Selasa, 9 November 2010

Kelantan bentang ‘Belanjawan Penyayang

KOTA BHARU, 9 Nov: Kerajaan Kelantan membentang Belanjawan Penyayang 2011 dengan memberi keutamaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
Langkah yang diambil kerajaan mendahulukan apa yang patut didahulukan dan mengimbangi antara kesempitan pendapatan dan maslahah orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, tiga paksi utama bajet tersebut iaitu penjanaan ekonomi untuk rakyat, pembinaan insan berteras Islam dan pembelaan golongan daif dan miskin.
Selain itu pembelaan orang kurang upaya, anak yatim, armalah, warga emas dan wanita.
“Berasaskan tema tersebut Bajet 2011 akan mempastikan hasil dan tunggakan hasil kerajaan negeri dapat dipungut untuk pembangunan negeri bagi kesejahteraan rakyat.
“Tumpuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup rakyat terutamanya bagi mempastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar menjadi kenyataan,” katanya ketika membentang bajet Kelantan 2011 pada persidangan Dun hari ini.
Beliau mewakili Menteri Besar membentangkan bajet tersebut. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V serta rombongan akan bertolak menunaikan ibadat haji ke Makkah esok.
Husam berkata, dasar perbelanjaan berhemah diteruskan supaya setiap perbelanjaan dibuat mengikut keutamaan bagi mempastikan kesejahteraan hidup rakyat.
Bajet 2011 dijangka mengalami defisit sejumlah RM53.24 juta. Perolehan hasil dianggarkan sebanyak RM410.89 juta, manakala perbelanjaan mengurus RM464.13 juta.
Husam berkata, kerajaan negeri akan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan yang penyayang terhadap semua rakyat.
Bajet Kelantan buat julung kalinya menyediakan peruntukan khas bagi menganjurkan program Gerbang Azziwaaj untuk membantu rakyat miskin berkahwin.
Sejumlah RM1.5 juta diperuntuk bagi tujuan itu dan ia diharap dapat mengurangkan gejala sosial atau kes khalwat di kalangan penduduk miskin.
Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan skim bantuan beras kepada penduduk miskin di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri mulai tahun depan.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan bagi mengendalikan skim Al-It’am dengan memberi bantuan beras secara bulanan kepada rakyat termiskin.
Skim tersebut mengambil contoh program bantuan besar percuma yang dilaksanakan di Dun Wakaf Bharu sejak enam bulan lalu.
Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu menerima bantuan beras percuma sebanyak 10 kg setiap seorang secara bulanan yang disumbangkan wakil rakyat Dun terbabit, Che Abdullah Mat Nawi.

BN tidak waras tolak usul potong gaji AG

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Dewan Rakyat hari ini tidak mempersetujui usul Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang agar memotong gaji Peguam Negara (AG) sebanyak RM10 sebulan.
Keputusan itu dicapai melalui undi belah bahagi yang menunjukkan 85 wakil rakyat tidak bersetuju manakala 55 lagi bersetuju.
Kit Siang membangkitkan usul itu kerana berpandangan peguam negara gagal memastikan sistem kehakiman bersih daripada rasuah dan penyelewengan.
Usul tergempar itu berhubung dakwaan wujudnya usaha memalsukan bukti dalam kes pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu yang didedahkan melalui akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Bala Subramaniam.
Dalam pada itu, Kit Siang turut menjelaskan mengenai surat terbuka bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang mengakui wujudnya campur tanganpihak ketiga, dipercayai pimpinan politik dalam urusan pihak berkuasa, dipercayai pemimpin politik.
Sementara itu, Kit Siang ketika ditemui di lobi Parlimen selepas itu berkata, usul yang dibangkitkan beliau itu sangat penting kerana melibatkan institusi kehakiman negara.
"Isu ini sangat spesifik dan menjadi kepentingan ramai dan negara oleh kerana ini mengenai mahkamah dan peguam negara.
"Keputusan yang dibuat oleh ahli Barisan Nasional tidak mengikut fikiran yang waras tetapi mengikut parti lain sahaja dan ini tidak menunjukkan kematangan Parlimen," kata beliau yang juga penasihat DAP.
Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula berkata, keputusan itu menunjukkan sikap double standard kerajaan.
"Ini jelas menunjukkan sikap double standard kerajaan terhadap isu yang cukup jelas dengan bahan bukti yang dibangkitkan oleh wakil yang berhujah. Penolakan kepada usul ini membuktikan bahawa terdapat ketidak telusan dalam pengurusan keadilan dan kehakiman dalam negara kita," kata beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli pula berkata, jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Manteri, Datuk Seri Nazri Aziz kononnya pertama kali mendengar terdapatnya pemalsuan bukti melibatkan Peguam Negara hanya menempelak dirinya sendiri.
"Itu satu perkara yang saya rasa tidak munasabah kerana kertas-kertas siasatan itu sudah menjadi dokumen awam, sesiapa sahaja boleh akses. Kalau Ipoh Timur (Kit Siang) boleh akses tentu menteri telah dimaklumkan. Jadi kalau beliau dakwa tidak pernah melihat dan membaca itu memberikan kesan kepada diri sendirilah.
Beliau yang menerima keputusan itu juga berkata, kerajaan menerima usul itu untuk dibahaskan namun tidak bersedia untuk mengakui wujudnya peneyelewengan dalam sistem kehakiman negara.
"Kalau ikut jawapan daripada menteri mereka menerima usul ini untuk diminta penjelasan daripada pihak peguam negara dan akan bincang di peringkat kabinet.Tetapi oleh kerana usul ini khusus untuk pemotongan gaji jadi mungkin mereka beralasan gaji lain, penyiasatan itu lain.
"Penyiasatan itu nampaknya mereka terima dan ini yang kita tuntut. Dan bukti yang didedahkan Ipoh Timur itu sepatutnya sudah mencukupi untuk meluluskan usul itu tapi oleh kerana kita menggunakan sistem majoriti berkuasa usul yang agak tepat itu pun boleh ditewaskan," katanya.

Mata lebam: Kabinet akan teliti usul potong gaji A-G

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Dewan Rakyat hari ini menolak dua usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk memotong RM10 dari gaji Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semasa membentangkan usul pertamanya terhadap gaji Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Lim (gambar) mendakwa Abdul Gani telah memberi keterangan palsu dalam siasatan insiden “mata lebam” Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Beliau juga mendakwa Abdul Gani tidak pernah menafikan dakwaan berkenaan meskipun dakwaan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes itu iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kemudiannya memutuskan usul pertama itu ditolak setelah undian secara belah bahagian dibuat dengan 50 anggota Parlimen pembangkang menyokong usul dan 85 penyokong kerajaan pula tidak bersetuju.
Dalam usulnya, Lim menambah, Abdul Gani didakwa bahawa beliau mereka keterangan palsu dalam siasatan “mata lebam” Anwar — satu dakwaan yang tidak pernah dinafikannya sungghpun dakwaan berkenaan dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan 12 tahun lalu.
“Dakwaan ini dibuat bukan oleh orang sembarangan tetapi oleh seorang pegawai polis kanan yang diberi amanah melakukan siasatan ke atas salah satu peristiwa paling hitam dalam sejarah polis dan pentadbiran baik negara ini.
“Kita menghadapi situasi yang pelik dan memeranjatkan di mana Peguam Negara, pegawai undang-undang tertinggi pangkatnya di negara yang juga merupakan pendakwa raya, didakwa melakukan tindakan yang menyongsangkan undang-undang dan Perlembagaan yang beliau dibertanggungjawabkan untuk mempertahankannya, sehingga menjejaskan dan menyongsangkan proses keadilan, tetapi tidak berani mengambil sebarang langkah untuk menafikan dakwaan-dakwaan serius seorang pegawai polis kanan, misalnya menerusi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja,” kata beliau.
Lim menambah hanya atas perkara ini sahaja, satu usul mengutuk menerusi potong gaji RM10 adalah diperlukan.
Malah pada usul keduanya, Lim mendakwa Malaysia adalah negara yang paling buruk prestasinya di kalangan negara-negara Asia Pasifik dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sejak 16 tahun kebelakangan ini yang juga ditolak oleh Dewan Rakyat setelah majoriti suara menolak usul berkenaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab usul terhadap gaji Peguam Negara berkata, perkara berkenaan akan dipanjangkan ke dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.
“Demi keadilan semua pihak terutama Peguam Negara, saya memerlukan notis mengenainya dan ia juga tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana pada masa ini beliau tiada dalam negara kerana sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah,” kata beliau dipetik Bernama.
Dalam pada itu, Nazri berkata tiada indeks lain selain Indeks Persepi Rasuah (CPI) yang boleh diambil kira sebagai kayu pengukur bagi memastikan seluruh dunia dapat melihat usaha Malaysia dalam memerangi rasuah.
“Namun CPI adalah berkait rapat dengan persepsi dan ia bukan realiti. Kadang-kadang persepsi yang lahir dari kenyataan liar itu dibuat tanpa fakta jelas. Ini sudah tentu akan mempengaruhi indeks kita yang tak semestinya tunjuk kesungguhan kita untuk melawan nak hapuskan rasuah di negara kita,” katanya.
Sehubungan itu, Nazri meminta semua Ahli Parlimen terutamanya parti pembangkang supaya bersama-sama mencari jalan memerangi rasuah dan bukannya terus mengkritik kedudukan negara yang mendapat 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Beliau juga berpendapat ketika ini agak sukar untuk Malaysia mendapat skor yang baik dalam CPI berbanding sebelum ini kerana beberapa perubahan yang berlaku di Malaysia
“Misalnya keterbukaan. Mungkin 15 tahun dulu skor tinggi. Masa itu mungkin takda keterbukaan seperti sekarang. Maka maklumat tak dapat disebar begitu meluas,” katanya.

