Jumaat, 29 Oktober 2010

Batu Sapi - kayu pengukur masa depan BN.

Batu Sapi akan menghadapi PRK kerana kematian Ahli Parlimennya Edmund dilebuhraya Sembulan Tanjung Aru 2 minggu yang lepas akibat kemalngan jalaraya. Kematian Ahli Parlimen yang mewakili PBS ini memaksa diadakan PRK dalam mana pertandingan 3 pejuru diantara BN (PBS), SAPP dan PKR yang akan berlaku serentak dengan PRK DUN Galas pada 4hb November ini.

Dalam banyak-banyak ‘input’ yang saya sendiri perolehi dari Sabah, Yong Teck Lee, calun SAPP dikatakan mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada calun BN parti penyandang kepada kawasan Parlimen Batu Sapi ini. Bekas Ketua Menteri ini yang merupakan Presiden SAPP yang telah membawa partinya keluar dari BN awal tahun lepas nampaknya mempunyai ‘advantage’ jika dibandingkan dengan dua calun yang lain.

Sebagaimana ditempat-tempat yang lain isu nasional dan isu tempatan adalah isu yang besar yang bermain didalam pemikiran rakyat Sabah amnya dan juga pengundi diBatu Sapi khasnya. Penolakkan rakyat dan pengundi kepada BN diSemenanjung pada pilihanraya 2008 yang lalu sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi dalam PRK Batu Sapi ini. Ramai berpendapat pengundi Sabah telah memberikan sokongan yang padu kepada BN dalam pilihanraya yang lalu kerana mereka tidak menyangka yang penolakkan rakyat diSemenanjung terhadap BN begitu kuat.

Jika mereka dari awal telah menjangka yang diSemnanjung BN boleh kehilangan 80 kerusi parlimen, mereka secara terang-terang akan mengikut trend perubahan itu diSabah. Oleh kerana mereka tidak dapat merasakan angin perubahan itu maka mereka memberikan sokongan yang padu kepada calun-calun BN dan diSabah BN telah memenangi 100 peratus kerusi parlimen yang ditandinginya dan Sabah adalah ‘fixed deposit’ bagi BN.

Tetapi sekarang pengundi diSabah sedikit sebanyak merasakan mengundi pihak pembangkang bukan lagi satu isu besar lagi dan ini dirasakan oleh ramai kumpulan pengundi atas pagar. Sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Menteri Yong masih mempunyai 'network' politik yang menyeluruh terutamanya dikalangan orang Cina termasuk diBatu Sapi.

Yong merupakan tempat orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan diSabah sekarang ini. Dikalangan pemimpin-pemimpin diSabah mereka berpecah diantara satu dengan lain dan ditambah pula dengan isu yang dihadapi oleh Ketua Menterinya sendiri yang sedang hebuh diperkatakan oleh masyarakat.

Isu peribadi Musa Aman yang sedang dihadapinya menyebabkan beliau tidak mendapat sokongan padu dari pemimpin dalam komponen BN sendiri dan untuk mengalihkan sokongan kepada pihak-pihak yang membangkang agak mudah seperti mana yang berlaku diSemenanjung tanah air. Janji PM Najib untuk merobah kepimpinan diperingkat negeri untuk membersihkan imej parti semasa Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini diharapkan akan melibatkan juga kepimpinan diSabah.

Dengan penyertaan Ansari dari PKR dalam PRK ini ianya akan memberikan beban yang lebih kepada BN kerana perpecahan undi dari Melayu dan Bumiputra yang merangkumi 60 perataus dari 25582 pengundi berdaftar dikawasan ini. Fenomena ini juga akan memberikan kelebihan kepada Yong Teck Lee. Seandainya Yong mendapat hanya 38 peratus dari mereka yang keluar mengundi peluang bagi Yong untuk memenangi kerusi Batu Sapi ini akan lebih cerah.

Walau bagaimana pun dalam politik berbagai-bagai kemungkinan akan terjadi. Tetapi kita kena akui untk BN mengekalkan kerusi Batu Sapi kali ini ianya memerlukan cara pendekatan pengundi yang berbeza dari yang selalu kita lakukan. Hanya orang Sabah sahaja yang sepatutnya faham bagaimana untuk meraih sokongan dari pengundi dikawasan ini.

Jika kerusi ini dimenangi oleh SAPP melalui Presidennya ini maka BN kehilangan satu lagi suara diDewan Parlimen dan sekali gus rakyat masih lagi tidak dapat menerima segala pembaharuan yang dijanjikan oleh pucuk pimpinan kita diKuala Lumpur.

Kemenangan Yong Teck Lee akan memberi gambaran yang trend penolakkan BN yang berlaku diSibu, Sarawak tidak berapa lama dahulu itu akan menular keSabah pula. Maka BN terpaksa mencari jalan lain untuk mengekang kemaraan parti alternative untuk menghampiri Putrajaya selepas PRU yang akan datang.

Kita tengok kali ini; samada BN benar-benar telah memilih ‘winable candidate’ atau pemilihan calun yang didasarkan kepada jawatan parti yang dipegangnya. Kita mesti ingat yang seseorang yang laku kepada parti mereka tidak semestinya laku kepada rakyat ramai yang mengundi.

Begitu jugalah didalam UMNO; yang berjaya memegang jawatan parti tidak semestinya memenangi hati rakyat. Jika seseorang yang memenangi jawatan dalam parti itu adalah juga yang disenangi oleh rakyat ramai masakan banyak calun UMNO jatuh tersungkur dalam PRU yang lalu.

Tetapi masih lagi ramai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kita sedang dibuai oleh sindrom penafian kepada hakikat ini. Mungkin kita terpaksa menghadapi kekalahan mutlak dahulu sebelum kita menerima hakikat yang kita perlu perubahan secara ‘structural’ kepada parti kita.

Jika kita kalah secara ‘total’ adalah ditakuti kita tidak mampu bangun lagi kerana kita tidak lagi pernah mengalami menjadi pembangkang diperingkat pusat. Kita sama-sama sedang melihat bagaimana terseksa UMNO/BN untuk kembali memenangi hati rakyat dinegeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

BN diSelangor, Perak, Kedah, dan P Pinang serta Wilayah Persekutuan sampai sekarang belum lagi mampu untuk mencari seseorang yang sesuai mengikut kehendak rakyat siapa yang akan menjadi MB atau KM jika UMNO ingin mengambil kembali kuasa dari tangan Pakatan Rakyat.

