Khamis, 14 Oktober 2010

SELAMAT BERTANDING IZZAH, KE MANA HALUAN DATO ZAID ?

AKHIRNYA tuah menyebelahi YB Nurul Izzah apabila beliau disahkan layak merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Sebelum ini, dikatakan pencalonan beliau untuk jawatan tersebut tidak memenuhi syarat 2 pencalonan setelah tarikh tutup pencalonan, tetapi tidak diketahui kaedah yang diguna pakai atau sememangnya YB Nurul Izzah memang layak bertanding. Apa pun, selamat bertanding buat YB Nurul Izzah sekiranya beliau tetap mahu bersaing untuk jawatan tersebut.

Apabila parti memberi kebenaran dan inilah yang diharapkan oleh beberapa ahli di dalam PKR, maka tiada sebab lagi untuk menyalahkan parti atau menimbulkan soal konspirasi untuk melarang YB Nurul Izzah bertanding. Saya berharap parti telah melaksanakan keadilan di dalam pemilihan kali ini walaupun beberapa aspek teknikal masih dipertikaikan. Memang sesuatu yang baru akan menghadapi beberapa masalah di dalam perlaksanaannya. Apa yang penting, prinsip keadilan dan ketelusan dapat dipraktikkan sebaik mungkin.

YB Nurul Izzah sekarang ini pasti sedang menimbang samada bijak atau tidak untuk beliau menawarkan diri bertanding kerusi nombor dua di dalam PKR itu. Setakat ini pencalonan untuk beliau bagi jawatan tersebut paling minima jika dibandingkan dengan calon-calon lain. Jika diukur dari pencalonan, lebih bijak dan praktikal YB Nurul Izzah mencuba merebut jawatan Naib Presiden PKR. Jika beliau bersetuju untuk merebut jawatan Naib Presiden, laluan untuk beliau juga agak samar kerana wakil calon wanita sudah bersedia menanti iaitu YB Fuziah Salleh. Dikatakan sokongan untuk MP Kuantan itu tidak boleh dipandang mudah. Adakah PKR perlu kepada 2 tokoh wanita menduduki kerusi Naib Presiden?

Samada YB Nurul Izzah bertanding kerusi Timbalan Presiden atau Naib Presiden, tentunya memberi kesan ke atas pencalonan terhadap Dato Zaid Ibrahim. Apakah jawatan yang ingin ditandingi oleh Dato Zaid Ibrahim mungkin tertakluk kepada pendirian YB Nurul Izzah selepas ini. Ada yang berpendapat, penyokong-penyokong Dato Zaid akan memberikan sokongan padu kepada YB Nurul Izzah walau apa jua jawatan yang ingin disandangnya. Tetapi, belum tentu penyokong-penyokong YB Nurul Izzah akan menyokong Dato Zaid sekiranya Dato Zaid bertanding di dalam pemilihan kali ini

PKR YANG BERKUBUR ATAU RAJA KATAK YANG BERKUBUR?

Oleh: WFAUZDIN NS

IBRAHIM Ali menjadi `Nujum Pak Belalang' kali ini. Raja katak Pasir Mas ini meramalkan PKR akan hidup kali terakhir di dalam PRU ke 13 nanti, selepas itu PKR lenyap katanya. Kita sudah biasa dengan ramalan seperti itu. Sebelum PRU ke 12 dulu, Nazri Aziz pernah juga meramalkan PKR akan berkubur selepas PRU ke 12 memandangkan ketika itu wakil PKR di dalam Parlimen cuma tinggal seorang sahaja iaitu DS Wan Azizah. Tetapi sebaliknya berlaku, yang banyak mendirikan `batu nisan' adalah Umno, lebih-lebih lagi yang tidak disangka adalah dari MCA, MIC dan Gerakan.

Biarlah raja katak meramalkan begitu. Cuma nanti kita lihat samada yang berkubur di dalam PRU Ke 13 nanti adalah PKR atau raja katak Pasir Mas. Sebenarnya, raja katak Pasir Mas sudah boleh dikuburkan lebih awal tetapi keengganan atau sikap bacul raja katak, maka beliau berpeluang untuk `menumpang' kerusi yang tidak diredhai oleh PAS itu sehingga sekarang. Memang raja katak tidak tahu malu kerana beliau perasan beliaulah seorang `pejuang' Melayu kununnya. Seorang pejuang yang telah dilucutkan pingat oleh Raja Melayu di bumi sendiri.

ROH ATAU SEMANGAT REFORMASI AKAN TETAP DIPERTAHANKAN OLEH CHEGU BARD

Beliau banyak berada di jalanan daripada berada di pejabat berhawa dingin...
Oleh: WFAUZDIN NS

CHEGU BARD akhirnya menetapkan pendirian untuk bertanding merebut jawatan Ketua AMK di dalam pemilihan PKR kali ini. Tahniah diucapkan kepada Chegu Bard kerana akur akhirnya dengan kehendak akar umbi, khususnya dari golongan yang tidak mahu semangat atau roh reformasi disemadikan.

Satu aspek yang saya cukup hormati dengan Chegu Bard adalah sepanjang tempoh kempen kali ini, beliau berjaya menjarakkan dirinya dari kontroversi. Tidak seperti YB Azmin dan Dato Zaid, Chegu Bard berjaya menempuhi kempen beliau dengan suasana yang sihat. Namun demikian, dalam politik ini jika kita tidak `mengusik', orang lain pula `mengusik'. Itulah adat berpolitik terutamanya di dalam sebuah parti yang boleh dikatakan masih ramai pemimpin dan ahlinya yang belum suci dirinya dari `berbau Umno'.

Lihatlah, YB Azmin mulanya sepi tetapi apabila Dato Zaid `mengusik', maka YB Azmin pun membalasnya. Bahkan, usikan Dato Zaid merata-rata sehingga ke Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden habis diusiknya. Arahan parti agar memboikot akhbar Utusan pun dipersendakan oleh Dato Zaid. Inilah hebatnya Dato Zaid yang Chegu Bard tidak boleh nak ikut.

Ada pendapat yang menyebut Chegu Bard mendapat `sokongan' kuat dari DS Anwar kerana beliau adalah di antara `ahli keluarga' terdekat dengan Ketua Umum PKR itu. Ada juga yang menyebut Sdr Rafizi pun mendapat sokongan dari DS Anwar kerana beliau berada di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu. Setakat ini calon Ketua AMK yang popular adalah Chegu Bard dan Sdr Rafizi. Mustahil DS Anwar mahu kedua-duanya serentak menjadi Ketua AMK. Jelas pada kita, banyak yang tidak betul persepsi orang ramai terhadap sokongan DS Anwar kepada calon-calon Ketua AMK ini.

Setahu kita, Chegu Bard tidak pernah menggunakan pengaruh DS Anwar sepanjang kerjaya beliau di dalam politik. Lihatlah Chegu Bard sekarang, apa yang ada pada beliau selain dari Ketua Cabang PKR Rembau yang dipilih oleh orang Rembau sendiri. Jika beliau mahu gunakan pengaruh DS Anwar, sudah tentu sekarang Chegu Bard menjadi YB kerana DS Anwar akan letakkan beliau di kawasan yang selamat semasa Pilihanraya Umum yang lalu. Chegu Bard tidak kisah apabila beliau tewas di Parlimen Rembau. Beliau juga tidak mengkhianati parti untuk mengikut bekas bosnya di dalam Gerak iaitu Ezam Sesumpah. Mungkin jika beliau ikut Ezam sesumpah, sekarang ini kita panggil Chegu Bard Senator Badrul Hisham. Tidak mustahil kan?

Kita tahu Chegu Bard tidak pernah `usik' sesiapa sepanjang kempen beliau untuk menjadi Ketua AMK. Bahkan, secara terbuka Chegu Bard menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh ahli-ahli di dalam pemilihan kali ini. Baca di sini. Namun, ada yang tergamak buat fitnah kepada beliau. Baru-baru ini ada cerita tentang Chegu Bard `dapat jutaan' duit dari satu pihak untuk menyokongnya. Kalau begitu kayalah Chegu Bard, tetapi mengapa handphone Chegu Bard pun jenis `cokia' bukan Nokia canggih ? Dengar ceritanya handphone pun ada yang tolong belikan kerana katanya beliau pernah kehilangan handphone `Blackberry' buatan China. Kalau berjuta Chegu Bard dapat, jomlah kita tengok rumah banglo atau kereta mewah Chegu Bard.

Kesimpulannya, keputusan Chegu Bard untuk bertanding kerusi Ketua AMK amat dialu-alukan dan mesti kita beri sokongan. Roh atau semangat reformasi tidak akan mati sekiranya Chegu Bard menjadi ketua kepada golongan muda di dalam PKR. Ketokohan dan keberanian beliau tidak perlu diulas lagi, Umno pun tahu siapa Chegu Bard malahan mana pegawai-pegawai Polis yang tidak kenal anak muda Rembau ini? Aktiviti anak-anak muda di dalam berdemontrasi tidak lengkap tanpa kehadiran Chegu Bard. Chegu Bard tidak muncul sewaktu pemilihan ini saja, beliau sentiasa muncul selagi ke tidakadilan masih berlaku di negara ini.

