Isnin, 1 November 2010

Pertemuan Clinton-Anwar: Kenapa cemburu?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak yang mempertikaikan cadangan pertemuan beliau dengan Setiusaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton sebenarnya tidak memahami proses demokrasi yang sebenar, lapor Suara Keadilan.

"Apa masalahnya? Kenapa mereka cemburu, Azizah pun tak cemburu saya bertemu dengan Hillary. Saya pergi ke India dan bertemu dengan Perdana Menteri Manmohan Singh, begitu juga semasa saya pergi ke Turki saya berjumpa Perdana Menteri Erdogan, kenapa tak bantah," kata Anwar pada sidang media di bilik gerakan PKR, di Sandakan hari ini.

Bernama melaporkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai berkata tidak salah bagi Hillary bertemu Anwar dalam kapasiti beliau sebagai ketua pembangkang.

Bagaimanapun Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari California Chuck DeVore menasihati Clinton supaya tidak menemui Anwar dalam lawatan rasminya.

Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan Clinton semasa lawatan rasminya ke Malaysia bermula esok untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa.
Malaysiakini pada 30 Oktober lalu melaporkan Hillary akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan NGO dalam lawatan rasmi sulungnya ke Malaysia minggu depan walaupun format perbincangannya masih belum ditentukan.

Ketua Informasi kedutaan AS di Kuala Lumpur Tina Malone yang dihubungi berkata masih belum dapat menjelaskan sama ada pertemuan tersebut akan dibuat dalam bentuk dialog.

Parti Politik Pembangkang Atau Parti Politik Oposisi?

Oleh Hamdan M. Salleh   
Parti politik merupakan institusi politik yang menghubungkan masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai bentuk kepartian politik di negara-negara membangun dimana kes-kes  kepartian ini kerapkali dikaji berlandaskan teoritik dan perbandingan berpaksikan pengalaman kepartian di Barat. Namun, sejak kebelakangan ini sudah terdapat perkaitan kajian tentang peranan parti-parti politik dalam proses pendemokrasian. Ini sudah tentu membawa kepada pelbagai kajian khusus berkenaan parti-parti politik yang wujud baik sebagai pemerintah mahupun sebagai yang di Malaysia di panggil Pembangkang.

Istilah pembangkang yang kerap diguna di Malaysia lebih menggambarkan persepsi yang negatif untuk parti-parti yang tidak memerintah walhal parti-parti ini turut terlibat dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik serta bertindak sebagai pemeriksa dan pengimbang (check and balance) kepada kerajaan. Malah kerap kali kedengaran agak dangkal umpamanya seperti yang kerap media di Malaysia ungkapkan seperti “kerajaan pembangkang di Selangor”, “pembangkang gagal mentadbir dengan baik di Kelantan” dan pelbagai lagi. Pembangkang di peringkat persekutuan tidak bermaksud parti tersebut jika memerintah negeri boleh dianggap pembangkang. Jika di Selangor, pembangkanhya adalah Barisan Nasional. Begitu juga di Kelantan. Logiknya, bagaimana pembangkang boleh memerintah walhak mereka tidak mempunyai majoriti? Persepsi ini perlu diubah dalam usaha kita hendak mewawarkan politik baru.

Kamus Dewan (2000) sendiri tidak menggunakan perkataan pembangkang untuk mendefinisi parti politik yang tidak memerintah. Sebaliknya, ia menggunkan istilah oposisi sebagai istilah utama bagi menggambarkan parti bukan pemerintah. Perkataan pembangkang hanya digunakan bagi menerangkan lebih lanjut. Menerusi halaman 945, jelas tertera:

“oposisi 1. Penentangan. 2. =parti ~ parti politik yg (sic) menentang parti pemerintah (dlm (sic) parlimen dll (sic) )”, parti pembangkang.”

Parti politik juga merupakan institusi politik demokrasi yang menghubungkan masyarakat dan negara. Peranan parti politik amat penting dan mempunyai hubungkait rapat dalam pembentukkan sesebuah negara dalam apapun bentuk amalan politiknya (Teshome, 2009).  Bukan sahaja parti ini mencerminkan hubungan negara dan masyarakat, malah dalam sesuatu keadaan mampu memulakan serta membentuk hubungan itu secara tersendiri

Justeru itu, ia memerlukan satu pertubuhan yang tersusun, merangkumi sekumpulan atau segolongan individu yang bekerja bersama-sama untuk bersaing merebut jawatan politik dan perjuangan polisi yang dipersetujui bersama. Jesteru itu, parti politik amat penting untuk proses pendemokrasian dan konsilidasi demokratik.

Schattschneider  (1942) yang merupakan antara kajian terawal berkenaan parti politik berpendapat adalah satu yang mustahil sebuah sistem demokrasi moden tanpa kewujudan parti-parti politik didalamnya. Tambahan pula, part politiklah yang membezakan sistem demokrasi dengan sistem diktator. Linz dan Stephan (1996) menyatakan bahawa adalah sangat mustahak adanya parti-parti politik dalam usaha membentuk sesuatu demokrasi. Ini kerana tidak ada perwakilan tanpa bercorak kepartian yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi. Oleh itu, dunia secara amnya dicorakkan sebagai sebuah sistem demokrasi menerusi kewujudan parti-parti politik.

Heywood (2002) berpendapat parti politik merupakan sekumpulan individu yang berhasrat untuk memenangi kuasa kerajaan menerusi kaedah pengundian atau kaedah-kaedah lain yang sesuai bagi pemikiran mereka. Canton (2007) pula menyifatkan parti politik dalam sesebuah sistem demokrasi amat perlu untuk melatih , memilih dan melantik calon-calon untuk pelbagai jawatan kerajaan dan parlimen. Selain itu, ia juga penting untuk mengumpul dan melaksanakan kehendak masyarakat dan untuk menyelia serta memantau sesebuah kerajaan yang memerintah.

Mathisen dan Svasand (1991) pula mengungkap peranan parti politik sebagai organisasi yang kompleks dan mempunyai  pelbagai peringkat seperti peringkat kebangsaan, rantau dan lokal / tempatan. Ia juga turut mengandungi pelbagai unit seperti peringkat pusat,bahagian pemuda, wanita dan sebagainya. Parti-parti politik turut mempromosikan persaingan penting berkenaan polisi-polisi dan ideologi yang pelbagi serta memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berperwakilan (Teshome, 2009).

Menurut New Politics Network (2005), parti-parti politik menawarkan polisi-polisi yang pelbagai menerusi kempen-kempen pilihanraya yang seterusnya membolehkan para pengundi membuat pilihan mereka menerusi sesuatu pilihanraya serta meletakkan calon yang mereka pilih ke seseuatu jawatan politik.

Canton (2007) menegaskan bahawa parti-parti politik memainkan dua peranan yang besar dalam demokrasi; menubuhkan kerajaan yang memerintah atau memainkan peranan sebagai Oposisi atau pengimbang terhadap kerajaan yang memerintah. Senario di Malaysia pula lebih gemar menggunakan istilah pembangkang untuk menggambarkan parti-parti yang tidak memerintah.

Istilah Oposisi dengan huruf besar “O” perlun digunakan sebagai ganti istilah pembangkang. Istilah Oposisi lebih sesuai digunakan untuk melambangkan sebuah parti yang menjadi pengimbang kepada parti yang memerintah.

Ini juga berlandaskan pandangan Levell (2003), Oposisi membawa maksud parti-parti di dalam legislatif yang fungsi utamanya adalah untuk menilai, mengkritik dan seterusnya memberi alternatif terhadap apa yang dilaksanakan oleh eksekutif.

Kajian terhadap parti Oposisi tentunya amat menarik namun bukanlah satu bidang kajian yang popular. Ia ada kalanya dianggap terutama di negara-negara membangun sebagai satu isu yang boleh menimbulkan keadaan sensitif, beremosi dan provokatif. Walhal, politik Oposisi merupakan satu institusi rasmi dalam proses berkerajaan dalam mana-mana negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi tulen. (O’Donnell, 1997). Parti-parti Oposisi ini yang sepatutnya menjadi pengimbang (check and balance) dan sebagai kuasa alternatif dalam legislatif sesebuah parlimen kerap dipersepsikan sebagai pembangkang yang tugasnya hanyalah membangkang semata-mata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Boleh dikatakan kajian pertama terhadap kepartian Oposisi hanya bermula dalam dekad 1960an apabila Robert Dahl menghasilkan buku Political Oppositions in Western Democracies (1966).

Persepsi negatif terhadap parti-parti Oposisi ini tidak sepatutnya berlaku kerana di dalam negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan akan silih berganti antara pelbagai parti politik. Parti-parti minoriti pula akan cuba untuk meyakinkan pihak majoriti berkenaan pandangan dan pendapat mereka menerusi kaedah politi tanpa perlu berkonflik.

Takrif demokrasi itu sendiri menjelaskan kepentingan parti-parti Oposisi sedari awal terutama dari aspek perngasingan kuasa. Menurut Murphy dan Blair (2006), ia merupakan satu hubungan antara parti yang memerintah dan parti-parti Oposisi yang diwatakkan sebagai perunding atau peserta (Lihat juga Dahl, 1971). Schmitter and Karl (1991) yang dipetik dari tesis Aspinall (2000:4),  berpendapat:

“Modern democracy ... offers a variety of competitive processes and channels for the expression of interests and values – associational as well as partisan, functional as well as territorial, collective as well as individual. ”

Jika dikaji dengan mendalam, istilah Oposisi merupakan satu istilah yang kabur. Sukar untuk memberi definisi tepat berkenaan Oposisi. Oposisi mungkin satu kaedah penolakkan menyeluruh atau total terhadap apa jua sistem kerajaan dengan hasrat menumbangkannya dengan apa jua sekalipun. Dari sudut yang lain pula, Oposisi merupakan pengimbang yang menilai, membangkang dan mengkritik apa jua tindakan kerajaan yang tidak berlandaskan yang sepatutnya(Roden, 1990, 10).

