus bertanya, sama ada benar JPP tidak cukup tenaga untuk
membuat penyiasatan dan adakah aduan yang belum selesai akan diteruskan siasatan selepas kongres tamat.

Sementara itu, seorang lagi wakil Perak yang berucap tidak lama selepas itu M Thinagaran turut menyentuh perkara yang sama, tetapi dengan nada berbeza.

"Ia (pemilihan) sepatutnya lancar. Saya tak tahu di mana salah dan silap hingga tiba-tiba diseret ke mahkamah bagi mendapatkan (perintah) injunksi," kata Thinagaran.

Mengakui percaya pada ketegasan parti, beliau menegur cara penyampaian maklumat dalam PKR, antaranya penggunanaan istilah yang "elit" dan masalah komunikasi.

"Cuba guna perkataan yang mudah difahami. Perkataan trojan horse (musuh dalam selimut) contohnya, apa itu trojan horse?

"Rakyat tak faham istilah ini. Kita kena perkataan yang biasa untuk menjelaskan apa yang cuba dimaksudkan."

Saifuddin: ‘Third Force’ bukan serpihan PKR, Najib tak buat kerja rumah

PETALING JAYA, 27 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menolak dakwaan kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai “Third Force” adalah serpihan membabitkan ahli-ahli parti itu yang kecewa dengan kepimpinan mereka.
“Memang tiada kaitan dengan PKR, tiada... tiada kaitan pun,” kata setiausaha agung parti Saifuddin Nasution kepada The Malaysian Insider di akhir hari pertama Kongres Nasional parti yang berlangsung di sini.
Justeru, beliau juga menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan “kerja rumah” yang baik apabila mengatakan Third Force adalah serpihan PKR.
“Saya keliru sedikit dengan kenyataan Datuk Najib yang mengatakan seolah-olah Third Force ini adalah serpihan PKR.
“Third Force bukan anggota PKR, Datuk Najib menyebut lahirnya Third Force menunjukkan kucar-kacirnya PKR sehingga membawa kepada kewujudan Third Force.
“Jadi saya fikir kenyataan itu tidak cermat dan tidak melakukan kerja rumah yang baik,” katanya.
Najib hari ini berkata kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai “Third Force” dalam pakatan pembangkang khususnya PKR adalah berikutan timbulnya rasa tidak puas hati anggota parti itu terhadap kepimpinan mereka.
Beliau berkata keadaan itu juga menunjukkan krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut dan tindakan anggota PKR itu kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.
“Kalau berlaku apa-apa pun, ini kesan daripada rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli PKR sendiri sebab itu mereka sudah menjadi kumpulan yang telah memilih jalan untuk keluar daripada PKR.
“Sama ada mereka jadi Third Force atau mereka masuk parti yang Datuk Zaid (Ibrahim) nak tubuh atau pun nak masuk Umno dan sebagainya. Ini kesan daripada keadaan dalam PKR yang menjurus kepada satu keadaan di mana krisis keyakinan yang begitu serius melanda parti tersebut,” katanya.
Sebaliknya Saifuddin (gambar) berkata, kewujudan Third Force adalah inisiatif kumpulan aktivis yang merasakan mereka ada peranan dalam politik negara.
“Ura-ura penubuhan Third Force ini datangnya daripada sekumpulan aktivis yang berpendapat mereka ada peranan dalam politik negara.
“Misalnya mereka berpendapat meletakkan calon pilihan raya bukanlah hak mutlak masing-masing parti politik, mereka merasakan bahawa mereka juga ada peranan.
“Jadi dalam sistem demokratik yang terbuka membenarkan penyertaan semua pihak, tiada siapa yang boleh menyekatnya. Kelahiran kumpulan ini adalah daripada sekumpulan aktivis yang merasakan sampai masa untuk mereka terjun berkecimpung dalam politik,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu berkata kemungkinan besar Third Force mahu supaya parti melantik mereka sebagai calon dalam pilihan raya.
“Saya fikir perkara asas dalam pemilihan calon ini ialah calon yang boleh menyumbang kepada kemenangan dan parti sudah tentu mempunyai mekanisme kriteria pemilihan calon.
“Third Force ini berpendapat bahawa mereka juga mahu ada tempat terhadap perkara ini. Jadi dasar parti sekarang ini adalah urusan pemilihan parti adalah urusan dalaman.
“Pernah berlaku NGO bertanding gunakan lambang parti. Walaupun parti mempunyai sistem pemilihan dengan keutamaan kepada aktivis parti dan pemimpin parti menjadi calon tapi rekod pembangkang atau Pakatan Rakyat ini menunjukkan bahawa di sana ada juga peluang yang diberikan kepada aktivis,” katanya.
Saifuddin juga menolak Pakatan Rakyat akan menemui Third Force secara rasmi.
“Setakat ini belum ada ura-ura untuk menemui secara rasmi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kekosongan jawatan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Saifuddin mengatakan bahawa parti masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.
Jawatan tersebut kosong selepas Zaid mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.
“Kita belum pilih, lazimnya selepas kongres. Apabila ada kekosongan ataupun kalau tidak ada kekosongan lazimnya mana-mana parti pun akan melakukan pelantikan baru atau mengekalkan pelantikan lama.
“Ia tertakluk kepada keupayaan parti di negeri masing-masing.
“Jadi saya menjangkakan pengumuman berkaitan dengan pelantikan baru bagi negeri-negeri akan dilakukan bersekali dengan pengumuman keputusan pemilihan MPP,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata kepimpinan parti akan mengadakan perbincangan bagi memilih calon yang sesuai.
“Biasa pimpinan akan duduk berbincang, meneliti dan mengambil kira semua aspek.
“Saya tidak boleh nak jangka sama ada perubahan,” katanya.