Keputusan Terkini Pemilihan PKR 2010

PETALING JAYA: Setelah 87 cabang selesai membuat pemilihan pada ahad lalu, naib presiden PKR Azmin Ali masih mendahului calon lain dalam pertandingan jawatan timbalan presiden dengan mendapat 6,467 undi.
Manakala pesaing terdekatnya Datuk Zaid Ibrahim yang membuat kejutan mengumumkan untuk menarik diri semalam berjaya memperoleh 3,988 undi.
Keputusan rasmi yang diterima daripada laman web rasmi PKR, menyaksikan undi majoriti antara Azmin dan Zaid kini 2,479 undi.
Seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub masih ketinggalan dengan hanya mendapat 1,215 undi.
Bagi jawatan naib presiden pula ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar turut mendahului calon senior lain dengan mengumpul 6,518 undi.
Beliau diekori rapat oleh empat calon lain yang Pengarah Strategik Tian Chua dengan (5,115), Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh (4,509), Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman (4,269) dan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan (3,039) undi.
Izzah yang juga anak sulung kepada pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat merupakan calon kegemaran untuk jawatan naib presiden tersebut.
Jawatan majlis pimpinan pusat pula, Pengarah Penerangan Selangor Dr Badrul Amin Bahron mendahului calon lain dengan memperoleh 4,317 undi.
Ini diikuti empat calon yang memperoleh undi tertinggi seperti; Khalid Jaafar (3,478), Adun Bukit Lanjan Elizaberth Wong (3,448) dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian (3,421).
Sementara itu, persaingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) sengit apabila hanya 31 undi memisahkan calon Shamsul Iskandar Md Akin dan Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).
Shamsul memperoleh 1,849 manakala Chegubard dengan 1,818 undi.

Khairul Anuar yang menyertai kem Shamsul dan bertanding jawatan timbalan ketua AMK pula mendahului dengan 1,926 manakala Adun Teja Chang Lih Kang pula 1,542 undi.
Ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin masih di depan bagi jawatan ketua wanita dengan 1,999 manakala dua calon lain Suraya Sudin 710 dan Animah Ferrar dengan 529 undi.
Persaingan timbalan ketua wanita, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail mendapat 2,431 manakala Asmah Abd Kadir dengan 572 undi.
Dijadualkan 135 cabang lagi akan meneruskan pengundian sebelum Kongres Nasional mengambil tempat pada penghujung November ini.
Kongres akan bermula 26 sehingga 28 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.Keputusan calon yang menang akan diumumkan di Kongres itu kelak.

Zaid Kembali Ke Zaman Mabuk!

SAYA sangat berdoa dan berharap semoga Zaid Ibrahim tidak mabuk apabila beliau membuat kenyataan dalam sidang media khas di rumahnya hari ini yang menyalahkan Anwar Dan Azmin yang menyebabkan PKR menjadi punca masalah dalam parti berkenaan. Saya berkata begitu kerana beliau sudah ke Makkah dan sudah bertaubat untuk tidak melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil.

Apalah rasionalnya Zaid menyalahkan Anwar dan Azmin berhubung kemalangan yang diterimanya hari ini? Beliau telah melepas semua jawatan dan menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden. Kononnya beliau berbuat begitu kerana tidak percaya kepada PKR, tentunya kepada Azmin dan juga Anwar Ibrahim.

Sesiapa pun tidak menafikan Anwar ada melakukan kesilapan, dan begitu juga dengan Azmin. Tetapi apakah orang boleh mempercayai kalau Zaid sekudus ahli syurga yang cuba hendak memperbetulkan PKR? Apakah Zaid tidak ada kesalahan? Sejarah penglibatanya dalam politik sudah diketahui umum. Kalau beliau umpama malaikat Subuh pasti Umno tidak memecatnya. Sejahat-jahat Umno tentulah Zaid lebih jahat dari parti berkenaan.

Sebagai ahli beliau berhak untuk membuat kritikan dan teguran. Tetapi teguran terbuka dan melampau adalah tidak betul dan bukan menggambarkan seorang yang profesional seperti mana profesyen beliau sebagai pengamal undang-undang. Sikap marahkan nayamuk membakar kelambu adalah bodoh.

Pada saya Zaid tidak berhak untuk mengeluarkan kenyataan demikian. Ia bukan satu penyelesaian. Kalau dia masih berharap untuk meperbaiki PKR caranya bukan begitu. Zaid perlu ingat dan sedar diri bahawa sewaktu rumah PKR di bina beliau berada jauh dari pembinaan itu. Bahkan beliau berada di sebelah sana. Sumbangan Zaid kepada PKR dan juga reformasi tidak sampai sekacip pinang pun.

Sesudah rumah siap baru dia mendekati PKR. Itupun selepas dipecat dari Umno. Beliau menggunakan alasan Umno korup, tidak demokratik maka beliau 'keluar' dari Umno. Betulkah? Hati yang tenang dan jiwa yang mulia dapat mengukur sejauh mana dakwaan itu. Saya percaya kalau beliau keluar dengan cara dipecat itu, kerana beliau tidak ada peluang berada dalam Umno. Jalannya dalam Umno untuk menuju ke Putrajaya sudah tertutup. Saya yakin kalau beliau PM beliau akan kekal dalam Umno dan sedia hanyut bersama noda dan dosanya asalnya dia berkuasa.

Zaid telah menyerlahkan nafsunya untuk jadi perdana menteri. Itu tidak menjadi masalah, setiap orang menyertai politik inginkan jawatan itu. Tetapi jangan cuba naik dengan memperalatkan orang lain dan bila gagal menyalahkan orang lain pula. Sebesar ulat dalam tahi pun Zaid tidak menyatakan kesalahan dan kecacatan yang ada kepadanya.

Celaru atau tidak PKR, Anwar, Azmin dan rakan mereka yang lain ternyata bejaya meletakkan PKR ke puncak yang dirundui oleh Zaid. PKR berjaya menawan empat buah negeri bersama Pas dan DAP. Bukankah atas kejayaan itu maka Zaid terkindir-kindir dan terkenyeh-kenyeh untuk memasukinya?

Kerana percaya PKR lebih baik dari Umno itulah maka Zaid hadir untuk menumpang kemudian mengakarkan diri kemudian menguasai diri dalam PKR. Kenapa selepas beliau merasakan hendak kalah dalam pertandingan yang penuh tektikal itu baru nampak yang PKR buruk dan huduh. Tidakkan sepanjang pertandingan itu Zaid juga turut sama melakukan kegiatan yang huduh dan buruk? Cara hanya nampak salah orang dan melindungi salah kita, tidak betul dong.

Hari ini dia buat kenyatan akhbar bersama penyokongnya. Apakah natijah kepada tindakan Zaid itu. Ia sesuatu yang menyedihkan. Baik-baik penyokong itu dulu bersetia dengan PKR, kini sudah berpecah. Penyokong itu akan ikut jejak langkah Zaid. Bukankan Zaid ini sebagai agen pemecah belah?

Saya rasa PKR rela hancur dari melacurkan diri untuk orang seprti Zaid ini. Iya sekali lagi dikatakan kalau Zaid merasakan dia kuat, mulia dan bersih umpama baru jelma dari syurga cubalah tubuh parti sendiri dan ajak sekalian penyokongnya itu. Ingatlah Zaid dan sesiapa pun bahawa kekayaan dan ego tidak akan dapat membeli seorang hamba yang berprinsip dan ikhlas dalam perjuangan. Duit hanya sesuai untuk dihemburkan dalam pesta syaitan saja.

MSO

Menangguk di air keruh


Puak-puak sebelah sana sedang , menangguk di air keruh. Dapat ke... tak dapat ke... ikan', wallahulam. Rasanya sia-sia jer. Kedah yang kini dilanda banjir, juga dilanda serangan daripada puak-puak sebelah sana. Tujuannya satu jer... untuk mencari dan mendapatkan political mileage.

Macam-macam tuduhan dibuat. Kerajaan PR Kedah, tak prihatinlah... Lambat bertindaklah... Lambat hantar bantuanlah... Lepas tanganlah. Semuuaaa nak mengharap dan tunggu bantuan daripada kerajaan pusat. Itu kata mereka.

Adeyy.... Mat Sembab, pooooraahh!! Woit... Opah Ijat, piiiraahhh!!

Orang tak minta tolong... tapi hangpa yang gatai nak mai tolong. Tak pa la jugak... Dah depa nak bagi bantuan, alhamdulillahlah... tapi, jangan la buat cerita karut. Dah la buat cerita karut.... mai cari publisiti murahan pulak. Berlagak tak tentu arah...

Muka-muka tembok ni, memang jenis yang tak dak kemaluan dan memang tak tau adat. Pi serbu 'rumah orang' tanpa assalamualaikum pun. Dah mai rumah orang.... mulut pulak tu, capoi ya Rabbi. Memang patut hangpa kena tibai dengan MB Kedah. Padan muka!!

Mai.... konon nak tolong. Fuuuhhh....!! Riuh-riak dan riak-riuh sekampung. Tapi.... malangnya, kasut depa pun tak basah!!

Kah... kah... kah... kah...
 
A Mum Of Three Mohd

Zaid Menang Di 38 Cabang Berbanding Azmin 37


Saifuddin Nasution Ismail
 PETALING JAYA 9 NOV: Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menempelak tuduhan Datuk Zaid Ibrahim, kononnya ibupejabat parti memihak kepada Azmin Ali dalam pemilihan itu dan tidak melayan sebarang cadangan beliau bersabit pemilihan itu.


Menurut Saifuddin hakikat adalah Zaid menang di 38 cabang PKR manakala Azmin di 37.

Azmin bagaimana mendahului dari segi majoriti undi kerana keahlian yang lebih besar di cabang-cabang yang dimenangi oleh beliau.

Saifuddin turut menegaskan bahawa rungutan beliau kononnya cadangannya untuk memperkasakan proses pemilihan ditolak adalah tidak berasas.

"Surat dari calon Zaid pada JPP dan sekretariat bertarikh 5 OKT ada tujuh cadangan. Pertama calon dibenarkan lantik 'polling agen' di setiap cabang. Cadangan dia kita terima pakai. Kedua kertas undi patut letak no siri. Cadangan ini diterima.