Emmanuel Dolo (2006) pula mendefinisikan parti Oposisi sebagai :

“partisan political institution that are intentionally designed to temper the ruling party’s excesses while still pursuing both legislative and presidential offices.”

Parti-parti Oposisi juga kerap digambarkan sebagai parti-parti minoriti yang tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi  memainkan peranan sebagai pemantau kepada kerajaan yang memerintah (Bagbin, 2008).  Dalam sesebuah negara pengamal demokrasi, parti-parti Oposisi adalah bebas untuk mengkritik parti pemerintah dan dalam masa yang sama parti Oposisi diharap dapat menawarkan polisi-polisi alternatif. Parti-parti Oposisi juga perlu menghormati dan mengiktiraf autoriti parti yang terpilih sebagai kerajaan (Kiiza, 2005).

Dolo (2006) juga mengungkap terma yang cukup menarik berkenaan hubungan unik ini :

“an authentic democracy is one where the ruling party has an effective oppostion.”

Schmitz (1988) pula menulis :

“The existence of an opposition, without which politics cease and administration takes over, is indispensable to the functioning of parliamentary political systems.”

Schmiz (1988) juga berpendapat bahawa dalam sistem masyarakat demokratik liberal, keabsahan sesebuah kerajaan bergantung kepada restu mereka yang diperintah. Pihak minoriti perlu menerima konsep bahawa adalah menjadi hak pihak majoriti untuk membuat keputusan.

Sehubungan itu, pihak majoriti akan menghormati hak minoriti untuk membantah keputusan yang dibuat oleh mereka yang memerintah serta menawarkan polisi-polisi alternatif. Dalm erti kata lain, adalah menjadi peranan parti-parti Oposisi untuk memantau dan mengimbang serta mengganti parti yang memegang tampuk pemerintahan.

Schmiz (1988) jelas percaya bahawa Oposisi politik yang tulen adalah rukun penting kepada demokrasi, toleransi dan kepercayaan kepada rakyat untuk menyelesaikan perbezaan menerusi kaedah yang aman. Schmitz juga berpendapat bahawa perbezaan antara kerajaan dan Oposisi adalah seuisia denga politik demokrasi itu sendiri.

Kajian parti politik juga merupakan asas penulisan Burnell dan Randall dalam buku Politics in the Developing World (2005). Terdapat bab khas yang membincangkan parti-parti politik, pertautan sosial mereka dan peranan parti-parti ini dalam perubahan politik sesebuah negara. Ia juga melihat dari aspek parti sebagai institusi, sebagai sebuah sistem serta peranan dalam proses pendemokrasian.

Untuk melihat sistem politik dan kepartian di Amerika Syarikat, buku karya Cummings dan Wise bertajuk Democracy Under Pressure (1985) terutama di bawah tajuk Politics U.S.A. Bab ini menganalisa bagaimana sesebuah parti politik beroperasi, kempen dan pemilihan calon pilihanraya dan tingkahlaku pengundi dalam sesuatu pilihanraya di Amerika Syarikat.

Robert Michels (terjemahan, 2001) pula menerangkan dengan panjang lebar konsep parti politik dari sudut yang spesifik dalam buku beliau Political Parties, A Sociological Study of the Oligarchical Tendencies of Modern Democracy. Buku asal yang ditulis pada tahun 1915 ini meneliti aspek asal kejadian sesebuah parti politik terutama dari sudut sosiologi. Memandangkan ia antara karya terawal berkenaan konsep kepartian, pelbagai isu-isu penting digarap dan dianalisa dengan kritis.

Samuel P. Huntington pula dalam bukunya The Clash of Civilizations, Remaking of World Order (1996) berpendapat bahawa budaya dan identiti agama seseorang akan menjadi punca utama konflik era pasca Perang Dunia Kedua. Pendapat beliau ini jelas menangkis teori-teori sebelu ini yang mendukong idea bahawa ideologi kepartian hanya berlandaskan hak kemanusiaan, demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis semata-mata.

Jika dilihat dalam skop negara-negara membangun, terdapat ribuan parti politik yang lahir dari gelombang demokrasi era baru. Banyak yang baru, hasil dari respon keterbukaan orde baru demokrasi. Parti-parti lain pula dalam bentuk penjenamaan semula atau amalgamasi parti-parti lama. Terdapat juga parti-parti politik lama dan bersejarah seperti Parti Kongres di India yang ditubuhkan pada tahun 1888, parti PRI (Institutional Revolutionary) di Mexico yang ditubuhkan pada tahun 1929 dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Afrika Selatan yang muncul seawal tahun 1912.

Kaedah pembentukan parti-parti politik juga berbeza antara satu sama lain. Parti-parti yang dominan seperti Parti Kongres India, ANC dan Barisan Pembebesan Mozambique (FRELIMO) di Mozambique lahir menerusi gerakan kebangsaan atau liberalisasi negara mereka. Hal yang sama juga berlaku di negara-negara Afrika lain dalam perjuangan mencapai kemerdekaan sekitar 1960an. Parti pemerintah seperti Kenya African National Union (KANU) di Kenya dan Parti Revolusi atau Chama Cha Mapinduzi (dalam bahasa Swahili) di Tanzania lahir dekad tersebut dan masih bertahan sebagai parti yang utama walaupun dengan kemunculan sistem demokrasi pelbagai parti. PRI di Mexico juga didasarkan menerusi perjuangan untuk mencapai revolusi sosial.

Namun, terdapat juga parti-parti politik yang muncul kerana cita-cita politik tokoh-tokoh jutawan yang berpengaruh. Parti-parti ini dijadikan landaan bagi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa. Pemimpin seperti Presiden Collor di Brazil dan Presiden Fujimori di Peru menggunakan parti-parti mereka untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Thailand. Parti Thai Rak Thai yang diilhamkan oleh Thaksin Shinawatra telah berjaya mendapat majoriti mutlak dalam pilihanraya parlimen Thailand pada bulan November 2000 walaupun hanya ditubuhkan beberapa bulan sebelum itu.

Dalam pada itu, kajian parti Oposisi secara mendalam hanya mula muncul pada dekad 1960-an. Robert Dahl dalam bukunya, Who Governs? (1961) telah meneliti struktur kuasa rasmi dan tidak rasmi dalam satu kajin kes di New Heven, Connecticut. Menerusi kajian tersebut, Dahl merasakan yang terdapat pelbagai golongan elit yang terlibat dalam struktur kuasa sama ada sebagai pemerintah mahupun pengimbang. Buku beliau yang ditulis pada tahun 1966, Political Opposition in Western Democracies pula mengutarakan antara lain kajian terhadap parti pengimbang dalam masyarakat demokrasi liberal di Barat.

Ketiadaan kajian ini disebabkan kemungkinan kajian terhadap parti pemerintah dan corak pemerintahan serta pentadbiran dipandang lebih penting. Tanggapan inilah yang perlu diubah kerana jika dilihat daripada sudut yang lain, pengimbang ini membenarkan parti-parti berkenaan lebih bebas untuk menilai ideologinya, mendebatkan polisi serta membawa idea-idea dari rakyat yang tidak mungkin boleh diutarakan oleh parti yang memerintah. Seterusnya parti-parti ini menjadi pemerintah, mereka akan menggunakan pengalaman sebagai parti pengimbang untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik dari parti yang tidak pernah atau tidak punya pengalaman menjadi parti pengimbang atau Oposisi.

Malaysia juga menyaksikan kemunculan pelbagai jenis parti politik sejak pra merdeka hingga ke pasca pilihanraya (PRU) ke-12 pada tahun 2008. Terdapat parti pemerintah bersifat etnik yang muncul sebelum mereka seperti UMNO, MCA dan MIC yang ditubuhkan antara 1946-1948. Tahun 1951 menyaksikan kemunculan parti berpaksikan agama iaitu PAS. Parti multietnik juga muncul, bermula dengan parti NEGARA, GERAKAN dan PPP.  Pasca merdeka juga menyaksikan muncul DAP dan PRM yang berideologi sosialis. Sabah dan Sarawak pada awalnya banyak memperlihatkan kemunculan parti wilayah dan etnik serta PBB, UPKO, PBS dan banyak lagi.

KEADILAN atau awalnya dikenali Parti Keadilan Nasional (PKN) hanya muncul penghujung dekad 90-an. Ianya muncul dalam satu keadaan rentetan protes terutama dengan pemecatan pemecatan dan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Khalayak umum melihat ia merupakan satu-satunya faktor munculnya parti ini. Mungkin ia benar dari sudut realpolitiknya, namun isu-isu sosio-politik yang berakar umbi beberapa tahun sebelum itu harus diambil kira untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku hingga membawa kepada penubuhan KEADILAN.