Perkhidmatan awam dan kabinet


Abdul Aziz Bari
Khairy Jamaludin betul apabila, pada 2 September lalu, menyatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar. Di bawah sistem Westminster yang kita amalkan sekarang, perkhidmatan awam yang buat masa ini berjumlah sekitar 1.2 juta orang, adalah sebahagian daripada kerajaan.
Bagaimanapun perkhidmatan awam perlu berkecuali dalam erti kata ia tidak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Tegasnya kakitangan awam boleh mengundi parti pembangkang di dalam pilihan raya.
Mengapa kakitangan awam yang merangkumi angkatan tentera dan polis perlu berkecuali? Ini ialah kerana dengan cara itu sahaja mereka boleh memberi khidmat kepada rakyat dengan profesional dan tidak menganiaya mereka
Jika perkhidmatan awam tidak berkecuali ia akan menjadi alat parti pemerintah. Perlembagaan menjamin kedudukan dan peranan perkhidmatan ini melalui adanya pelbagai suruhanjaya perkhidmatan dan pelbagai peruntukan yang tidak membolehkan mereka dibuang kerja begitu sahaja oleh kerajaan yang memerintah.
Kedudukan berkecuali perkhidmatan awam ini tidak difahami oleh ramai orang. Ini tidak memeranjatkan kerana kita tidak pernah khususnya di peringkat persekutuan diperintah oleh parti lain selain Barisan Nasional (BN). Dan, parti ini memang tidak pedulikan perlembagaan sangat. Sebab itu di bawah pentadbiran Mahathir kakitangan awam dipaksa menerima aku janji yang jelas bertentangan dengan doktrin keberkecualian perkhidmatan awam tadi.
Peranan dan fungsi perkhidmatan di seluruh dunia Westminster sama; yakni memberi nasihat secara profesional dan tidak memihak kepada kerajaan yang, sesuai dengan sifat politik itu sendiri, datang dan pergi serta tidak kekal. Bagi memastikan kemantapan kedudukan dan peranan kakitangan awam mereka hanya perlu setia kepada negara dan dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri memainkan peranan.
Berbalik kepada isu kali ini yakni kakitangan awam yang terlalu ramai, mengapa sampai jadi begitu dan apa kesan buruknya kepada sistem dan negara kita? Saya tidak pasti mengapa. Tetapi, saya yakin bahawa saiz perkhidmatan awam yang terlalu gemuk itu adalah beban yang tidak perlu kepada rakyat, khususnya pembayar cukai.
Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang dan mungkin kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang perlu mengambil berat. Saya ingin mencadangkan supaya Pakatan mengecilkan Kabinet mereka. Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa untuk negara yang penduduknya berjumlah sekitar 28 juta ini Malaysia memerlukan hanya sekitar 20 orang menteri sahaja. Negara India yang mempunyai lebih 1 bilion rakyat itu pun hanya mempunyai sekitar 30 orang menteri sahaja.
Saya sebut Kabinet di sini kerana ia membuat dasar yang kemudian dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Dalam konteks perbincangan kita minggu ini perkhidmatan awam tidak boleh dikecilkan dengan mudah. Seperti yang saya sebutkan tadi kedudukan dan hak mereka dilindungi oleh perlembagaan. Saya rasa antara sebab mengapa perkhidmatan awam jadi gemuk ialah kerana kabinet diperbesarkan tanpa berfikir oleh BN. Agak jelas di bawah pentadbiran BN, kabinet dibentuk berdasarkan politik dan bukan keperluan negara. Tegasnya, BN hendak memastikan semua parti komponennya mendapat habuan melalui jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen.
Kabinet yang gemuk itu menyebabkan pembentukan kementerian yang begitu banyak jumlahnya. Ini perlu diberhentikan oleh PR.
Bagi memastikan supaya falsafah dan idea yang betul tentang perkhidmatan awam dapat dikembalikan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji isu-isu itu perlu ditubuhkan. Hal ini telah dilakukan beberapa kali di United Kingdom dalam tempoh 40 atau 50 tahun kebelakangan ini. Dalam soal ini veteran perkhidmatan awam, pakar pentadbiran dari kalangan akademik dan seterusnya perlu dilantik bagi mengkaji dan mencadangkan syor-syor yang perlu bagi menjelaskan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam.
Ini bermakna bahawa selain berpolitik, tokoh-tokoh PR perlu merenung dan berfikir apakah bentuk negara dan pentadbiran yang mereka hendak kemukakan kepada rakyat. Dan ini adalah sebahagian daripada apa yang kita sering sebut sebagai politik baru selepas tsunami politik Mac 2008. Idea-idea itu juga perlu untuk kita menangani sabotaj yang didakwa dilakukan oleh BN di negeri-negeri yang PR perintah.
* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun dan kini di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM

Kerajaan tidak sedia laksana GST – Ismail Sabri


DatoIsmailSabri  (586Kb) KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bersedia melaksanakan cukai perkhidmatan kerajaan (GST) menyebabkan pelaksanaan skim itu ditangguhkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Beliau berkata, keputusan penangguhan itu dibuat Kementerian Kewangan dan bukannya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

"Walaupun, ada GST kita (KPDNK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan) membuat kawalan juga kerana bimbang ada pihak yang menaikkan harga.
"Jadi dengan penangguhan pelaksanaan itu, sudah tidak ada isu mengenai GST," katanya di lobi Parlimen hari ini sebagai mengulas mengenai keputusan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu.
Penangguhan pelaksanaan GST itu diumumkan Kementerian Kewangan, Isnin lalu dalam satu kenyataan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sebaliknya menegaskan bahawa “kesungguhan politik” kerajaan ketika ini adalah mendahulukan kepentingan rakyat dengan memberi penerangan secara mendalam sebelum kerajaan melaksanakan
sistem GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan ketika ini.
Kepentingan rakyat
Tegas beliau,"maka daripada segi kepentingan rakyat, kerajaan percaya rakyat perlu diberikan penerangan mengenai GST.
"Mereka juga diberi peluang untuk memberikan input masing-masing sekiranya ada, supaya akhirnya sistem GST yang dilaksanakan kelak menjadi sistem yang sama-sama dimahukan oleh rakyat dan kerajaan," katanya selepas melawat rumah Mustafa Ismail, 80, seorang pesara Telekom Malaysia di Taman Meru di sini, semalam.
Ismail yang juga ahli Parlimen Bera mengulas mengenai keputusan Kementerian Sumber Manusia untuk melaksanakan gaji minima tahun depan.
Beliau berkata, pelaksanaan gaji minima tidak memberi impak kepada harga barangan di seluruh negara.  Kementerian mempunyai akta untuk melindungi pengguna supaya harga barangan dan perkhidmatan tidak membebankan pengguna," katanya.
Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam mengumumkan kerajaan akan melaksanakan skim gaji minima tahun depan.
Pelaksanaan gaji minima ini sudah lama diperjuangkan oleh kesatuan sekerja di seluruh negara.

Kegagalan Muhyiddin Selesai Isu Pengetua Rasis Serlah Sikap Sebenar Terhadap 1Malaysia


lks5SHAH ALAM 14 Okt - Kegagalan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan isu tindakan disiplin terhadap dua pengetua rasis sejak dua bulan dahulu menyerlahkan sikap beliau yang tidak menunjukkan komitmen kepada gagasan 1Malaysia yang kononnya mendahulukan rakyat.

Malah menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang keadaan menjadi bertambah getir bagi Muhyiddin kerana beliau kini dipertanggunjawabkan oleh Perdana Menteri untuk memastikan kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ini didedahkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika melawat Melbourne bahawa beliau diserahkan tugas menjayakan pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui GTP.

"Di bawah Muhyiddin siapa yang akan menyakini GTP akan berjaya apabila beliau yang ditugaskan menjayakan GTP bersikap dingin terhadap 1Malaysia dengan mengatakan beliau "Melayu dahulu" dan tidak mampu mengambil tindakan ke atas dua pengetua terbabit," kata Kit Siang dalam kenyataan medianya Isnin lalu.

Beliau turut menyelar menteri dari MCA, MIC dan Gerakan yang dianggap tidak lagi relevan bilamana tidak mampu menyelesaikan isu tersebut.

Malah usul tergempar beliau untuk membahaskannya telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga tidak dapat memberikan bentuk tindikan disiplin yang telah diambil walaupun menolak usul itu atas alasan tindakan telah diambil pihak kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ahmad Maslan Dan Najib Ibarat Cacing Kepanasan


Oleh Mohamed Hanipa Maidin   
hanipa2Apabila keputusan Mahkamah memihak kepada para peneroka Felda Kemahang, pihak yang bertanggungjawab menjaga Felda menyatakan bahawa sebenarnya kekalahan itu kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Kini apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan memihak kepada peneroka Sungai Koyan, Ahmad Maslan dan Najib bertungkus lumus menyatakan bahawa sebenarnya Felda tidak kalah.

Najib dan Ahmad Maslan masih lagi di dalam “denial syndrome” (sindrom penafian) - tidak dapat menerima dua keputusan Mahkamah yang menyebelahi peneroka dan tidak menyebelahi Felda.

Maka bagi menegakkan benang basah kedua-dua pemimpin ini nampak sangat terkial-kial cuba menyelamatkan imej Felda yang terguris teruk di sini sana. Hakikatnya semakin mereka cuba mempertahankan Felda semakin jelas mereka tercungap-cungap !

Kita lihat dulu kes Felda Kemahang. Felda menyatakan bahawa institusi tersebut kalah kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Secara tersirat Felda ingin menyatakan bahawa peneroka menang kes tersebut bukan kerana kes mereka kuat.

Persoalannya benarkah Felda kalah hanya kerana semata-mata peguam Felda tidak hadir di Mahkamah ? Memang mudah untuk menipu rakyat dengan berselindung di sebalik hujah ini. Namun Najib dan Ahmad Maslan kena ingat pepatah Amerika yang menyatakan “ kita boleh berbohong seseorang dalam sesuatu masa, tetapi kita tidak boleh bohong semua orang dalam semua masa”.

Ya, benar antara sebab Felda kalah dengan peneroka Kemahang kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Tetapi itu hanya sebahagian dari kebenaran. Kebenaran lain yang disorok oleh Najib dan Ahmad Maslan adalah meskipun peguam Felda tidak hadir, Hakim yang mendengar perbicaraan tersebut tidak memberikan kemenangan mudah kepada peneroka Felda Kemahang. Dalam bahasa undang-undang hakim tersebut tidak memasukkan penghakiman ingkar ( judgment in default ) ke atas Felda hanya kerana peguam Felda tidak hadir di Mahkamah. Untuk makluman para pembaca penghakiman ingkar adalah penghakiman yang direkodkan oleh Mahkamah jika salah satu pihak tidak hadir di Mahkamah dan penghakiman tersebut dibuat tanpa Hakim mendengar keterangan dari pihak-pihak atau saksi-saksi mereka.

