Selasa, 2 November 2010

Pemilihan PKR: Aktivis Reformasi desak Anwar atasi kelemahan

pemilihan 2010Oleh Fazy Sahir
PETALING JAYA: Aktivis Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak agar Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil perhatian serius untuk mengatasi kelemahan yang wujud dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan sekretariat di ibu pejabat yang bertindak sebagai pengendali pemilihan 2010.
"Kita mengkritik kelemahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak adil dan telus, dan sepatutnya kita memberi contoh kepada SPR bagaimana hendak mengendalikan pilihan raya dengan adil dan telus.

"Oleh itu kami mendesak pimpinan parti khususnya Anwar Ibrahim mengambil perhatian pandangan kami. Jangan sampai kita diberi pepatah “seperti ayam yang berkokok berdegar-degar tetapi ekor penuh tahi," demikian kenyataan yang tidak bernama kepada FMT hari ini.
Katanya, kesilapan teknikal semalam memberi impak negatif yang mampu menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan parti dalam mentadbir negara.
Akan lebih malang lagi, jika rakan seangkatan dalam Pakatan Rakyat (PAS dan DAP) mula hilang keyakinan terhadap kemampuan parti.
Aktivis Reformasi kesal dengan perkara yang berlaku sambil menyifatkan rentetan isu teknikal ini menunjukkan kelemahan ketara kedua-dua pihak malah memberi kesan psikologi kepada para penyokong calon yang bertanding.
"Kami melihat kelemahan kedua-dua badan tersebut adalah pada perkara paling asas mengumumkan keputusan pemilihan. Hal ini adalah sesuatu yang tidak adil bagi Azmin Ali dan juga bagi pihak Datuk Zaid Ibrahim yang sedang merebut jawatan nombor dua Parti.
Kesan psikologi dan mental
"Ia juga memberi kesan psikologi dan mental kepada para penyokong kedua-dua pemimpin utama yang giat berkempen," katanya.
Kekeliruan ini timbul apabila seorang petugas JPP melalui akaun twitternya mengeluarkan keputusan keseluruhan bahawa Zaid mendahului Azmin bagi jawatan timbalan presiden, malah ia turut disiarkan melalui laman web rasmi PKR.
Menerusi twitter dan laman web itu pada awalnya melaporkan Zaid mendahului Azmin dengan 632 undi. Zaid memperoleh 3,683 undi berbanding Azmin 3,051 undi dan Mustaffa ditempat ketiga dengan 1,271 undi.
Ekoran hal itu, media dan portal berita turut melaporkan seperti yang diterima melalui twitter mahupun laman web rasmi tersebut.
Namun Setiusaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menerusi sidang media semalam, mengakui kesilapan manusia menjadi faktor kekeliruan kepada data undi itu.
Saifuddin kemudian memberi angka rasmi dan menunjukkan Azmin mendahului Zaid dengan perbezaan 522 undi.
Perebutan jawatan timbalan presiden bagi pusingan pertama secara rasminya, Azmin mendahului dengan 3,051 undi, Zaid (2,529) dan Mustaffa Kamil Ayub (1,149).

Rosmah ‘pemangku Perdana Menteri’ langgar protokol?

rosmah_mansor_02Oleh Nazli Ibrahim
Tindakan Datin Seri Rosmah Mansor mewakili suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu acara rasmi dan membacakan teks ucapan Najib menimbulkan persoalan mengenai isu protokol.
Malahan tindakan itu turut memalukan dan menjejaskan kredibiliti jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang sepatutnya memangku tugas-tugas Perdana Menteri ketika ketiadaannya.