"Peti undi mesti lutsinar. Kita tak buat sebab tak cukup duit. Senarai ahli berdaftar sahaja diguna pakai, yang ini kita buat. Ruang buang undi mesti diasing, kita buat. Masa perlu tetap dan ketujuh ahli yang bayar yuran parti mesti diberi peluang mengundi.

"Diakhir surat ini, Zaid kata harap cadangan dia diluluskan cepat supaya dia boleh buat keputusan samada mahu menerima pencalonan atau tidak. Hakikatnya, pada masa itu Zaid telah menerima pencalonan," terang Saifuddin.

Saifuddin kesal atas tindakan Zaid melontarkan tuduhan yang bertujuan mencemari kredibiliti ibupejabat PKR dan jawatankuasa pemilihan pusat.

Keputusan ahli PKR pada pemilihan adalah bebas daripada campur tangan mana-mana pihak dan tidak dimanipulasi sebagaimana yang didakwa oleh Zaid.

"Zaid menang 38 cabang, azmin 37 cabang. Ini fakta. Bila Azmin mendahului alasannya mudah kerana mobilisasi Azmin yang baik. Itu diluar kuasa JPP dan sekretariat.

"Kalau kamu jaga baik mobilisasi kamu, maka baiklah politik kamu. 38 cabang 'solid' sokong Zaid. Kalaulah benar berlaku aktiviti memenangkan, mustahil Zaid mendahului 38 cabang," katanya.

Saifuddin berkata jentera calon-calon yang tidak dapat menjalankan tugas masing-masing tidak harus menunding jari kepada ibu pejabat parti.

"Atas pemintaan Zaid sendiri ada 'poling agen' dan 'counting agen' dibenar bertugas. Kegagalan calon lantik 'poling agen' untuk pantau pemilihan, jangan tuding JPP dan sekretariat, salahkan jentera kamu sendiri," katanya.

Selepas Felda, PAS bawa isu Felcra ke SPRM

PAS terus mengasak isu berkaitan peneroka dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu-isu berkaitan Felcra, antaranya projek ladang getah di sebuah pulau di Sabah yang didakwa bernilai RM167 juta.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Mazlan Aliman membuat laporan itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Menurut Mazlan (kanan), beliau mengadu supaya SPRM menyiasat projek agropolitan di Pulau Bangi, Kudat itu kerana disyaki terdapat unsur penyelewengan, antaranya didakwa dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memgambil kira kesesuaiannya.

"Saya pergi ke sana sendiri pada 26 Oktober lepas, saya ambil gambar, pokoknya masih kecil. Sepatutnya selepas tiga tahun ditanam, ia sudah sebesar paha.

"Ini macam tak cukup zat," katanya sambil memberitahu menyerahkan gambar berkenaan kepada SPRM sebagai bahan bukti.

Mazlan - yang membuat laporan itu atas nama Badan Bertindak Bagi Warga Felcra (BAPA) - mendakwa tiada kajian terperinci dibuat selepas projek di atas tanah seluas 2,000 ekar itu dimulakan pada tahun 2006 lalu.

"Sepatutnya kena ambil kira kemasihan tanah, tiupan angin dan penempatan pekerja. Ini pekerjanya duduk di pulau, tetapi pegawainya duduk di Kudat.

"Setiap hari kena naik feri untuk ke pulau," katanya sambil mempersoalkan keberkesanan tempat tersebut dipilih.

Menurut Mazlan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, selain ladang, tanah itu turut memuatkan takungan air dan kawasan penempatan pekerja ladangnya.

Tambahnya, aduannya pada jam 11.30 pagi tadi diterima oleh Pengarah Siasatan SPRM Mustapar Ali.

Ditanya tentang dakwaaan terdapat sekurang-kurangnya 22 lagi salah laku Felcra yang ditimbulkannya sebelum ini, Mazlan berkata akan mendedahkannya sedikit semi sedikit.

"Kita mahu beri peluang SPRM menjalankan tugasnya dengan selesa," kata Mazlan yang terkenal kerana banyak 'membongkar' isu melibatkan peneroka kelapa sawit di Felda sebelum ini.

Antara ketirisan dan salahlaku dalam proses pemilihan PKR

1. Kelewatan Membuka Pusat Mengundi
Kelewatan melampau pasukan petugas membuka pusat mengundi jelas berlaku di beberapa Cabang pada hari pertama pemilihan. Contohnya di Kota Baharu dan Tumpat di Kelantan hampir dua jam daripada waktu yang ditetapkan iaitu 10.00 pagi.
Ramai pengundi terpaksa menunggu lama dan oleh kerana hari tersebut ialah Jumaat, ramai meninggalkan pusat mengundi untuk solat Jumaat dan terus pulang ke rumah. Kehilangan pengundi bagi kedua-dua cabang ini dianggarkan setiap satu lebih kurang 250 pengundi.
Kelewatan juga berlaku di beberapa Cabang lain seperti Langkawi, Lenggong dan Alor Setar. Walaupun aduan dibuat, JPP tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pengawas yang datang lewat malah menafikannya.
2. Pengawas Kelihatan tidak Bersikap Berkecuali
Sebilangan anggota JPP (termasuk Ketua Pengawas) kelihatan tidak berkecuali dalam menjalankan tugas. Ada yang memakai lencana salah seorang calon Timbalan Presiden (rakaman foto diperolehi).
Kami juga menerima Laporan seorang Ketua Pengawas Pusat pengundi dilaporkan secara terbuka memaksa pengundi mengundi salah seorang calon Timbalan Presiden semasa menjalankan tugasnya.
3. Penipuan semasa Proses Undi
Jumlah undian yang diistiharkan oleh JPP bagi pemilihan MPP Cabang Kubang Pasu tidak menyamai jumlah sebenar kedatangan pengundi seperti dalam buku daftar pengundi. Mengikut rekod buku daftar yang hadir 84, manakala keputusan yang diistiharkan oleh pengawas ialah 76 untuk DZ, 80 untuk AA dan 2 untuk Mustapha. Apabila disoal, beliau mangatakan yang hadir 158, tetapi apabila dibantah, keputusan diubah menjadi DZ dan AA mendapat 81 dan 2 untuk Mustapha.
Keputusan di Libaran, Sandakan amat mencurigakan kerana jumlah kehadiran amat tinggi daripada keadaan sebenar semasa mengundi. Lebih-lebih lagi jumlah kehadiran semasa MATC jauh lebih rendah.
Terdapat perbezaan ketara antara jumlah undi dengan jumlah kehadiran di peringkat MATC seperti di Hulu Selangor, Kelana Jaya, dan Klang.
Di Cabang Alor Gajah, ada surat pengakuan daripada ahli yang mendakwa beliau telah diberi kad ahli orang lain untuk mengundi.
Di Kelana Jaya, semasa MATC, pengundi dibenarkan mengundi walaupun terdapat perbezaan data-diri dalam buku daftar pengundi.
Di Cabang Merbok (ada rakaman gambar) menunjukkan Pengawas memangkah kertas undi serta mengarahkan pengundi memilih calon tertentu.
Di Cabang Bayan Baru dan Kubang Pasu, Pengawas mengarahkan pusat mengundi ditutup selama setengah jam selapas tamat tempoh mengundi. Dalam tempoh tersebut, tiada wakil calon dibenarkan berada dalam pusat mengundi. Wakil calon hanya dibenarkan masuk apabila proses pengiraan dimulakan.
Di Cabang Langkawi, AJK Cabang menyediakan dan mengisi borang bagi pendaftaran ahli baru dan ada yang terus dibenarkan masuk mengundi.
Perkara adalah hanya sebahagian daripada banyak lagi aduan dan kejadian yang telah dilaporkan oleh beberapa pihak kepada JPP.

Ayat-Ayat SMS Ustaz Dan Ustazah... hehehe...

Contoh SMS orang tengah bercinta,(bagaimana liciknya syaitan menghasut);

1. hai boleh sayer kenal sayer tertarik dengan perwatakan sopan awk, da lamer sayer perhati awk, awk budak baik n tertarik ngan tudung labuh awk...... sayer harap kiter boleh berkenalan.. ..ukhwah fillah eh orang kater... sayer x pandai sangat arab...

2.terima kasih menerima sayer, sayer akan try sedaya mungkin menjaga awak dan mengikut syariat,sayer tau sayer bukan baik, tp sayer sentiasa cuber terbaik untuk awak...

3.ingat tau,keluar jaga aurat, jangan bagi orang nampak... kuar ngan kekawan tau, balik kntek,,, sayer doakan awk.

4.wak, nape x kntek sayer, sayer risau awak kuar lelamer... ye,,,sayer x der hak, sayer tau sayer percaye awk, tp sayer x tau nak kater mcmmaner,kiter x bertemu selalu, just nampak dari jauh jerkan..., tp sayer rase awk mcm berada depn sayer...mungkin nie yang orang kater cinta kot, wak, wak cinta sayer? x nak bagitau,,, tp sayer tau awak cinta sayer... awk da malu nak jalan tempat sayer lepak sebab malukan... hehehr...tq... sayer cinta awk...

5. wak, selain family, wak sayang siaper? saper sayer dalam hati awk?

6.wak, dari kawn kiter just panggil sayer awk jer, mcm sayer x istimewa untuk awk jer;) sayer teringin gak nak jadi mcm kawn sebilik sayer nie, panggil sayang... bolelah, bukan salah pun, just panggilan jer... tq sayang...

7.yang, kekadang sayer tengok ayg nie mcm x percayer sayer je,,, yela, sayer just tanyer awk pakai ape jerkan; ( hehehe... yer tq bgtau, makin sayang sayer kat awk...)

8,yang, sayer nak ayang tau, ayang lah segalanyer untuk sayer, sayang la pemberi semangat untuk sayer yang, sayer harap ayang n sayer x der rahsia lg...jgn risau, ini kan membuktikan sayer take care ayang kan... so, jangan risau k, yer... sayer akan jaga ahsia kiter... just msg je kan...