Ketiadaan banyak kajian berkenaan parti oposisi turut tercermin dalam kajian sains politik di Malaysia. Parti-parti Oposisi atau pengimbang utama yang ada waktu ini seperti PAS, DAP dan KEADILAN sememangnya amat kurang diberi perhatian dalam kajian-kajian besar. Jika adapun, kajian banyak menjurus kepada PAS. Amat kurang kajian-kajian ilmiah yang kepada parti-parti seperti KEADILAN dan DAP. Itu belum dikira parti-parti Oposisi yang pernah muncul di Malaysia seperti Parti Buroh, Parti Sosialis Malaysia, NASMA, Parti Sosialis Rakyat Malaysia, HAMIM, BERJASA, AKIM dan juga SEMANGAT 46 yang pernah muncul dan kemudiannya terbubar.

Kajian terhadap parti politik di Malaysia terutama politik parti-parti yang tidak memerintah lebih banyak muncul pasca PRU-12. Sebelum itu, parti-parti yang banyak dikaji pula lebih menjurus kepada parti-parti memerintah. Parti-parti pengimbang atau Oposisi kerap terpinggir dan lebih banyak diulas menerusi penulisan bercorak politik semata-mata. Hanya PAS yang kerap mendapat perhatian di semua peringkat kajian.

Cuma setelah berlaku apa yang dipopularkan sebagai Tsunami Politik pasca Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, barulah muncul kajian berkenaan kepartiaan di luar status quo. Itupun banyak menjurus kepada aspek analisa kemerosotan parti memerintah tanpa menilai secara mendalam keupayaan parti-parti Oposisi sebagai kajian kes.

Tsunami politik Pilihanraya ke-12 tersebut merupakan satu sejarah penting politik Malaysia. Ia menjadi kajian pelbagai pihak baik dari segi akademik dan ilmiah hingga ke pojok politik semata. Tidak terkecuali, kejayaan parti-parti politik Oposisi turut mendapat perhatian besar dari semua pihak. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah antara parti Oposisi yang menonjol pada PRU itu. Ia telah muncul sebagai parti Oposisi terbesar di Parlimen. Tidak hairan jika kebangkitan KEADILAN dari satu kerusi di Parlimen P44 Permatang Pauh pada PRU-11 kepada 31 kerusi Parlimen dengan keseluruhan lebih 70 wakil rakyat memberi kejutan besar kepada bukan sahaja kepada para penganalisa politik, malah kepada kerajaan yang memerintah. Malah jika dibandingkan kepada jumlah bahagian, KEADILAN mempunyai 212 bahagian di seluruh Malaysia berbanding UMNO yang mempunyai 191 bahagian.

Sudah sampai masanya parti-parti politik dilayan sama adil di Malaysia kerana semua parti sama-sama meraikan demokrasi. Ia perlu bermula dengan perubahan persepsi dengan istilah Oposisi menggantkan Pembangkang. Mungkin ada yang mempertikai bahawa Oposisi ini asalnya bahasa Inggeris. Namun, memang bahasa Malaysia memang begitu. Ingat lagi istilah bajet (budget) menggantikan belanjawan? Apa kata Ketua Pembangkang di parlimen digantikan dengan istilah baru; Ketua Oposisi ? Fikirkanlah demi merealisasikan politik baru yang lebih maju.

Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan ahli akademik dan mantan Ketua Jabatan Saisn Sosial di Univerisiti Industri Selangor (Unisel) yang mengkhusus dalam bidang sains politik. Kini beliau sedang menyiapkan tesis Doktor Falsafah yang mengkaji KEADILAN sebagai sebuah parti politik oposisi di Malaysia.

Wujudkah pakatan Musa-Ansari?

Semakin hari semakin hampir kita kepada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Batu Sapi, yang ditetapkan pada 4 November ini.Desas desus terkini timbul, adakah terdapat perjanjian sulit di antara Ketua Menteri Musa Aman dan calon PKR Ansari Abdullah bertujuan untuk menewaskan Presiden Parti Progresif Sabah, Yong Teck Lee?
Adakah ini sebabnya kenapa PKR berdiam diri berhubung tindakan Musa menolak ajakan Yong untuk berdebat mengenai isu Sabah?  Adakah ini juga sebabnya Umno kurang “mempersendakan” Ansari berbanding Yong?
Para pemerhati politik menyoal kenapa kem PKR tidak menyerang Musa kerana menolak cabaran Yong untuk berdebat sedangkan Musa merupakan sasaran utama pembangkang.
“PKR sepatutnya membidas Musa……seolah-olah PKR membiarkan sahaja Musa dan Barisan Nasional (BN)  Adakah ini satu helah?” kata bekas ahli politik yang enggan namanya disiarkan.
Ancaman serius
Yong sejak sekian lama menjadi “duri” kepada Musa iaitu sejak pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.  Yong juga menjadi ancaman serius kepada DAP Sabah, rakan Pakatan Rakyat.
Yong mendapat tempat di hati masyarakat Cina di Sabah.  Malahan beliau popular di kalangan rakyat, jika di lihat dari perkembangan di peringkat akar umbi dewasa ini, hingga digelar sebagai “taiko” oleh media.
Berbanding DAP Sabah, pengaruh Yong bukan setakat orang-orang Cina. Ketika menjelajah di kawasan Bumiputera Islam ketika kempen PRK Batu Sapi, Yong menerima sambutan hangat.
Maka disinilah terletaknya ancaman Yong kepada PKR, yang dilihat tidak lebih dari pengacau terhadap pertarungan di antara calon SAPP itu dan calon BN, Linda Tsen Thau Lin.
Apa pun yang diperkatakan dengan ragam politik Yong dan kegagalannya pada masa silam, bagi masyarakat tempatan, beliau adalah seorang tokoh yang popular sejak 2008.
Pada ketika itu, beliau menjawat jawatan ketua menteri bertindak menarik keluar SAPP dari kerajaan negeri BN Sabah.  Mungkinkah ini merupakan satu ancaman bagi Umno-BN?
Dalam politik Sabah yang sentiasa bergelora, yang ramai dengan “pengkhianat” hingga membawa kepada gelaran “katak”, berkemungkinan satu bentuk pemuafakatan yang ganjil tidak dapat ditolak.
Apakah bentuk pakatan Musa-Ansari?
Memandangkan beliau berkawan rapat dengan keluarga Aman sejak 1990an lagi, komen dalam blog bahawa Ansari “dipasang” oleh Musa, dalam kes Umno dan PKR, sekurang-kurangnya pada peringkat negeri, bekerjasama menentang Yong.
Kekalahan yang bakal dialami Yong nanti dilihat sebagai satu anugerah buat BN Sabah dan menjamin kedudukan Musa.
Ansari mempunyai masalahnya sendiri di Sabah.  Beliau meninggalkan Berjaya dan menyertai parti baru Umno Sabah pada tahun 1990an.  Beliau keluar Umno pada lewat 1990an dan menyertai Bersekutu, parti baru yang dikaitkan dengan para pemimpin Berjaya.
Menteri Luar Anifah Aman, yang sepatutnya menyertai Ansari dalam parti baru itu tetapi oleh sebab-sebab tertentu merubah fikirannya.
Sungguhpun begitu, persahabatan mereka kekal.  Nama Ansari selalu dikaitkan dengan keluarga Aman.
Mungkin juga secara kebetulan bahawa setiap kali Ansari membuat lawatan rasmi ke Indonesia, Brunei atau China, Ansari juga pergi ke luar negeri.
Beberapa pemerhati melihat langkah politik yang dibuat oleh Ansari sebagai oportunis.  Mereka membuat andaian bahawa hubungan Ansari dengan keluarga Aman adalah sebab kenapa beliau mendapat sokongan Naib Presiden PKR Azmin Ali.
Ansari tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan wang.  Dalam pilihan raya umum lalu, poketnya penuh berisi.  Malahan beliau mampu membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda yang baru sekembalinya dari China.  Beberapa ahli PKR menyoal di mana beliau mendapat wang.
“Sebab itu ada orang berkata beliau disuap oleh Anifah.  Anifah berada di China ketika Ansari juga berada di China,” kata satu sumber.
Isu ketaatan
Ini menimbulkan keraguan di kalangan beberapa ahli PKR mengenai ketaatan Ansari kepada parti.
Kenyataannya yang terbaru menafikan adanya pakatan di antara SAPP dan PKR Sabah dan menyatakan PKR sanggup memberi laluan kepada SAPP bertanding melawan BN supaya wujud pertandingan satu lawan satu mengejutkan ahli-ahli parti.
“Apabila Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) meminta Yong menarik diri…..jelas PKR ingin menyertai.  Tidak ada sebab untuk bertolak ansur dengan SAPP.
“Jika hipotesis ini benar, maka Anwar harus menunggu sehingga selesai mesyuarat bersama.  Apabila kedua-dua parti bertemu mereka bersetuju bahawa musuh bersama ialah BN……dan mereka ingin memecah sokongan terhadap BN.
“Tapi keadaan telah berubah di antara tempuh masa mesyuarat di Penampang dan sekarang,” kata sumber dalaman PKR, dan menambah, timbul khabar-khabar angin wang Sabah disalurkan untuk menyokong pemimpin-pemimpin tertentu dalam pemilihan pimpinan PKR.
Sementara itu, ketidakhadiran Jeffrey Kitingan dalam kempen Ansari juga mengibas kuat khabar angin terdapatnya “pakatan Musa-Ansari.”
“Jeffrey tidak bekerja dengannya (Ansari)…….dan ramai lagi pemimpin lain yang mengelak bertemu dengannya…..tidakkah itu ganjil?, ” soal seorang penyokong PKR.