Pengundian pemilihan langsung PKR mula di sebalik demam pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Pemilihan menggunakan sistem langsung, yang julung kali dilaksanakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), memasuki peringkat akhir hari ini dengan sebahagian daripada lebih 400,000 ahlinya akan keluar mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat. Proses pengundian akan membabitkan 69 cabang hujung minggu ini, dijadual bermula pagi ini di sebalik negara khususnya PKR memberi tumpuan ke atas dua pilihan raya kecil serentak — Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah.
Di Galas, rakan PKR, PAS menurunkan calonnya manakala PKR sendiri berhadapan dengan saingan tiga penjuru di Batu Sapi.
Pada hari pertama hari ini sahaja 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah.
Cabang-cabang itu ialah Tumpat, Kota Baru, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.
Kesemua cabang itu merupakan bahagian pertama mengadakan pemilihan peringkat cabang pertengahan bulan lalu tanpa sebarang masalah besar.
Esok, sebanyak 32 cabang akan mengadakan pengundian iaitu sembilan di Perak, Perlis (tiga), Kedah (dua), Pahang (tujuh), Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (lima).
Pada hari ketiga Ahad ini, 27 lagi cabang terlibat dalam proses pengundian dengan lapan di Perak, Pahang (tujuh), Pulau Pinang (enam), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua).
Pengundian seterusnya akan diadakan pada 6, 7, 12, 13, 14, 20 dan 21 November.Pemilihan akan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad selama tiga minggu.
Ahli-ahli PKR di cabang-cabang itu akan mengundi mulai 10 pagi hingga 4 petang dan proses pengiraan akan dibuat selepas itu di setiap cabang terbabit, tetapi keputusan rasmi hanya akan diumumkan ketika kongres parti akhir bulan depan.
Proses pengundian diteruskan meskipun ada pihak yang meminta ditangguhkan sementara pilihan raya kecil berakhir dan beberapa masalah yang dibangkitkan oleh pihak dalaman parti diselesaikan.
Dalam kenyataan media sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bermula hari ini dan berterusan sehingga 21 November, selama 10 hari secara berperingkat-peringkat pada hujung minggu, bagi semua cabang di seluruh negara.
“Saya ingin menyeru semua 400,000 anggota PKR yang layak mengundi dalam pemilihan 2010 untuk turun beramai-ramai memenuhi hak mereka memilih pemimpin parti.
“Semangat meraikan demokrasi menerusi pengenalan dasar satu anggota satu undi yang pertama di Malaysia yang dilihat sewaktu Pemilihan peringkat Cabang kini diteruskan di peringkat nasional,” kata beliau.
Kata Saifuddin, pada masa parti-parti Barisan Nasional masih lagi terbelenggu dengan budaya politik kolot dan ketinggalan zaman, PKR sekali lagi mencipta pembaharuan dengan membudayakan semangat politik baru.
Ekoran pilihan raya kecil Batu Sapi, PKR telah memutuskan untuk menangguhkan proses pengundian pemilihan pusat membabitkan 21 cabang Sabah pada 30 dan 31 Oktober selama minggu.
Proses pengundian hujung minggu depan dibawa kepada 6 dan 7 November.
Sebelum ini sekretariat pemilihan telah menggantung sembilan cabang yang bermasalah ketika pemilihan peringkat bahagian termasuk disebabkan pergaduhan.
Pengarah Komunukasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya telah mengambil segala langkah bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar berbanding “sedikit masalah” ketika pemilihan cabang sebelum ini.
“Kita sudah mengambil langkah memastikan logistik mencukupi di tempat mengundi, bilangan kakitangan juga mencukupi... saya yakin proses kali ini akan berjalan dengan lancar.
“Lagipun yang bermasalah di peringkat cabang sebelum ini cuma sekitar enam peratus, 94 peratus menyaksikan tiada masalah, jadi saya yakin tidak harus ada masalah,” kata beliau ketika dihubungi di Batu Sapi malam tadi.
“Saya berharap proses pengundian yang lebih baik di peringkat ini,” katanya lagi.
Mengenai peratusan keluar mengundi, Nik Nazmi berkata, pihaknya menjangkakan antara 10 hingga 20 peratus akan keluar mengundi di peringkat pusat.
“Saya menjangkakan sekitar peratusan ini berdasarkan apa yang disaksikan ketika peringkat bahagian sebelum ini... kalau kita mencapai tahap itu, saya rasa cukup bagus,” katanya.
Malah beliau yakin akan mencapai peratusan itu memandangkan setiap calon akan berusaha untuk menggerakkan seramai mungkin ahli untuk mendapatkan sokongan.
Di bawah sistem pengundian langsung ini setiap ahli PKR layak untuk mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden, anggota MPP dan kepimpinan Angkatan Muda Keadilan dan sayap Wanita.
Kesemua mereka yang dicalonkan telah mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum 16 Oktober lalu.
Tumpuan pemilihan pusat kali ini adalah pada jawatan timbalan presiden yang saingi Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Datuk Zaid Ibrahim.
Seramai 17 calon bertanding kerusi naib presiden iaitu calon PKR di Batu Sapi Ansari Abdullah sendiri, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Mansor Othman, Nurul Izzah Anwar, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Tian Chua, Xavier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff.
Seramai 33 bertanding kerusi MPP.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran.
Dalam pada itu, jawatan ketua Wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Zuraida Kamaruddin, Animah Ferrar dan Suraya Sudin manakala penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai “Chegubard” bagi kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan.

P185 Batu Sapi - Aktiviti calon dan kejadian 28-10-2010












Rahsia Balqis Terbongkar Jua. Tidak Pernah Dilarikan Jin Berbulu


Misteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar

Gambar: KETUA Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria menyerahkan Siti Balqis Mohd Noor yang didakwa dilarikan jin ke Gunung Jerai, Kedah, Ahad lalu kepada ibunya, Norizan Said (kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kuala Terengganu, semalam. Siti Balqis ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam. Foto Mohamad Ishak

KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.

Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.

Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok.

“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19.

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini.

Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang.

Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam.

"Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin.

Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya.


Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu.

"Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya.

Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu.

Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya.

“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya.

Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.

Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning
. -BH

Ulasan GB
1Malaysia berjaya ditipu oleh seorang remaja berumur 22 tahun yang mendakwa konon disorokkan jin di Gunung Jerai, sampaikan ada yang bergelar ustadz pun mempercayainya.

GB awal-awal tidak percaya kisah Balqis ini. GB kata ia akibat dari aqidah yang lemah. GB dah ulas di SINI. Petikan:


Macam dalam kisah Ahmad Albab pulak, jin boleh beri macam-macam harta karun. Sekarang dikisahkan pula jin boleh bawakan permata seperti delima, nilam dan zamrud. Siap dengan ada saksi lagi, dengan wartawan TV3 dengan kameranya bersama... Dihebohkan pula oleh blogger bebal yang main tampal dalam blog ikut suka menanamkan syirik untuk melebarkan dosa.

Nanti al-hasilnya, ramai tak percaya lagi majlis bacaan Yassin, ramai tolak kaedah agama. Lebih baik ikut cakap jin... dapat batu-batu permata... ghaib sekejap tak apa, asalkan dapat batu permata berharga "kurniaan" jin...

Inilah akibatnya apabila ilmu tauhid dan aqidah sudah kesasar jauhnya. Jin mengambil-alih mentadbir dunia, bukan lagi manusia menjadi khalifah. Akal kurniaan Allah sudah tidak berguna. Jin berkuasa bawakan itu dan ini, kata mereka... sedangkan ilmu tauhid mengajar kita "yang baharu tidak boleh memberi bekas" - samada mendatangkan menafaat atau mudharat.

Maka jadilah Terengganu dari sebuah darul-iman bertukar menjadi negeri jin bertendang.. dengan kisah Balkis ini, histeria di sekolah agama di negeri Terengganu... dihebohkan oleh wartawan yang ilmu tauhidnya juga empang-empang alang.. Ramailah yang terpesona dengan kisah ini, bukan sahaja UMNO, tapi ada sekerat dua dalam PAS yang berkopiah juga.. Dan jin runtuh itu khabarnya dah pergi ke Kedah juga. Semalam ada bangunan sekolah di Pokok Sena yang runtuh cederakan 10 pelajar, nak uji Mahfuz di sana. Jin ini, dibela dan diharapkan oleh UMNO akan runtuhkan kerajaan Kedah di sana.

Percaya kepada kuasa jin inilah timbul mendarem, timbul kisah politikus jumpa bomoh nak pertahankan jawatan, nak jadi YB sampaikan terjadi kisah Mona Fendy pun masih tak insaf-insaf lagi.

Dunia kita dibentuk oleh minda kita sendiri. pegangan kita sendiri, aqidah kita sendiri, ilmu yang pada kita sendiri. Apa yang ada di dalam fikiran kita, itulah kita. Kalau percaya jin tu yang boleh bawa permata, jadilah ia begitu. Maka hilanglah pengetahuan tentang kudrat dan iradat Allah yang menakluki segala yang maujud, maujud qadim dan maujud hadith. Hilanglah pengertian ayat kelima suratul fatihah (iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in) dan ayat kedua suratul ikhlas (Allahus-Samad) yang dbaca saban hari.

Apabila ilmu tauhid sekangkang semut, maka runtuhlah aqidah sepertimana runtuhnya bangunan-bangunan di negeri Terenganu yang oleh politikus dan wartawan dikatakannya nanti, akibat jin-jin. Justeru itu, serunya lagi, mari beriman dengan jin - darul-iman juga namanya! - kata mereka.


GB pernah juga berkali-kali ditemui oleh mereka yang mendakwa disampuk, dirasuk oleh jin dan seumpamanya. Siap ada yang bawa botol air lagi. Nak mintak jampi katanya.

GB kata itu semua karut-marut. Tak payah bertendang-tendangan dengan jin, takder jampi-jampian. Tetapi ajarkan kalimah tauhid kepada "pesakit" termasuk kepada yang membawa pesakit itu. Habis cerita.

Memang sudah menjadi resmi, di kalangan orang Melayu masih ada lagi yang mempercayai khurafat dan tahyul, percaya kepada kuasa jin dan seumpamanya. Termasuk MB Rayuan di Perak.

JUSTERU ITU, BERSIHKAN TAUHID DARI SYIRIK. SYIRIK KHOFI (Sembunyi) dan SYIRIK JALI (Nyata).

KEADILAN Bidas BN Tidak Sensitif Pilih Balu Sedang Berkabung Sebagai Calon

IMG_3527SANDAKAN 28 Okt - Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat Pusat, Fuziah Salleh menggesa pengundi Batu Sapi supaya tidak memilih calon Barisan Nasional, Datin Tsen Thau Lin atas dasar keprihatinan mereka terhadap beliau yang baru sahaja kehilangan suami dan kini dibebani oleh tanggunjawab besar dan berat yang tidak mungkin dipikul sebagai ibu tunggal.

Pada masa yang sama Fuziah membidas pimpinan BN yang dilihat sama sekali tidak sensitif terhadap tanggungan emosi yang kini dihadapi oleh Thau Lin serta keluarga yang masih dalam keadaan berkabung tetapi dipaksa menggalas beban dalam pertandingan politik yang sengit tanpa mengira perasaan beliau.

"Saya sebagai ahli parlimen wanita saya amat faham tekanan yang dihadapi apatah lagi wanita yang baru sahaja kehilangan suami dan masih berkabung. Tanggungjawab menjaga rakyat Batu Sapi adalah tugas parti dan bukannya diletakkan di atas bahu seorang balu. Sebagai seorang balu saya benar-benar kasihan kepada beliau, sudahlah terpaksa memikirkan bagaimana menjaga dirinya tanpa suami, perlu juga menjaga emosi anak-anak yang terpaksa meneriman tragedi kehilangan seorang ayah secara mengejut.

"Keluarga mereka masih mengalami trauma dan parti amat tidak sensitif. Mungkin beliau boleh dapat undi simpati tetapi kalau rakyat Batu Sapi bersimpati kepada beliau, jangan pilih beliau ke Parlimen kerana bukan sahaja beliau tidak fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia tetapi yang lebih penting beliau tidak sepatutnya dibebani oleh tanggungjawab sebagai wakil rakyat," kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan
pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN pagi tadi.