9.ayang dah lamer kiter msg, boleh x kitr jumper? yer... ayang bawa lah kekawan k,,, tq yang...

10.tq panggil sayer ngan panggilan abg,,, abg tunggu da lamer abg tau, kiter x leh pakser dalam perhubungan.

11.ayang, wat pe 2, nak cakap cikit, naper ayang bawa satu batalion nak jumper abg?? ayang x percayer abg eh....

12.ayang kiter jumper k,,, abg suka ayang pakai tudung yang sayer beli tu, yang mcm wardina tu, bukan ayang x cantik, juga makin cantik... nipis sikit jer.. kiter jumper nanti ayang bawa la sorang jer k...

13.ayg,abg nak mintak maaf dengan aper yang jadi... abg td tersentuh jari ayg, tq yang, tol ckp ayang, tersentuh x per... makin la tebal cinta abg kat ayang.. ayang suker jumper abg? yang, td cian tengok kawn ayang duk je diam,...yer. .. nanti abg bawa kawn abg, leh dier borak kan... yang, abg suker tngk mater ayang,malu malu lak dier... ayang td cantik...

14.tq jumper td, ayang cantik... abg romantik pun salah ker? suker abg romantik eh, td jumper da berani tenung abg.... tq.... tengk kwn ayang n kawan abg mcm melekat jer... senang la kiter jumper... tengk, ALLAh
membrkati kiter... ayang da solat? doakan abg sekali k...

15.yang, just nak tanyer... ayang cintakan abg berape peratus?aper tandanyer? 50% je... yang,  nak tanyer, rambut ayang pnjng x, just terpikir....

16. tadi terbeli tudung pendek... yang bg kat ayang tu... yang, bg lah gmbr ayng special untuk abg pakai tudung tu... cantiknyer ayng...gmbr nie abg wat wallpaper hp...

17. yang, cintakan abg berape peratus? sepenuh hati? tq!!!!!!! i love u sayang....

18.yang, da lamer kiter couple, x kan abg pegang tangan nak marah, ayang kan milik abg... tq.

19.kater ayang cintakan abg sepenuh hati... kalu ayng cintakan abg aper buktinyer yang....


Adakah anda salah seorang yang tersenyum apabila membaca perenggan-perenggan di atas? Saya adalah salah seorang yang tersenyum. Senyum tersebut yang pada mulanya rasa suka bertukar menjadi benci. Senyum bertukar pada pemikiran. Berfikir akan sebuah lagi sifat-sifat najis yang berada di dalam diri kita semua.

Percaya ataupun tidak, ayat-ayat najis di atas turut digunakan oleh individu yang mengaku memperjuangkan Islam dan mengaku berdakwah. Seperti saya contohnya, dengan lantang saya menulis, bercakap di majlis-majlis keramaian dan usrah tentang dakwah, marhalah, takwin, tanzim dan sebagainya namun apabila berada di belakang ahli jemaah lain, menjadi taik, menjadi najis kepada perjuangan Islam. Atas kesedaran betapa kotornya najis ini, maka ia perlu di istinjak!

Jika di lihat rentetan perenggan di atas, ia adalah satu proses merosakkan masa depan seorang ahli jemaah. Ramai ahli jemaah yang keluar dari jemaah berpunca seperti kes di atas. Mereka keluar jemaah kerana berasa seronok dengan buaian nafsu dan sedar pada masa yang sama, jemaah melarang perbuatan itu.

Setelah barangkali melakukan istikharah (istikharah taik kucing), maka dia membuat keputusan melepaskan jemaah bagi meneruskan agenda hidupnya yang dirasakan amat seronok dan amat termotivasi iaitu cinta!!!


Seronoknya bercinta. Semua orang tahu. Ramai yang telah dan sedang mengalaminya. Bercinta sesama ahli jemaah terasa bagaikan sebuah perjuangan Islam yang indah. Setiap hari, bahkan mungkin setiap setengah jam, ada saja sms -sms peransang berjuang, sms tazkeerah, sms khaifahaluk, sms apa sahaja tentang Islam!!! INDAH..!!! Sangat Indah..!!!

Siapa yang tidak suka akan sebuah keindahan? Semua orang suka. Semangat berjuang membuak-buak. Keinginan berjuang mendesak-desak. Masakan tidak, cinta dan berjuang adalah nikmat yang sangat istimewa. Bila keduanya bercantum, maka nikmat itu menjadi kuasa dua. Tentulah seseorang yang bercinta dalam jemaah itu menjadi hebat, mantap dan sebagainya.

Namun, ramai yang terlupa, nikmat berjuang bukanlah dibuktikan melalui rasa seronok, rasa riang, rasa gembira, rasa suka. Nikmat Cinta memang dibuktikan dengan perkara tersebut, tetapi berlainan pula dengan nikmat berjuang. Nikmat berjuang yang sebenar adalah ketika mana seorang pejuang itu diuji oleh Allah dengan sesuatu ujian. Berjuang dirasakan amat indah apabila ditentang, di halang dengan pelbagai rintangan. Itulah nikmat berjuang!!!

Sama sekali bukan hanya sms-sms 'selamat berjuang' daripada seorang kekasih. Bukan sms peneman dikala hadir ke program jemaah. Bukan sms peringatan ketika dalam perjalanan ke program jemaah. Bukan bukan dan bukan! Itu bukan berjuang. Itu bercinta..... Jemaah hanya spare part ketika itu..

Dari Email.

Renungan buat Zaid dan Mus...

Luqman Al-hakiem pernah berpesan kepada anak lelakinya: "Hai anak, tiga perkara yang tidak diketahui kecuali pada tiga perkara iaitu:

• Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah
• Orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang
• Saudara tidak diketahui kecuali ketika berhajat (berkepentingan)

Renungan buat Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub.
Al Faqir Walid Ibrahim Mohamad

Wahai anakku,
Berbicaralah mewakili suara hati rakyat, bukan suara hati parti-parti politik, jika suara pemimpin atau parti politik menempati suara hati rakyat, maka kita mendukungnya, namun dalam masa yang sama jangan terlalu terperangkap dengan keindahan bahasa golongan politik, memberi sokongan pada mereka jika berada dalam kebenaran,tetap menolak mereka jika berada pada kebatilan .
Medan bicara tiada sama dengan medan amal, bicara begitu mudah kerana ia hanya di lidah, namun mengamalkan bicara bukan mudah kerana manusia memiliki nafsu, apabila diberi kuasa dan limpahan harta terbuka, sering mereka terlupa akan segala janji. Justeru itu kita tetap menjadi golongan yang memimpin suara hati rakyat dalam memastikan amal politik sama dengan bicara politik mereka.

Wahai anakku,

Kita bukannya badan mahu menentang mana-mana parti, tetapi kita hanya mahu kebaikan pada rakyat, kita hanya menentang sistem yang diwujudkan. Jika ianya adalah sistem yang membawa kesusahan pada rakyat, bercanggah dengan agama, maka kita akan menentang sistem tersebut bukannya menentang pada individu atau kumpulan. Jangan biarkan dirimu dikuasai nafsu dalam kemarahan dan jangan biarkan dirimu lemah dalam perjuangan.
Perjuangan wajib berteraskan kasih sayang terhadap semua golongan walaupun golongan yang batil sekalipun. Kita menyayangi golongan yang benar dengan menaikkan mereka memimpin Negara dan rakyat, kita menyayangi golongan yang batil dengan menghentikan mereka terus berdosa dalam memimpin Negara dan rakyat.

Wahai anakku,

Kita wujudkan GESA bukan atas sifat Islam menghukum tetapi Islam yang berasaskan jiwa tasawwuf, jiwa para ahli sufi yang penuh kelembutan, kasih sayang dan belas kasihan kepada semua makhluk Allah. Apa yang penting , segala gerak kerja kita adalah bermatlamatkan jihad dalam mencapai redha Allah .
Kita berpegang pada dasar Al Quran dan Hadis melalui metode ulama ahlusunnah wal jamaah yang menjauhi sifat melampau dalam kemarahan dan menghukum, serta bersifat sederhana dan hikmah dalam segala hal. Elokkan akhlakmu dengan semua golongan dan jangan bersifat kasar pada sesiapa. Jasa kebaikan pemimpin walau dari mana golongan perlu dihargai walaupun ada kelemahan dan kesilapan , jangan berpolitik sampai hilang akhlak dan ruh Islam lantaran terbawa-bawa dari kemarahan.
Suluh dirimu setiap masa agar tiada tertipu dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan menyelinap dalam batinmu walaupun engkau melakukan kebaikan sekalipun.

Wahai anakku,

Jangan kamu gentar dan takut, pimpinlah perubahan rakyat jika perubahan boleh memberi kebaikkan, bukan kamu mendukung perubahan untuk menaikkan mana-mana parti politik ,tetapi untuk kebaikan agama , Negara dan rakyat. Parti adalah wasilah dalam kita menyampaikan kehendakan agama dan menzahirkan suara hati rakyat, bukannya parti sebagai matlamat kita.
Kepada Allah kita bertawakal, Jejak Rasul kita ikuti. Jangan undur walau setapak dalam memperjuangkan kebenaran walau nyawa menjadi taruhan. Inilah jalan kemuliaan umat Nabi Muhammad saw, menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran. Kita tiada pilihan jika mahu masuk dalam kemuliaan menjadi umat Rasulullah SAW. Berjuang dan terus berjuang, berubah dan merubah.
Penasihat Gerak Masaa Malaysia(GESA)
Al Faqir Walid Ibrahim Mohamad

Amizudin Ahmat (Din Binjai)

Taib: Saya ada wang lebih daripada apa boleh dibelanja

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah dirakamkan sebagai berkata beliau memiliki sejumlah kekayaan yang keterlaluan dan juga menawarkan ratusan ringgit kepada setiap rumah panjang di video yang dipercayai dirakamkan semasa kempen pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei lalu.