Tuduhan Utusan seperti penembak curi - DAP

KUALA LUMPUR, 1 Nov: DAP hari ini mencabar wakil daripada akhbar Utusan Malaysia untuk berdebat secara terbuka berhubung tulisan akhbar berkenaan menggunakan kolum Awang Selamat bertajuk DAP dan Melayu.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, Utusan boleh diwakili oleh sesiapa sahaja sebagai ‘Awang Selamat’ untuk perbahasan mengenai desakan-desakan Utusan dan Umno mengenai isu berkenaan.
Beliau menyifatkan Utusan yang dimiliki Umno semakin melampau membuat serangan terhadap DAP melalui tulisan-tulisannya.
"Penyerangan mereka termsuklah penyerangan terhadap Kerajaan Pulau Pinang atas dasar kebajikan, pengambil alihan tanah untuk membina hub pendidikan, isu penjaja-penjaja dan lain-lain perkara di mana kami dituduh menghalau orang Melayu dari Pulau Pinang.
"Utusan Malaysia juga telah menyerang bertubi-tubi terhadap pemimpin DAP yang lain termasuklah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang difitnah memberikan tazkirah dalam surau, dan juga saya sendiri yang dikatakan berniat untuk menghapuskan hak diskaun beli rumah bumiputera," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mingguan Malaysia semalam menyiarkan tulisan Awang Selamat yang menuduh DAP sebagai parti paling rasis di dunia.
Tony juga berkata, penyunting dan pemilik Utusan Malaysia tidak sepatutnya menyembunyikan diri mereka yang sebenar di belakang nama pena dan meluahkan pelbagai tuduhan tanpa asas seperti penembak curi.
"Kami ingin memberikan peluang terbuka kepada pihak Utusan Malaysia untuk membela pendirian mereka seperti hulubalang kaum yang tulen, dan bukannya bertindak sebagai pengecut apabila menghadapi cabaran," katanya yang ditemani ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Ching Tong.
Tegasnya, DAP berani membuktikan bahawa mereka tidak rasis, sebaliknya bersama dengan Pakatan Rakyat untuk menambahbaikkan nasib orang Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di negeri lain yang sebahagian daripada kerajaan daripada DAP.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak Utusan berani untuk berhadapan dengan DAP yang dianggap musuh utama mereka.
"Pembahasan ini boleh dianjurkan oleh mana-mana pihak bebas termasuk Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ) ataupun TV3 dan format pembahasan boleh dipersetujui sebelum acara tersebut. Kami sedia menunggu berita baik daripada pihak Utusan Malaysia," katanya.

Peratus keluar pemilihan PKR hanya 9 peratus

Perlawanan bola sepak Piala Malaysia dikenalpasti sebagai penyebab utama peratusan keluar mengundi yang rendah dalam pemilihan pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di 68 cabang sebelum ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengakui perlawanan akhir antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada Sabtu yang bertindih dengan pemilihan parti menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Selain itu, anggota parti itu terlibat membantu dalam kempen pilihan raya kecil Galas, kata Saifuddin.

Sebab-sebab lain, menurut Saifudin, apabila akhbar parti Suara Keadilan digantung - yang mana edarannya didakwa 150,000 - tidak dapat mewarwarkan pemilihan parti itu kepada anggotanya di seluruh negara.

"Jika kita lihat pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka akan mengiklankan di radio dan televisyen supaya orang datang mengundi, tetapi parti tiada dana untuk tujuan itu," katanya.

Sambil berharap perkara ini tidak berulang, beliau menjelaskan peratusan keluar mengundi pada tiga hari pertama - Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu - hanya sekitar sembilan peratus.

Mohd Asri: Politik kita memerlukan anjakan baru

Saya rasa politik kita memerlukan nafas baru.  Seperti mana UMNO memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama.  Saya seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti.
Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini.  Kita jangan lupa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kita.  Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara.  Ada beberapa perkara yang mungkin perlu dinilai:
1. Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara.  Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat.  Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi.
2. Justeru, politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas.  Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai "al-quwwah" (kemampuan) dan al-Amanah (amanah).  Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh.  MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat.  Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan.  Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi "hero" dalam pentas baru politik hari ini.  Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat.  Jika Abdullah pun bersara, makin mereka yang "sewaktu" dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara.  Kata-kata A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula.
3. Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkang DSAI, sudah sampai masanya untuk bersara "politik".  Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak "seimbang".  Zamannya mungkin makin menyusur pergi.  Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat "story-design" politik yang sama.  Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman.  Demi untuk mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan.  Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini.  Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi.  Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.
Maaf atas pandangan ini.  Saya (Mohd. Asri, gambar kiri) insyaAllah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini.  Saya tahu sesetengah pembangkang cepat "melenting" jika ada pandangan yang mereka tidak setuju.  Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik.
*Tulisan ini dipetik daripada blog Mohd Asri bin Zainul Abidin, bekas mufti Perlis

Nik Aziz: Tak timbul kerajaan negeri tidak mahu beri geran tanah

GUA MUSANG, 1 Nov – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan kerajaan negeri pimpinannya tidak akan memberikan geran tanah kepada penduduk di Gua Musang.
Tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas, Mursyidul Am PAS (gambar) menegaskan, geran tanah akan diberikan selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
“Kita akan beri geran tanah, tidak timbul isu tidak mahu beri (geran tanah).
“Kita tidak suka cakap kosong,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Bandar Baru Lojing di sini.
Selepas mesyuarat khas itu, Nik Aziz melawat perkampungan Orang Asli dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk.
Turut hadir calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob ketika ditemui berkata, program penyerahan geran tanah kepada penduduk akan diadakan secepat mungkin.
“Kita akan ambil peluang juga dalam tempoh ini (untuk beri geran tanah).
“Ada juga masa ini (kempen) ada juga selepas (pilihan raya),” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah Dan Wilayah itu berkata, pemberian geran tanah akan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Jajahan selesai proses persiapan yang sepatutnya.
“Persiapan untuk dapatkan geran itu dibuat oleh pejabat tanah, Exco (Kerajaan Negeri) dan ketua jajahan luluskan saja,” katanya.
Tambahnya, sepertimana amalan sebelum ini, geran tanah tersebut akan dikurniakan oleh Sultan Kelantan.
“Biasanya geran tanah diserah oleh ke Bawah Duli.
“Contohnya yang Tuanku bawa pada Jumaat sebelum ini, Tuanku telah hadir. Seramai 114 orang penduduk Gua Musang telah menerima geran (tanah) dalam majlis berkenaan,” katanya.
Pada 22 Okteber lalu Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan geran tanah kepada 114 penerima pelbagai kaum dari daerah Gua Musang di Istana Persinggahan di sini.
Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, daripada 114 penerima, 13 daripadanya kaum Cina, dua masyarakat India dan selebihnya masyarakat Melayu.
Menurutnya, penerima menerima geran tanah untuk tempoh sama ada 33,66 atau 99 tahun bergantung kepada jenis geran tanah sama ada bangunan atau pertanian serta bergantung kepada penerima sama ada mereka merupakan anak Kelantan atau sebaliknya.
Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas Khamis ini menyaksikan pertandingan antara Dr Zulkefli dan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff.
Kerusi DUN itu kosong ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

