13 OKT — Baru-baru ini kita dikejutkan dengan isu sumbangan untuk warga emas oleh sebuah kerajaan negeri yang disifatkan sebagai ‘haram untuk diterima’ kerana ia diambil daripada sumber perjudian.
Pendedahan oleh sekumpulan pihak ini kemudian telah dipanjangkan media massa untuk beberapa waktu sehingga menimbulkan sedikit ketegangan dalam perkembangan wacana dalam masyarakat.
Kes ini berkemungkinan besar dibangunkan daripada silogisme berikut:
Premis 1: Sumbangan kepada warga emas diberikan oleh sebuah syarikat judi dan dipanjangkan oleh kerajaan negeri tersebut.
Premis 2: Menurut ajaran Islam, judi adalah haram untuk dilakukan oleh para penganutnya.
Kesimpulan: Sumbangan ini haram diambil kerana ia berpunca daripada sumber haram dan kerajaan negeri tersebut telah membuat satu kesalahan besar yang mesti dikutuk (dan perlu dijatuhkan).
Silogisme ini telah menjemput kenyataan balas oleh ramai individu serta kumpulan, khususnya di kalangan aktivis serta penyokong politik parti yang membentuk kerajaan negeri, sekaligus membentuk ‘ketegangan’ dalam polemik ini.
Ketegangan ini ditandai dengan jawab balas bahawa si penuduh juga berbuat yang demikian, malah lebih besar dan teruk. Di sisi lain pula wujud tuduhan bahawa kerajaan negeri tersebut tidak menghormati masyarakat muslim dan individu serta kelompok muslim yang menjustifikasikan sumbangan untuk warga emas itu sebagai ‘tunduk’ atau ‘menggadaikan agama kepada kaum tertentu’.
Ia kelihatan sedikit reda apabila beberapa orang tokoh agama seperti mantan mufti negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang disifatkan ‘tidak berkepentingan politik’ turut mengeluarkan pandangan sederhana berkaitan isu tersebut. Isu ini turut hangat dibicarakan di ruang Facebook sebelum ia kelihatan reda apabila salinan keputusan fatwa yang pernah membincangkan isu yang hampir serupa dikongsi di sana, dan kelihatan cocok dengan penjelasan dua tokoh agama yang dinyatakan.
Pada hemat saya, isu ini wajar diteliti lanjut kerana ia sebenarnya mempunyai akar pemikiran yang perlu difahami dan dibincangkan secara terbuka. Reaksi begini, jika tidak didepani dengan penuh tanggungjawab, berpotensi untuk dimanipulasi serta mendorong budaya ekstrim. Sebaliknya jika ia ditangani secara berhemah, ia dapat membantu menyelesaikan beberapa isu berbangkit dalam masyarakat dan sekaligus mendorong kepada wacana yang berorientasikan penyelesaian.
Sekurang-kurangnya, terdapat dua persoalan boleh diperhalusi daripada isu ini. Untuk tulisan ini, saya hanya mahu mengkhususkan perbincangan kepada satu isu iaitu persoalan hasil halal dan haram.
Mengambil kira populasi muslim di dunia, lebih lagi realiti masyarakat majmuk di negara yang dihuni majoriti muslim seperti Malaysia, isu ini wajar diketengahkan dengan jujur untuk membolehkan pembangunan masyarakat berlangsung dengan lebih baik berbanding menyibukkan diri melayan pelbagai hambatan tidak perlu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kempen ekonomi Islam itu sebenarnya bertitik tolak daripada pandang-sarwa (world-view) yang dibentuk daripada dikotomi halal dan haram ini. Justeru, kesan perlaksanaan konsep ini perlu dipantau dengan komunikasi pelbagai hala, tambahan pula ia melibatkan kepentingan ramai. Kesan kepada perlaksanaan kempen ini mungkin tidak seperti yang dihajatkan.