Menurut sari-kata di laman sesawang Youtube yang memuat-naikkan video berkenaan, kenyataan Taib dibuat semasa ucapannya pada 13 Mei ini kepada penduduk rumah panjang di Sungai Aup, kira-kira 20 minit perjalanan dengan kereta dari pusat bandar Sibu.

Laman sesawang anti-Taib Sarawak Report, yang menterjemahkan ucapan ahli politik veteran BN itu menaburkan janji-janji pilihan raya tanpa menyedari bahawa masa dan teknologi sudah berubah.

Menurut Sarawak Report transkrip ucapan Taib di mana beliau menggunakan bahasa Melayu dan juga Inggeris, ketua menteri itu cuba memujuk penduduk bahawa beliau tidak memperdulikan hal lain kecuali kepentingan rakyat.

Malah, beliau juga sanggup mengorbankan kekayaannya demi rakyat, memandangkan beliau mempunyai kekayaan yang melebihi keperluan dirinya, di samping berada di bawah jagaan anak-anaknya.

“Tujuan saya hanyalah untuk rakyat. Saya ada wang melebihi daripada apa yang saya boleh belanja. Saya tidak peduli pasal wang. Semua anak saya sudah dijaga, jadi saya memberikan kamu sesuatu yang baik,” kata Taib.

Dr Asri: Surat Terbuka Untuk Yang Berhormat DSAI

Saya baru sahaja membaca kenyataan YB DSAI bahawa kenyataan menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid Ibrahim yang membuat gesaan yang sama. DSAI menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat. Izinkan saya menyebut beberapa perkara;

1. Untuk pengetahuan DSAI, secara peribadi saya tidak memusuhi DS. Bahkan saya simpati dengan keadaan beliau sekarang. DS sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan DS. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi DS. Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang.

2. DSAI, biasanya apabila saya ingin melontarkan pandangan politik yang besar, saya akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang –bagi saya- tajam dan kritis. Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral. Tapi dalam isu ‘pengunduran DSAI’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya. Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid. Pada awal moderator Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar.

3. Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari website saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam website saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’. Bukan kenyataan exclusive untuk mereka. Sebaliknya, Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan.

4. Saya pun tidak tahu bahawa Dato Zaid Ibrahim dan Saudara Mustafa Kamil Ayyub akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu. Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka.

5. Jasa, sumbangan dan kesan DSAI dalam bidang politik akan tetap dikenang dan menjadi sejarah tanahair. Di sudut pemikiran Islam, DSAI jauh lebih luas dari banyak pihak. Dari sudut pidato, DSAI masih mantap. Dari sudut umur, DSAI belum terlalu tua dalam politik. Namun, bagi saya jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira. Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa. Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh.

6. Kita tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan dalam negara ini. Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternative pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya.

7. Apapun, saya tetap bersimpati dengan pergolakan akhir PKR, parti DSAI. Namun, hal ini memang boleh dijangkakan oleh ramai pemerhati dari awal lagi. Bukanlah hak saya mencampuri parti DSAI. Tetapi hak saya memberikan harapan atau pandangan kepada Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang kerana mereka mendapat peruntukan negara dan mereka penentu masa depan rakyat.

8. Apa yang berlaku, anggaplah itu pendapat saya secara peribadi. Bukan pandangan hukum, bukan juga satu paksaan. Pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Bak kata YB Nurul Izzah, biarlah rakyat dan parti yang menentukan. Pandangan insan terdedah kepada salah dan silap. Apatahlagi pandangan insan kerdil seperti saya. Namun, masa yang berjalan dan peristiwa yang bakal terjadi akan memperlihatkan sejauh manakah kebenaran sesuatu andaian atau ramalan. Jika satu hari DSAI dapat bukti saya silap dalam andaian tersebut, maka rakyat tahu saya membuat andaian yang tidak tepat dan dengan redhanya saya akan berkata ‘andaian saya salah!’. Jika sebaliknya, maka jawapannya pun sebaliknya.

9. Sebagai muslim, apa yang penting bagi saya, hubungan ukhuwwah islamiyyah antara saya dan DSAI harap tidak terputus. Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi. Saya telah sms secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiyyah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi –seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.

Dengan ini, saya harap kenyataan media DSAI itu dapat dilihat sekali lagi. Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada DSAI, Alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara muslim. Wassalam.

Mohd Asri Zainul Abidin
9 Nov 2010, 3.30 p.m

MB Selangor perli Khir boleh jadi tak pernah belajar perakaunan



SHAH ALAM, 9 Nov — Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa kerajaan Selangor bakal menjadi “PIGS countries”, yang bakal bankrap mengikut langkah Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol.
Dr Khir membuat tanggapan sedemikian atas alasan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim terus mengamalkan belanjawan defisit, bukannya bajet berimbang yang dipopularkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri, semalam.
“Akan datang Selangor akan dibandingkan, dengan izin, ‘PIGS countries’, bukan merujuk kepada negara penternak babi tetapi merujuk kepada Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol (PIGS) yang berdepan dengan masalah kewangan dengan serius,” kata Dr Khir (gambar) pada sidang DUN Selangor.
Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang berkata demikian kerana perbelanjaan negeri pada 2009 defisit sebanyak RM65.98 juta.
Beliau menjangkakan, Bajet 2010 juga akan terus defisit minimum sebanyak RM114 juta berbanding anggaran pendapatan asal iaitu sebanyak RM1.35 bilion.
Ini kerana menurut Dr Khir, kerajaan negeri pada April lalu telah mendapat peruntukan tambahan RM69 juta.
Pada Julai lalu, tambah Khir, kerajaan negeri sekali lagi mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta.
Pada sidang DUN semasa, kata beliau, kerajaan negeri turut memohon peruntukan tambahan RM8 juta.
“Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini (2010) ialah RM194 juta, jumlah keseluruhan Belanjawan 2010 adalah sebanyak RM1.494 bilion,” jelas Dr Khir.
Bagaimanapun, Khalid, Menteri Besar Selangor menerusi satu kenyataan media petang tadi menafikan jangkaan perbelanjaan yang didedahkan Dr Khir.
“Boleh jadi dia (Dr Khir) tidak pernah belajar perakaunan atau belanjawan, belanjawan adalah satu proses, bukan satu kesimpulan.
“Jadi, belanjawan itu akan ditinjau atau dinilai semula.
“Ada belanjawan berimbang dan ada belanjawan tidak berimbang, oleh itu perkara yang mengatakan (anggaran) belanjawan mesti tidak berubah tak ada,” kata beliau.
Beliau turut menafikan dakwaan Dr Khir bahawa kononnya Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat turut mengamalkan perbelanjaan defisit seperti kerajaan pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Walaupun defisit pada bulan Disember (2009), tetapi pada bulan Jun tahun ini kita telah meningkatkan simpanan rizab negeri (sebanyak) RM285 juta... merupakan peningkatan tertinggi sejak lima tahun lalu,” kata beliau.
Sehubungan itu, Khalid menasihatkan Dr Khir supaya tidak hanya menuduh kerajaan negeri bakal bankrap sekiranya beliau ikhlas mahu membangunkan kerajaan negeri.
“Perdana Menteri Malaysia yang mengamalkan perbelanjaan defisit yang jumlahnya bukan RM200 juta, jumlahnya ialah RM20 bilion hingga RM40 bilion.
“Kalau kerajaan negeri itu berbelanja (defisit) tak sampai RM200 juta, bayangkan kalau kekurangannya (kelemahan kerajaan pusat) sehingga RM20 (defisit)... perbincangan ‘loyar buruk’ (Dr Khir) ini tidak boleh digunakan.
“Kalau dia (Khir) takut Selangor bankrap, dia kena memberitahu Perdana Menteri kerana Perdana Menteri adalah ialah menjalankan belanjawan defisit,” jelas Khalid sambil meminta rakyat mengetepikan dakwaan Selangor bankrap oleh bekas menteri besar itu.

Saksi: Peluru di kepala Aminul tak dikenalpasti

Seorang pakar tidak dapat mengenalpasti secara positif kaliber atau senjata asal peluru pada kepala Aminulrasyid Amzah, Mahkamah Sesyen Shah Alam diberitahu hari ini.

NONEAhli kimia Saari Desa (kanan), 43, memberitahu mahkamah bahawa peluru tersebut rosak teruk sehingga beliau tidak dapat mengenalpasti senjata yang digunakan untuk menembaknya (peluru).

Biasanya, kata beliau, peluru itu boleh dikenalpasti sekiranya ia mengenai permukaan yang lembut, seperti air, di mana peluru dan jaketnya masih bersama, dan pihaknya boleh menentukan kalibernya.

Bagaimanapun, kata Saari, jika ia mengenai permukaan yang keras, seperti konkrit, jaket peluru akan pecah dan rosak, menyebabkan sukar untuk mengenalpasti senjata yang digunakan.

Menurutnya, apabila ini berlaku, peluru itu akan kehilangan karakteristiknya.

Inilah, tambahnya, yang terjadi pada peluru E (yang diperolehi dari hospital) dan tidak sesuai untuk dibandingkan.

Saari percaya ianya peluru 9mm, tetapi tidak dapat memastikan secara mutlak.

Peluru itu dihantar kepadanya oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 5 Mei.

NONESaari adalah saksi ke-24 pihak pendakwa dalam perbicaraan terhadap Koperal Jenain Subi, 48 yang dituduh di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/ 2, Seksyen 11, Shah Alam, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April.

Saari, yang bertugas di unit senjatapi dan pengesanan Jabatan Kimia, memberitahu demikian ketika disoal oleh DPP Mohd Dusuki Mokhtar, yang dibantu oleh DPP Idham Abdul Ghani.

DPP Dusuki kemudiannya menyoal Saari bagaimana dia boleh meneka peluru itu dari senjata 9mm. Saari menjawab ianya konsisten dengan dasar tapak peluru 9mm yang lain.

NONEKatanya, jika ianya peluru 9mm, ukuran diameter asas tapaknya akan sama dengan peluru 9mm tanpa jaket.

Biasanya, kata Saari lagi, peluru tanpa jaket akan mempunyai julat berukuran diameter antara 7mm dan 8.55 mm. Ukuran dasar tapaknya konsisten dengan saiz peluru 9mm.