PAS: Tingkatkan undi Cina, kekalkan undi kaum asli

Undi Melayu kepada PAS-Pakatan Rakyat mungkin berkurang seandainya keputusan PRK Manek Urai dijadikan rujukan.  PAS mungkin tidak bermasalah dengan undi Cina, yang sentiasa melebihi paras 50%.  Justeru itu, cabaran PAS dalam PRK Galas ini adalah meningkatkan undi majoriti Cina, untuk menutup penurunan undi Melayu, di samping mengekalkan 33% undi kaum asli yang diperolehi pada PRU ke-12.
Gelanggangnya sama, iaitu Kelantan, negeri yang ditadbir kerajaan PAS-Pakatan Rakyat.  Apa yang membezakan antara PRK Galas dengan Manek Urai adalah komposisi pengundinya.  Sejumlah 99.2% pengundi Manek Urai terdiri daripada Melayu, di samping beberapa keluarga Cina dan India, yang sudah tentu gagal memainkan peranan untuk menjadi penentu.
Namun demikian, pengundi di kawasan DUN Galas terdiri daripada 20.08%  pengundi Cina, sementara 1,891 undi daripada kaum asli, iaitu 16.7%.  Menurut ahli parlimen Kota Bahru, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, PAS memperolehi kira-kira 54% undi Cina dan 33% undi orang asli pada PRU ke-12.
Contohnya, Kampung Bharu terdiri daripada 2,168 orang pengundi, dan 52.6% daripadanya adalah pengundi Cina.  Secara puratanya, PAS memperolehi sokongan 58% di situ.  Di Kampung Pulai pula, 83% daripada 473 pengundi adalah penduduk Cina.  PAS hanya memperolehi 46.52% sokongan, kalah dengan 25 undi.
Dari kedudukan geografinya, PAS tewas di tujuh peti undi bahagian Timur, dari enam kawasan orang asli yang berdekatan dengan Tanah Tinggi Cameron, termasuk Lojing, sehinggalah Kampung Pulai yang berada di kawasan desa-bandar di Gua Musang.  PAS mendahului secara mendadak selepas memasuki kawasan bandar di bahagian barat Gua Musang, dan di situlah faktor penyumbang kepada kemenangan PAS.
Abdul Rahim (gambar kiri, kedua dari kiri) tidak menafikan bahawa salah satu matlamat yang digariskan dalam PRK ini adalah melepasi palang "25 undi", menewaskan BN di peti undi Kampung Pulai.
Calon PAS Zulkefli Mohamad jarang menjejak ke kawasan orang asli setakat ini, sebaliknya lebih melawat ke kawasan pengundi Cina dan Melayu mengikut jadual DAP dan PKR.  Namun, PAS telah memasuki kawasan kaum asli sebelum PRK Galas membuka tirai.
Pengundi tua Cina cenderung kepada PAS?
Seandainya dikupas mengikut faktor usia, kecenderungan sokongan terhadap PAS menyongsang dari pola pengundian di kawasan lain.  Contohnya di Kampung Bharu yang mempunyai empat saluran, PAS memperolehi undi yang paling banyak dari saluran satu 62.64%, menurun kepada saluran dua (56.81%), saluran tiga (54.19%), dan saluran empat (52.83%).
Terdapat 52.6% pengundi Cina di Kampung Bahru, kawasan yang mempunyai nisbah pengundi Cina kedua tertinggi, hanya selepas Kampung Pulai.
Ketika menjelaskan pola yang "songsang" ini, pasukan kempen DAP dan PAS perlu mengimbas sejarah.  Mereka berkata, BN mengambil alih banyak tanah yang diterokai penduduk Galas, seperti ladang getah pada tahun 1980-an, atas nama pembangunan, malah ahli parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah juga memiliki banyak tanah di situ.
Pengundi tua yang melalui pengalaman - pengambil-alihan oleh kerajaan selepas tanah dicurahkan titisan peluh - kebanyakannya bersyukur kepada PAS memerintah di Kelantan sejak tahun 1990.  Kerajaan negeri PAS bukan sahaja tidak merampas tanah mereka, malah meluluskan geran kepada mereka.
Terdapat pengundi Cina yang memberitahu MerdekaReview bagaimana mereka terkagum dengan bekas kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang sudi meluluskan permohonan hak milik pegangan bebas kepada penduduk Cina di kampung baru.
Bagaimanapun, penjelasan DAP dan PAS tersebut mungkin boleh dipertikaikan kerana Kampung Bahru adalah kawasan campuran kaum.
Undi Cina: PAS tidak bimbang
Namun demikian, proses meluluskan permohonan tanah yang lambat turut menjadi rungutan ramai pengundi Cina dan Melayu.  Ketua MCA Bahagian Gua Musang, Chee Sien Chen berkata, penyokong PAS adalah mereka yang mendapat geran tanah.  Chee mengkritik bahawa prosesnya terlalu lambat, dan penduduk perlu mengikuti perkembangannya dengan kerap.
Wan Abdul Rahim memberitahu MerdekaReview bahawa Pengerusi MCA Perhubungan Negeri Kelantan, Ng Yen Yen hanya menyasarkan 50% undi Cina.  Wan Abdul Rahim tidak menganggap bahawa MCA mampu meningkatkan undi Cina kepada BN, malah isu seperti Negara Islam tidak akan berkesan.
Mengikut statistik pasukan kempen DAP, daripada 2,300 orang pengundi Cina, sebanyak 368 orang bekerja di luar kawasan Galas.  Angka ini belum termasuk kira-kira 1,000 orang pengundi Melayu yang juga bekerja di luar kawasan Galas.  Justeru itu, "medan perperangan" dijangka diperluaskan ke Kuala Lumpur.  Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat akan melawat ke Kuala Lumpur pada hujung minggu ini untuk memujuk agar anak watan Galas kembali mengundi.
Undi Melayu dijangka berkurang
Pada dasarnya, undi Melayu tidak akan mengalami perubahan yang mendadak.  Wan Abdul Rahim memberitahu MerdekaReview, sambil merujuk kepada PRK Manek Urai, bahawa jumlah undi akan menurun 6%.  Jadi, mengikut perkiraan PAS, undi mereka mungkin jatuh dari 54% semasa PRU ke-12, kepada 48%.
"Tapi, selepas Barisan mengumum calon ni, kami meningkatkan 1%," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin pernah menyindir PAS kerana meletakkan "pemborong ikan" sebagai calon dalam PRK Manek Urai, namun kini BN meletakkan calon, yang hanya berkelulusan SPM.  Maka, belum lagi PAS menyerang, BN sudah mula untuk membelanya.
Wan Abdul Rahim menekankan bahawa PAS hanya berharap untuk mempertahankan 33% undi orang asli yang diperolehi ketika PRU ke-12.
Razaleigh: 70-80% undi kaum asli
Sementara itu, Pengarah pilihan raya kecil BN Tengku Razaleigh yang melawat dua kawasan kaum asli semalam, Hau dan Balar, yakin untuk memperolehi 70% undi kaum asli, malah mungkin mencecah 80% seandainya mengikut anggaran optimis.
Kini, PRK Galas telah memasuki hari keempat, dan BN dijangka akan menyasarkan pengundi Cina selepas memantapkan undi kaum asli.
Di samping itu, suasana kempen Pakatan Rakyat belum hangat, memandangkan kehadiran ceramah masih rendah meskipun Pakatan Rakyat menurunkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bekas Menteri Besar Perak Mohd Nizar Jamaluddin ke padang.  Dalam ceramah di Kampung Pulai semalam, kehadiran tidak mencecah ratusan orang - sesungguhnya hujan lebat mungkin menjadi punca, namun ceramah itu dijalankan dalam dewan tertutup.