Dalam kes Felda Kemahang meskipun Felda dan peguam mereka tidak hadir di Mahkamah , Hakim Dato’ Azman Hussin masih mahu mendengar keterangan saksi-saksi peneroka sebelum membuat keputusan. Hanya setelah Hakim mendengar keterangan barulah hakim berpuashati bahawa terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa unsur penipuan dalam kes tersebut dan sekaligus Hakim memerintahkan Felda membayar peneroka-penerokan yang menyaman itu gantirugi RM 11 juta. Berdasarkan hal tersebut adalah TIDAK BENAR untuk Najib dan Ahmad Maslan menyatakan Felda kalah hanya kerana peguam Felda tidak hadir. Hakikatnya meskipun peguam Felda tidak hadir kes tersebut masih boleh menyebelahi Felda jika Hakim , setelah mendengar saksi pihak peneroka, merasakan peneroka telah gagal membuktikan kes mereka.

Kita lihat pula isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan di dalam kes para peneroka Sungai Koyan 2 dan 3. Ahmad Maslan berkata, laporan akhbar Harakah yang berjudul “Felda Kalah Lagi” mengelirukan dan tidak tepat. "Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda. Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar pada 7/10/2010.

Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ahmad Maslan cuba bermain dengan logik. Logik beliau kalau Felda kalah sudah tentu Felda akan merayu. Oleh kerana Felda tidak merayu maka mengikut logik Ahmad Maslan Felda tidak kalah.

Baiklah jika itu logik Ahmad Maslan kita juga boleh menjawab dengan logik berikut. Jika Felda tidak kalah maka sudah tentu peneroka yang kalah .Dalam Mahkamah tidak ada keputusan seri. Jika peneroka kalah sudah tentu saman yang dikemukakan oleh peneroka akan ditolak oleh Mahkamah. Dan jika peneroka yang kalah sudah tentu peneroka yang kena buat rayuan.

Persoalannya bagaimana peneroka hendak dikatakan kalah jika apa yang mereka minta dibenarkan oleh Mahkamah meskipun tidak keseluruhan. Mereka meminta Mahkamah membuat perintah perisytiharan bahawa mereka dibenarkan tanam secara sendiri dan Mahkamh membenarkan perintah itu. Mereka juga meminta Mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka layak diberi RM 1700 seeekar dan Mahkamah juga benarkan perintah tersebut. Hanya kerana Mahkamah menambah bahawa bagi tujuan bayaran RM 1700 seekar perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan tidak boleh ditafsirkan Felda menang dan peneroka kalah.

Sepertimana kes Felda Kemahang, Ahmad Maslan sekali lagi tidak mendedahkan kebenaran yang sebenar. Beliau menyatakan kalau tidak saman pun kita ( felda ) tetap akan bayar. Ini satu pembohongan yang amat terang dan nyata. Kalau Felda akan bayar apa yang diminta oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 mengapakah peneroka tersebut perlu bersusah payah pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan hak mereka ? Kalau betul Felda akan bayar mengapakah Felda bertungkus lumus lawan para peneroka habis-habisan di Mahkamah ? Saksi Felda sendiri apabila disoal oleh saya bersetuju bahawa para peneroka perlu pergi ke Mahkamah kerana ingin mendapatkan keadilan. Lihat soal jawab berikut :-

Soalan (S): Sekarang ni bila Felda uruskan tanam semula, Felda guna duit dalam tabung,sebahagian duit itu sebahagian duit Plaintif,betul?

Jawapan (J) : Betul

S: Maknanya Felda diberi izin berdasarkan perjanjian ini untuk guna wang tabung tanam semula,duit itu yang sebahagiannya ada duit Plaintif.tapi bila peneroka nak tanam sendiri macam-macam syarat dikenakan.wajar tak wajar?

J: Wajar.

S: Kalaulah saya katakan Peneroka yang tanam melalui Felda mereka boleh guna RM 1,700,sepatutya hak yang sama diberikan kepada Plaintif,betul?

J: Betul

S: Tiba-tiba 2002 tak dapat langsung. Adil ke tak?

J : Tak adil.

S: Kalau tak adil tu la pergi mahkamah. Tu la mereka pergi mahkamah untuk dapat keadilan. Betul?

J: Betul

Ahmad Maslan menyatakan tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Sekali lagi bercakap bohong jadi hobi Ahmad Maslan.

Mengapakah Ahmad Maslan enggan menyatakan kebenaran bahawa semasa saksi Felda memberikan keterangan saksi Felda tanpa berselindung menyatakan bahawa ketiga-tiga peneroka itu hanya layak menerima RM 11,000 lebih sahaja setiap orang sedangkan berdasarkan garis panduan Felda sendiri mereka layak menerima RM 1700 seekar ( RM 1700 x 14 ekar = RM 23, 800-00 ).

Jika 3 peneroka ini tidak saman Felda di Mahkamah apakah jaminan Felda setuju bayar mereka jumlah penuh sebanyak RM 23, 800-00 ? Apabila Mahkamah memutuskan mereka layak dibayar RM 1700 seekar tindakan Felda hanya bayar RM 11,000 lebih sahaja kepada 3 peneroka tersebut adalah jelas tidak betul.

Akhir sekali Ahmad Maslan menyatakan saman itu hanya merugikan para peneroka kerana mereka terpaksa membayar khidmat peguam. Mengapakah Ahmad Maslan tidak pula menyatakan bahawa tindakan Felda menggunakan peguam dan membayar kos peguam Felda yang tinggi juga membuang duit Felda sahaja hanya semata-mata Felda mahu tegakkan benang basah dan ingin menafikan hak peneroka.

Oh mungkin bagi Ahmad Maslan tidak salah Felda membazir duit bayar yuran peguam Felda sebab duit Felda itu hakikatnya datang dari hasil penat lelah peneroka juga ! Bukankah lebih baik Felda bayar peneroka wang tanam semula dari bayar wang kepada peguam Felda bagi membela Felda untuk tidak mahu bayar wang tanam semula kepada peneroka.

Ansari Tanding Naib Presiden Mahu Rapatkan Hubungan Sabah, Sarawak, Semenanjung

ansari1SHAH ALAM 14 Okt - Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Pusat Ansari Abdullah, mengesahkan beliau akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti November depan.

Beliau yang juga Ketua Cabang Tuaran merupakan antara aktivis terawal KEADILAN dan pernah menyandang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah selama satu penggal.

Sebelum itu Ansar juga aktif sebagai seperti Penasihat Undang-undang Parti Keadilan Nasional Sabah (sebelum pengabungan) serta Timbalan Pengerusi KEADILAN Sabah selama dua penggal.

Beliau yang juga seorang peguambela dan peguamcara yang terkenal dan disegani di Sabah mula berkecimpung dalam dunia politik sedari era negeri itu ditadbir oleh kerajaan USNO di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun lagi.

Dalam sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu Isnin lalu, Ansari menjelaskan tujuan beliau menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara pimpinan Sabah dan Sarawak dengan pimpinan tertinggi pusat dalam usaha untuk memecahkan teori 'fix deposit' Umno-Barisan Nasional.

"Saya telah diminta oleh majoriti Cabang di  Sabah dan juga beberapa cabang sahabat di Semenanjung yang ingin melihat saya memainkan peranan yang lebih aktif dalam misi memperjuangkan hak-hak warga Sabah dan Sarawak dalam konteks federalisme.

"InsyaAllah saya akan berusaha keras untuk merapatkan jurang persahabatan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, memperkasakan reformasi, memperjuangkan tanah adat Orang Asal dan juga memberi perhatian kepada pelbagai isu yang dihadapi rakyat kedua-dua negeri ini," kata Ansari.

Konsert 'gay': PAS, siswa berhimpun di stadium

Kira-kira 200 anggota Pemuda PAS dan aktivis kumpulan mahasiswa Islam malam ini antara yang hadir ke konsert artis 'gay' Amerika Syarikat Adam Lambert.

Bagaimanapun, kehadiran mereka bukan untuk berpesta, sebaliknya bagi menyatakan bantahan terhadap artis tersebut, antaranya dengan mengoyak dan memijak poster artis American Idol itu.

Sejak 7.30 malam, mereka berkumpul di sebuah surau, kira-kira 300 meter dari Stadium Bukit Jalil - tempat program itu berlangsung.

Mereka kelihatan menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum berarak beramai-ramai ke stadium berkenaam.

Dipimpin Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, mereka bertakbir dan melaungkan pelbagai slogan anti artis tersebut, antaranya "bantah artis gay' dan "bantah Adam Lambert".

Kehadiran mereka disambut kira-kira 30 anggota FRU yang mengawal sekitar pintu masuk bagi mengelakkan kumpulan tersebut menyerbu ke dalam stadium.

Bagaimanapun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku apabila mereka mematuhi arahan polis yang tidak membenarkan sebarang poster dan kain rentang dipamerkan terlalu hampir dengan stadium berkenaan.

Sementara itu, sebelum memijak poster Lambert, Nasrudin sempat berucap ringkas menggunakan alat pembesar suara.

Katanya, mereka menentang program tersebut kerana ia menentang norma ketimuran, ajaran agama, "lucah, tidak bertamadun dan tidak sesuai dengan naluri manusia".

Bagaimanapun, kumpulan mahasiswa dipimpin Naib Presiden 1 Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis) Abdul Razak Osman tetap berkumpul di perkarangan stadium berkenaan walaupun anggota PAS telah beredar.