Beliau menjelaskan, di samping konkrit, jaket peluru boleh tertanggal jika ia mengenai objek keras seperti dinding, badan kereta, cermin kereta atau pokok.

Pistol yang digunakan?


Sebelum itu, Saari dalam keterangannya berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti senjata yang menembak dua serpihan peluru, satu jaket peluru dan satu peluru kerana semuanya dalam keadaan teruk.

NONEPeluru-peluru ditemui di laluan kereta yang dikejar dari bulatan Kayangan ke tempat Aminulrasyid ditemui mati.

Saari berusaha menentukan peluru yang ditembakkan dari dua submesingan Heckler dan Koch MP5, yang telah ditanda sebagai bahan bukti X dan Y.

Salah satu daripada senjata itu digunakan oleh Jenain pada malam kejadian.

Saksi sebelum ini, memberitahu mahkamah bahawa Jenain telah diberikan 100 peluru 9mm. Sejumlah 21 kelongsong peluru dan peluru ditemui di sepanjang laluan kereta yang dikejar.

Sampel peluru hidup dan kelongsong yang digunakan dalam ujian balistik dari dua submesingan itu, dikemukakan untuk perbandingan.

Dr Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya "bersara politik."

"Justeru, sebagai saudara Muslim, saya sekali lagi – seperti kenyataan awal - pohon kemaafan atas pandangan tersebut.

"Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah SWT mendatangkan hal yang sebaliknya. Dia Maha Mengetahui segalanya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam 'perancangan' untuk mencemarkankan nama baik Anwar sebagai ketua pembangkang.

Menyifatkan dakwaan 'digunakan' terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar 'bersara politik' bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

"Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau (dengan pandangan saya). Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar hari ini mempersoalkan masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali.

Anwar mendakwa terdapat kempen bersepadu di Utusan menggunakan Dr Mohd Asri dan lidah pengarang akhbar itu supaya beliau meletakkan jawatan.

Tidak di belakang Zaid, Mustaffa Kamil
Dalam surat terbukanya kepada Anwar petang ini, Dr Mohd Asri berkata, selain tajuk yang 'garang', laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

"(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

"Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan," katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - yang turut dikaitkan dalam 'perancangan' itu - akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

"Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik - terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur - Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

SMS pada Anwar
"Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot," jelas beliau lagi.

Selain itu, Dr Mohd Asri berharap apa yang berlaku tidak merosakkan hubungan sesama Islam dengan Anwar.

"Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi.

"Saya telah SMS secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi," katanya.

Asri jawab Anwar: ‘Tiada siapa guna saya, kita tetap saudara Muslim’



KUALA LUMPUR, 9 Nov — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau tidak digunakan oleh mana-mana pihak khususnya Umno-BN atau Datuk Zaid Ibrahim, yang menjadi tumpuan kontroversi sekarang, apabila memberi pandangan agar dinosaur politik termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersara daripada politik.
Malah kata bekas mufti Perlis itu, beliau secara peribadi tidak memusuhi Anwar, yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, bahkan bersimpati dengan keadaan beliau sekarang.
“Datuk Seri sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan Datuk Seri. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi Datuk Seri.
“Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang,” kata Asri (gambar) dalam tulisan terbaru menerusi blognya hari ini.
Tulisan ini merupakan yang ketiga berkisar mengenai isu saranan beliau agar dinosaur-dinosaur politik bersara daripada politik dan memberi laluan kepada generasi muda kerana rentak mereka sudah sesuai dengan keadaan semasa.
Saranan itu menjadi perhatian 1 November lalu apabila menyebut nama Anwar, yang juga penasihat PKR.
Malah saranan itu dikecam oleh segelintir pemimpin PKR secara terbuka dengan menyifatkan Asri sebagai tidak “realistik.”
“Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara Muslim,” kata Asri dalam tulisan di bawah tajuk “surat terbuka untuk Yang Berhormat DSAI”.
Asri memberikan pandangan terbaru ini selepas reaksi Anwar berhubung kenyataan Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi meminta Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berundur daripada memimpin PKR.
Zaid juga memita pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar turut keluar PKR bersama Anwar demi menyelamatkan parti itu dan Pakatan Rakyat.
“Saya baru sahaja membaca kenyataan Datuk Seri bahawa kenyataan (Zaid) menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid yang membuat gesaan yang sama.
“Datuk Seri menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat,” katanya.
Dalam penjelasan kepada Anwar yang dipercayai tersinggung dengan pandangannya minggu lalu, Asri berkata, biasanya apabila ingin melontarkan pandangan politik besar, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang baginya tajam dan kritis.
“Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral.
“Tapi dalam isu ‘pengunduran Datuk Seri’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya.
“Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid,” katanya.
Asri, yang kini mengajar di Universiti Sains Malaysia berkata, pada awalnya moderator Minda Tajdid sendiri pun risau.
“Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar,” katanya.
Asri menambah, “seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari laman web saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam laman web saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’.”
“Bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan,” katanya lagi.
Asri meneruskan penjelasan dengan menulis bahawa “saya pun tidak tahu bahawa Datuk Zaid dan Mustaffa Kamil akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu.
“Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka,” katanya.
Menyentuh soal keupayaan kepimpinan, Asri pula berkata, bagi beliau jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, tetapi banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira.
“Salah satu unsur yang penting, kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.
“Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh, katanya sambil mengakui bahawa negara tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan.
“Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternatif pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya,” kata Asri.

SPR timbang cadangan benarkan kempen pilihan raya hingga 21 hari



PUTRAJAYA, 9 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan pertubuhan bukan kerajaan ke arah sistem pilihan raya adil, Bersih 2.0 agar tempoh berkempen dilanjutkan hingga maksimum 21 hari.
Ia salah satu daripada 11 perkara dibangkitkan oleh Bersih 2.0 untuk perhatian SPR dalam memorandum dikemukakan Julai lalu dan dibincangkan kedua-dua pihak itu hari ini.
“Kami meminta maksimum 21 hari untuk berkempen, mereka (SPR) bersedia untuk melihat idea itu,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) selepas pertemuan kira-kira dua setengah jam dengan SPR di sini hari ini.
Di bawah undang-undang pilihan raya semasa tempoh berkempen minimum yang dibenarkan adalah tujuh hari dan tempoh maksimum boleh ditetapkan mengikut budibicara SPR.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi The Malaysian Insider selepas pertemuan itu memberitahu, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira pandangan pihak-pihak lain.
“Kami juga ada menerima pandangan daripada pihak-pihak lain, ada pihak yang mengatakan tempoh semasa sudah cukup... memadai, 10 hari berkempen pun sudah penat, sampai tidak boleh buka mata,” katanya.
“Sekarang tempoh minimum adalah tujuh hari, tiada peruntukan tempoh maksimum, SPR boleh tentukan tempoh maksimum,” kata Abdul Aziz.
Pilihan raya umum nasional dan negeri di negara ini pernah menyaksikan tempoh berkempen antara 30 hingga 40 hari satu masa dahulu. Bagaimanapun ia kemudian dikurangkan mengikut kemajuan dan pembangunan negara khususnya sejak 1980-an.
Secara purata, tempoh berkempen pilihan raya kecil dan umum yang diperuntukkan SPR sejak pilihan raya umum 1982 adalah antara sembilan hingga 10 hari.
SPR mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 hari ini iaitu sehari sebelum pertubuhan bukan kerajaan itu dilancarkan — ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 semakin meningkat.
Bersih pernah mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Perhimpunan tahunan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini membuat ketetapan agar gerakan Bersih dihidupkan semula bagi menjamin pilihan raya umum ke-13 yang bebas dan adil.
Bersih 2.0 akan dilancarkan di Petaling Jaya, Rabu ini serentak program melanjutkan usaha ke arah pilihan raya bersih dan adil.
Mengenai hasil perbincangan sulung dengan SPR hari ini, Ambiga berkata, pihak berpuas hati dengan hasil perbincangan.
“Ada cadangan kami diterima, ada cadangan kami tidak diterima... SPR memberikan alasan mereka,” kata beliau yang pada keseluruhannya kelihatan berpuas hati dengan pertemuan tersebut.
Kedua-dua pihak akan mengadakan pertemuan susulan dijangka Januari ini.
Abdul Aziz juga berkata beliau gembira dengan pertemuan mereka hari ini dan akan bertemu semula awal tahun depan.
“Sesetengah isu, mereka kata OK, tetapi berhubung soal dakwat kekal, ia tidak akan digunakan tetapi mereka memberitahu bahawa akan menggunakan kaedah biometrik... kita tengok nanti.
“Kami berpendapat bahawa mereka (SPR) adalah ejen peurbahan dalam mengadakan sistem pilihan raya (lebih baik).
“Kami berharap, apabila kami bertemu dalam dua bulan, apa (langkah) yang telah diambil (oleh SPR),” kata Ambiga lagi sambil menambah, “ada beberapa perkara yang boleh diselesaikan segera.”
“Mereka (Bersih 2.0) boleh cadangkan, kami dengar pandangan mereka, tetapi keputusan akhir kami putuskan,” kata Abdul Aziz lagi.
Kata Abdul Aziz, ada perkara yang boleh dilaksanakan oleh SPR dan ada yang tidak boleh dilaksanakan, antara sistem pendaftaran secara automatik dan had layak mengundi 18 tahun.
“Ini soal undang-undang, kami ikut peruntukan yang ada. Jika undang-undang dipinda, SPR sedia melaksanakan pendaftaran secara automatik, had layak pengundi 18 tahun,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Bersih 2.0 akan turun untuk mengadakan demonstrasi jalanan, Ambiga berkata, “tetapi tengok perkembangan (hasil perbincangan), kami serius, kami sangat serius untuk melihat (sistem pilihan raya yang adil dan telus).”
Pada pertemuan itu, Bersih 2.0 kata Ambiga, ada menyuarakan bahawa pihaknya tidak gembira dengan tindakan pihak berkuasa menyalurkan sumbangan dan projek, yang dilihat begitu ketara, ketika tempoh berkempen pilihan raya khususnya ketika pilihan raya kecil.
Perkara itu menjadi perhatian semasa pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi baru-baru ini.
“Kami (Bersih 2.0) memberitahu bahawa kami tidak gembira dengan tindakan kerajaan menyalurkan wang dan projek. Perkara ini begitu jelas semasa pilihan raya.
“SPR memberitahu bahawa mereka juga telah meminta parti-parti politik tidak menggunakan jentera kerajaan semasa berkempen,” katanya lagi.
Mengenai isu pendaftaran pemilih secara automatik, kata Ambiga, meskipun SPR nampaknya tidak begitu berminat, tetapi Bersih 2.0 telah meminta suruhanjaya itu agar mengkaji semula keputusan itu dan mengemukakan sebagai pembaharuan sistem pilihan raya yang komprehensif.
“Berhubung keperluan media bebas dan adil kepada semua parti, SPR memaklumkan bahawa mereka sebenarnya ada menulis dan kadangkala bertemu dengan organisasi media, meminta agar diberikan liputan media yang luas (kepada semua calon dan parti).
“Ini sesuatu yang baik, dan harus diketahui umum. Tetapi, jika begitu keadaan, kita kena mempersoalkan tindak tanduk media, yang tidak memberikan liputan media yang bebas dan adil kepada parti-parti yang bertanding,” katanya.
Antara isu utama dalam reformasi pilihan raya disertakan dalam memorandum Bersih 2.0 termasuklah:
• Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti
• Penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda
• Reformasi dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem lebih fleksibel bagi semua pengundi
• Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti bertanding
• Tempoh kempen minimum 21 hari
• Amalan-amalan adil dan profesional dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian tidak adil (“malaportionment, gerrymandering”) yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang
• Pendaftaran automatik untuk semua pengundi layak
• Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun
• Reformasi dalam urusan kewangan pilihan raya bagi memastikan ketelusan dan mengehadkan kecenderungan terhadap politik wang
• Pentadbiran tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya umum atau kecil, untuk badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri
• Memperjuangkan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam politik dalam dan di luar kampus.