Masalah
Saya mengesan beberapa isu serta masalah dan mahu membincangkannya.
a) Usaha perlaksanaan konsep halal dan haram ini sedikit sebanyak telah dijadikan sebab keperluan dikotomi dalam masyarakat melalui fenomena muslim atau bukan muslim (muslim and the others). Kesan daripadanya, suka atau tidak, turut sama menyumbang secara negative kepada isu perkauman.
b) Kita boleh melihat dalam kes yang dinyatakan di beberapa perenggan terawal tulisan ini, muslim cenderung perihatin terhadap masalah percampuran aspek halal dan haram. Meskipun di bahagian kesimpulan boleh ditemukan aspek ‘keuntungan politik’ padanya, ia tidak menafikan bahawa persoalan ini memang kuat mengakar dalam pemikiran muslim.
c) Saya pernah berbual dengan beberapa peniaga muslim dan banyak mendengar rungutan tentang proses rigid mendapatkan pensijilan halal. Sebahagian mereka merasakan seolah-olah ‘kemusliman’ mereka dipersoalkan. Selain menyusahkan, tambahan kos juga berlaku dalam proses ini yang disifatkan mereka sebagai satu elemen ‘buat duit’ oleh pihak bertanggungjawab.
d) Terkait dengan dikotomi muslim-bukan muslim dan elemen ‘buat duit’, wujud cadangan untuk melindungi sesetengah pihak. Selain monopoli pengeluaran sijil halal, sektor pengeluaran dilindungi melalui pendekatan subsidi serta pelbagai jenis peraturan kerana ‘bukan muslim’ dianggap menguasai sektor pengeluaran.
Harta (atau rezeki) halal dan haram
Saya berpendapat, dengan semangat kebebasan dan keadilan, konsep halal dan haram dalam ajaran Islam wajar dihormati. Konsep ini sebenarnya tidak terhad untuk ibadat khusus tetapi turut bersangkutan dengan soal pemilikan harta (yang juga disifatkan sebagai rezeki oleh masyarakat muslim). Walaupun konsep ini umumnya diketahui ramai, tidak semua dapat memahami dengan jelas sebab, proses pengeluaran hukum serta hal-hal bersangkutan dengannya. Kesannya, kekayaan dan orang kaya dilihat dengan penuh tanggapan negatif.
Setakat pemahaman saya, ajaran Islam menjelaskan bahawa asal pemilikan sebenar semua harta (atau rezeki) adalah daripada Allah s.w.t., sementara manusia dituntut mengendalikannya sebagai amanah. Dalam pengertian lain, ia mesti dikendalikan sebaik mungkin dan sedaya upaya mengelakkan pengendaliannya yang buruk. Ringkasnya, harta (atau rezeki) adalah sebahagian daripada ‘medium ujian’ kepada seseorang yang mengaku muslim dan beriman.
Meskipun ia adalah ‘medium ujian’, Allah s.w.t. mengistilahkannya sebagai khair (kebaikan) di beberapa bahagian ayat al-Quran. Nabi s.a.w. juga ada menegaskan bahawa manusia dituntut berusaha mencari harta (atau rezeki). Dalam satu hadis, Baginda s.a.w. bersabda: “tidak seorang pun makan makanan lebih baik daripada makanan yang diusahakannya sendiri”.
Rezeki yang buruk di sisi Islam ialah rezeki yang diperolehi melalui cara zalim dan mengambil hak orang lain secara salah seperti merompak, mencuri, menipu dalam jual beli dan menindas.
Baginda s.a.w. menyifatkan para peniaga yang benar dan amanah akan digolongkan bersama para Nabi, siddiqun (mereka yang benar) dan syuhada (mereka yang mati syahid) sementara dalam satu hadis Qudsi menyebut pada Hari Kiamat, Allah s.w.t. akan memusuhi golongan yang tidak membayar upah kepada pekerja, walhal tugas mereka telah diselesaikan.