Demikian menurut Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Kim ketika dihubungi FMT hari ini.  Beliau turut melahirkan rasa hairan apabila PM dengan sewenang-wenangnya membelakangkan protokol yang sedia ada.
"Saya tak faham mengapa PM boleh membiarkan isterinya yang seolah-olah memangku tugas PM ketika ketiadaannya.  Tidak ada sesiapakah yang boleh menasihati Rosmah dalam hal ini seperti pegawai protokol atau menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri?" soal beliau.
Beliau berpendapat amalan seperti ini bukan sahaja menjatuhkan maruah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai TPM, malah agak memalukan keseluruhan rakyat Malaysia umumnya apabila Rosmah dilihat semakin jauh mencampuri urusan rasmi kerajaan.
"Apa yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah ini secara langsung atau tidak langsung, seolah-olah memalu dan menjatuhkan maruah TPM. Bukan TPM sahaja yang mendapat malu, kita rakyat Malaysia turut mendapat malu," ujar beliau.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang turut melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku perbincangan rahsia antara Najib dan Rosmah berhubung rahsia kerajaan.
Bincang rahsia kerajaan suami-isteri
"Saya agak bimbang kalau-kalau PM terlebih dahulu berbincang dengan isterinya tentang dasar-dasar yang ingin kerajaan laksanakan atau pun rahsia lain kerajaan.
"Datuk Seri Najib tentu tahu, rahsia kerajaan bukan untuk dibincangkan suami isteri tetapi perbincangan harus dilakukan dengan Menteri-menteri atau pun di Parlimen.
"Ini amalan yang bahaya apabila membiarkan seseorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan dan kabinet sewenang-wenangnya mempengaruhi keputusan kerajaan.
"Suatu tindakan harus diambil bagi menghentikan amalan yang menakutkan ini terus berlaku," tambah beliau.
Saran Rosmah tanding PRU 13
Beliau menyarankan Rosmah agar turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 kelak sekiranya ingin mengambil bahagian secara serius dalam urusan kerajaan.
"Mungkin pada masa itu, kalau dia menang PRU 13 PM boleh lantik dia sebagai TPM menggantikan (Tan Sri) Muhyiddin," kata beliau dengan nada sinis.
Ahad lalu Rosmah berucap mewakili Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi, Karnival Deepavali 1 Malaysia di Klang setelah Najib dijangkiti penyakit cacar.
Tindakan tersebut menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan beberapa ahli politik dan pengamal undang-undang terkenal dalam negara ini.
Rosmah kelihatan cenderung untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dan membelakangkan Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara.
Antara Kementerian yang pernah dianggap sebagai ‘terganggu’  akibat tabiat Rosmah ini adalah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelancongan Malaysia serta beberapa Kedutaan Malaysia di luar negara.

Perarakan Satu Malaysia: Satu Orang, Satu Ratus Ringgit

Perarakan bukan lagi "budaya Barat" yang mengancam ketenteraman masyarakat, sebaliknya setiap pesertanya dibayar ganjaran "Seratus Ringgit Malaysia", seandainya mengambil bahagian dalam perarakan Satu Malaysia dalam PRK Galas, semalam.
Namun demikian, ganjaran ini diberi secara senyap-senyap, tanpa mahu didedahkan kepada media.  Wartawan MerdekaReview menerima khabar pada jam 9.50 pagi ini, bahawa peserta perarakan Satu Malaysia yang dianjurkan semalam boleh menuntut ganjaran RM100, dengan menunjukkan kad pengenalan mereka.
Bagaimanapun, penduduk tempatan yang menerima wang enggan berterus-terang kepada wartawan.  Ada yang mendakwa "ada pemeriksaan darah percuma" di tingkat atas, ada pula yang berkata "ada tiket jamuan malam".  Makcik-makcik yang turun dari tingkat atas melipat sampul surat putih dan memasukkannya ke dalam kocek, meninggalkan situ secara tergesa-gesa.
Ketika wartawan MerdekaReview sampai ke tingkat atas, kononnya tempat di mana wang diberikan, seorang wanita yang berpakaian "Satu Malaysia" dengan kolar merah kelihatan berada di situ.  Terdapat juga beberapa helai senarai nama dalam bahasa Malaysia, dan nombor kad pengenalan yang disalin menggunakan tangan.  Penduduk yang mengelilinginya meletakkan kad pengenalan di atas meja, menunggu untuk dikenalpasti.
Wartawan MerdekaReview cuba bertanya, sama ada itu aktiviti "pemeriksaan darah percuma", dibalas wanita tersebut dengan, "Ya, tapi dulu".  Apabila wartawan menyusul dengan soalan lain, wanita tersebut menjelaskan bahawa mereka sekadar mendaftarkan peserta jamuan malam.  Ini kerana pertubuhan yang menyebarkan konsep "Satu Malaysia" telah tiba di Gua Musang untuk menjamu penduduk tempatan.
Isyarat tangan: RM100 diberi
Kemudian, wartawan pula bertanya penduduk yang berada di tingkat bawah.  Mereka dengan tegas menafikan bahawa mereka mengambil wang, malah seorang lelaki berpakaian T-shirt merah menekankan bahawa penduduk sekadar datang untuk mengambil tiket jamuan, dan tiada wang diberikan.  Wartawan mendesak dengan pertanyaan berapa orang dalam senarai namanya, ataupun berapa orang yang mendaftarkan diri, namun soalan-soalan ini enggan dijawabnya.
Wartawan mendapati makcik-makcik yang turun ke tingkat bawah mempunyai sampul surat putih dalam koceknya.  Mereka menerima isyarat daripada penganjur, yang disyaki didalangi MCA, enggan ditemuramah wartawan, dan meninggalkan tempat kejadian dengan terburu-buru.
Tetapi, seorang makcik yang turun dari tangga memberi isyarat kepada wartawan bahawa wang diberikan di tingkat atas.  Wartawan MerdekaReview menunggu di kawasan berdekatan untuk hampir sejam, dan menanya seorang lelaki yang turun dari tingkat atas.
Beliau mengangguk secara senyap, ketika ditanya sama ada wang diberikan di tingkat atas.  Wartawan menyusul dengan pertanyaan sama ada "RM500 diberikan", beliau menafikan sambil ketawa, dan memberi isyarat tangan bahawa RM100 diberikan.
Pada kira-kira jam 11.30 pagi, wartawan cuba untuk naik ke tingkat atas sekali lagi.  Kebetulan wartawan terserempak dengan dua orang wanita yang sedang turun dengan sampul surat putih di tangannya.  Seorang daripadanya dengan tangkas memasukkan sampul surat ke dalam begnya, sementara seorang lagi memasukkan ke dalam koceknya dan meninggalkan tempat kejadian sambil berlari.
Taukeh kedai yang berdekatan bertanya wartawan, "Kamu ada menyertai perarakan Satu Malaysia semalam?  Naik tangga, bagi dia tengok kad pengenalan, kemudian kamu akan dapat RM100."
Selepas itu, beberapa orang penduduk menyerahkan sampul surat berwarna putih itu kepada wartawan, yang ditulis nombor siri dengan pen merah, juga tertera perkataan "Food and Lodging".  Dua helai RM50 didapati di dalam sampul.
Seorang penduduk tua memberitahu MerdekaReview, mereka dibasahi hujan ketika menyertai perarakan Satu Malaysia semalam, maka ia dianggap sebagai "elaun" kepada apa yang tertimpa ke atasnya (dibasahi hujan).
Apa yang menarik, walaupun pertubuhan "1Malaysia" ini mendakwa diri mereka badan bukan kerajaan yang bebas, tetapi lelaki dari tangga atas yang memberi penjelasan kepada wartawan tadi turut mengedarkan risalah untuk aktiviti "berdialog" dengan Menteri dan Timbalan Menteri dari MCA, iaitu Liow Tiong Lai dan Wee Ka Siong.  Risalah ini tertera nama cawangan MCA Kota Gua Musang.