Rumah termahal di dunia..


BAYANGKAN dengan jumlah wang AS$1 bilion (RM3.1 bilion) pasti terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Jumlah tersebut mungkin menyamai pendapatan tahunan negara-negara miskin seperti Somalia dan Tibet.
Malah wang sebanyak itu menyamai separuh dari jumlah kekayaan yang dimiliki oleh orang Melayu terkaya di negara ini Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari yang mencecah hampir AS$2 bilion (RM6.2 bilion).
Namun bagi bilionair India yang juga manusia keempat terkaya dunia Mukesh Ambani, wang sebanyak itu dikatakan diguna hanya untuk membina sebuah rumah untuk kediamannya sekeluarga.
Rumah setinggi 27 tingkat lengkap dengan pelbagai kecanggihan dan teknologi terkini mungkin dilihat agak melampau. Namun dengan kekayaan berjumlah AS$29 bilion (RM90 bilion) jumlah tersebut hanya sekelumit untuk dibelanjakan.
Apatah lagi dengan jangkaan Forbes bahawa Mukesh akan menewaskan Bill Gates pada 2014 sebagai manusia terkaya dunia pastinya rumah ini akan dijadikan penanda aras kekayaan yang akan beliau perolehi dalam tempoh mendatang.
Bercerita tentang rumah beliau, memang tidak tercapai dek akal tentang segala kemudahan yang ada. Rumah berkenaan yang diberi nama Antilia bakal didiami oleh keluarga Mukesh yang terdiri dari isterinya Nita Ambani bersama tiga anak mereka Akash, Anant dan Isha hujung bulan ini.
Keluarga ini dijangka berpindah selepas majlis pembukaan rumah mereka diadakan pada 28 November depan yang dijangka dihadiri seramai 200 orang jemputan rapat. Rumah tersebut yang terletak di Jalan Altamount, di tengah-tengah bandar Mumbai dikatakan mempunyai keluasan 48,780 kaki persegi dengan ketinggian 173 meter.
Nama rumah tersebut dipilih mengikut nama sebuah pulau mistik di Atlantik dan ia direka bentuk oleh syarikat arkitek yang beribu pejabat di Chicago Perkins & Will.
Bermula dari bawah terdapat enam aras bawah tanah yang disediakan hanya sebagai tempat meletak pelbagai jenis kereta yang dimiliki selain untuk tetamu. Di bahagian paling atas pula terdapat landasan helikopter yang boleh memuatkan tiga buah pesawat itu pada satu-satu masa.
Trafik udara
Terdapat sembilan buah lif di dalam rumah tersebut dan bagi ahli keluarga, lif berbeza disediakan. Selain itu sebuah dewan besar, bilik teater yang boleh memuatkan 50 orang dan sebuah yang bertaraf lima bintang disediakan. Manakala di bahagian luar pula kamera keselamatan disediakan disetiap penjuru dengan disertai pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata. Di bahagian atas pula sistem kawalan trafik udara peribadi disediakan untuk pemantauan.
Malah dikatakan salah sebuah tingkat di rumah itu mempunyai sistem yang membolehkan empat musim ditukar mengikut selera. Lebih menarik lagi dijangkakan seramai 600 pekerja akan ditempatkan di bangunan ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
Memang melampau cara yang ditunjukkan oleh Mukesh bagi menunjukkan kekayaannya. Namun baginya, Mukesh tidak peduli apa orang lain kata.
Bagi penulis buku Mahabharata in Polyester, The Making of the World Richest Brothers and Their Feud, Hamish McDonald, Mukesh dilaporkan pernah berkata , “Saya seorang yang kaya, saya peduli apa dengan apa yang anda fikirkan,”.
Malah terdapat versi yang menyatakan tujuan utama beliau membina rumah tersebut adalah bagi menunjuk-nunjuk kekayaan dan kejayaan beliau terhadap adiknya Anil Ambani yang juga manusia ke 34 terkaya di dunia.
Nasib malang yang menimpa Anil pada tahun 2008 akibat kehilangan AS$33 bilion (RM102 bilion) ketika dunia dilanda krisis ekonomi ketika itu telah menjarakkan kekayaan dua adik beradik ini.
Namun bagi penduduk di sekitar kawasan itu mereka melihat apa yang dilakukan oleh Mukesh sebagai keterlaluan dan mereka bimbang dengan pencemaran bunyi yang
akan berlaku berpunca dari helikopter miliknya.
Bagi seorang penduduk miskin tidak
jauh dari rumahnya, Sushala Pawar yang memperoleh pendapatan AS$90 (RM279) sebulan, cara yang ditunjukkan Mukesh agak melampau namun ia juga sebagai pembangkit semangat untuk orang mencapai status sepertinya.
Namun dengan jumlah penduduk
seramai 20 juta dan 62 peratus darinya
hidup di bawah paras kemiskinan, apa yang dilakukan oleh Mukesh ini pasti dicemburui oleh mereka yang terpaksa merempat dan tinggal di kawasan setinggan yang terlalu hodoh untuk digambarkan.
Apatah lagi Mukesh mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke tanah rumahnya sesuatu yang dilihat sebagai terlalu bongkak dan sombong bagi jutaan orang yang terpaksa menyelongkar tong sampah hanya untuk meneruskan hidup mereka.

Jangan lupa temujanji hangpa di Dewan Sivik esok malam.

Malam esok akan diadakan pelancaran Bersih 2.0 macam dalam poster kat bawah. Jadinya orang belah Selangor sana jangan buat-buat lupa, jangan buat-buat malas. Kena tunjukkan sokongan padu kepada tuntutan Bersih tu. Biar nampak yang rakyat Malaysia serius nak demokrasi pilihanraya yang lebih adil diamalkan. 

Sebelum tu, hari ni katanya Bersih 2.0 ada temujanji dengan SPR. Nak tau apa cerita kena pi stadium malam ni, tentu ada cerita menarik. Tentu punya ada cerita pasai "hujjah BANGANG" dari SPR. 

Tuntutan Bersih 2.0 kali ni adalah
  1. Pembersihan sepenuhnya senarai pemilih bagi memastikan sebarang penipuan disisihkan dan senarai pemilih yang penuh dengan integriti.
  2. Penggunaan dakwat kekal (seperti yang dijalankan di Indonesia dan India) bagi menghalang pengundian berganda.
  3. Reformasi dalam pengundian pos dengan memansuhkan senarai pemilih yang berasingan yang sedia ada bagi pengundi-pengundi pos dan juga untuk menjadikannya sistem yang lebih fleksibel bagi semua pengundi – di dalam mahu pun di luar Negara , dengan alasan munasabah untuk memilih untuk menjadi pengundi pos.
  4. Akses media yang bebas dan adil untuk kesemua parti yang bertanding, termasuk: (a) akses bebas terhadap media milik kerajaan terutamanya televisyen dan radio; (b) akses pembayaran (iklan politik) adil di dalam media swasta; dan (c) peruntukan di dalam hak untuk menyerang balas terhadap kesemua parti yang bertanding dan wakil-wakil yang bertanding yang sebelumnya mendapat liputan negatif di dalam laporan-laporan berita.
  5. Tempoh kempen minima 21 hari
  6. Amalan-amalan adil dan professional dalam persempadanan kawasan supaya mengurangkan pembahagian yang tidak adil (malaportionment, gerrymandering) yang seterusnya menyebabkan pembahagian kerusi dan undi yang tidak seimbang.
  7. Pendaftaran otomatik untuk semua pengundi yang layak.
  8. Pengurangan kelayakan umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
  9. Reformasi dalam urusan kewangan pilihanraya bagi memastikan ketelusan dan menghadkan kecenderungan terhadap politik wang.
  10. Pentadbiran yang tidak berat sebelah di semua peringkat kerajaan sebelum, selepas dan semasa pilihan raya umum atau kecil, untuk badan perundangan di peringkat persekutuan dan negeri.
  11. Memperjuangkan hak semua pelajar berumur 18 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam politik di dalam dan di luar kampus.