Jelaslah, ajaran Islam tidak melarang pemilikan harta (atau rezeki) yang banyak tetapi memberikan kompas moral kepada pasaran bebas. Ia menghormati fitrah, kebebasan, kemanusian dan keadilan. Pemilikan ialah fitrah kerana setiap manusia, khususnya yang mempunyai tubuh badan, dituntut berusaha mencari harta (dan rezeki). Pemilikan ialah kebebasan kerana hamba sifatnya dimiliki dan manusia merdeka sifatnya memiliki. Pemilikan ialah kemanusiaan kerana boleh memiliki sementara haiwan tidak.
Dalam aspek pemilikan, yang lazim dipertikaikan ialah persoalan keadilan dan saya berpendapat ajaran Islam hadir memberikan kompas moral berkenaan persoalan ini. Kompas moral ini ditunjukkan melalui penjelasan aktiviti kehidupan manusia di dunia yang dihubungkan dengan pengadilan di akhirat. Sebab itu, ajaran Islam jelas menolak elemen-elemen tidak sihat dalam perniagaan, bukan menghalang malah menggalakkan manusia berniaga.
Mengambil perspektif hukum, menurut kaedah usul fiqh (iaitu cabang pengajian yang terkait dengan proses pengeluaran hukum): “asal segala sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil qat’ie mengharamkannya atau mewajibkannya”.
Berbalik kepada realiti, kita perlu mengetahui bahawa dalam system ekonomi yang kompleks, kita tidak dapat mengelak daripada berurusan dengan bukan muslim. Justeru, jika ada cadangan untuk memutuskan langsung urusan jual-beli dengan bukan muslim, saya berpendapat ianya tidak munasabah. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ustaz Zaharuddin dan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, hukum haram itu tidak terletak kepada fizikal mata wang yang digunakan, tetapi kepada perlakuan di sebaliknya.
Selain itu, masyarakat muslim juga berdepan dengan persoalan kepercayaan bukan muslim. Dalam pengalaman Malaysia, isu judi dan arak sering menjadi persoalan. Ia dilihat buruk oleh masyarakat muslim berdasarkan ajaran Islam.
Jalan keluar
Bertitik tolak daripada semua maklumat di atas, saya ingin mencadangkan beberapa jalan keluar kepada masalah yang dinyatakan.
a) Keperihatinan muslim terhadap soal halal dan haram ini adalah terpuji dan patut dihormati. Namun, menjadikannya sandaran untuk menyemarakkan isu perkauman adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Jika ada yang mahu mengambil satu kesimpulan seperti contoh di awal tulisan ini, mereka sepatutnya menghadirkan satu sistem ekonomi alternatif yang lengkap untuk dibincangkan kerana negara kita berdepan dengan urusan perdagangan asing yang tidak jelas sumber asalnya.
Selain itu, sistem ekonomi sendiri bergerak dalam banyak bentuk yang membolehkan mata wang bergerak dari satu perkara ke satu perkara lain. Si A mungkin membeli peti ais dengan wang judi dan peniaga peti ais mungkin membeli makanan dengan hasil tersebut dan seterusnya.
Sekiranya ‘hero dan heroin’ kisah seram isu sumbangan kerajaan negeri tersebut gagal mengemukakan penyelesaian kepada isu rumit ini, saya berpendapat ianya tidak lebih daripada satu tindakan tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi isu untuk kepentingan politik.
b) Keperihatinan muslim terhadap isu halal dan haram ini tidak wajib bermaksud kerajaan mesti campur tangan mengawal proses pengeluaran melalui pelbagai bentuk seperti mengawal proses pengeluaran atau memberikan perlindungan melalui subsidi terpilih kepada pihak tertentu.