Batu Sapi : Aktiviti Kempen 2-11-2010 - Part 1












PRK Galas: Ku Li guna taktik sulit di Galas

PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) akan melakukan serangan besar-besaran terhadap PAS di Galas mulai malam ini hingga hari mengundi Khamis ini, kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

"Mereka akan menggunakan taktik sama seperti di Manek Urai iaitu menggunakan sogokan wang dan barangan untuk menang di Galas," katanya.

Beliau juga mendakwa, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) akan menggunakan taktik sulit untuk memastikan calon BN, Abdul Aziz Yusof menang dalam pilihan raya kecil Galas.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Abdul Halim berkata, "Ku Li akan mengarahkan penyokong-penyokong kuatnya bergerak dari rumah ke rumah untuk memberi wang dan barangan kepada mereka.

"Kumpulan ini yang diketuai seorang yang mengandungi 10 perayu undi di Galas," katanya.

Abdul Halim yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa berkata, Ku Li akan melakukan apa sahaja untuk memastikan BN menang di Galas.

Katanya, tokoh veteran Umno dan juga pengarah pilihanraya BN Galas itu mahu menjaga maruahnya.

"Umno Gua Musang selama-lamanya bergantung kepada Ku Li tetapi sejauh manakah pengaruhnya. Sebanyak mana pengaruhnya pada 30 tahun lalu, 20 tahun dan hari ini?" katanya.

Bagaimanapun, pengarah pilihanraya PAS Pusat itu yakin mereka Dr Zulkifli Mohammad yakin boleh menang.

"Tetapi saya tidak dapat meramalkan sebanyak mana undi kemenangan itu," tambahnya. 