Lim Kit Siang: Belanjawan 2011 mengandungi dasar ala-Mahathir

Bajet 2011 bukan hasil Model Ekonomi Baru (New Economic Model -NEM) tetapi mengandungi segala petanda dasar-dasar ala-Mahathir lama yang terbukti usang.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Najib Razak melancarkan Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme - ETP).
Ia juga merupakan hari pertama dalam minggu ini di mana Program Transformasi Kerajaan (Government Transformation Programme - GTP) mengalami tiga tamparan berturut-turut.
Tamparan pertama adalah laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen pada hari Isnin yang memaparkan segala cerita-cerita gerun mengenai pembaziran, salah urus, salah guna dana awam dan korupsi - sepertimana yang diserlahkan oleh tajuk-tajuk utama berikut:-
1. Federal Government debt hits five-year high;
2. KTMB mired in RM1.4 billion debt;
3. Only 18/2% of pupils bring free eBooks to school;
4. Stimulus funds used for chandeliers, home theatre, government audit shows;
5. PTPTN to face whopping RM46 bil deficit;
6. PTPTN okayed RM23 mil to students who didn't apply;
7. Millin-ringgit scanner stuck in KLIA, under utilisation woes;
8. "Sandwich kosong" for school kids, sardines missing.
Laporan Ketua Audit Negara, yang disiapkan pada Jun/Julai tahun ini, yang sepatutnya dibentangkan pada hari pertama mesyuarat Parlimen pada 11 Oktober telah diperlambatkan, jelas sekali adalah untuk mengelakkan "cerita-cerita gerun tahunan" ini dari merampas tumpuan orang ramai terhadap ucapan bajet 2011 Najib pada 15 Oktober serta Ucaptama Presiden beliau di mesyuarat UMNO pada 21 Oktober - bukti jelas kerajaan Barisan Nasional tidak serius atau berkomited terhadap GTP atau slogan Najib sendiri yang kononnya "Rakyat diutamakan, Pencapaian didahulukan".
Tamparan kedua adalah apabila Indeks Persepsi Korupsi (Corruption Perception Index - CPI) Transparency International (TI) dilancarkan - menyerlahkan kegagalan NKRA utama untuk memerangi rasuah yang bersasaran untuk meningkatkan markah CPI dari tahap terendah pada 2009 iaitu 4.5 ke 4.9 dalam 2010.  Pada hakikatnya, markah CPI Malaysia menjunam lagi dalam tahun 2010 menjadikannya yang paling rendah dalam tempoh 16 tahun ini.
Dari 1995 ke 2003 selama 15 tahun, Mahathir sebagai Perdana Menteri telah melihat markah CPI TI Malaysia tersangkut pada tempat di antara 4.8 di 2000 ke 5.32 di 1996 sementara kedudukan CPI jatuh 14 tempat dari 23 di 1995 ke 37 di 2003.
Sepanjang lima tahun penjawatan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, kedudukan CPI TI Malaysia jatuh 10 tempat dari 37 pada 2003 ke 47 di 2008, sementara markah CPI tersangkut di antara 5.0 dan 5.1.
Sepanjang masa beliau menjadi Perdana Menteri sejak 18 bulan yang lepas, zaman Najib Razak melihatkan penjunaman paling teruk dalam tempoh satu tahun dalam segi markah dan kedudukan CPI TI, iaitu jatuh sembilan tempat dari 47 di 2008 menjadi 56 di 2009, markahnya mencapai tahap paling rendah iaitu 4.5 tahun lepas.  Untuk tahun 2010, kedudukan Malaysia masih pada tempat paling buruk iaitu no. 57 sementara markah CPI jatuh lagi ke 4.4.
Pelan Integriti Nasional Andullah yang dilancarkan pada 2004 dengan sasaran lima tahun untuk memperbaiki CPI TI Malaysia dari tempat ke 37 pada 2003 ke sekurang-kurangnya tempat 30 pada 2008 serta meningkatkan markah dari 5.2 pada 2003 ke 6.5 pada 2008 telah gagal, tetapi Najib dalam 18 bulan ini telah membiarkan CPI TI Malaysia - samada kedudukan atau markah - jatuh ke tahap yang lebih buruk lagi sungguhpun GTP, NKRA dan transformasi nasional sering dilaung-laungkan dengan penuh meriah ala berpesta.
Tamparan ketiga terhadap GTP Najib adalah perlancaran Indeks Kemakmuran Legatum (Legatum Prosperity Index) yang meletak Malaysia di tempat ke 43 dari 110 negara, di belakang Singapora (17), Jepun (18), Hong Kong (20), Taiwan (22), Korea Selatan (27), sungguhpun kita kini masih di depan Negeri Thai (52), Negeri Cina (58), Vietnam (61), Filipina (64) dan Indonesia (70).
Indeks kecil Indeks Kemakmuran Legatum mengenai "Keselamatan dan Sekuriti" meletak Malaysia di tempat ke-52 dari 110 negara, ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana ia memberikan kesan ke atas daya saing antarabangsa kita serta salah satu NKRA iaitu mengurangkan kadar jenayah.
Berdasarkan indeks kecil ini, The Diplomat baru-baru ini memaparkan satu gambar essay mengenai "The Safest Places in the Asia-Pacific".  10 negara paling selamat adalah Singapura diikuti oleh New Zealand, Taiwan, Jepun, Australia, Hong Kong, Korea Selatan, Mongolia, Vietnam dan Kazakhstan.
Penyingkiran Malaysia dari senarai ini merupakan sesuatu yang memalukan negara.  Apakah kata Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri?
Sebelum dan selepas pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober, lebih banyak lagi indeks-indeks sedunia yang secara negatif menjejaskan daya saing Malaysia, sebagai contoh:
Indeks kebebasan akhbar yang paling rendah sekali dalam tempoh sembilan tahun yang diumumkan minggu lepas di mana Malaysia menjunam 10 tempat ke nombor ke 141 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia - buat pertama kalinya ketinggalan di belakang Singapura sejak Reporters Without Borders (RSF) yang bertapak di Paris mula-mula mengumumkan senarai mereka dalam tahun 2002.
Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomik Sedunia 2010-2011 yang melihat Malaysia jatuh dua tempat dari 24 menjadi 26 sungguhpun amaran Roadmap GTP Januari ini bahawa daya saing negara "semakin terhakis secara ketara dari negara paling berdaya saing ke-21 tiga tahun yang lepas menjadi tempat ke-24 sekarang".  Universiti-universiti Malaysia yang tersingkir dari Senarai 200 Universiti Terulung Sedunia samada dalam Times Higher Education World University Rankings 2010-11 atau QS World University Rankings 2010 atau Shanghai Jiao Tong University's 2010 yang menyenaraikan 500 universiti terulung sedunia untuk lapan tahun berturut-turut.