Mereka bahkan menghantar lima wakil bagi meninjau di dalam stadium.

Kita-kira jam 9.45 malam tadi, kira-kira sejam selepas itu, Abdul Razak yang turut masuk ke dalam stadium keluar dan memberitahu media bahawa daripada aspek pakaian, Adam Lambert didapati "OK".

Bagaimanapun, menurutnya, penari yang mengiringinya agak seksi.

Akuan sumpah: Karpal mahu usul tindakan hina mahkamah

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengusulkan prosiding menghina terhadap beberapa individu tertentu berhubung kenyataan yang dibuat kepada media khususnya ekoran pertikaian akuan bersumpah sejak minggu lalu.
Kata Karpal, kenyataan itu tidak boleh dibincangkan kerana ia boleh mewujudkan prejudis terhadap perbicaraan kes berkenaan.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah meluluskan permohonan Karpal untuk memfailkan permohonan rasmi bagi mendapatkan prosiding menghina.
Ia dijadual untuk didengar apabila mahkamah bersidang semula pada 25 Oktober ini.
Pihaknya dipercayai mengambil langkah itu ekoran kenyataan media bekas pembantu Anwar, Rahimi Osman yang mempertikaikan kesahihan dua akuan bersumpah yang pernah dibuatnya berhubung kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu dua tahun lalu.
Semalam, bekas pembantu am Anwar membuat laporan  di Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Shah Alam berhubung satu Akuan Bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008.
Rasid Rosdi, 31, berkata dia membuat laporan polis kerana mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya itu dilakukan secara paksaan dan dalam keadaan tertekan.
Rasid yang merupakan bekas banduan dan mengaku mengenali Anwar semasa dalam penjara berkata pada malam 28 Jun, 2008, selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan diliwat Anwar, dirinya telah dipanggil ke sebuah hotel di Shah Alam dan ditahan serta dikawal rapi selama beberapa hari.
Dia berkata langkah membuat laporan polis itu diambil selepas melihat Rahimi yang terlebih dahulu membuat tindakan sama di IPD Klang Selatan pada 6 Oktober lepas.
Sementara itu, ahli patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa semasa merekodkan sejarah perubatan Saiful pada 28 Jun, 2008, Saiful menyatakan bahawa dia diliwat oleh seorang individu berprofil tinggi sejak dua bulan sebelum itu, tanpa menggunakan kondom.
Beliau berkata Saiful memaklumkan kepadanya bahawa individu berkenaan tidak menggunakan kekerasan terhadapnya dan bahan pelincir digunakan dalam perbuatan itu, dengan episod terakhir berlaku dua hari sebelum dia pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan semasa pemeriksaan utama bilakah Saiful memberitahunya tentang perkara itu, Dr Siew berkata beliau mendapat maklumat itu daripada Saiful semasa merekodkan sejarah perubatannya.
“Selepas Saiful memberitahu dia diliwat, saya bertanya kepadanya sama ada kondom telah digunakan, Saiful menjawab tidak, tapi katanya bahan pelincir telah digunakan,” kata Dr Siew pada perbicaraan kes liwat Pemimpin Pembangkang dan Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Dr Siew, yang berpengalaman mengendalikan antara 200 dan 300 kes forensik dan menyelia 20 kes liwat, berkata, selepas beliau menemubual Mohd Saiful, pakar bedah umum Dr Mohd Razali Ibrahim dan pakar penjagaan kecemasan HKL, Dr Khairul Nizam Hassan pula melakukan pemeriksaan.
Katanya Dr Khairul Nizam membuat pemeriksaan terhadap tubuh Mohd Saiful manakala Dr Mohd Razali memeriksa bahagian sulit pesakit itu.
Beliau berkata para doktor berkenaan mendapat keizinan Saiful sebelum melakukan pemeriksaan perubatan terhadap bahagian sulit mangsa dan merakam gambarnya.
Menjawab soalan Nordin sama ada pemeriksaan itu dibuat secara serentak, beliau berkata ia dibuat satu demi satu oleh dua doktor berkenaan.
Dipetik Bernama, Dr Siew berkata peranan beliau ialah mengendalikan spesimen yang diambil daripada Saiful.
Dr Siew, 40, saksi ketiga pendakwa, berkata laporan perubatan yang disediakan oleh beliau serta Dr Razali dan Dr Khairul Nizam, selepas membuat pemeriksaan terhadap Saiful, adalah tidak konklusif dan komprehensif kerana ia dibuat tanpa laporan kimia.
Doktor itu berkata beliau membuat keputusan secara konklusif bahawa berdasarkan keputusan empat sapuan yang diambil dari bahagian dubur Saiful semasa pemeriksaan perubatan pada 28 Jun, 2008, beliau mengesahkan bahawa telah berlaku penetrasi alat kelamin lelaki.
Katanya laporan yang disediakan oleh beliau, Dr Mohd Razali dan Dr Khairul Nizam pada 11 Julai, 2008, dibuat tanpa laporan kimia mengenai sapuan berkenaan dan lokasi ia diambil.
“Berdasarkan laporan itu dan mengetahui lokasi tempat sampel itu diambil, sekarang saya boleh mengesahkan bahawa telah berlaku penetrasi alat kelamin lelaki,” kata Dr Siew bagi menjawab pertanyaan Nordin.
Menjawab soalan sama ada liwat boleh berlaku tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan pada kawasan dubur mangsa, Dr Siew berkata perkara itu boleh berlaku sekiranya bahan pelincir digunakan atau kejadian itu lewat dilaporkan kepada doktor.
“Ini berkemungkinan terjadi apabila perbuatan itu tidak melibatkan kekerasan atau sanggahan,” kata Dr Siew.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Dr Mohd Razali mengumpul sapuan yang ditanda sebagai B5, B7, B8 dan B9 yang diserahkan kepadanya dan menyita sampel berkenaan dalam botol yang distril sebelum melabel dan menyerahkannya kepada pegawai penyiasat kes berkenaan DSP Juge Blacious Pereira pada kira-kira pukul 12.35 tengah hari keesokan harinya (29 Jun, 2008).
Dalam keterangannya, saksi keempat pendakwa, Dr Khairul Nizam memberitahu mahkamah bahawa beliau telah membuat pemeriksaan fizikal terhadap Saiful, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Katanya dalam pemeriksan itu, beliau mendapati terdapat tiga tanda pada bahagian kiri dan kanan bahagian atas belakang Mohd Saiful dan satu tanda pada bahagian tengah di kanan belakang mangsa, dan kemudian mengukur tanda-tanda itu.
Dr Khairul Nizam juga berkata penetrasi alat kelamin lelaki telah berlaku berikutan penemuan air mani lelaki pada bahagian “periannal, low rectal dan high rectal” Saiful.
Karpal yang mewakili Anwar menangguhkan pemeriksaan balasnya terhadap tiga doktor itu kepada 25 Oktober.

Tumpahan Bahan Kimia Merbahaya, Air Sungai Rejang Tidak Selamat Diminum?

R.R.4SIBU 14 Okt - Fenomena kebanjiran lebih 300,000 meter padu sisa kayu dan balak yang menyekat laluan air di Sungai Rejang sejak 7 Oktober lalu sudah berakhir namun persoalan paling penting yang tidak dijawab oleh kerajaan negeri Barisan Nasional Sarawak ialah samada air sungai tersebut selamat diminum.

Menurut sumber industri pembalakan di Putai, ratusan ribu penduduk yang tinggal disepanjang Sungai Rejang kini terdedah dengan bahaya keracunan dan pencemaran disebabkan bahan kimia yang hanyut bersama himpunan kayu kayan yang hanyut di dalam sungai tersebut.

Suara Keadilan difahamkan akibat banjir besar yang menjadi punca berlakunya himpunan kayu kayan tersebut, bahan kimia merbahaya seperti perawat kulat (fungicide), glue dan diesel dipercayai telah di bawa oleh arus banjir ke dalam sungai.

"Pembalak selalunya akan membina 'log pond' untuk menyimpan balak yang telah ditebang sebelum diangkut  oleh jentera berat ke dalam 'tug boat' melalui jalan air. Tersimpan di dalam 'log pond' ini juga beratus-ratus tong yang menyimpan perawat kulat.

"Terdapat juga kilang-kilang papan lapis yang menggunakan bahan perekat dalam proses pembuatan dan bahan ini juga dipercayai turut memasukki sistem ekologi Sungai Rejang dalam banjir itu," kata sumber tersebut.

Sungai Rejang yang merupa sungai terpanjang di Malaysia dengan jarak 350 kilometer menjadi nadi kehidupan kepada beberapa bandar utama dan lebih 1,000 kampung dan desa yang menampung ratusan ribu penduduk negeri Sarawak.

Antara bandar penting yang mendapat bekalan air secara terus dari Sungai Rejang termasuk Pelabuhan Tanjung Manis, Sarikei (50,000 penduduk), Bintangor (30,755), Sibu (126,000), Kanowit (28,000), Ngemah (dalam Kanowit), Song (22,200) dan Kapit (100,000).

Air yang sedut dari bandar-bandar ini kemudiannya di salurkan ke Salim di Sibu untuk dirawat.

Sebarang pencemaran air di Sungai Rejang dikatakan akan menjejaskan bukan sahaja sumber air minuman di Sarawak malah memberi kesan kepada industri perikanan di kawasan itu.

"Kerajaan negeri mesti mengambil langkah segera untuk membuat kajian di makmal bagi memastikan air minuman dari sumber Sungai Rejang selamat diminum dan juga ikan yang dimakan tidak mengandungi bahan kimia merbahaya," kata sumber itu lagi.

Terdapat dakwaan sisa kayu kayan yang sudah terkumpul di Putai itu hasil pembalakan haram di kawasan pendalaman Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan sejak 10 tahun dahulu.