Bina Kuasa Rakyat, Kuburkan Hegemoni UMNO

Pendahuluan
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada  Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) negeri Johor, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) atas jemputan dan memberi peluang kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membincangkan dan membicarakan isu yang cukup menarik dan panas ini.
Topik "Menentang Pemerintahan Fasis (Kuku Besi), Kuburkan Rejim UMNO" adalah satu topik yang sungguh straight forward dan penganjur mengariskan persoalan yang cukup tajam dan tidak berbelit belit. Persoalan di hadapan kita adalah persoalan yang nyata dan factual.
Kita hari ini berdepan dengan satu zaman yang penuh menarik.  Politik Malaysia yang untuk beberapa dekad ini yang lesu dan tenang, tiba-tiba bergelora dan dinamik.  Tsunami politik 2008 membawa bersama perubahan tetapi masih tidak berjaya menumpaskan rejim pemerintah yang memerintah sejak kemerdekaan.  Ini adalah zaman transisi iaitu zaman perantaraan antara dua rejim.  Persoalan adalah: Adakah rejim lama UMNO-BN akan terkubur atau sebaliknya?  Adakah ia dapat memperkukuhkan diri dan kembali memerintah dengan mandat baru?
Dan saya (S. Arutchelvan, gambar kanan) juga harus memberi tahniah kepada penganjur kerana berani mengadakan satu forum untuk membincangkan penguburan UMNO dan program ini pula diadakan di kubu UMNO yang paling kuat, iaitu di Johor, tempat lahirnya Onn Jaafar - pengasas UMNO.
Kalau kita berani berucap mengenai penguburan UMNO di Negeri Johor, maka boleh dikatakan harapan menguburkan UMNO memang cerah sekali.  Ada pandangan bahawa Johor akan merupakan negeri yang paling akhir sekali yang akan tumbang. Semasa penaklukan Inggeris ke atas Tanah Melayu, Johor menjadi negeri terakhir untuk akur kepada kehendak British, semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Johor sekali lagi menjadi negeri terakhir ditakluki memandangkan Jepun masuk dari Utara.  Dan hari ini, tidaklah mustahil untuk meramal Johor mungkin menjadi negeri terakhir untuk UMNO pula tumbang.  Justeru itu, forum ini diadakan di Johor ini sungguh signifikan dan mempunyai ada kepentingan politiknya.
Persoalan di hadapan kita:
Penganjur telah bertanyakan tiga soalan yang cukup relevan, iaitu -
1) Adakah kerajaan BN yang diterajui oleh Najib adalah sebuah regim fasis atau menuju ke arah fasis?
2) Apakah pula pendirian yang harus rakyat pelbagai kaum pegang terhadap regim tersebut?
3) "Di manakah jalan keluar Rakyat jelata dibawah pemerintahan regim fasis?"
Persoalan ini cukup tajam dan jitu.  Namun saya hendak menambah dua lagi soalan yang ada kaitan dengan tiga soalan di atas, dan dua soalan ini adalah persoalan yang paling pokok untuk zaman transisi ini:
1. Adakah rejim UMNO-BN akan tumpas?
2. Adakah mereka akan hilang kuasa secara aman dan senyap atau mereka akan lawan sehingga akhir?
UMNO Akan Tumbang!
Ya, untuk soalan pertama, saya sesungguhnya percaya bahawa rejim UMNO-BN akan tumpas dan hilang kuasa.  Hujah ini berlandaskan kepada realiti hukum alam dan saintifik.  Mana-mana satu pemerintahan dan sistem tidak boleh memerintah sehingga akhir atau secara kekal.  Perubahan pasti berlaku dari dalam (pereputan struktur dalaman) dan ditambah dengan tuntutan perubahan dari luar, pastinya UMNO tidak dapat bertahan lama.
Ahli Falsafah Hegel akan mengariskan ini sebagai hukum dialetiks iaitu pertembungan antara Tesis dan Anti-thesis.  Hari ini kita dapat melihat bahawa UMNO-Barisan Nasional semakin lemah dan semakin hari menghitung hari penguburannya.  UMNO-BN sudah hilang momentum politik, di mana pada satu masa kedudukan mereka seperti tidak boleh digoyang langsung, tetapi kini keadaan mereka semakin goyang.
Pada tahun 1969, Parti Perikatan menghadapi nasib yang sama, tetapi mereka berjaya hidup semula dengan "repackaging" baru dengan nama Barisan Nasional.  BN wujud setelah peristiwa berdarah 13 Mei, darurat dan penahanan beramai-ramai di bawah ISA.  BN hidup semula dengan bergabung dengan parti pembangkang pada masa itu,  termasuk Parti GERAKAN, PAS dan PPP, dan ini telah memberikannya nafas baru kepada hegemoni UMNO untuk terus kekal dan memerintah selepas itu.
Kini BN menghadapi zaman kehancurannya sekali lagi.  Adakah UMNO BN akan cuba "repackaging" balik, dan siapakah yang akan tampil ke depan untuk menyelamatkan mereka?  Dua cadangan "repackaging" telah dikemukakan, iaitu:  satu, menjadikan BN satu parti pelbagai kaum (multiracial) diusulkan oleh PPP selepas Tsunami 2008 dan mendapat sokongan beberapa parti komponen BN termasuk Parti Gerakan, tetapi tidak direstui oleh UMNO.  Najib mahukan 1Malaysia tetapi tidak mahu 1Parti pelbagai kaum.
Kemudian adalah cubaan "repackaging" atas nama perpaduan Melayu dan Islam dengan kerjasama dengan PAS.  Di sini kita dapat lihat bagaimana media arus perdana diguna habis-habisan untuk membuat khawin paksa antara UMNO-PAS dan ini memang telah mengugat foundation(asas) Pakatan rakyat (PR).  Kalau bukan pendirian tegas diambil oleh beberapa pemimpim termasuk Tok Guru, kemungkinan UMNO dan BN akan dapat nafas baru.  Tetapi cubaan itu gagal.  Dan cubaan pengabungan UMNO-PAS, bukan sahaja ditentang oleh DAP dan PKR, tetapi ia turut ditentang oleh komponen parti BN yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya.  PAS pula telah membuat perhimpunan Parti tergempar untuk memberikan komitmen ia masih bersama PR.
Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya.  Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah.  Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah.  Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur.  Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.
Dalam suasana kita menanti penguburan UMNO, kita jangan lupa bahawa MCA sudah mengatasi krisis kepimpinan, dan Samy Vellu akan bersara dari MIC.  Adakah reformasi dalam MIC dan MCA dapat menyelamatkan BN dan UMNO sendiri?  Saya kurang yakin memandangkan rakyat Malaysia semakin muak dengan politik lama MCA dan MIC.
Namun adalah baik kita tidak meremehkan usaha yang dibuat oleh BN untuk kembali mendapat keyakinan rakyat.  Namun demikian, jika PR gagal ke Putrajaya, saya merasakan pihak yang harus disalahkan adalah PR sendiri yang gagal mengambil kesempatan yang ada.  Saya melihat musuh paling besar dalam PR ke arah menuju Putrajaya bukanlah sekadar UMNO-BN, tetapi ia juga adalah bagaimana PR mengurus diri mereka sendiri?
Adakah UMNO akan lawan untuk kekalkan kuasa atau menyerahkan kuasa dengan aman?
Soalan yang kedua adalah: Adakah UMNO akan hilang kuasa secara aman dan senyap, atau mereka akan lawan sehingga akhir untuk terus berkuasa?  Ini merupakan soalan yang jauh lebih susah untuk dijawab.
Jawapan untuk soalan ini bukan sahaja bergantung kepada kelemahana BN tetapi juga bergantung kepada kekuatan PR.  Ajaran daripada semua revolusi dunia yang berjaya dari revolusi agung kaum pekerja di Russia, kepada revolusi Cina, revolusi Cuba, Revolusi Iran termasuk juga Peoples Power (EDSA) di Filipina dan Gerakan reformasi di Indonesia menunjukkan bahawa apabila kuasa rakyat atau kuasa revolusi cukup kuat dan menyeluruh, maka tentangan yang paling minima dan pertumpahan darah yang paling minima akan berlaku.  Ini adalah keadaan di mana arus perubahan yang melanda terlalu besar dan momentum yang cukup gergasi sehingga mereka yang hendak menentang akan akur sahaja dan undur tanpa tentangan (walkover).
Untuk suasana sebegitu, PR mesti menjadi gerakan yang dapat lebih kurang 65 -70% sokongan rakyat.  Suasana ini belum wujud dan jauh daripada wujud buat masa kini. Keputusan pilihanraya beberapa pilihanraya lalu terkini menunjukkan bahawa UMNO masih mendapat sokongan orang Melayu, manakala sokongan orang India sedikit sudah kembali ke pangkuan BN, dan nampaknya hanya Kaum Cina yang cukup bersedia untuk menguburkan rejim lama.
Faktor kedua yang kita harus ambil tahu adalah faktor samada UMNO itu berwajah facisme atau menuju fasisme.  Fasisme merupakan ideologi politik yang mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah ia mempromosi satu bentuk nasionalisme yang ultra - yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat.  Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama.  Dalam situasi ini adalah perpaduan Melayu dan ideologi ini juga meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme. Pengasah ideologi fasisme biasa dikaitkan dengan bekas pemimpin Itali, Benito Mussolini.
Adakah Najib menuju pemerintahan Fasis?
Justeru itu, kalau kita petik tujuh ciri fasis yang disimpulkan oleh ahli akedemik politik Laurence W Britt, dan kesimpulan Dzulkarnain yang terdapat dalam kertas yang disediakan oleh penganjur, maka tidak sah lagi ciri-ciri seperti - mempromosikan semangat kebangsaan atau patriotisme yang menjurus kepada perkauman; sokong pertubuhan perkauman seperti PERKASA; kebencian terhadap nilai dan hak asasi manusia; pencabulan hak asasi manusia; pengawalan ketat media massa;  penyalahgunaan institusi keselamatan Negara; dan pelaksana undang-undang iaitu agensi penguatkuasa dan kehakiman disalahgunakan; kepentingan kroni dan koporat dilindungi secara rapi; dan subsidi diteruskan kepada syarikat kroni; gejala kronisme dan rasuah berleluasa; pemberian kontrak dibuat tanpa ketelusan; dan akhirnya penipuan terancang dalam sistem pilihan raya.
Jika ini bermakna menuju fasisme maka tiada soalan lagi kecuali menyimpulkan bahawa Najib menuju kepada fasisme.  Kerana semua ciri-ciri ini dilaksanakan pada masa ini.
Namun demikian, suasana zaman Benito Mussolini jauh berbeza berbanding dengan zaman Najib Razak.  Najib berada dalam zaman ekonomi global kapitalisma di mana syarikat-syarikat MNC lebih kuat dari negara-negara berdaulat.  Oleh yang demikian - fasisme akan membawa kepada keadaan iklim perniagaan yang tidak selesa.  Ini akan ditentang oleh puak peniaga kecuali jika Najib dan UMNO dapat mengimbangi suasana kuku besi dengan syurga pernigaan kepada kaum kapitalis.
Mungkin Najib boleh belajar dari Singapura beberapa tips.  Oleh yang demikian adalah satu halangan untuk Najib.  Sejauh manakah sistem kapitalis itu sendiri mahu menyokong Najib, atau mereka mahu mencari pengganti dalam bentuk PR?  Inilah berlaku di Indonesia apabila kaum peniaga merasakan peniagaan lebih baik di bawah pembangkang daripada di bawah Suharto.
Isu kedua: Sistem maklumat merupakan senjata yang paling berkesan hari ini.  Marx pernah berkata bahawa teknologi yang dibawa oleh kaum borjuis boleh digunakan balik terhadap golongan mereka sendiri.  Dalam suasana berbincangan kita hari ini, informasi maklumat tidak lagi menjadi monopoli BN dan parti pemerintah.  Oleh yang demikian, keadaan maklumat yang penting dapat disalurkan.  Keadaan berbeza pada zaman dahulu dimana informasi dan maklumat menjadi monopoli satu golongan sahaja.
Faktor ketiga yang saya rasa cukup penting adalah sejauh mana PAS akan termakan umpan UMNO.  Hari ini saya ingin mengangkat topi nak tabik kepada PAS kerana sejak kebelakangan ini, PAS telah berkelakuan dengan penuh tanggungjawab dan penuh matang.  Dulu semasa saya baca Harakah Bahasa Melayu dan kertas Harakah bahasa Inggeris yang ada di dalamnya, saya dapati Harakah Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bau politik yang berbeza.  Satu untuk tarik orang Islam Melayu dan satu lagi untuk tarik orang bukan Melayu.  Namun demikian, kebelakangan ini saya melihat bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan juga tulisan-tulisan pemimpin PAS cukup konsisten sekali, baik dalam Harakah bahasa Melayu mahupun Harakah bahasa Inggeris.
UMNO telah mencuba banyak isu-isu perpaduan Melayu, isu Ahli Parlimen Serdang yang masuk surau bagi bantuan, isu Kalimah Allah, isu penukaran agama dan isu pembakaran gereja.  Dalam semua ujian ini, PAS telah meperlihatkan satu imej yang cukup baik dan matang.  PAS tidak menari dengan nada dan muzik UMNO lagi.  Pendirian PAS semakin konsisten dan semakin dapat diterima oleh majoriti rakyat yang berbilang kaum.
Dulu setiap kali, isu Melayu dan Islam dipermainkan oleh UMNO, PAS terus mengambil satu posisi bersama UMNO dan ini dengan senangnya memecahkan perpaduan di kalangan pembangkang terutamanya dengan DAP.  Tapi PAS hari ini berbeza dan mungkin dengan slogan PAS UNTUK SEMUA dan membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS, maka PAS hari ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai kumpulan radikal atau fundamentalism Islam.  PAS harus tegas dan berani memperjuangkan konsep ini demi perpaduan pembangkang dan PR.
Selagi PAS di landasan yang tidak terjerat dengan umpan UMNO, selagi itu UMNO susah untuk memecahbelahkan perjuangan rakyat.  Saya juga ingin menegaskan perpaduan kaum dapat kita kekalkan hari ini, sebahagian besar adalah berpunca daripada sifat dan sikap PAS yang tidak memainkan sentiment kaum dan agama untuk sekadar popular sahaja.
Apakah harus dibuat ?
Untuk menguburkan hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia, maka saya menyarankan empat pendekatan, iaitu peta jalan ke Putrajaya -
1. Memperkasakan rakyat dan bukan membohsiakan rakyat
Apabila Markos cuba mengekalkan kuasa di Filipina setelah menang pilihanraya secara tipu muslihat tetapi rakyat Filipina tidak dapat menerima keputusan pilihanraya, Marcos digulingkan oleh gerakan rakyat.  Di Venezuela, pada tahun 2002, apabila tentera dengan sokongan peniaga dan CIA membuat rampasan kuasa terhadap Chavez, lapan juta rakyat Venezuela turun mempertahanakan Chavez, dan Chavez dapat kembali bertakhta.
Di Perak, apabila Najib melancarkan rampasan kuasa, kuasa rakyat yang kita lihat adalah sementera, tidak menyeluruh dan tidak ramai.  Seandainya Kerajaan PR Perak membuat program yang begitu popular, mengapa rakyat Perak tidak turun untuk mempertahanakan kerajaan PR Perak di sana.  Malah kerajaan PR jatuh kerana ahli PR yang lompat parti.
Oleh yang demaikian, apabila mengambil kuasa, membuat sekadar program kebajikan sahaja tidak memadai.  Rakyat mesti sentiasa menjadi sedar dan terlibat secara langsung dalam politik, dan rakyat mesti sentiasa turun untuk mempertahankan kerajaan rakyat.
PR, saya lihat, kurang melakukan kerja-kerja memperkasakan rakyat.  Di Selangor umpamanya, kerajaan Negeri memperkasakan ekonomi begitu baik dan program kebajikan jauh lebih baik daripada zaman BN, tetapi apabila wujud persoalan seperti isu air SYABAS yang cuba disabotaj oleh BN, keajaan PR tidak berani membuat satu referendum.  Jika PR membuat satu referendum bertanya samada rakyat Selangor mahu Kerajaan Negeri atau SYABAS uruskan air Negeri Selangor, rakyat boleh mengundi di pejabat Majlis daerah, pejabat tanah dan JKK, sudah tentu ia akan mempolitikkan rakyat.  Satu referendum akan membawa bersama penglibatan rakyat dalam menentukan aliran politik negeri.  Yang sekali gus memberikan rakyat sentiasa peka kepada suasana politik.  Di negara Venezuela dan Cuba, referendum sentiasa diadakan untuk mendapat endorsement rakyat, dan sekali gus rakyat di negara itu sentiasa peka untuk mempertahanakan kerajaan mereka.
Di negeri-negeri PR, PR cuba membuat banyak program untuk menyaingi BN dari segi memberi beras, beg sekolah, hamper dan sebagainya.  Rakyat mesti disajikan dengan idelogi dan prinsip perjuangan, bukan disajikan dengan wang dan makanan percuma.
Jika Najib menuju fasisma, hanya gerakan rakyat dapat menyelamatkan keadaan. Untuk sebab itu, kita memerlukan rakyat yang sedar dan berani mempertahankan kerajaan rakyat.
2. Program yang Jelas dan meyakinkan
PR harus mempunyai satu program politik minimum yang cukup jelas antara semua parti dan program PR ini harus diumumkan kepada rakyat.  Setakat ini walaupun ada unsur membawa agenda PR dan logo bersama tetapi rakyat luar lebih banyak melihat persaingan di kalangan anggota PR daripada persamaannya.  Parti-parti PR juga lebih banyak cuba menonjol perbezaan daripada persamaan.  Baru-baru ini Lim Guan Eng memperkenalkan satu dokumen jika PR memerintah, tetapi ia tidak dibuat bersama dengan parti komponen lain, dan ini menimbulkan prasangka.
PR juga telah membuat "shadow cabinet", tetapi cabinet bayangan PR ini mempunyai tiga orang untuk satu jawatan dan mereka langsung tidak aktif dan ramai yang tidak kenali mereka dan mereka jarang membuat kenyataan.  Bagaimana rakyat hendak yakin dengan kerajaan yang menunggu untuk memerintah jika mereka langsung tidak menonjol.
Hanya dengan satu program politik yang jelas dan alternatif, dan satu dokumen yang cukup jelas, baru ia memberi rakyat peluang melihat apakah alternatif.  Kita tidak perlu tunggu sehingga pilihanraya, untuk kita mengutarakan program politik ini.
3. Membentuk satu Gabungan yang lebih besar merangkumi pertubuhan sivil, kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik lain
Tidaklah salah saya mengatakan, PR dibentuk bukan secara terancang dan sedar, tetapi secara tidak sengaja seperti satu kemalangan.  Sejurus selepas keputusan pilihanraya 2008, rakyat meluahkan sentimen yang cukup jelas bahawa mereka mahukan pembangkang bersatu.  Walaupun pada masa itu, ada sedikit perebutan kuasa antara parti pembangkang tetapi desakan rakyat yang cukup kuat menyebabkan tiga parti pembangkang utama akur dan menubuhkan PR.
Kini PR harus membincangkan politik masa depan dan menjemput kumpulan-kumpulan sivil, pertubuhan hak asasi, NGO, Kesatuan sekerja dan lain-lain parti menyertai satu gabungan yang lebih besar untuk menguburkan UMNO-BN.  PR nampaknya terlalu menfokus kepada pilihanraya, dan ini sering mencetuskan persoalan kerusi.  PR harus menjurus kepada membentuk gerakan akternatif kuasa kedua untuk mencabar kuasa BN sekarang.