Negara kita bertuah kerana mempunyai ramai pakar agama dan juga muslim yang umumnya terdidik dengan persoalan halal dan haram ini. Sistem kawalan dan perlindungan ini sebenarnya adalah punca monopoli yang dilarang dalam ajaran Islam di samping membuka ruang salah guna apabila munculnya ‘penjaga pintu masuk’ (gate keeper) untuk menentukan siapa yang layak mengeluarkan bahan dan keperluan tertentu serta boleh memperolehi subsidi tertentu. Dalam banyak situasi mereka ini tidak punya cukup kelayakan atau menjadikan peluang ini untuk berbuat rasuah dan penyelewengan.
c) Sekiranya masyarakat muslim berpendapat pensijilan halal itu perlu, ia tidak memerlukan kerajaan untuk proses pengesahannya.
Kerajaan sepatutnya membenarkan proses ini diambil oleh pasaran secara terbuka. Saya mempunyai keyakinan bahawa ramai lulusan dalam bidang pengajian Islam dan sebagainya boleh bersaing secara sihat untuk menjadi perunding pensijilan halal. Pasaran harus dibenarkan memilih untuk meyakini individu atau kumpulan agamawan mana yang meluluskan sijil halal ini.
d) Dengan terbukanya pasaran yang boleh mengeluarkan sijil halal ini, ia dapat memudahkan para peniaga membuat pilihan kelulusan sijil.
Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa para peniaga akan mencari perunding yang dapat membuat proses ini dengan cepat, berkesan dan diyakini oleh mereka sendiri. Ia boleh mencipta peluang perniagaan dan persaingan sihat di kalangan masyarakat muslim.
e) Sekiranya masyarakat beranggapan ia perlu sekalipun, kerajaan tidak semestinya mewajibkan para peniaga menyertakan kelulusan perunding untuknya.
Masyarakat peniaga sebahagiannya juga adalah muslim dan faham isu halal-haram ini. Tanpa memaparkan sijil halal sekalipun, ia tidak secara automatik menjadikan barangan jualan mereka haram. Tanpa sijil halal, mereka perlu bersaing dengan peniaga yang mengambil langkah menyertakan sijil halal sebagai satu strategi perniagaan untuk mendapatkan pelanggan.
f) Sebagaimana konsep halal dan haram untuk penganut muslim ini wajar dihormati, saya juga percaya bahawa apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh masyarakat bukan muslim mesti dihormati selagi mana ia tidak sampai mencabul hak individu untuk memilih dan melindungi pemilikan mereka secara bebas dan adil.
Muslim harus berani keluar daripada dogma pemilikan individu sebagai pemilikan awam. Cukai terhad seperti yang saya selalu usulkan boleh diimbangi melalui pengkelasan jenis pengagihannya. Muslim juga tidak patut melihat jenis harta atau rezeki yang buruk ini hanya datang daripada aspek ini (yang mungkin dibenarkan mengikut kepercayaan diambil oleh bukan muslim). Sesungguhnya, berdasarkan penjelasan harta (atau rezeki) yang buruk sebelum ini jelas menunjukkan bahawa ia juga boleh berpunca daripada kalangan muslim sendiri.
Secara ringkasnya, daripada seluruh cadangan penyelesaian yang dikemukakan, kerajaan sebenarnya tidak perlu campur tangan dalam urusan perniagaan kecuali menegakkan penguatkuasaan berkaitan hal-hal kezaliman dan penindasan dalam perniagaan. Lebih penting, kerajaan jangan campur tangan untuk membolehkan kezaliman dan penindasan berlaku melalui kawalan perniagaan.
Ya, saya sudah banyak kali mendengar kecaman tentang kegagalan pasaran yang berlaku dari masa ke masa. Malangnya, para pengecam ini terus mahukan kerajaan campur tangan meskipun jelas kerajaan telah gagal dalam banyak masa.
InsyaAllah, saya akan cuba membincangkan isu kedua berkaitan sumbangan dalam tulisan akan datang.
* Noor Amin Ahmad, 28 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).