Semua ini bukannya petanda sebuah negara yang bersedia melonjak keluar dari perangkap pendapatan-menengah untuk mencapai status maju inklusif, sustainable dan berpendapatan tinggi dalam tahun 2020, tetapi menunjukkan sebuah negara yang semakin menuju ke tahap gagal atau muflis dalam tahun 2019 sebagaimana yang dijangkakan oleh Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala.
Seorang pemimpin veteran telah memberikan amaran bahawa, "It is time to wake up".
Kata beliau, "Tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia semakin mundur.  Berbilion-bilion telah dicuri dari negara kita, berbilion-bilion lagi sedang dipindah keluar negara sementara seluruh struktur politik kita pecah berderai."
Mengikut amarannya bahawa rasuah merupakan ancaman paling serius sesebuah negara, beliau memperingatkan bahawa rasuah telah diinstitusikan di dalam sistem politik Malaysia dan sedang membinasakan kita.
Siapakah pemimpin veteran ini?  Beliau kini merupakan ketua Pilihan Raya Kecil Galas Barisan Nasional, iaitu ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh (gambar kanan).
Adalah amaran beliau mengenai krisis pembangunan negara ini akan diberi perhatian oleh pihak yang berkuasa?  Tentunya tidak - sama sepertimana Perdana Menteri tidak mempunyai semangat politik untuk melaksanakan NEM yang dilancarkannya sendiri pada 30 Mac untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, berdaya saing dan suatu ekonomi berpendapatan tinggi yang berciri-ciri inklusif dan sustainable.
Sungguhpun nampaknya hebat dan canggih, bajet 2011 Najib ini sebenarnya bukan hasil NEM tetapi mengandungi segala petanda dasar-dasar ala-Mahathir lama yang terbukti usang yang mengakibatkan Malaysia kini terjerat pada tahap pendapatan menengah selama lebih satu dekad, menghalakan negara ini ke arah negara yang gagal dan muflis bila sampai tahun 2019.
Simbol Bajet 2011 dan ETP adalah Menara Warisan Merdeka 100-tingkat yang bernilai RM5 bilion, satu pengembalian ke zaman lama Mahathirisma yang obses dengan projek-projek mega.
Sekiranya Najib benar-benar berkomited untuk melancarkan Model Ekonomi Baru, berdasarkan transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan, bukankah lebih wajar untuk Malaysia cuba mencapai sasaran sebagai salah satu dari 20 negara, kalau bukan 10 negara, yang paling tidak korup di CPI TI atau memiliki 10 universiti yang disenaraikan dalam kumpulan 100 universiti paling ulung di dunia?
Sebenarnya, mesti ditanya samada Najib secara senyap-senyap cuba bertanding dan melebihi pencapaian Mahathir bukan sahaja dalam usaha untuk membina menara yang lebih tinggi dari Petronas Berkembar, tetapi juga boleh mendakwa bahawa ianya paling tinggi di dunia - sungguhpun untuk satu tempoh yang begitu singkat sahaja?
Kempen Facebook "No Mega Tower" kini hampir mencapai 200,000 hit dalam tempoh kurang dari 12 hari.  Kali terakhir saya periksa, ia telah mencatatkan 191,000 hit pada 2 petang berbanding dengan 2,170 hit dalam kempen Facebook Menyokong Menara Mega.
Perdana Menteri meminta kerajaan supaya memberika keutamaan kepada media sosial dan menghormati pandangan rakyat biasa, khasnya generasi muda semua kaum.
Kebanyakan mereka yang menggunakan Facebook merupakan orang muda Malaysia dan Perdana Menteri sepatutnya dengan serius membatalkan projek Menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini kerana ia bukan sahaja akan menjadi satu "white elephant /gajah putih".  Tetapi juga suatu simbol buruk kepada sebarang transformasi nasional dalam negara ini.
Adalah dianggarkan bahawa Menara Warisan Merdeka 100 tingkat yang akan mengandungi 3 juta kaki persegi ruang ini akan memburukkan lagi keadaan ruang pejabat berlebihan di Kuala Lumpur yang sama dengan 7.8 tahun bekalan ruang pejabat di Kuala Lumpur berdasarkan kadar penggunaan 1.72 juta kaki persegi di antara tahun-tahun 1985 ke 2009, sungguhpun belum mengambil kira projek-projek raksaksa yang diumumkan baru-baru ini.
Di Segamat, bangunan tertinggi 20-tingkatnya yang dibina dalam tahun awal 1980-an kini menjadi Menara Burung, iaitu ladang sarang swiftlet dan hanya tingkat bawahnya sahaja yang diduduki.  Janganlah satu hari nanti, Menara Warisan Merdeka ini juga mejadi ladang sarang burung yang tertinggi di dunia pulak!
Bajet 2011 Najib ini tidak meyakinkan orang bahwa ia mewakili bajet pertama NEM untuk mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara pendapatan menengah menjadi negara maju pendapatan tinggi yang inklusif dan sustainabel pada tahun 2020, yang menitik-beratkan modal insan berkemahiran tinggi, perkhidmatan awam yang efisien, dan sektor swasta yang bermaya.
Talent Corp yang akan ditubuhkan awal tahun depan akan membentuk Rangka Tindakan Bakat Nasional dan membangunkan satu pangkalan data pasukan kerja berbakat serta berkerja rapat dengan rangkaian bakat sedunia, tetapi apakah jaminan yang ada yang boleh memastikan bahawa Rangka Tindakan Bakat Nasional ini tidak akan gagal seperti berbagai program "Brain Gain" yang lepas atas sebab yang mudah, iaitu kekurangan semangat politik dan kepimpinan dalam pentadbiran Najib untuk mencapai wawasan yang tertera dalam NEM iaitu "Malaysia must be seen by its people and by others as a land of equal opportunity to earn a good living and provide a secure, happy life for each individual and the family."