"Banyak aktiviti pembalakan haram berlaku di kawasan pendalaman Sarawak tapi malangnya tidak ada pemantauan satu usaha untuk membanteras gejala ini.

"Kerosakan yang berlaku disebabkan himpunan kayu itu malah lebih besar berbanding statistik rasmi yang dilaporkan," ujar sumber itu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan dua jambatan Bailey serta lima jeti rosak dalam kejadian itu mengakibatkan kerugian bernilai RM2.7 juta sahaja.

Lagi cerita UMNO menjual BANGSA




DISKRIMINASI di antara Rakyat Tempatan dan Rakyat Asing jelas dilaungkan oleh kerajaan UMNO/BN. Perumahan setinggan rakyat asing sekitar kawasan Masjid pekan Telupid yang terlibat dalam kawasan pembangunan kedai LPPB telah disokong oleh Ketua UMNO bahagian Beluran, James Ratib untuk mendapatkan pampasan daripada kerajaan.
                                                           
Menurut surat Ketua UMNO Bahagian Beluran, bil UMNO/TP-GRPM/10/0110/01 bertarikh 1 Oktober 2010, James Ratib telah menulis surat kepada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, Sabah untuk menyokong tuntutan bayaran pampasan terhadap dua pemohon iaitu Arsyad Haji Mappong dan Odding Abd malik yang menduduki tanah TL 087500267 di Tapak Komersil LPPB di Pekan Baru Telupid.

Kedua-dua pemohon tersebut telah dikenalpasti sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah mendapat kerakyatan Malaysia secara tidak sah kerana sebelum ini mereka ada pemegang pasport tenaga kerja Indonesia.


Ironinya, pada tahun 2003, 50 orang peniaga kecil yang terdiri daripada rakyat tempatan yang dibenarkan oleh Pejabat Daerah Telupid untuk menduduki kawasan gerai dan tamu yang juga terlibat dalam kawasan pembangunan kedai LPPB telah diusir saperti binatang (dengan cara memotong bekalan elektrik dan air) dan tidak diberi sebarang pampasan atau penempatan semula.

Ini menunjukkan bahawa orang asing telah menjadi kesukaan dan kesayangan kepada kerajaan UMNO/BN Malaysia. Kejadian seperti ini bukan hanya terjadi di daerah Beluran tapi telah terjadi di daerah-daerah lain seluruh Sabah.

Kalau rakyat asing dapat tuntut pampasan mengapa rakyat tempatan dinafikan? Syabas Kerajaan 1Malaysia Najib kerana menghalalkan semua ini!




Oleh : ZIANNA MANDALI (SABAHKINI)

Pembelian EMU Diteruskan Walaupun Dalam Siasatan SPRM


KUALA LUMPUR 14 OKT :  Putrajaya tetap meneruskan pembelian kontroversi Tren Elektrik bernilai RM1.8 bilion dari Cina walaupun kontrak pembelian tersebut diselubungi dengan siasatan rasuah yang sedang lakukan.
Menteri Pengangkutan,  Datuk Seri Kong Cho Ha dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) menggesahkan bahawa pembelian kontroversi tersebut akan tetap dibuat meskipun Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dalam keputusan mesyuarat yang diadakan 27 Julai lalu berasa puashati bahawa wujud alasan untuk disiasat wujudnya amalan rasuah.
PAC seterusnya telah meminta secara rasmi Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM)  menjalankan siasatan rasuah keatas pembelian tren elektrik tersebut.
Kong, dalam jawapan bertulisnya memberi alasan bahawa pembelian tersebut diteruskan memandangkan Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan surat tawaran (LOA) kepada syarikat dari Cina, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd untuk membeli  38 unit enam koc  Electric Multiple Unit (EMU) dengan harga RM48 juta sebuah.
Dzulkefly menyifatkan alasan kementerian berkenaan sebagai lemah dan memalukan sambil  menambah LOA yang sudah dikeluarkan tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan.
Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan satu insiden lain apabila kerajaan membatalkan pembelian lapan tren berenjin disel dari Spain untuk digunakan dalam perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) walaupun LOA mengenainya sudah dikeluarkan.
"Pembelian itu dibatalkan walaupun perjanjian sudah ditandatangani dan mantan  Menteri Pengangkutan pada ketika itu juga mengalu-alukan tindakan PAC menjalankan siasatan terperinci mengenai pembatalan pembelian tersebut.
"Kita juga ingin mengingatkan projek dwi landasan elektrik Ipoh -Padang Besar dan Seremban - Johor Bahru yang diluluskan oleh Tun Dr Mahathir tetapi dibatalkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam sadu sidang media di Parlimen tengahari tadi.
Menurutnya, banyak projek lain yang boleh diberikan sebagai contoh sekaligus menjadikan alasan yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan pembelian 38 unit EMU dari  Zhuzhou sebagai tidak munasabah.
Dzulkefly menegaskan, kerajaan akan membelanja tambahan RM500juta wang rakyat jika pembelian tersebut diteruskan dan menambah beliau dimaklumkan bahawa ketika kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa mahu membeli EMU berkenaan untuk mengatasi kelemahan sistem pengangkutan awam negara, KTMB belum lagi menyelesaikan skop kerja dalam perjanjian dengan pembekal, terutamanya sistem perlindungan  automasi (ATP)
Beliau menambah  Zhuzhou juga dikatakan kini meminta ppembayaran lebih bagi sistem berkenaan malah mahu memanjangkan lagi tempoh penghantaran 24 bulan sedia ada.
“SPRM dilaporkan telah memulakan penyiasatan seperti diarahkan oleh PAC tetapi sehingga kini tiada maklumbalas atau maklumat terkini," tambah beliau lagi
Dzulkefly seterusnya menegaskan bahawa adalah penting Kementerian Pengangkutan dan juga Kementerian Kewangan tidak memperbodohkan rakyat.

3 Pengarah Dan Seorang Bekas Pengarah Didakwa Atas 796 Tuduhan Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR 14 OKT :Tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 796 pertuduhan pengubahan wang haram, tiga tahun lalu, yang melibatkan urus niaga bernilai ratusan juta Ringgit.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan 364 cek melalui Public Bank, masing-masing antara RM100,000 sehingga RM4 juta untuk pelbagai kegunaan. 
 Mereka ialah Pengarah Syarikat Genneva Sdn Bhd iaitu Ng Poh Weng, 60, Marcus Yee Yuen Seng, 58, Chin Wai Leong, 34, dan seorang bekas pengarah syarikat itu, Liew Chee Wah, 56. Ng, yang menghadapi 263 pertuduhan, didakwa melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada suatu aktiviti haram iaitu dengan mengeluarkan beberapa keping cek berjumlah RM185,146,570.10, yang mana jumlah tersebut adalah merupakan hasil aktiviti haram antara 10 Jun 2008 hingga 27 Julai 2009.
 Marcus, yang menghadapi 234 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM153,324,636.00 pada 20 Julai 2007 hingga 20 Julai 2009, dan Chin yang menghadapi 210 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM212,992,466.50 pada 10 Jun 2008 hingga 6 Dis 2009.
 Liew yang menghadapi 89 pertuduhan, didakwa melakukan kesalahan yang sama melibatkan RM31,332,757.80 pada 20 Julai 2007 hingga 3 Feb 2008. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur City Main Office, Tingkat Bawah Menara Public Bank, 146 Jalan Ampang di sini, dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan keganasan 2001, yang dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) Akta.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haziq Razali menawarkan jaminan sebanyak RM4 juta dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasport antarabansga mereka diserahkan kepada mahkamah. 
 Bagaimanapun, peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ng, Marcus dan Chin merayu agar jaminan dikurangkan kerana akaun peribadi semua tertuduh telah dibekukan; dan mereka juga memerlukan pasport antarabangsa bagi meneruskan usaha perniagaan ke Singapura, Hong Kong dan China. 
 Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Ng, Marcus dan Chin diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin bagi setiap seorang manakala Liew diikat jamin RM800,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah. Rozana menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes.

MIC bantah idea BN gugur sistem konsensus terima parti baru


KUALA LUMPUR, 14 Okt – MIC tidak bersetuju dengan cadangan meminda perlembagaan Barisan Nasional (BN) bagi menggugurkan sistem konsensus menerima anggota baru, kata Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.
Samy Vellu yang akan melepaskan jawatannya awal Januari depan berkata, partinya akan melahirkan pendirian itu kepada ibu pejabat BN dalam waktu terdekat.
Katanya, MIC akan mencadangkan pendekatan lain yang lebih sesuai untuk menggantikan peruntukan tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat MIC hari ini, Samy Vellu (gambar) berkata, cadangan pindaan yang menyediakan majoriti mudah untuk menerima anggota baru ke dalam BN adalah tidak praktikal.
BN akan mengadakan konvensyennya bulan depan.
“Cadangan ini akan menggantikan sistem konsensus yang telah lama diamalkan BN selama ini bagi membolehkan penerimaan sesebuah parti diterima masuk. Kami membantah idea ini,” kata beliau.
Katanya, MIC yang merupakan antara tiga parti awal yang membawa kepada pembentukan Perikatan dan kemudiannya membawa kepada BN, merasakan peruntukan semasa tidak wajar dipinda.
Samy Vellu juga berkata, partinya tidak akan gembira sekiranya pandangannya tidak dihormati dan diketepikan apabila BN membuat keputusan untuk menerima mana-mana parti baru berorientasikan kaum India ke dalam pangkuan perikatan itu.
Pemimpin yang mengetuai MIC selama tiga dekad berkata, memandangkan masyarakat India di negara adalah kecil, maka hanya perlu ada satu parti mewakili mereka dalam BN.
“Kita tidak harus membahagikan masyarakat India kepada begitu banyak parti politik dan kemudian menerima mereka masuk ke dalam BN.
“Maka, akan ada situasi di mana setiap parti akan membuat tuntutan berbeza masing-masing, dan akhirnya kita akan kekal mencapai apa-apa,” kata bekas Ahli Parlimen dan bekas menteri Kabinet persekutuan ini.
Sehubungan itu, kata beliau pihaknya merasakan pindaan ke atas perlembagaan BN perlu diteliti dengan mendalam.
Katanya, perlembagaan BN yang digunakan pakai sejak lebih enam dekad tidak sewajarnya dipinda dengan begitu mudah tanpa mengambil kesan-kesan mendalamnya.
MIC sebelum ini membantak permohonan kemasukan parti Barisan Progresif India Malaysia (IPF).
Tahun lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak merasmikan Parti Makkal Sakti Malaysia walaupun ia bukan merupakan anggota perikatan itu.
Langkah Najib itu, yang bertujuan mendapatkan kembali sokongan masyarakat India yang lari kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, menyebabkan MIC tersinggung.
Samy Vellu juga menekankan bahawa MIC akan terus sokongan apa jua pembaharuan dalam BN selagi ia memanfaatkan masyarakat India.
Kata beliau, pengundi-pengundi India meninggalkan BN pada pilihan raya umum 2008 kerana mereka tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan masalah mereka tidak dilayan.
Jun lalu, Najib berkata, BN akan mengadakan konvensyen BN selepas Perhimpunan Agung Umno bagi membentangkan perubahan dan pembaharuan dalam gagasan itu.
“Untuk ini jawatankuasa percambahan fikiran di bawah Timbalan Pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dan pihak-pihak tertentu serta wakil parti masing-masing akan dibentuk bagi membolehkan cetusan idea baru supaya memberi input bagaimana boleh memberi pembaharuan kepada BN dalam semua aspek,” katanya.
Konvensyen itu juga akan menggambarkan BN sebagai sebuah parti untuk terus memimpin negara dan tidak bersandar kepada kejayaan pada masa lalu semata-mata.