Calon: Kenapa JPP bebankan saya semula?

Calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub masih berharap aduannya terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung pemilihan parti terus disiasat dan beban itu tidak dikembalikan kepada pengadu.

Katanya, beliau berharap JPP lebih produktif dalam menyiasat dan menyelesaikan aduan yang diterimanya daripada pelbagai pihak, termasuk dirinya sendiri.

NONE"JPP menerima (aduan) masalah, jangan ambil mudah dan jangan letakkan beban pembuktian kepada pengadu.

"Ia tanggungjawab bersama untuk menyiasat dengan serius dengan dakwaan yang dilakukan," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sambil memberi contoh tentang rumah yang dimasuki pencuri, Mustaffa Kamil berkata, bukan sahaja pengadu, malah polis juga bertanggungjawab untuk menyiasat mengenai kejadian tersebut.

"Jadi apa kerja polis (kalau pengadu sendiri siasat)?" soalnya yang tewas dengan majoriti besar kepada pesaingnya Azmin Ali dalam perebutan kerusi nombor dua parti itu.

Mustaffa Kamil sebelum ini menghantar memorandum membantah perjalanan pemilihan PKR yang didakwanya berlaku salah tadbir dan salah urus.

Beliau juga berkata akan mengambil tindakan tegas sekiranya tidak dilayan dalam tempoh 48 jam.

'Ada elemen sedih'
Bagaimanapun, selepas tamat masa itu, beliau meneruskan bertanding setelah diberikan beberapa jaminan oleh Pengerusi JPP Dr Molly Cheah.

Setakat ini, Mustaffa Kamil yang sedang menghabiskan hari-hari terakhir sebagai naib presiden PKR itu berkata beliau masih tidak pasti tentang status siasatan ke atas kesnya.

azlanMenurut Mustaffa Kamil, beliau tidak bercadang untuk memberikan kenyataan terbuka di hadapan lebih 1,000 perwakilan dalam kongres hari ini kerana "ia tidak menguntungkan parti".

"Saya fikir ia kurang sesuai dan orang lain (yang) akan mendesak parti untuk menghilangkan keresahan dan rintihan dalam parti....

"Walaupun keputusannya demikian, tetapi ia sentiasa boleh disemak dan mengambil iktibar daripada perjalanan pemilihan PKR ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menerima jawatan naib presiden untuk kuota lantikan sekiranya ditawarkan, Mustaffa Kamil yang juga ketua PKR Perak hanya berkata "akan mempertimbangkannya".

Bekas pemimpin belia itu juga tidak kecewa dengan kekalahannya merebut jawatan nombor dua parti itu, tetapi mengakui "ada elemen sedih dengan apa yang berlaku" dengan pemilihan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Mustaffa Kamil ketinggalan lebih 11,000 di belakang Azmin. Keputusan rasmi akan diumumkan esok oleh pengerusi persidangan.