Sebarang wasangka mengenai kekurangan semangat politik dan kepimpinan pentadbiran Najib untuk melonjatkan transformasi politik, ekonomi, sosial dan kerajaan yang merupakan tiang penting bagi penyelamatan ekonomi dan nasional Malaysia telahpun dihapuskan oleh Ucapan Pembukaan dan Ucapan Penutup Presiden Najib (gambar kiri) di Perhimpunan Agong UMNO.
Apakah reaksi yang Najib harap dapat semasa beliau mengungkapkan perkataan-perkataan "berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa" supaya UMNO mempertahankan cengkamannya di Putrajaya walau apa pun kos pengorbanannya, malah disebut-sebut mengenai "penghapusan etnik"?
Mengapakah editor the Malaysian Chronicle Wong Choon Mei boleh diganggu dan dipermangsakan kerana menerbitkan laporan yang mengandungi perkataan-perkataan ini, sungguhpun inilah apa yang diungkapkan oleh Najib, walaupun versi penjemahan dari Bernama tidak digunakannya?
Inilah apa yang diungkapkan oleh Najib dalam Ucapan Presiden UMNO beliau:
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa.  Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"
Parti-parti Pakatan Rakyat - DAP, PKR dan PAS - juga bersedia berjuang secara habis-habisan untuk menakluk kuasa di Putrajaya dalam pilihanraya yang akan datang demi mengakhiri salah tadbir BN/UMNO selama ini, tetapi kami akan mencapai objektif ini secara aman dan menerusi cara demokratik iaitu menerusi kotak undi dan bukannya "berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa" ataupun "penghapusan etnik".
Perdana Menteri mestilah hadir di Parlimen dan menjelaskan apa yang beliau maksudkan apabila beliau mengungkapkan kata-kata tersebut kerana ianya adalah bagaikan suatu jaminan daripada beliau bahawa beliau tidak akan menerima keputusan pengundi yang ingin bertukar kerajaan persekutuan dari BN kepada Pakatan Rakyat dan beliau bersedia mengorbankan proses demokratik dan menghapuskan kedaulatan undang-undang supaya beliau dan UMNO boleh kekal berkuasa.
Para pemimpin komponen parti Barisan Nasional ditanya mengenai reaksi mereka selepad ucapan presiden UMNO Najib, dan rakyat Malaysia amat duka cita bahawa tidak seorang pun dari mereka, samada Presiden MCA, Presiden Gerakan, Presiden MIC atau Presiden lain-lain parti komponen BN berani meluahkan tidak setuju atau perasaan khuatir terhadap perkataan-perkataan 'berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa" serta "penghapusan etnik".
Sampai sekarang pun, setelah satu minggu berlalu!  Adakah ini bererti mereka bersetuju dengan ugutan tersirat Najib sepenuhnya ataupun mereka begitu tidak berkuasa dan irrelevant sehingga tidak berani menyuarakan pandangan rakyat biasa?
Bagaimanapun, ada belah yang lain dalam ucapan "berkecai tulang dan juga badan, bercerai jasad dari nyawa" Najib ini - kerana ia menggambarkan bahawa UMNO dan BN boleh diundi keluar dari Putrajaya dalam pilihanraya yang akan datang oleh pengundi-pengundi Malaysia.
Najib sendiri memberitahu UMNO bahawa UMNO mesti berubah atau ianya akan diubat - bahawa beliau mesti melaksanakan (execute) NEM kalau tidak beliau akan "dihapuskan" (executed)!
Najib telah menyedari bahawa musuh paling besar kepada empat tiang utama untuk melonjatkan transfomasi nasional - samada 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, GTP, NEM serta penggunaan Rancangan Malaysia Ke-10 dan bajet tahunan untuk menggerakkan GTP dan ETP - sebenarnya datang dari dalam UMNO sendiri.
Saya ingin memuji Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz kerana berani dan bertekad mengisytiharkan dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan Melayu kemudian, sungguhpun ini hanya diakui beliau enam bulan selepas saya mencabar semua Menteri di Parlimen samada mereka ada DNA 1Malaysia dan bersedia mengisytiharkan diri mereka rakyat Malaysia dahulu dan kaum kemudian, yang sebenarnya merupakan objektif ketara konsep 1Malaysia Najib.
Saya berkongsi kekecewaan Nazri apabila beliau berkata dalam satu interview baru-baru ini bahawa beliau merasa heran dan kecewa mengapa rakan-rakannya di jemaah menteri termasuk menteri-menteri dari MCA tidak lantang seperti beliau.
Saya ingin memetik Nazri (gambar di bawah) dalam interbiunya dengan The Red Tomato:
"They are people who are just like me in the cabinet, but they are afraid.  Even the MCA ministers, none of them has repeated what I've said that they are first Malaysians then Chinese - none of them.  To me, it is not right to say that if we had said so, then we’d fall into the 'trap' of Kit Siang.
"What 'trap'?  The Indian Ministers didn't come out to say that, other Malay Ministers did not, Kadazan and Iban Ministers also didn't say so.  I am a Malay, yet I'm taking the risk to come out to say.  Why others can't?  Let me tell you, they all agree with me…."
Biarlah semua Menteri, samada UMNO, MCA, Gerakan, MIC, komponen-komponen parti BN Sabah dan Sarawak menjelaskan dan mengisytihar apabila menggulung perbahasan bajet ini apakah yang ditakuti mereka dan mengapakah mereka tidak berani mengisytiharkan bahawa mereka adakan rakyat Malaysia dahulu dan kaum kemudian sebagaimana yang dinaungkan oleh konsep 1Malaysia.
Surat Terbuka bekas pegawai polis, Mat Zain, merupakan bukti bahawa sistem keadilan negara kita terus merosot setelah pembentangan laporan Suruhanjaya Diraja Polis Dzaiddin
Baru-baru ini, kedua-dua Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein telah bermegah mengenai kejayaan NKRA dalam pengurangan kadar jenayah, mendakwa bahawa berlakunya penurunan drastik dalam kadar jenayah khasnya dalam segi jenayah di jalan berikutan dengan indeks jenayah yang semakin baik sejak Januari tahun ini.