'perkasa': Siapa awak nak mintak penjelasan Istana?......alahai.....

Hak penganugerahan sesuatu gelaran adalah hak mutlak Istana.

Begitu juga setiap perlucutan sesuatu anugerah adalah hak mutlak Istana juga.

Sebarang perjelasan amat tidak wajar diminta, lebih-lebih lagi menyalak-nyalak oleh golongan tertentu di media. Mereka sudah terlalu kurang 'garam' dalam bertindak dan perlu dimasukkan semula ke Tadika Kemas agar lebih ter'didik'.....ter'urus' dan lebih keber'adab'an dalam pergaulan dengan masyarakat majmuk.

'perkasa' telah pergi terlalu jauh dalam hal ini.

Apa haknya untuk minta penjelasan Istana?

Orang ramai sudah terlalu mual dengan tindakan mereka ini yang sudah diluar batasan ber'NGO'.

Orang ramai sudah merasa cuak dan merasakan ketenteraman terancam dengan tujuan asal NGO ini didaftarkan. [sumber .]

Rahimi: Konsiprasi Sehebat Saifool Bukhari?

Peranan Saiful, Rahimi Dalam Konspirasi Tajaan Umno-BN

Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.

Saya tidak pasti apakah kesudahannya, malah saya lebih mencurigai apakah ia mempunyai kesudahan. Saya tidak tahu sama ada benar atau mampu Anwar Ibrahim melakukannya, saya juga tidak berminat sama ada Saiful Bukhari Azlan mencuci duburnya, bahkan saya tidak pasti versi akuan bersumpah (SD) Rahimi Osman (gambar kiri, pertama dari kiri) manakah yang ditandatanganinya tanpa paksaan.

Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia. Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya.

Jelas, ini kes politik

Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan. Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.

Dari segi undang-undang, Anwar Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan - kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang melibatkan dua pihak secara sukarela. Dengan kata lain, Saiful Bukhari Azlan perlu tampil sebagai tertuduh bersama Anwar, dan bukannya pengadu yang memberi keterangan - seandainya mengikut Seksyen 377B.

Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi. Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai "pengadu". Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.

Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini. Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.

Liputan luas diberikan kepada kandungan soal-jawab dalam perbicaraan mahkamah. Malah, perbincangan isu ini dilanjutkan dengan wawancara bersama bekas pemimpin PKR, yang menyindir agar "Anwar tidak perlu takut", sambil mempertikaikan "Kenapa mahu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah?" Kemudian bekas orang kanan tampil memohon maaf, "Kerana membela Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertamanya". Sumpah-seranahnya bagaikan ludah ke langit, dan jatuh bagaikan hujan kebetulan ketika menjelang pilihan raya kecil...

Buktikan liwat tanpa tusukan?

Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna. Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan. Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan.

Persoalannya, jikapun dibuktikan keajaiban ini berlaku di tanahair yang tercinta ini, apakah kehebatan ini bakal mengundang pelabur asing untuk menyuntik dana ke Malaysia? Padahal, belumpun paip ekzos Saiful terbocor, seramai 304,358 orang bakat buatan Malaysia telah mengalir ke luar negeri, antara Mac 2008 hingga Ogos 2009, apatah lagi kemerosotan 81% dalam pelaburan asing langsung di Malaysia, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009?

Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini? Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan" rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.

Jelas, Anwar Ibrahim (gambar kiri) diletakkan pada kedudukan sedemikian bukan kerana beliau Ketua Umum PKR, atau kedudukannya sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat. Bahkan, adalah kurang tepat jikalau beliau sekadar Ketua Pembangkang dalam parlimen. Kita tidak perlu menjadi Profesor Sains Politik untuk memahami hakikat Anwar Ibrahim berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan kita tidak perlu membaca Sun Tze untuk memahami percaturan politik yang berlangsung di depan mata.

Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.

Politik menabur dendam

Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem.

Berbalik kepada persoalan, apakah keperluannya untuk mengaibkan musuh politik dan keluarganya dengan cara sebegitu rupa? Untuk ramai warga Malaysia yang prihatin terhadap politik, babak perebutan kuasa yang paling dahsyat dalam sejarah Malaysia melabuh tirai pada 2 September 2004 - apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Ianya bukan soal sama ada benar Anwar Ibrahim terlibat dalam kelakuan sodomi, tetapi pengaiban dan penghinaan secara terbuka yang melampaui batas.

Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya. Ia amat berbeza dengan persaingan politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an. Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.

Usaha Abdullah Ahmad Badawi untuk membubuh noktah kepada babak politik yang menabur dendam ini disia-siakan begitu sahaja apabila UMNO-BN semakin terdesak di ambang hilang kuasa. Kita tidak lupa bagaimana doktor Hospital Pusrawi, Mohamed Osman Abdul Hamid membuat akuan bersumpah untuk mempertahankan laporannya (berbunyi Saiful tidak diliwat) selepas memeriksa dubur Saiful, dan kemudian menghilangkan diri kerana tidak tahan dengan gangguan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad. Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis... Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi" - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi...

Bebas dari politik dubur

Untuk hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan otak Mahathir. Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini. Dan ia hanya berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk berfikir menggunakan dubur.

Bukankah Sasterawan Negara tahun 1982, Shahnon Ahmad memberi gambaran yang paling tepat, melalui bukunya yang berjudul Shit @ PukiMak @ PM, apabila menyifatkan ahli politik yang rasuah, menyalahgunakan kuasa bagaikan najis yang saling menghimpit dalam usus besar?

Dan bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan? Dan kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan?

Sebagai warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN.

Malah, saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu, sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang.

Namun demikian, saya tidak rela sama sekali jikalau perubahan digagalkan hanya dengan satu dubur milikan Saiful Bukhari Azlan. Saya tidak rela sama sekali untuk melihat bagaimana penceramah politik berbuih-buih meyakinkan pakcik-makcik FELDA bahawa Saiful boleh diliwat tanpa dubur terkoyak.

Saya tidak sampai hati melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai. Saya tidak sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur bekas pembantunya.

Sememangnya, politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui - bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.

Dan yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada politik dubur. Rakyat Malaysia harus membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan. Malaysia wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan. Saya doakan agar ia masih belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan dijirus arus globalisasi.

Tindakan regim tahan pegawai Imegresen dalam ISA untuk lindungi 'jerung besar'

Tindakan regim penguasa menahan pegawai Imegresin di bawah ISA merupakan usaha melindungi rangkaian jenayah korupsi dalam Imegresen yang melibatkan 'jerung besar'.

Regim terpaksa bertindak kerana orang ramai sudah terlalu bising, malah sudah jadi rahsia umum mengenai kegiatan korupsi dikalangan pegawai Imegresen dalam hal membawa masuk tenaga kerja asing. Tindakan ini juga kerana takut dengan tekanan negara asing khususnya Amerika Syarikat kerana negara ini sudah tersenarai sebagai penyeludup utama perdagangan manusia. Boleh dikatakan majoriti rakyat Malaysia berpendapat bahawa kegitan yang berlansung sekian lama sehingga negara tersenarai sebagai 'negara penyeleudup manusia' , pasti didalangi oleh orang - orang besar.

Menurut Menteri Keselamatan dalam Negeri, Tujuh pegawai Imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kerana bersekongkol dengan ketua-ketua sindiket yang sangat berbahaya serta boleh memudaratkan keselamatan negara.

Ini adalah masalah yang serius kerana itulah ia perlu siasatan terbuka dan pendakwaan di mahkamah. Tindakan meletakkan mereka di bawah ISA dilihat lebih kepada melindungi 'jerung besar' apabila pegawai biasa ditahan. Jika disiasat terbuka dan didakwa sudah pasti banyak lagi akan' terlambak dan terdedah' di depan rakyat.

Ini bukan satu yang tidak mungkin, ketika sesi lawatan ke Sabah beberapa bulan lalu che'GuBard sendiri ada berjumpa seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Sabah yang pernah ditahan ISA kerana terlibat dalam kegiatan memberi Kad Pengenalan kepada pendatang Filipina dan Indonesia. Mangsa yang ditemui mendedahkan bahawa apa yang dilakukan ialah atas arahan sulit dari atas yang dia terlibat dalam memberi Kad Pengenalan yang membolehkan penerima mengundi dengan segera dalam pilihanraya pada ketika itu.