Konsep ini seperti yang dibuat oleh PUTERA-AMCJA atau Gagasan Demokrasi.  Dengan adanya satu gabungan yang lebih besar, maka keyakinan untuk berlawan dengan UMNO dan jentera BN akan menjadi lebih kuat.  Andaikata jika perlu memberikan sedikit kerusi kepada kepimpinan masyarakat sivil, maka ia harus diberikan.  Kerusi tidak seharusnya menjadi monopoli tiga parti ini.  Contohnya jika masyarakat Orang Asli hendak meletakkan calon di satu tempat, lebih baik kita membernarkan mereka dan mendapat sokongan mereka daripada mengasingkan diri. 
PR harus mempunyai satu program jelas dan menjemput semua parti lain dan organisasi lain untuk sama-sama membentuk satu gerakan menentang BN yang cukup besar.  Ia harus dianggotai bukan sahaja oleh parti politik tetapi juga oleh kumpulan-kumpulan masyarakat dan NGO-NGO.
Di sini ada baiknya kita merenung, pandangan bekas Presiden PAS yang cukup progresif iaitu Prof Dr. Burhanuddin Helmy.  Burhanuddin Helmy mempunyai asal usulnya dari Nasionali kiri dan terlibat dalam KMM(1939), KRIS(1945), PKMM(1945) dan PUTERA(1947).
Ucapan Burhanuddin dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, KL Disember 1956 menggariskan –
"….Kerana itu penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti sahaja tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh masyarakat.
Kerana itulah PAS sanggup bekerjasama denagan apa saja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Tenaga-tenaga nasionalizem, keugamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gembeleng, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air kita.
Dasar-dasar persamaan antara ketiga-tiga tenaga ini harus kita tegakkan dari sekarang, kita pupuk dan kita perkukuh dari sekarang.  Dan satu dasar persamaan, satu titik pertemuan yang kukuh yang boleh kita tegakkan untuk mempertalikan ketiga-tiga tenaga ini.  Untuk memadukan ketiga-tiga tenaga itu ialah dasar kita bersama menentang penjajahan, cita-cita kita bersama mengingini satu Negara kebangsaan yang demokratis dan berdaulat."
Saya mengingatkan kembali kata-kata Presiden PAS ini, kerana untuk menguburkan rejim fasis UMNO hari ini memerlukan kerjasama pelbagai parti dari pelbagai aliran.  Selagi parti-parti dalam PR berpendirian di bawah satu program yang jelas, maka aspirasi menguburkan BN cukup baik.  Hari ini, PR masih gagal membentuk satu fahaman program perpaduan politik yang jelas.  Rakyat memerlukan satu program politik yang jelas untuk membawa perjuangan maju ke hadapan.  Dan program ini mesti popular dan membawa masuk lebih kumpulan dan golongan.
4. Berani membuat reformasi dalam Kerajaaan Negeri
Kerajaan negeri PR mesti berani membuat perubahan.  Saya cukup menghormati MB sah Negeri Perak Nizar kerana beliau berani melakukan pilihan raya peringkat kampung dan keputusannya lebih 80% menyokong calon PR daripada BN.  Dalam suasana ini, pilihanraya kerajaan tempatan, pada pandangan saya, akan membawa lebih manfaat kepada pembangkang.  Dan jika BN menghalangnya, maka kita dengan jelas boleh menunjukkan BN anti demokrasi.  Tetapi nampaknya tiada keberanian politik untuk melaksanakannya di kalangan PR.
Dulu Kelantan memberi kerja lima hari, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan yang mulanya kutuk program ini akhirnya setuju, dan terpaksa ikut Kelantan dan memberi kerja lebih 5 hari.  PR juga harus juga melaksanakan sistem gaji minima di peringkat kerajaan negeri dan membuat program-program yang berani supaya rakyat dapat lihat perbezaan antara kerajaan BN dan PR.  Kerajan Pulau Pinang harus dipuji kerana berani membuat perubahan.
Begitu juga Selangor, di mana FOI bill diluluskan.  Tetapi ia harus diikuti oleh negeri-negeri lain.  Resolusi ISA pula hanya dibentang di DUN Perak dan Selangor, bagimana dengan DUN-DUN lain.  Mengapa tiada keseragaman.  Mengapa sistem tender yang diguna di Pulau Pinang tidak diguna di negeri lain PR atau FOI di Selangor tidak diikuti oleh negeri lain?
Jika Kerajaan Negeri membuat undang-undang baru yang membela golongan rakyat biasa dan membuka ruang demokrasi yang lebih luas, BN tercabar untuk ikut.  Jika mereka tidak ikut, ia memberi peluang kepada rakyat menilai.  Antara perkara lain yang boleh dibuat ialah dari segi program perumahan selesa, mengisytiharkan harta penjawat utama dan sebagainya
Komitmen PSM
Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah sebuah parti serius berlandaskan aspirasi rakyat dan bekerja di peringkat akar umbi.  PSM adalah parti pertama di mana ADUN, MP dan Ahli majlis mengistiharkan harta dan mengeluarkan laporan tahunan kerja yang dibuat setiap tahun.  Ia telah mengambil 11 tahun untuk mendaftarkan PSM.  Kalau ditinjau kerja-kerja PSM untuk setahun yang lalu, PSM telah mengadakan aksi massa meminta PERKESO memberi lebih perlindungan kepada pekerja, meminta bank negara campur tangan dalam isu hutang dan isu along, membantah pengswastaan hospital awam dan membantah GST dan pindaan akta pekerja.  Komitmen dan kerja PSM berjuang bersama masyarakat akar umbi menuntut perubahan adalah sesuatu yang konsisten dan biasanya tiada banyak dipersoalkan.
Dari segi PR, PSM mengambil keputusan yang diumumkan dalam Forum Sosialisma 2009 bahawa PSM tiada niat untuk membina kuasa ketiga pada ketika ini dan dengan tegas mengatakan PSM akan berkerjasama dengan PR untuk menguburkan BN.  Dalam Kongres Parti pada tahun ini, sekali lagi ahli parti mengambil keputusan bahawa PSM akan bekerjasama dengan PR dan akan membuat kerjasama pilihanraya seperti tahun-tahun lalu dengan parti pembangkang lain untuk menentang Barisan Nasional yang dilihat sebagai musuh utama.
Dalam konteks ini, PSM berpendapat hubungan antara parti pembangkang harus berdasarkan satu program politik dan mesti ada disiplin untuk mengikuti program minima ini dan mesti ada proses saling hormat menghormati.  Selagi program politik itu tidak bertentangan dengan prinsip dan aspirasi rakyat, PSM akan sentiasa bersama.
Kesimpulan
Iklim perubahan terbuka luas.  Bau kebebasan semakin terasa.  Kemenangan pembangkang ke Putrajaya nampaknya pasti.  Tetapi PR sendiri yang dapat mengagalkan dirinya sendiri jika tidak berhati-hati.
Calon yang tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab harus diganti.  Program parti harus jelas.  Gerakan menentang UMNO-BN harus dibesarkan dan kerajaan Negeri harus berani mendukung perubahan ini secara selari dan konsisten.
KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT !
Hidup rakyat !
*Artikel ini dibentang dalam Forum "Menentang Pemerintahan Kuku Besi, Kuburkan Rejim UMNO" anjuran Jawatankuasa Kerja Sahabat SUARAM (FOS) Johor pada 17 Oktober 2010.