Batu Sapi : Aktiviti Kempen 1-11-2010










Karpal mahu Adun Umno Azhar didakwa kesalahan hasutan

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Karpal Singh mendesak agar Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim didakwa berhubung kesalahan hasutan atas alasan memerlukan tindakan perundangan tegas selepas beliau digantung daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) selama enam bulan.
Karpal (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sewajarnya mendakwa Azhar di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran pendirian DUN semalam.
Pengerusi kebangsaan DAP ini berkata, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan selepas peristiwa 13 Mei 1969 membolehkan seseorang itu dikenakan pendakwaan jenayah meskipun kata-kata sedemikian dikeluarkan di dalam DUN.
“Saya agar terkejut kerana DUN tidak merujuk perkara ini dalam bentuk laporan polis supaya tindakan boleh diambil ke atas Azhar di mahkamah,” katanya.
Karpal berkata, walaupun DUN telah menerima tindakan Azhar yang menarik balik kata-kata dikeluarkannya, undang-undang perlu memainkan peranan yang diperuntukkan.
Katanya, tindakan menarik balik kata-kata yang dikeluarkan bersamaan dengan perbuatan mengaku mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Ia bersamaan dengan pengakuan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,” kata Karpal kepada pemberita di sini hari ini.
Azhar digantung selama enam bulan berkuat kuasa 17 Ogos lepas hingga Februari depan daripada menghadiri DUN kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur hasutan pada persidangan DUN 16 Mei lepas.
Keputusan itu diluluskan oleh Yang Dipertua DUN Datuk Abdul Halim Hussain pada persidangan semalam setelah usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun segala saraan dan elaun beliau sebagai Adun Penaga dikekalkan.
Terdahulu pada perbahasan yang diadakan selepas pembentangan usul itu, Azhar dari Barisan Nasional, bertegas dengan pendiriannya tidak mahu memohon maaf disebabkan beberapa perkara iaitu tiada dakwaan khusus untuk mengenakan hukuman terhadap dirinya.
“Selain itu usul yang dirujuk juga cacat dan bercanggah dengan peraturan 37 kerana usul itu tidak pernah dibahaskan sebaliknya speaker ketika itu terus mengambil keputusan mengemukakan masalah itu dan satu undi telah diambil,” katanya.
Katanya faktor lain, ialah setiap perkataan kesat yang dirujuk telah ditarik balik dan diterima oleh dewan tanpa sebarang reaksi.
Azhar sebelum itu telah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Abdul Halim dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali, beliau juga telah memberi penjelasan berhubung perkataan yang disebut pada persidangan 6 Mei lepas.
Pada mesyuarat yang diadakan itu juga Azhar telah diminta untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Karpal menambah, Lim seharusnya membuat satu laporan polis terhadap Azhar dan jika laporan polis dibuat, ia tidak akan memerlukan siasatan mendalam kerana segala apa diperkatakan oleh Azhar sudah pun dirakamkan dan ada dalam penyata DUN.
Peguam itu juga mengingatkan Peguam Negara bahawa beliau dari sudut perlembagaan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tanpa rasa takut dan bimbang.

Selepas jumpa Clinton, M'sia ikrar keadilan bagi Anwar


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hari ini selepas perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berikrar bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat perbicaraan yang adil berhubung dakwaan kes liwat yang dihadapinya.

"Adalah menjadi kepentingan saya dan negara untuk memastikan Anwar dapat perbicaraan yang adil,” kata Anifah ketika persidangan akhbar bersama, - merujuk terhadap dakwaan yang dikenakan ke atas Anwar yang boleh menyaksikan beliau dihumban ke penjara sehingga 20 tahun.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dipecat dan dipenjarakan atas beberapa dakwaan seks dan rasuah sedekad yang lalu berkata beliau sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik dan melahirkan kebimbangan tidak mendapat keadilan sewajarnya berhubung dakwaan terbaru dengan seorang lagi pembantunya.

Pakatan pembangkang yang diterajuinya membuat kejutan pada pilihan raya umum 2008 lalu dengan menafikan kerajaan BN kemenangan dua pertiga di Dewan Rakyat, - sesuatu yang tidak diduga sejak BN memerintah negara ini lebih separuh abad.

Anwar, yang didakwa mengadakan perhubungan sejenis dengan pembantunya berkata semua tuduhan yang dilemparkan itu bertujuan menamatkan kerjaya politiknya dan melemahkan Pakatan Rakyat.

Badan Hak Asasai Manusia menggesa Malaysia menggugurkan dakwaan ke atas Anwar dan membidas kes itu sebagai "charade of justice," atau 'keadilan kepura-puraan' dan Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa ia sedang memerhati dengan teliti peristiwa berkenaan.

Meliwat walaupun di kalangan golongan dewasa atas dasar kerelaan kedua-dua pihak adalah satu kesalahan jenayah di Malaysia.

Perbicaraan Anwar bermula pada Februari lalu tetapi tergendala akibat penangguhan dan tidak mencapai banyak kemajuan.

- AFP

Tok Guru Islamkan 3 Orang Asal

GUA MUSANG, 2 Nov:- "Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," demikian kalimah syahadah yang telah dilafazkan oleh tiga orang penduduk asal Kampung Sandrop dalam Program Muhibbah Menteri Besar Kelantan bersama Masyarakat Orang Asal semalam.

Majlis pengislaman mereka yang dihadiri lebih daripada 300 orang penduduk asal menjadi lebih bermakna apabila ucapan lafaz syahadah mereka dipimpin oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dan disaksikan oleh calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan turut hadir pada majlis itu adalah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ketiga-tiga saudara baru itu, Hashim Along, 32, Ramle Sabri, 20 dan Asot Jeli adalah berasal dari Kampung Sandrop juga.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diiringi calon PAS juga sempat meluangkan masa menziarahi Keluarga arwah Salmah Bt. Uda, 43 tahun yang meninggal pada Jumaat lalu.