Namun apabila perkara ini terdedah beberapa pegawai terutama pegawai Jabatan Pendaftaran ditahan dibawah ISA kerana untuk elakan penyiasatan dan pendakwaan akan mendedahkan apa sebenar yang berlaku.

Mansuhkan ISA yang menjadi alat pelindung kepada kekuasaan regim.

KITA KIRA LEBIH KURANG SUDAH LAH, JANJI ADA PENCALONAN..LAMBAT PUN TAK PA... PKR MEMANG GILA!

Pelik bin ajaib!

Satu laporan berita melaporkan Nurul Izzah sudah cukup pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan pencalonannya dari cabang Sempoerna, Sabah. Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR yang mengumumkan selepas mesyuarat Biro Politik parti PKR semalam.

Tetapi ketua Cabang PKR Sampoerna melaporkan kepada portal berita yang sama bahawa cabang tersebut tidak mencalonkan Nurul Izzah untuk jawatan timbalan Presiden PKR. Md Abdul Wahab Abdullah, ketua cabang tersebut mengakui cabang PKR beliau terlewat menghantar pencalonan :-

"Kita tahu tarikh (akhir serah senarai calon pada 10 Oktober), tapi pengawas JPP kata dia akan bawa sendiri cadangan (pencalonan) ke ibupejabat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kegagalan cabang tersebut menyerahkan senarai pencalonan jawatan tinggi parti kepada ibupejabat.

Semporna juga menjadi tumpuan ekoran tersebarnya laporan yang mengatakan cabang itu mencalonkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun, Md Abdul Wahab mengatakan bahawa cabang PKR Sempoerna telah mencalonkan Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dan bukannya anak perempuan Anwar Ibrahim.

Alahai......dimanakah benarnya berita yang mengatakan bahawa Nurul Izzah Anwar Ibrahim telah layak bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden?

Kenapa wujud pembohongan di dalam pencalonan PKR?

Apakah hak kepimpinan PKR untuk menolak hak ahli-ahli akar umbi PKR?


Jika kita ikuti pencalonan PKR, kita akan lihat parti itu sedang menunggu masa untuk runtuh dan hancur.

Presiden Wan Azizah tidak mampu sebagai Presiden.

Anwar Ibrahim semakin kelam kabut dengan kes liwat Saiful Bukhari yang semakin menunjukkan kebenaran kes tersebut. Nama sahaja 'Keadilan' tetapi sebenarnya tiada keadilan di dalam parti itu sendiri.

Inilah bahananya jika suatu parti itu bermula dengan nawaitu yang tidak tepat dan sekadar untuk memenuhi nafsu Anwar Ibrahim.

Sultan Kelantan Berangkat Ke Majlis Raja-raja Pagi Tadi


Majlis Raja-Raja Mengalu-Alukan Keberangkatan Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula Rabu mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama, agar negeri itu menuju kejayaan, dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis.

Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun.

Titah Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Khamis berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir di sini.

Seri Paduka diiiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, yang diwakili Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perak, oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, dan Terengganu, oleh Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat, antara lain, membincangkan perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. -Bernama

SUARAM seru rakyat hadir kes mahkamah Lau Shu Shi

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) meyeru rakyat menghadiri kes mahkamah Lau Shu Shi dan memberi solidariti kepada demokrasi dan hak asasi manusia pada 20 Oktober 2010 (Rabu), jam 11 pagi di Makhamah Jenayah 1, Pulau Pinang.

Lau Shu Shi (gambar kanan) didakwa di bawah Akta Polis Seksyen 90 iaitu berkelakuan biadap dan mengeluarkan kata-kata dengan nada yang tinggi serta mempertikaikan tindakan polis dan enggan bertenang pada 11 Mei 2008.

Pada 11 Mei 2008, saudari Lau Shu Shi bersama aktivis-aktivis lain membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani Pulau Pinang setelah rakan aktivis mereka yang menghadiri perhimpunan aman anti-ISA pada hari yang sama ditangkap secara kasar oleh polis.  Selepas selesai membuat laporan polis, Ketua Balai Polis Jalan Petani pada waktu itu, C/Insp Jamaluddin Ismail telah memberikan arahan untuk menahan Lau Shu Shi yang pada ketika itu cuba mempertahankan hak rakannnya untuk membuat laporan polis mengikut hasrat sendiri.  Lau Shu Shi dan Teh Chun Hong, seorang lagi aktivis, telah ditahan secara keras dan kemudian direman semalaman.
Dua tahun kemudian, iaitu pada 1 Ogos 2010, Lau Shu Shi menerima waran tangkap pada lebih kurang pukul 11 malam, ketika beliau berada di sebuah kedai makan di Pulau Pinang.  Sebelumnya, beliau berada di luar balai polis Jelutong untuk menunggu kawan-kawan yang ditangkap dalam perhimpunan aman ISA di Dataran Pidato, Padang Kota Lama Pulau Pinang.

Lau Shu Shi dibebaskan pada malam yang sama tetapi diwajibkan hadir ke Mahkamah Jenayah pada pukul 8.30 pagi keesokan harinya.  Seterusnya Lau Shu Shi telah didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah George Town pada 2 Ogos 2010 dan tidak mengaku bersalah.  Kes mahkamah beliau telah ditangguhkan kepada 16 Ogos 2010 untuk sebutan.  Perbicaraan kes Lau Shu Shi akan diadakan pada 20 Oktober 2010.
Kami ingin menegaskan di sini bahawa pendakwaan yang hanya dibuat selepas dua tahun merupakan tindakan yang berniat jahat.  Pada dua tahun yang lalu, Lau Shu Shi membuat laporan polis terhadap keganasan polis yang memang berlaku dalam perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).  Beliau sepatutnya mangsa dalam kes ini kerana beliau dilayan secara tidak profesional oleh polis yang menyalahgunakan kuasa dan seterusnya menangkap beliau selepas beliau membuat laporan polis.

Kami berpendapat bahawa pendakwaan Jabatan Penguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ke atas Lau Shu Shi merupakan satu penindasan berlanjutan ke atas seorang aktivis hak asasi manusia.

Laporan polis dibuat oleh Lau Shu Shi bukannya tindakan individu, tetapi mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) serta badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan individu-individu lain di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi.  Pendakwaan ke atas Lau Shu Shi juga merupakan penindasan terhadap SUARAM, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan ke atas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.
Kesimpulannya, pendakwaan ke atas Lau Shu Shi merupakan satu titik hitam dalam usaha negara kita untuk mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokratik.  Ini telah bercanggah dengan Konsep 1 MALAYSIA, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Kami berpendapat bahawa tindakan Lau Shu Shi membuat laporan di balai polis merupakan pengamalan hak demokrasi individu dan menjalankan kewajipan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotif jahat kepada mana-mana pihak.  Namun, pihak polis telah bertindak secara keras dan tidak profesional dalam menghalang Lau Shu Shi daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang prihatin terhadap hak asasi manusia.

*Kenyataan oleh Ong Jing Cheng selaku koordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Cawangan Pulau Pinang,