Pihak Bantah Pertemuan Dengan Clinton Tidak Faham Demokrasi

IMG_3842SANDAKAN 1 Nov - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak yang mempertikaikan cadangan pertemuan beliau dengan Setiusaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton sebenarnya tidak memahami prose demokrasi yang sebenar.

"Apa masalahnya? Kenapa mereka cemburu, Azizah pun tak cemburu saya bertemu dengan Hillary. Saya pergi ke India dan bertemu dengan Perdana Menteri Manmohan Singn, begitu juga semasa saya pergi ke Turki saya berjumpa Perdana Menteri Erdogan, kenapa tak bantah," kata Anwar pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat pagi tadi.

Bernama melaporkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang berpendapat tidak salah bagi Hillary bertemu Anwar dalam kapasiti beliau sebagai Ketua Oposisi.

Bagaimanapun Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dari California Chuck DeVore menasihati Clinton supaya tidak menemui Anwar dalam lawatan rasminya.

Anwar dijangka mengadakan pertemuan denga Clinton semasa lawatan rasminya ke Malaysia bermula esok untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa.

Batu Sapi: PM lulus RM16j besar jalan Sibuga

 ( Kg Gas Yang Terpinggir Dan Daif - Tiada Peruntukan Untuk Di Majukan)

Sebanyak RM16 juta diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi melaksanakan projek membesarkan Jalan Sibuga, yang kerap mendatangkan kerumitan kepada pengguna jalan raya itu, mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga menteri pembangunan infrastruktur negeri, berkata berikutan rungutan penduduk kawasan itu yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong dalam kawasan parlimen Batu Sapi, beliau secara peribadi menghubungi Najib, yang juga menteri kewangan, pada jam 9.30 pagi tadi bagi meminta peruntukan untuk menaik taraf jalan sepanjang 2.75km itu.

"Perdana menteri terus meluluskan peruntukan RM16 juta dan meminta saya mengumumkannya hari ini.

"Kita akan membesarkan jalan laluan sehala itu kepada dua hala bagi mengatasi masalah kesesakan jalan yang sering berlaku di situ," katanya dalam satu sidang akhbar di Sandakan hari ini.

Menurut Pairin, jalan raya itu semakin sibuk dengan adanya lapan sekolah di sekitarnya, sebuah kompleks sukan, rumah warga tua, taman-taman perumahan dengan 5,000 unit rumah dan Institut Latihan Perindustrian.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memberi peruntukan RM2.3 juta bagi kerja pembaikan dan penurapan 12 jalan kecil di sekitar Jalan Sibuga.

- Bernama

Rosmah pemangku PM jadi tanda tanya

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 1 Nov: Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewakili Perdana Menteri dalam majlis yang tidak boleh disertainya menimbulkan pelbagai persoalan kini apakah beliau adalah pemangku perdana menteri.

"Saya keliru. Jika PM tidak sihat, bukankah sepatutnya timbalan perdana menteri yang mewakili beliau dan kerajaan, dan bukan Rosmah? Atau dia (Rosmah) pemangku PM," kata Malik Imtiaz Sharwa seorang peguam terkenal dalam twitternya.

Semalam, Rosmah telah berucap mewakili PM di Karnival Deepavali 1Malaysia di Litle India dekat Brickfield.

Dalam majlis itu, Najib melalui teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya berjanji akan membantu orang India di negara ini.

Najib telah didapati mempunyai tanda-tanda awal sakit chicken pox dan diminta berehat oleh doktor.

Menurut penasihat medianya, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Najib juga diingatkan supaya mengelakkan dirinya daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar itu.

Katanya, presiden Umno itu mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin.

Batu Sapi : Jambatan usang pun tak terjaga, kata Anwar


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mahu mendirikan Menara Warisan 100 tingkat yang menelan perbelanjaan RM 5 billion tetapi tidak mampu menyelenggarakan jambatan kecil dan usang di Kampung Gas, Sandakan, lapor TV Selangor.

"Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka.
"Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan!" perli Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh penyokongnya pada ceramah petang semalam.

Sebelum ini calon Pakatan Rakyat, Ansari Abdullah jatuh ke laut dua kali akibat keusangan jambatan di Batu Sapi. Kali terakhir beliau jatuh semasa mengggunakan jambatan itu di Kampung Gas.

Anwar berucap di hadapan lebih seribu penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat Sandakan petang semalam dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat.

Katanya, kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Najib yang mewakili Umno-BN.

Beliau berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada 'kubu besi' BN, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon PKR ke Parlimen 4 November ini menjadi pukulan kepada Umno-BN.

"Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

"Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp," kata Anwar.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

"Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

"Di Kedah pula selepas memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,000 dan macam-macam lagi," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan dengan bersama-sama melakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun.

Katanya, kemenangan Pakatan Rakyat di Batu Sapi dianggap penting kepada rakyat Sabah khususnya dalam usaha mendapat pembelaan sebenarnya apabila diabaikan oleh pimpinan BN sejak sekian lama meskipun negeri itu makmur dengan sumber asli dan alamnya.

Seramai 1,615 pengundi pos di P185 Batu Sapi akan membuang undi bermula hari ini.