Saifuddin: Saya tak dapat pastikan surat pecat Jenapala sahih

Saifuddin berkata surat pemecatan tersebut dikeluarkan sebelum beliau dilantik sebagai setiausaha agung PKR. — gambar fail
PETALING JAYA, 28 Nov — Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan beliau tidak mempunyai keupayaan untuk menyiasat kesahihan surat pemecatan bekas timbalan setiausaha agung parti itu P. Jenapala. Saifuddin berkata rekod parti menunjukkan Jenapala dipecat ketika bekas setiausaha agung Datuk Salehuddin Hashim masih memegang jawatan tersebut.
“Saya tiada keupayaan untuk mengesan kesahihan surat itu.
“Apa yang saya jelaskan apabila isu Jenapala ini berbangkit, kepimpinan parti meminta saya untuk menyemak semula rekod dalam fail disiplin dan selepas melakukan semakan, surat pemecatan itu ditemui yang ditandangani oleh setiausaha agung yang dulu.
“Sebab itu bila saya buat kenyataan media saya mengatakan bahawa mengikut rekod ibu pejabat Jenapala telah dipecatkan keanggotaannya pada tarikh sekian-sekian. Itu sahaja.
“Kena ingat, saya ambil alih pada 1 Februari 2010, pemecatan ini berlaku pada Februari 2009, setahun sebelum itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Sehubungan itu, Saifuddin turut mempersoalkan tindakan bekas timbalan setiausaha agung PKR Jonson Chong yang dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan Jenapala.
“Saya juga pelik melihat kesungguhan Johnson mempertahankan Jenapala yang dia tahu juga. Kenapa mesti nak sembunyikan fakta bahawa Jenapala menubuhkan parti baru, Jenapala membuat kenyataan dalam akhbar yang mengisytiharkan keluar parti.
“Anehnya Jonson tidak berminat untuk bercakap mengenai fakta di sebalik siapa Jenapala, sebaliknya mempertikaikan keabsahan surat.
“Saya juga menjadi syak wasangka melihat Jonson yang beria-ria mempertahankan Jenapala dan mempertikaikan kedudukan Datuk Salehuddin sendiri yang menandatangani surat itu,” katanya.
Chong juga merupakan bekas pengarah komunikasi PKR. Beliau juga menarik diri daripada saingan kerusi naib presiden parti baru-baru ini.
Beliau berkata rekod menunjukkan surat pemecatan Jenapala ditandangani Salehuddin walaupun beliau menafikan pernah menandatangani surat pemecatan itu.
“Mengikut rekod Datuk Salehuddin menandatangani surat itu. Kenapa mesti Jonson mempertikaikan perkara itu?
“Kita ada rekod, bukan Jenapala sahaja yang dipecat atau diambil tindakan, berpuluh lagi yang telah diambil tindakan yang ditandangani oleh Datuk Sallehudin.
“Jenapala satu daripadanya, kenapa pertikaikan Jenapala tapi tidak pertikaikan yang lain? Itu sahaja,” katanya.
Saifuddin berkata pihaknya akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara itu.
“Oleh kerana kes ini sudah menjadi kes polis saya fikir biarlah pihak polis melakukan tugas mereka dan saya mengulangi bahawa saya akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis.
Semalam dalam blognya, Chong mendakwa parti itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memecat Jenapala.
Beliau berkata “surat pemecatan” itu sebenarnya adalah palsu.
“Apa yang benar-benar menjijikkan saya ialah hakikat bahawa saya tahu seseorang di ibu pejabat parti tahu bahawa surat itu palsu. Ia dibuat bagi menutup kesilapan tidak disengajakan oleh seseorang apabila mereka mengatakan Jenapala telah dipecat dalam bulan Februari 2009,” kata beliau.
Chong menjelaskan bahawa beliau merupakan timbalan setiausaha agung yang bertanggungjawab membantu lembaga disiplin menangani kes yang dirujuk kepada mereka oleh Majlis Pimpinan Pusat.
Kelmarin, Salehuddin membuat laporan polis kerana mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam surat pemecatan Jenapala.
Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung surat bertarikh 2 Februari 2009, yang kononnya ditulis dan ditandatangani Salehuddin.
Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman Jenapala terhadap tiga pemimpin PKR berhubung jawatan timbalan presiden parti itu.
Menerusi saman pemula pada 18 November lepas, Jenapala berkata beliau ingin mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.