Suami arwah, Alim Akai, 49 tahun yang terkejut dengan ziarah itu menyambut baik kunjungan Tok Guru dinasihati agar bersabar dan turut diberi sumbangan peribadi oleh beliau.
Calon PAS yang merupakan seorang doktor, sempat memberi penerangan ringkas mengenai bahaya penyakit stroke dan darah tinggi.

MITP: Kerajaan bakal rugi RM83.45 juta

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Kerajaan bakal menanggung kerugian RM83.45 juta dan tanah seluas 20 ekar dalam skandal terbaru PKFZ 'dalam pembikinan'.
Ianya merujuk kepada projek usahasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan Bindforce Sdn Bhd, bagi menubuhkan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) yang bernilai RM243.38 juta.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad pada sidang media di parlimen hari ini merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara.
"Saya bangkitkan perkara ini kerana inilah projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan menggung kerugian akibat 'etter of undertaking," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Bindforce memegang ekuiti 60 peratus bernilai RM29.05 juta manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM11.62 juta.
Ianya akan dibangunkan atas tanah seluas 20 ekar yang diberi sewa oleh LKIM dengan perjanjian konsesi swasta secara Bina Operasi Pindah (BOT) selama 30 tahun yang dibuat pada 16 September 2004.
Kos pembinaan dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September.
OSK Trustee pada 6 Januari 2010 kemudiannya didakwa mengisytiharkan 'event of defefault' terhadap MITP.
LKIM sebelum itu mengeluarkan Letter of Undertaking menyatakan perjanjian akan dikuatkuasa jika terdapat event of default di pihak MITP.
Sehubungan itu, OSK juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah.
Dengan milikan 40 peratus ekuiti, kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut.
"Tanggungan pinjaman bon RM83.45 juta, surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat, dan tanah 20 ekar LKIM tidak dapat dituntut semula kerana dicagar MITP dan kini MITP tidak aktif," katanya.
Tindakan tersebut juga jelasnya menjadi off balance sheet bajet kerajaan dan dalam masa sama melebarkan lagi defisit fizikal negara.
"Berapa banyak projek ETP dan RMK serta Bajet 2011 yang akan diberi jaminan undertaking oleh kerajaan pusat atas nama inisiatif Public Private Partnership?” soalnya.

SPR: Bayaran RM20 bukan rasuah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin bahawa bayaran RM20 yang ditaburkan kepada orang ramai sebelum majlis jamuan makan malam anjuran Wanita Umno di Batu Sapi, Sabah bukan bertujuan membeli undi.

Ketika dihubungi hari ini, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata dakwaan seumpama itu sukar dibuktikan.

“Kita banyak dengar perkara ini, ada orang bagi basikal dan makanan. Mereka boleh beri pelbagai alasan. Lihat contoh PAS, kata mereka bayaran RM250 untuk pengundi luar supaya pulang mengundi di Galas bukan rasuah tetapi sebagai elaun pengangkutan,” katanya dengan panjang lebar melalui telefon.

Lagipun, kata Aziz kesalahan seumpama itu sukar dibuktikan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mereka perlu menunjukkan bahawa penerima habuan berkenaan telah mengundi parti yang memberi.

“Undi kita rahsia, jadi bagaimana kita nak tahu parti mana yang dipangkah oleh orang yang menerima wang itu? Saya tidak dapat melihat hubungan itu.

“Terdapat ramai peguam hari ini dan mereka boleh memutar daripada hitam kepada putih, jadi kamu kena ada bukti yang jelas dan pasti 100 peratus perkara itu berlaku. Jika tidak, usaha itu jadi sia-sia.”

Malaysiakini sebelum ini telah melaporkan bahawa Wanita Umno dikesan menyerahkan wang RM20 kepada mereka yang sanggup memberikan butiran peribadi dan juga mendedahkan parti mana yang disokong mereka.

Malah, perkara itu juga berjaya dirakamkan oleh seorang wartawan. Seseorang yang perlu menunjukkan myKad mereka bagi membuktikan mereka adalah pengundi di kawasan itu.

Menurut seorang wanita yang berbaris: “Ini untuk pengundi. Tunjukkan myKad untuk buktikan kamu pengundi dan mereka akan berikan wang.”

Kebanyakan yang beratur pada hari berkenaan adalah rakyat Malaysia keturunan Cina meskipun majlis berkenaan didakwa untuk sayap pekerja Wanita Umno.