Bagaimanapun, di seluruh negara, rakyat biasa tidak rasa apa-apa kesan dari penurunan indeks jenayah dalam kehidupan harian mereka kerana tidak wujud perasaan selamat secara berbandingan di jalan-jalan, tempat-tempat awam mahupun di rumah mereka sendiri berbanding dengan tahun-tahun yang lepas.
Sebenarnya, fakta bertambahnya komuniti-kominiti "guarded dan gated" di negara ini merupakan satu bukti paling kukuh mengenai kegagalan pasukan polis dalam melaksanakan tugas paling asas mereka, iaitu memastikan rakyat Malaysia, pelawat-pelawat, tetamu-tetamu serta para pelabur dari luar negara menikmati hak asas untuk bebas dari jenayah dan rasa tidak selamat.
Dalam laporannya pada 2005, Suruhanjaya Polis Diraja Dzaiddin telah membuat 125 cadangan demi mencipta satu perkhidmatan polis bertaraf dunia yang berkesan, bersih dan profesional yang menumpu kepada tiga fungsi utama - memastikan kadar jenayah rendah, menghapuskan rasuah, dan mempertahankan hak asasi manusia.
Lima tahun telah berlalu.  Adakah kita maju dalam objektif keseluruhan Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Dzaiddin untuk mencipta satu perkhidmatan polis bertaraf dunia yang berkesan, bersih dan profesional yang berkeupayaan melaksanakan tiga fungsi utama mereka ini?
Pada pandangan saya (Lim Kit Siang, gambar kiri), kad laporan polis berpandukan Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Dzaiddin adalah dalam warna merah kerana bukan sahaja tidak nampak apa-apa kemajuan, malah prestasi polis dalam tiga fungsi utama mereka ini telah bertambah buruk.
Tetapi ini bukanlah hanya pandangan rakyat Malaysia yang berada di luar pasukan polis, ia juga merupakan pandangan pegawai polis yang bebas, tidak emosi serta objektif yang berkhidmat dalam pasukan.
Dalam segi ini, saya merujuk kepada Surat Terbuka bekas pegawai polis kanan, bekas ketua CID Kuala Lumpur, Mat Zain Ismail yang bertarikh 8 Oktober 2010 yang merupakan bukti kuat bahawa sistem keadilan negara kita terus merosot setelah pembentangan laporan Suruhanjaya Diraja Polis Dzaiddin.
Mat Zain merupakan pegawai polis yang mengetuai siasatan awal ke atas kes serangan "mata lebam" Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis di Bukit Aman dalam tahun 1998 dan beliau telah mencadangkan bahawa Ketua Polis Negara pada masa itu, Rahim Noor didakwa di mahkamah kerana melakukan serangan jenayah ke atas Anwar.  Bagaimanapun cadangan beliau telah tidak diendahkan sehinggalah satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan akhirnya Rahim didapati bersalah dan dihukum dua bulan penjara.
Mat Zain menceritakan semula dalam Surat Terbukannya apabila merujuk kepada siasatannya ke atas kes serangan "mata lebam" Anwar dalam tahun 1998, bahawa beliau pada masa itu terpaksa memilih di antara menyelamatkan kehormatan PDRM atau kehormatan Rahim Noor, dan beliau dengan sedihnya mencadangkan bahawa Rahim Noor, seorang yang amat dihormatinya sebagai seorang ketua, rakan sekerja dan teman keluarga, supaya didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mat Zain menulis Surat Terbuka berkenaan ditujukan kepada Kalsom Taib, isteri dan biografer Shafee Yahaya, bekas ketua Badan Pencegah Rasuah, sebagai membalas soalan yang ditanya oleh beliau dalam bukunya mengenai siasatan polis ke atas dakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad kerana menyalahguna kuasa dalan Jun 1998 dan mengarahkan siasatan rasuah terhadap ketua Unit Perancang Ekonomi, Ali Abul Hassan Sulaiman, diperhentikan.  Mat Zain merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan berkenaan.
Mat Zain juga merupakan pegawai yang bertanggungjawab untuk menyiasat empat laporan polis yang dibuat oleh Anwar dari 9 Julai 1999 ke 20 Ogos 1999 semasa berada di dalam penjara Sungai Buloh mengenai salah guna kuasa dan penghalangan proses keadilan yang diarahkan oleh Mahathir, Peguam Negara pada masa itu mendiang Mohtar Abdullah, Peguam Negara masa kini Gani Patail serta laporan-laporan mengenai rasuah dan salah guna kuasa terhadap Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Abdul Rahim Thamby Cik dan mendiang Eric Chia.
Mat Zain mededahkan dalam Surat Terbukanya bahawa beliau telah menulis surat kepada Ismail, pada masa itu Timbalan Ketua Polis Negara dan Hishammuddin Hussein, bulan Mei tahun ini supaya mengkaji semula siasatan ke atas bukti-bukti palsu yang dikemukakan terhadap Anwar di dalam kes serangan "mata lebam"-nya dalam tahun 1998 demi "melindungi kredibiliti, kebebasan dan imej PDRM yang telah terjejas serius sejak 2006."
Mat Zain telah membuat dakwaan yang serius bahawa bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail telah mencipta bukti yang palsu dalam kes serangan "mata lebam" Anwar Ibrahim dan mestilah bertanggungjawab terhadap sistem keadilan jenayah yang kucar kacir kini.
Mat Zain bertanya dalam surat terbukanya:
"Apa sudah jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah kita?....Siapa yang sepatutnya dipersalahkan?  Siapa yang menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar kacir sehinggakan sesiapa juga boleh mempermain-mainkannya tanpa takut kepada sebarang tindakan dan hukuman undang-undang?  Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa keadaan ini berpunca daripada 'precedent' yang dibuat oleh Gani Patail dan Musa Hassan sendiri."
Gani Patail, Musa Hassan atau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin dan Ketua Polis Negara Ismail tidak boleh terus membisu terhdap Surat Terbuka yang penuh dengan tuduhan serius dan membinasakan ini, dan saya menyeru supaya Menteri Dalam Negeri memberikan satu penjelasan yang menyeluruh dan memuaskan mengenai perkara ini di Parlimen.
*Ucapan Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, di Parlimen semasa menyertai perbahasan ke atas Bajet 2011 pada 27 Oktober 2010.