SPR Perlu Guna Kuasa Bawa Perubahan Dalam Pilihanraya


PUTRAJAYA 9 NOV: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu bebas sepenuhnya dan sedar betapa besarnya kuasa mereka dalam membawa satu perubahan dalam pilihanraya di negara ini, tegas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau berkata demikian selepas bermesyuarat dengan wakil SPR lebih tiga jam bagi membincangkan mengenai memorandum yang dihantar oleh BERSIH lebih kurang dua bulan lalu berkenaan proses pilihanraya di negara ini.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan, ahli SPR adalah setara dengan ahli Mahkamah Persekutuan di  mana mereka ini tidak boleh disingkirkan melainkan dengan kaedah sama seperti menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Perdana Menteri tidak sepatutnya campurtangan dalam perlantikan mereka dan ini hanya boleh dibuat oleh YDP Agong. SPR hanya perlu menjawab di Parlimen atas tindakan mereka," jelas beliau.

Dalam mesyuarat pagi tadi, BERSIH 2.0 menyuarakan kebimbangan mengenai proses pesempadanan pilihanraya (delimitation) di mana pembahagian wilayah untuk Dewan Undangan Negeri dan parlimen di beberapa tempat tidak masuk akal.

Selain itu, BERSIH 2.0  juga menyuarakan kebimbangan berkenaan pelanggaran undang-undang pilihanraya yang semakin menjadi-jadi.

"Kita juga menyuarakan kebimbangan terhadap kesalahan pilihanraya yang  jelas dilihat tetapi tidak langsung didakwa, dan kita mendapati tiada satupun kesalahan pilihanraya ini pernah didakwa oleh SPR sehingga kini di bawah Akta Pilihanraya. SPR pula berdalih menyatakan itu bukan dalam bidang kuasa mereka," kata beliau lagi.

Walaupun begitu, Ambiga berkata SPR patut mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan ke atas pesalah terbabit.

"Kerajaan juga secara terang-terangan melaburkan wang dan projek pembangunan dalam jumbah yang besar terutamanya semasa pilihanraya kecil dan ini sesuatu yang dapat dilihat jelas oleh semua. Kita merasakan SPR juga patut bertegas dalam hal ini," kata beliau lagi.

Selain itu, BERSIH 2.0 juga mengemukakan beberapa isu penting yang melibatkan proses rombakkan pilihanraya.

Antaranya ialah ialah isu pendaftaran pengundi secara automatik yang mana walaupun SPR dilihat tidak begitu berminat tetapi BERSIH 2.0 meminta SPR untuk mempertimbangkan semula agar memasukkan isu ini di dalam cadangan perombakan proses pilihanraya.

"Kita juga membincangkan mengenai kebebasan media dan betapa pentingnya SPR mengambil langkah pertama memastikan liputan media yang bebas dan adil semasa pilihanraya, dan memastikan semua calon mempunyai akses kepada semua media," jelas beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, SPR memberitahu bahawa SPR sentiasa mengadakan perjumpaan dan meminta pihak media agar memberikan liputan yang menyeluruh dan adil.

"Saya rasa langkah ini merupakan sesuatu yang bagus dan patut diketahui umum. Sekiranya pihak media bertindak sebaliknya walaupun setelah SPR menasihati mereka, maka kita terpaksa menyoal proses media yang mana tidak memberikan ruang untuk liputan yang bebas dan adil untuk semua calon semasa kempen pilihanraya," tegas beliau lagi.

Beliau menjelaskan, BERSIH 2.0  juga mencadangkan kepada SPR untuk mempertimbangkan kembali penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya.

"Kita minta untuk menggunakan dakwat kekal tetapi SPR menjelaskan mereka tidak akan menggunakan dakwat kekal, sebaliknya sedang mengkaji penggunaan sistem biometrik.

Ini merupakan satu perkembangan yang akan kita ikuti keberkesanaannya, dan walaupun kaedah ini berhak dipuji tetapi kita lihat dulu keputusannya," jelas Ambiga.

Asri: Dakwaan digunakan Utusan agak 'berat'

Bekas mufti Perlis Prof Madya Mohd Asri Zainul Abidin menafikan digunakan oleh akhbar Umno Utusan Malaysia dalam 'perancangan' untuk mencemarkankan nama baik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang.


Menyifatkan dakwaan 'digunakan' terhadapnya sebagai agak berat, Mohd Asri menjelaskan cadangannya supaya Anwar 'bersara politik' bukan berkaitan peribadi, sebaliknya pandangan politik yang berniat baik.

"Pada awal moderator (blog saya) Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia.

"Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar," katanya sambil memberitahu tidak pernah memusuhi, bahkan simpati dengan keadaan Anwar sekarang.

Katanya, selain tajuk yang 'garang', laporan di Utusan sebelum ini daripada laman blognya dipetik dengan tepat.

"(Ia) bukan kenyataan eksklusif untuk mereka. Sebaliknya, The Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya.

"Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan," katanya.

Menurut Mohd Asri lagi, beliau sendiri tidak tahu bahawa dua calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - yang turut dikaitkan dalam perancangan itu - akan mengeluarkan kenyataan mengkritik Anwar dan PKR.

"Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka," kata Dr Mohd Asri.

Sambil mengakui kelebihan Anwar dalam politik - terutama dalam pemikiran Islam, pidato dan umur - Dr Mohd Asri yang juga pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu perlu mengambil kira banyak persoalan lain.

"Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa.

"Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot," jelas beliau lagi.

Zaid Usah Bertindak Melulu, ujar Aziz Bari


SHAH ALAM 9 NOV :  Sebagai seorang ahli politik yang bergerak dalam satu pasukan, Datuk Zaid Ibrahim tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak melulu hanya kerana tidak berpuas hati tentang beberapa perkara dalam parti lalu membuka ruang kepada musuh untuk menyerang PKR dan Pakatan Rakyat, ujar Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Sebagai ahli parti beliau boleh bercakap apa yang dia hendak. Tetapi saya rasa sebagai pemain dalam pasukan dia kena bertanggungjawab dan cerdik sikitlah.

"Jadi saya tidak fikir apa yang dilakukan oleh Zaid itu sebagai tindakan yang bijaksana. Maknanya dia tidak puas hati, dia bakar kapal," ujar Aziz.

Aziz yang juga pensyarah undang-undang berkata, Zaid perlu bertindak profesional jika ada pun ketidakpuasan hati dalam isu pemilihan parti misalnya, kerana sebagai seorang yang dikatakan komited dengan perjuangan, tindakan beliau juga hendaklah rasional dan mendokong perjuangan parti.

Menurut Aziz, semua maklum dalam soal pemilihan ada kelemahan kerana ini kali pertama dan PKR berhadapan dengan ahli-ahli yang tidak biasa dengan
proses ini selain daripada sabotaj luar dan sebagainya, dan dia(Zaid) kena bersabarlah.

"Sebagai seorang yang kononnya komited dengan perjuangan mendemokrasikan Malaysia baru, dia tidak sepatutnya mengambil jalan ini kerana ini akan menjadi bahan kepada musuh-musuh atau mereka yang tidak mahu berubah ini.

"Jadi saya rasa Zaid telah tersilap besar dan dia dengan tidak semena-mena menyediakan peluru untuk mereka yang tidak suka demokrasi, yang tidak suka
pembaharuan Malaysia," tambah Aziz lagi.

Selepas membuat keputusan mengejut semalam dengan meletakkan semua jawatan dalam parti dan menarik diri dari pemilihan PKR, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu hari ini, turut mengecam supaya Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berundur dari parti.

Ia turut mengundang reaksi dari Aziz.

"Siapa dia untuk menyuruh orang lain keluar. Dia boleh kata begitu sebagai seorang ahli parti tetapi saya fikir satu perkara yang lucu lah apa yang dia
minta itu. Orang akan kata, siapa Zaid untuk menyuruh Datuk Seri Anwar keluar dari parti.

"Datuk Zaid kena tahu siapa dia. Jangan semberono, main hentam sahaja. Apa yang berlaku ini pun tidak begitu ceria untuk masa depan dia dalam politik," kata
Aziz lagi.

Tambah Aziz, walaupun beliau tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku dalam parti itu, namun beliau percaya, bahawa setiap ahli parti mestilah mempunyai iltizam yang kuat untuk membawa perubahan kepada negara dan tidak goyah ketika berhadapan dengan masalah.

Dalam nada sinis, Aziz seolah-olah memberi peringatan kepada Zaid agar kembali merenung matlamat asal pemimpin itu.

"Saya rasa kita sepatutnya tidak lupa dengan gambar besar untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah, daripada penipuan,daripada tekanan, daripada ISA dan sebagainya. Dan saya rasa, apa yang Zaid lakukan hari ini, ialah sesuatu yang berlawanan dengan apa yang disebut sewaktu meninggalkan Umno.

"Sepatutnya sebagai seorang yang komited dengan parti dan perjuangan, dia semestinya tidak buat begitu," jelasnya kepada Tv Selangor.

Bahkan menurut Aziz, tindakan seumpana itu menjadikan Zaid tidak ada bedanya dengan mereka yang keluar dari PKR kerana tidak mempunyai semangat juang dan matlamat yang jelas dalam parti.

Malah ujarnya, tindakan kurang bijaksana Zaid itu tidak akan meninggalkan sebarang kesan kepada parti melainkan kepada diri beliau sendiri.

" Dalam jangka masa panjang saya rasa tidak ada apa-apa. Sedangkan orang seperti Datuk Onn Jaafar dan orang seperti Tengku Razaleigh Hamzah sekalipun, tidak jadi apa setelah meninggalkan parti mereka, jadi siapalah Datuk Zaid ini kan.... Saya tidak fikir apa yang dilakukan beliau mendatangkan masalah pada parti. Saya rasa yang menerima risiko negatif itu dia sendiri," katanya.