Malah, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sendiri mengesahkan wang itu adalah untuk pekerja parti yang ke Sabah untuk membantu kempen BN.
Bagi membuktikan perkara itu, wartawan Malaysiakini juga beratur dan juga diberikan wang RM20 itu. Malah identiti pengenalan juga toidak lagi diminta.
Aziz kemudian diminta membaca laporan berkenaan dan melihat klip video tersebut. Selepas berbuat demikian pengerusi SPR itu menghantar mesej teks kepada Malaysiakini bahawa beliau yakin bahawa wang RM20 itu adalah hanya untuk pekerja parti dan bukannya untuk pengundi.
“Selepas baca (laporan berita) saya percaya bahawa pekerja parti adalah dari seluruh Sabah dan yang penting mereka bukan pengundi Batu Sapi.

“Wang tunai RM20 diberikan sebagai bayaran pengangkutan dan malah wartawan Malaysiakini juga dapat, baiknya...Apa ini?”

Namun, katanya, beliau akan menyerahkan laporan dan video berkenaan untuk penasihat undang-undang SPR supaya mengjkajinya dan mengambil tindakan jika perlu.

Malaysiakini akan menyerahkan wang tersebut kepada pihak SPR bagi membantu siasatan.

SDO mengaku peruntukan diberi kepada ketua Umno bahagian

KUALA LUMPUR, 2 Nov: "Sory YB! Kita beri kepada Ketua Bahagian Umno. Ini arahan yang kita terima." Ini adalah jawapan Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Wilayah Persekutuan kepada anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Jawapan ini diberikan beliau ketika Dr Lo' Lo' (gambar) bersemuka dengannya dan bertanya, "Siapa yang menghabiskan peruntukan untuk saya selaku anggota Parlimen Titiwangsa?"

Kedua-duanya bertemu dalam majlis taklimat  tentang program e-Kasih di bangunan Parlimen tidak lama dahulu.

Perkara ini diceritakan oleh Dr Lo' Lo' dalam satu kenyataan yang dibuat kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan BN tidak menyalurkan peruntukan RM1.5 juta untuk setiap kawasan Parlimen kepada para ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ia hanya diberikan kepada anggota Parlimen BN dan ditempat yang BN kalah, peruntukan itu diberikan kepada ketua bahagian Umno.

"Namun dasar Umno/BN yang kolot dan takut berhadapan secara profesional di padang yang sama rata menyebabkan peruntukan tersebut masuk kantung ketua bahagian Umno," kata Lo' Lo'.

Namun begitu, katanya, semua 10 anggota Parlimen Pakatan di Kuala Lumpur telah berjaya menunjukkan politik baru yang tidak berdasarkan perkauman tetapi berdasarkan keperluan dan keutamaan.

"Kita layan rakyat sama sahaja, tanpa mengira warna kulit," cerita Lo' Lo' dalam kenyataan ketika mempertikaikan ucapan Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang berkata, Umno tidak memerlukan undi Cina dan India.

Bagi beliau, kenyataan Datuk Johari Ghani itu umpama  terlajak perahu boleh ditarik balik, terlajak kata buruk padahnya.

Bagi beliau,  Datuk Johari telah menunjukkan warna sebenar Umno.

"Mereka hanya perlukan undi orang Cina, orang India dan bukan Melayu secara am. Bila perkiraan matematik mereka menunjukkan Umno akan selamat dengan sokongan orang Melayu, mereka tidak segan silu menyebut tidak akan sembah orang Cina dan India.

"Alhamdulillah mereka tak sembah orang bukan Melayu untuk undi. Jika tidak berat kes sebab kita orang Islam sepatutnya sembah Allah bukan sembah orang atau kaum lain," peringat Lo' Lo' dalam kenyataannya.

Lo ' Lo' sekali lagi memperingatkan, rakyat di kawasan beliau sangat memerlukan pertolongan dan Umno jelas telah membiarkan mereka selama ini.

"Bayangkan di Titiwangsa ni sahaja seramai 700 ibu tunggal yang sepatutnya layak dapat bantuan, hanya 67 orang sahaja yang ada dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Apa wakil rakyat dulu buat? Itu baru isu ibu tunggal, belum lagi isu OKU, pesakit kronik, warga emas, pesakit mental dll," katanya.

Selain itu, beliau juga kesal dengan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak mengambil berat isu pendatang asing yang berniaga memenuhi kawasan Chow Kit yang terletak dalam kawasan Parlimen beliau.

"Belum lagi cerita Chow Kit yang telah dijajah oleh PATI. Bagaimana gerai-gerai PATI boleh dibina atas kaki lima? Bila minta DBKL bertindak, jawapannya gerai-gerai itu kepunyaan orang tempatan yang merupakan ahli/ajk beberapa persatuan peniaga.