Projek Politeknik telan RM295 juta, tak siap 10 tahun...di Pekan

Projek Pembinaan Politeknik Muadzam Shah yang tidak siap biarpun hampir 10 tahun dimulakan, kini mengalami peningkatan kos sejumlah RM75.74 juta, iaitu 34.6% berbanding kos asal.  Malah, kos ini belum mengambil kira kos perkhidmatan perunding yang perlu dibiayai kerajaan berjumlah RM10.55 juta.  Apa yang menarik, projek ini terletak di daerah Pekan, kawasan parlimen Perdana Menteri, Najib Abdul Razak (gambar bawah).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009, projek yang beralih tangan dari Kementerian Pelajaran ke Kementerian Pengajian tinggi pada tahun 2004 ini, sepatutnya disiapkan pada 14 September 2003.  Namun demikian, ia belum siap bina sehingga kini biarpun hampir 10 tahun berlalu, dan RM294.74 juta telah dibelanjakan berbanding kos asal projek, iaitu RM219 juta.
"Memandangkan politeknik ini masih belum disiapkan, Kerajaan terpaksa menanggung kos sewaan tempat belajar sebanyak RM2500 sebulan, dan setakat bulan Disember 2009, sejumlah RM130,000 telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut.  Selain itu, bilangan pengambilan pelajar juga terpaksa dihadkan setakat 64 hingga 347 pelajar sahaja berbanding 5,000 pelajar yang dirancang."
Pada pandangan Audit, prestasi kerja dan kedudukan kewangan sesebuah syarikat perlu dijadikan asas dalam pemilihan kontraktor dan subkontraktor bagi melaksanakan projek Kerajaan supaya projek berjalan lancar dan tidak merugikan Kerajaan.
"Selain itu, pihak Kementerian dan JKR juga hendaklah memantau dan memberikan pengawasan yang rapi terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor serta perunding bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan siap dalam tempoh yang ditetapkan."
Latar belakang projek
Pada masa yang sama, Ketua Audit Negara juga mengingatkan Jabatan Kerja Raya untuk mengambil tindakan bagi memungut denda kelewatan yang berjumlah RM4.34 juta daripada Kausar.
Menurut laporan, projek ini dilaksana secara reka dan bina oleh Yayasan Kontraktor Melayu Pahang Corporation Bhd (YKMP) yang dilantik secara rundingan terus, pada peringkat awal.  Nilai kontrak berjumlah RM219 juta dan tempoh siap projek selama 24 bulan, dari 15 September 2001 hingga 14 September 2003.  YKMP telah melantik anak syarikat Kausar Corporation Sdn.Bhd, iaitu V.C.Technologies Sdn.Bhd sebagai subkontraktor untuk melaksanakan projek tersebut.
Projek ini gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan kontraktor berkenaan telah ditamatkan kontraknya pada 15 Disember 2003.
Kemudiannya, Syarikat Kausar Corporation Sdn.Bhd telah dilantik untuk menyiapkan projek ini, diberi tempoh antara 10 November 2005 hingga 9 Mei 2007.  Bagaimanapun, sejarah berulang dan syarikat ini ditamatkan kontrak pada 6 Mei 2008.
Seterusnya, syarikat MMN Bina Sdn.Bhd (MMN Bina) telah dilantik untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh 12 bulan, mulai 24 Februari 2009 hingga 23 Februari 2010.

Fatwa 'Ikut Suka PAS': Umno keliru dan terus keliru

Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.
Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO? Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..
Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata.

PKR: Tak adil calonkan suri rumah

PKR hari ini membidas BN kerana mengemukakan Datin Linda Tsen sebagai calon pada pilihan raya di Batu Sapi ketika beliau masih lagi berkabung atas kematian suaminya, Datuk Edmund Chung, bekas ahli parlimen Batu Sapi.

Ketika sidang media di Bandar Ramai-ramai hari ini, pengarah pilihan raya PKR, Fuziah berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi BN untuk mencalonkan Tsen yang masih bersedih dan terpaksa membesarkan empat orang anaknya.

“Saya rasa begitu sedih. Saya tahu bagaimana susahnya jadi seorang ahli parlimen wanita. Dalam keadaan suami baru meninggal, seorang wanita masih lagi berkabung, saya rasa cukup sedih kerana beliau dipergunakan sedemikian.

“Kalau saya jadi beliau, saya rasa cukup cukup tertekan kerana dipergunakan untuk jadi calon sedangkan tanggungjawab untuk mengantikan MP Batu Sapi adalah tanggungjawab parti, bukan tanggungjawap isterinya,” katanya.

Menurut Fuziah, sebagai seorang balu, Tsen bukan sahaja terpaksa memikirkan tentang dirinya tetapi juga kepentingan anak-anaknya.

“Seorang balu perlu memikirkan tentang anaknya yang perlu menerima kematian seorang ayah yang mati secara mengejut, anak-anak yang masih dalam trauma, beliau yang masih dalam trauma, perlu berhadapan dengan pilihan raya yang begitu sengit, “ katanya.

Sambil menyifatkan tindakan BN itu sebagai tidak adil, Fuziah berkata ia juga membuktikan mereka tidak sensitif terhadap keperluan seorang balu dan seorang wanita.

Tsen seorang suri rumah adalah juga guru piano sementara dipilih sebagai calon berdasarkan sentimen bahawa belai mampu meneruskan legasi suaminya.

Dari segi politik, Tsen adalah ahli exco Wanita PBS. Beliau juga adalah timbalan pengerusi Wanita PBS bahagian Elopura.

Dari segi kerjaya, beliau adalah pemain piano yang berbakat dan fello Kolej Muzik Trinitydan mengajar piano secara separuh masa.

Mengulas kelayakan Tsen, Fuziah berkata balu itu tidak layak menjadi perwakilan di Dewan Rakyat.

“Untuk meletakkan seorang suri rumahtangga untuk bertanding di Parlimen, saya rasa tidak adil, bukan mudah untuknya. Bukan mudah untuk berdebat di peringkat Parlimen,” kata Fuziah.

Samseng Umno Ugut, Halang Petugas ....



"SANDAKAN 28 Okt - Kumpulan perayu undi dan culaan wanita Parti Keadilan Rakyat yang membuat tugasan pilihan raya di Kampung Istimewa dekat sini tengahari tadi ditakutkan dengan tindakan ala gengster segerombolan ahli dan penyokong Umno dan Barisan Nasional yang menhalang dan menakut-nakutkan mereka daripada mendekati penduduk kampung.

Menurut Noraliza Abdul Wahab dari Cabang Permatang Pauh beliau bersama-sama 20 petugas lain sampai di kampung tersbeut kira-kira pukul 11.15 pagi tetapi setiba mereka terus dihalang oleh beberapa petugas bilik gerakan BN yang terletak berhampiran dengan jalan raya."