PRK Galas: Pengundi kaum asli menjadi rebutan

UMNO kini menyasarkan pengundi kaum asli, yang mencatat 16% daripada populasi kawasan DUN Galas dalam Pilihan Raya Kecil pada 4 November 2010.  Rancangan Ladang Rakyat di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) telah dijadikan senjata UMNO-BN untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.
Malah, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional Najib Abdul Razak (gambar kanan) mengingatkan bahawa orang asli boleh menentukan sama ada BN menang atau tidak dalam PRK Galas, ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-57, pada 10 Oktober 2010.
Di ruang internet, Cyber-Trooper UMNO mula memainkan isu bagaimana projek Ladang Rakyat mengakibatkan orang asli kehilangan hak tanah.  Laman web bergelar "Media UMNO Malaysia" dalam Facebook, menyelar projek tersebut kerana memberi kesan yang besar terhadap penduduk asli, terutamanya di kawasan Lojing dan Pos Brooke.
Dalam artikel berjudul "Apa Sudah Jadi Ladang Rakyat" dan "Ladang Rakyat: PAS tak habis-habis jual temberang", kerajaan negeri Kelantan dituduh menggula-gulakan penduduk asli dengan janji, tetapi berakhir dengan penggondolan hutan.
Bernama pula memetik pandangan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusof Abdul Ghanis bahawa PAS sememangnya menimbulkan ketidakpuasan pengundi, kerana tanah sebagai rezeki orang asli tidak diberikan geran, dan memberi kesan yang mendalam terhadap orang asli.
Bagaimanapun, ahli parlimen Kuala Krai-PAS Hatta Ramli dan EXCO Kelantan, Husam Musa (gambar kiri)  ketika dihubungi MerdekaReview berkata, mereka hanya boleh memberi respon setelah membaca laporan tersebut.
Projek "Ladang Rakyat" dimulakan kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 2006 melalui PPLRNK, dengan tujuan untuk mengurangkan penyalahgunaan tanah kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat melalui penanaman dan membasmi kemiskinan.
Orang asli dikhianati?
Projek Ladang Rakyat ini dikatakan telah merampas hak tanah adat orang asli, apabila penerokaan dijalankan di situ.  Malah, penduduk kaum asal di situ mengadu bahawa pemimpin tempatan memaksa orang asli yang terlibat dalam projek tersebut untuk mengundi PAS.
Kamal (gambar kanan), 25, dari kawasan DUN Galas ketika berucap dalam forum terbuka berjudul "Polisi Tanah Orang Asli: Impaknya" anjuran Majlis Peguam Malaysia pada 9 Oktober 2010 berkata, pembalakan dan projek Ladang Rakyat adalah masalah yang berlanjutan di Kelantan, dan ia harus dihentikan.  Beliau menganggap terlalu banyak projek Ladang Rakyat dilaksanakan, dan orang yang menyokong projek Ladang Rakyat akan menyokong PAS.
Pengundi Galas ini juga berada dalam dilema, sama ada untuk menyokong PAS atau Barisan Nasional.  Beliau berkata, BN kini telah turun ke padang untuk berkempen, dan menawarkan perkhidmatan perubatan, pengangkutan dan sebagainya.  Kalau undi PAS, tanah akan termusnah; kalau undi BN, hanya enam ekar tanah diberi - kata Kamal yang masih keraguan untuk membuat keputusan.
Kamal memberi penilaiannya terhadap wakil rakyat dari parti berbeza, "dua-dua pun teruk", hanya menabur janji ketika kempen untuk pilihan raya, dan "balik tidur selepas menang".
Kamal yang berasal dari Pos Brooke ketika ditemuramah MerdekaReview berkata, sesetengah penduduk tempatan telah mendaftar untuk menyertai projek Ladang Rakyat, dan insentif RM200 akan diberikan setiap bulan kepada peserta.  Bagaimanapun, mereka diberitahu ahli PAS tempatan bahawa insentif ini akan dibatalkan seandainya mereka tidak mengundi PAS.
Kamal yang hadir ke forum bersama empat orang rakan sekampung berkata, orang asli akan mengundi parti politik yang benar-benar mampu membantu mereka.  Seandainya tiada parti yang mampu berbuat demikian, maka mereka tidak akan keluar untuk mengundi.
Pengundi kaum asli melonjak ke 1926 orang
Nisbah pengundi Melayu, Cina dan India menunjukkan penurunan jikalau dibandingkan dengan maklumat daftar pemilih ketika PRU ke-12.  Sebaliknya, bilangan dan nisbah pengundi kaum asli meningkat dari 1,066 kepada 1,926 orang, penambahan sebanyak 860 orang atau bersamaan 6.35%.
Sekali imbas, Allahyarham Che Hashim Sulaiman-PAS menewaskan calon UMNO Mohd Saufi Deraman dalam PRU ke-12 dengan majoriti 646 undi.  Jelas, peningkatan bilangan pengundi kaum asli semestinya akan menjadi rebutan kedua-dua parti politik.
Nisbah Kaum PRK 2010 PRU 2008
Melayu 7,125 (61.63%) 6,798 (65.81%)
Cina 2,317 (20.08%) 2,276 (22.03 %)
India 185 (1.6%) 187 (1.81 %)
*Lain-lain (termasuk kaum asli) 1,926 (16.67%) 1,066 (10.32%)
Jumlah 11,553 10,330






*Lain-lain terdiri daripada kaum asli, 1,889 orang (16.37%), bumiputera Sarawak 10 orang (0.09%) dan yang lain-lain 27 orang (0.23%), membawa jumlah kepada 1,926 orang (16.67%).
Apa yang menarik, UMNO-BN menyerahkan amanah "Pengarah Pilihan Raya" kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (atau dikenali Ku Li), dan bukannya kepada Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, atau Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO seperti biasa.  Najib terpaksa menarik sokongan Ku Li yang disanjung tinggi di kawasan Gua Musang, salah satu daripada dua kerusi parlimen yang dimenangi UMNO-BN di Kelantan, daripada 14 yang dipertandingkan dalam PRU ke-12.
Tiga kawasan DUN yang berada di bawah kawasan parlimen Gua Musang termasuklah Galas, Nenggiri dan Paloh.  Selama ini kawasan tersebut dianggap kubu BN, berikutan pengaruh Ku Li.  PAS hanya berjaya menawan Galas dengan majoriti tipis (646 undi), sedangkan BN memenangi Paloh dengan majoriti 2,833 undi dan Nenggiri dengan majoriti 2,090 undi.
Daripada nisbah pengundi mengikut kaum, UMNO-BN berjaya meraih undi majoriti yang besar di Nenggiri yang mempunyai 85.78% pengundi Melayu, dan Paloh yang mempunyai 98.60% pengundi Melayu.  Justeru itu, UMNO-BN dipercayai mampu mengekalkan sokongan Melayu, dan menyasarkan pengundi bukan Melayu untuk memenangkan mereka.
Pemilihan calon
EXCO kerajaan negeri Kelantan Husam Musa memberitahu MerdekaReview, bahawa beliau mencadangkan agar PAS melantik calon dari kaum asli, yang tidak semestinya beragama Islam untuk menyarung jersi PAS dalam PRK Galas yang akan berlangsung dari 26 Oktober hingga 4 November 2010.
Bagaimanapun, sumber dalam parti memberitahu MerdekaReview bahawa calon PAS kemungkinan seorang doktor yang berasal dari Gua Musang, dan calon berketurunan kaum asli hanyalah strategi untuk mengelirukan musuh parti.  Sementara itu, UMNO-BN juga mungkin melantik seorang calon dari Bahagian Gua Musang, dan kita bakal menyaksikan pertarungan antara dua orang calon tempatan.

Pemilihan 2010 : Kita Minum Dulu!


Ok jugak dengan pandangan luar "daerah" bakal calon ketua AMK Pusat ini. Kereta kalu dah rasa macam nak terjun gaung baik singgah puspakom buat pemeriksaan. Tapi dengan syarat bila masuk puspakom tu..pegawai-pegawai bertanggungjawab kena ler periksa betul-betul..bukan main silap mata, cat cilut.. rasuah! Kalau pemeriksaan tu ikut spec. dan telus, bila jalan balik confirmed lancarr..Amacam? kita minum dulu..!!


Mungkin perlu pertimbang tangguh untuk dengar suara akar umbi

Pemilihan KEADILAN 2010 telah benar menarik perhatian dalam dan luar negara. Sepanjang pengalaman termasuk pembacaan belum lagi rasanya mendengar ada parti politik yang berani sejauh ini melebarkan sayap demokrasi dengan memperturunkan kuasa mengundi seperti KEADILAN. Semua ahli boleh memilih dari serendah jawatan sehingga Presiden parti.

Semua ahli boleh bertanding hanya dengan dua pencalonan dari individu di peringkat cabang dan dari dua cabang untuk peringkat pusat termasuk presiden. Dari maklumat pejabat setiausaha agung organisasi besar pemantau dan pelaksana pilihanraya di luar negara juga menunjukan minat untuk hadir meelihat sendiri penciptaan sejarah besar ini.

Dalam negara media regim bersungguh - sungguh mencari jalan bagaimana untuk menggagalkan penciptaan sejarah besar ini dengan perbagai laporan untuk membentuk persepsi negatif.

Sebagai sebuah parti yang 'sumbernya' agak terhad sudah tentu untuk menguruskan 222 kawasan parlimen yang hampir semua KEADILAN punya cabang yang perlu dirus pemilihanya maka terdapat sedikit sebanyak kekurangan. Kekurangan ini akan menjadi lebih parah apabila muncul beberapa elemen sabotaj dari luar. Namun kejayaan menguruskan dengan hanya kurang 10 cabang digantung dan dibuat pemilihan semula satu kejayaan baik. Umno yang telah juga 'terpaksa' meminda perlembagaan ekoran tekanan pindaan perlembagaan KEADILAN sehungguhnya walaupun sumber melimpah tetapi pasti tidak berani melakukan pembukaan demokrasi sedemikian rupa.

Proses ini telah sampai ke peringkat kedua iaitu selesai peringkat cabang dan memasuki pemilihan peringkat pusat. Namun setelah cheGuBard turun ke beberapa tempat menemui ramai pemimpin - pemimpin parti peringkat cabang dan ranting perbagai rungutan didengari. Maka apa salahnya kita selaku pemimpin tinggi parti yang diberi amanah oleh akar umbi berhenti sejenak dan berfikir dengan waras sambil mendengar suara - suara dari peringkat cabang dan ranting.

Apa kata kita beri sedikit masa untuk kita sama berusaha membantu JPP bagi menangani beberapa kelemahan 'kecil' bagi mengelakan gangguan 'kecil' yang boleh mengganggu penciptaan sejarah yang besar. Rumah besar dan indah siap tidak akan dilihat positif jika pahat masih berbunyi.

Pilihanraya Kecil Galas dan Batu Sapi juga harus diteliti. Rasanya hampir sahih Batu Sapi akan ditandingi oleh KEADILAN. Sabah dan Sarawak ini merupakan elemen penting dalam mencapai impian ke Putrajaya. PRU yang lalu membuktikan bahawa sejauh mana kita 'tapau' Semenanjung tanpa Sabah dan Sarawak pasti Bn akan terus mencengkam kuasa.

Di Sarawak kita telah membuktikan dengan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat cemerlang di Sibu. Maka Batu Sapi ialah ujian bagi KEADILAN dalam membangkitkan rakyat Sabah. Kejayaan di Batu Sapi akan beri impak besar dalam lanskap politik Malaysia.

cheGuBard juga telah menemui ramai pimpinan parti termasuk terakhir semalam menemui Mustafa Kamil Ayub. Hampir semua menyatakan idea yang sama, maka dengan mengangkat suara anggota parti yang kebanyakan maka rasanya kita perlu berani menangguhkan sebentar pemilihan fasa kedua ini untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit tertangguh.

KEADILAN parti hebat dan berani kerana membuka ruang demokrasi selebar ini namun kita akan lebih dihormati dan penciptaan sejarah akan lebih diraikan apabila kalau kita sedar ada sedikit kelemahan kita berhenti refleksi dan sama usaha perbetul keadaan sebelum kita teruskan dengan lebih bersedia dan lengkap.

Rasanya semua pemimpin pasti bersetuju lainlah kalau ada yang begitu tidak sabar hendak menjadi pimpinan kanan parti.

sumber chegubard