"Siapakah ahli/ajk persatuan ini? Sebahagian besar merupakan ajk cawangan Umno yang berselerak. Rupanya yang menggadai Chow Kit bukan Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng dari DAP tetapi Umno sendiri," tempelak beliau.

Kerana pelbagai isu itulah, kata Lo' Lo', apabila beliau membuka pusat perkhidmatan, berduyun-duyun yang datang meminta bantuan dan perkhidmatan dari pejabat beliau yang terletak di Kampung Baru.

"Bila saya buka pusat khidmat di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, berduyun-duyunlah orang yang datang. Orang Melayu, Cina, India, Sikh silih berganti datang.

"Semuanya kita layan dan lakukan apa yang termampu. Yang tidak mampu ialah bagi duit sebab memang tak ada duit. Kalau ada beras, staf saya akan beri beras kepada yang memerlukan. Penagih dadah pun ramai datang," cerita Dr Lo' Lo' lagi.

Beliau sekali lagi menempelak Datuk Johari yang berkata sudah membuka pusat khidmat Umno di Desa Pandan yang lebih canggih dari pusat khidmat beliau.

"Duit kita dia dah rembat. Cuba bagi RM1.5 juta kepada anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat uruskan, alamat sakitlah mereka. Kita akan beri kepada rakyat secara langsung dan telus," kata beliau lagi.

BN Selama Ini Tidak Pedulikan Titi-titi Di Batu Sapi Reput & Uzur


 

Jika calon BN jatuh laut di Kelantan

Katakanlah kawasan Parlimen Batu Sapi yang sedang berdepan pilihan raya kecil kini letaknya di negeri Kelantan diperintah PAS. Andaikan juga calon mewakili parti pembangkang negeri yang dua kali menerima musibah terjatuh ke laut di sana adalah dari sebuah parti mewakili Barisan Nasional (BN).

Rasanya tidak sukar dibayangkan reaksi dan luahan dukacita bersangatan dari para pemimpin BN di atas kejadian tersebut. Hampir tidak akan ada pemimpin parti itu, kecil mahu pun besar, tua dan muda yang berlumba-lumba mengambil kesempatan menyuarakan kekecewaan mereka.

Tidak cukup dengan para pendokong dan penjuak parti, tokoh-tokoh ternama masyarakat yang kononnya tidak terlibat politik juga ada kemungkinan diminta memberikan pandangan mereka. Akan ada ahli akademik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat yang dirakam komentar mereka, terutama dari perspektif keselamatan sosial dan keselesaan hidup rakyat.

Dapat juga diduga bagaimana serius dan berlumba-lumbanya media-media talibarut BN menggemariuhkan insiden calon pembangkang jatuh ke laut itu. Barangkali sudah tersumbat telinga mendengar leteran dan kutukan serta sudah naik berbulu mata kita melihat gelagat melebih-lebih para penjuak dan pengampu BN mengulas insiden itu diulangsiar saban hari oleh media elektronik, cetak dan siber.

PAS selaku parti pemerintah kerajaan negeri dengan mudah dilabelkan gagal melaksanakan pembangunan, sehingga tidak berupaya menjamin keselamatan rakyat. Seperti lazimnya, sorotan dan ulasan mereka akan berpanjangan hari ke hari. Ia diseret berjela-jela dipenuhi berbagai andaian negatif dan analisa berat sebelah.

Bahkan, satu ungkapan wajib yang rasanya tidak akan ketinggalan disebut para pemimpin BN dan pengulas media dalam keadaan itu ialah dakwaan kononnya rakyat amat menyesal memilih PAS sebagai pemerintah. Akan ada juga dakwaan kononnya para pengundi di kawasan Batu Sapi, “Kelantan” sudah serik dengan PAS dan bertekad memilih BN pula dalam pilihan raya Khamis nanti.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya dari BN-PBS, Datuk Edmund Chong Ket Wah, akibat kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, 9 Oktober lalu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 26 Oktober menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon-calon BN-PBS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

BN diwakili Naib Ketua Wanita PBS, Datin Linda Tsen Thau Lin, yang juga isteri mendiang Edmund. PKR diwakili Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah, manakala SAPP diwakili Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Kebetulannya, pilihan raya berkenaan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan. Justeru, keghairahan BN mengulangi tabiatnya menjaja isu pembangunan sebagai modal kempen kembali menguasai suasana di sana.

Galas, yang baru dua tahun ditawan PAS, didakwa mundur dan tersisih dari arus pembangunan, sepertimana keseluruhan Kelantan juga. Ia dibahasakan kepada kegagalan kerajaan negeri ditadbir PAS memajukan kawasan Hulu Kelantan itu.

Berbagai isu menyentuh kepentingan rakyat dibongkar dan ditonjolkan, terutama oleh media talibarut BN. Dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan dan keselesan penduduk adalah lumrah.

Itu belum lagi calon BN di Galas terjatuh sungai ketika berkempen ke mana-mana destinasi dalam kawasan berkenaan, sepertimana dialami Ansari di Batu Sapi.

Setakat ini sudah dua kali calon PKR itu mengalami musibah serupa. Kali pertama pada 27 Oktober, apabila jeti diperbuat daripada kayu yang sudah usang di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, runtuh secara tiba-tiba.




Ketika kejadian, kira-kira 10 petugas PKR sedang melalui jeti berkenaan. Ansari bersama pengurus kempennya, Oting Enchi dan seorang wartawan sebuah televisyen portal terjatuh ke laut.

Kejadian hampir sama berulang lagi ke atas Ansari dua hari berikutnya. Beliau bersama empat petugas PKR terjatuh ke dalam laut ketika sedang berjalan ke sebuah rumah atas air di Kampung Gas, apabila pelantar pejalan kaki ke rumah tersebut runtuh.

Tidak ada satu pun kenyataan kesal oleh mana-mana pemimpin BN disiarkan media talibarutnya. Jauh sekali untuk mereka, selaku pemerintah kerajaan Pusat dan negeri Sabah, memohon maaf di atas kedaifan prasarana awam di situ.

Sebaliknya, media pro-BN masih sempat mempersenda Ansari dan seolah-olah menggambarkan insiden mencemaskan itu sebagai hanya satu babak menggelikan hati.
Sebuah tabloid arus perdana mencatatkan kejadian pertama menimpa Ansari sebagai “alamat buruk buat calon PKR”. Akhbar sama dalam melaporkan kejadian kedua menyifatkan beliau “seolah-olah sudah terkena sumpahan”, apabila sekali lagi terjatuh ke dalam laut.

Pandangan bersifat tahyul dan kurafat itu rupa-rupanya turut dikongsi para pemimpin BN. Dikatakan ada pemimpin BN menuduh Ansari tidak ada ‘feng shui’ atau ditimpa kecelakaan akibat dua kali terjatuh ke laut ketika kempen.


Bagi calon PKR itu, kenyataan sedemikian mencerminkan betapa rendahnya tahap pemikiran pemimpin BN itu yang lebih mementingkan kepercayaan ‘feng shui’ atau tilik nasib berbanding menganggapnya sebagai takdir Allah.

Setakat ini tidak ada pemimpin BN tampil menyatakan simpati. Sebaliknya ada yang tergamak menuduh Ansari mereka-reka cerita insiden tersebut.

“Terjatuh ke dalam laut bukan perkara main-main. Mereka (pemimpin BN) kata saya main-main atau mereka-reka terjatuh ke dalam laut,” media pada Isnin, 1 November, memetik reaksi Ansari.

Usaha mempersenda Ansari turut dibuat media talibarut BN. Bagi menutup kelemahan kerajaan negeri memastikan keselamatan penduduk, ia menyorot komen mereka mengenai kejadian itu.

Penjelasan seorang yang didakwa penduduk Kampung Gas dipetik akhbar tersebut. Katanya, “titi memang kuat... sebelum ini tak pernah goyang. Saya pun harian macam mana Ansari dan kawan dia boleh jatuh”.

Ertinya, media itu berusaha menafikan bahawa insiden itu akibat daripada keadaan pelantar kayu yang uzur dan tidak selamat, sekali gus menolak ia dikaitkan dengan kegagalan kerajaan BN negeri membangunkan kawasan berkenaan.

Sejauh manakah benarnya pelantar itu memang kuat dan insiden itu ada kena-mengena dengan “sumpahan” yang terkena Ansari? Barangkali penjelasan penduduk Kampung Bokara, sebuah kampung atas air seperti Kampung Gas, juga di dalam kawasan Batu Sapi, boleh dijadikan ukuran.

Seorang penduduk jati kampung berkenaan dipetik tabloid harian pada Isnin, 1 November, sebagai mengakui kebanyakan jambatan (pelantar) menghubungkan setiap rumah penduduk sudah reput dan usang serta perlu diganti baru.

Beliau mengakui penduduk tidak mampu membaikinya sendiri berikutan tiada kewangan mencukupi kerana ia memerlukan kos yang tinggi. Justeru beliau mempersoalkan, mengapa kerajaan negeri tidak berbuat sesuatu?


“Rumah saya ada lapan pengundi yang sentiasa menyokong kerajaan (BN), jadi apa salahnya jika mereka (BN) membalas jasa kami selama ini,” katanya, seperti dipetik tabloid berkenaan.

Aduh! Kita percaya, andainya Batu Sapi berada di Kelantan diperintah PAS, nescaya reaksi sebegitu dan yang jauh lebih pedas dari itu akan lebih banyak dapat kita dengar dan baca di media-media arus perdana!