Tun Dr Mahathir Mohamed menilai ada kebaikan dan ada keburukannnya jika dikaji semula kuota pembahagian kerusi kalangan komponen Barisan Nasional mengikut komposisi kaum di sesebuah kawasan pada pilihanraya umum akan datang.

Menjawab soalan Agendadaily semasa sidang media selepas Perhimpunan Melayu PERKASA Kelantan di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas petang Sabtu bekas Perdana Menteri itu berkata sebenarnya soal kuota itu tidak pernah menjadi masalah sejak dulu lagi dan ia cuma berbangkit baru-baru ini saja.

Beliau diminta mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa kuota itu wajar disemak semula khususnya bagi kawasan yang jelas majoriti penduduknya orang Melayu.

Sekarang ini ada sebilangan kawasan yang penduduknya majoriti Melayu tetapi masa pilihanraya calon MCA,MIC atau Gerakan yang bertanding.

Ini yang adakalanya mencetuskan protes pengundi hingga mereka memangkah pembangkang.
Dr Mahathir berkata, “ianya ada kebaikan dan keburukannnya, kalau orang India sudah tentu tidak ada satupun kawasan yang mereka majoriti...tapi kita sanggup bagi dan kita sokong manakala kaum India yang menjadi minoriti pula akan beri sokongan pada UMNO, MCA atau GERAKAN”.
Diminta mengulas lanjut tentang kenyataannya yang menganggap orang Melayu akan kehilangan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memerintah sebagai perkauman, Mahathir berkata, “itu kata mereka bukan kata saya.”
Beliau tetap mempertahankan pandangannya.Katanya, “saya menyatakan perkara yang benar, umpamanya di negeri Perak…pada satu ketika parti lawan menang dan menubuhkan kerajaan.Ikut undang-undang negeri Perak, Menteri Besar (MB) mestilah terdiri dari orang Melayu.



“Justeru itu PAS telah letak wakil rakyat mereka sebagai MB tapi jelas sekali MB ini ikut telunjuk DAP, sebab itu apabila MB itu jatuh…orang Cina bercakap mengenai kejatuhan ‘kerajaan Cina’…jadi mereka yang mengaku kata ini kerajaan Cina bukan kerajaan Pakatan …mereka akui sendiri, sebab itu mereka kata tidak akan sokong lagi BN kerana BN telah jatuhkan kerajaan Cina…”
Mengenai PRU 13, Mahathir memberitahu pandangannya lebih terpengaruh dengan maklumat yang diperolehinya.
“Orang Cina kata mereka tak dak sokongan pada BN… kenyataan ini mereka dibuat di mana saja, mereka tidak akan sokong BN.
“Kita dapati kalau UMNO umpamanya tidak menolak PERKASA, UMNO tidak dapat sokongan dari orang Cina…dengan orang Melayu pun tak dapat maka UMNO akan kalahlah, sebab itu sekarang ini mereka terpaksa melayan sebarang tuntutan walaupun yang menentang dasar awal yang kita persetujui.”
Mahathir berpendapat bagi mengembalikan perpaduan Melayu untuk terus memberi sokongan pada kerajaan dalam PRU 13 akan datang ialah terus mengingati perjuangan dalam politik bukan untuk diri sendiri, bukan untuk cari tempat diri sendiri dan perjuangan dalam politik ialah untuk menjayakan segala janji-janji melalui dasar-dasar penubuhan parti.
“UMNO umpamanya mesti berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair bukan untuk seseorang…itu bukan perjuangan UMNO tapi saya nampak sekarang ini perjuangan dalam UMNO tertumpu pada hendak menaikkan orang kesayangan mereka,’ tambahnya.

Ditanya sikap meminggirkan bekas-bekas tokoh dan pemimpin dikalangan UMNO oleh pemimpin UMNO sendiri, Mahathir berkata, “inilah masalah UMNO…sebelum ini pun mereka tidak suka pada orang yang ada kebolehan atau kelayakan masuk dalam parti kerana bila masuk kedudukan mereka terancam. Hendak masuk UMNO mesti masuk melalui cawangan tapi Ketua Cawangan tak suka pada orang yang lebih pandai daripada dia masuk akan ambilalih tempat dia.”
“Jadi orang yang ada pelajaran dan kelulusan tinggi tak dapat masuk UMNO, sebab itulah ramai yang masuk PAS…ini cara UMNOlah, orang yang di atas pun sama juga, kalau dia nampak ada orang yang nak masuk, mungkin boleh ambilalih tempat dia…dia tak bagi masuklah.”
Menyentuh tentang orang Melayu yang dilihat berpecah, bekas Presiden UMNO itu menganggap perkara itu berlaku kerana salah tanggap terhadap politik yang sepatutnya menubuhkan kerajaan untuk melayan kehendak rakyat bukan mengutamakan kehendak individu untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya, “jangan kerana nak jadi PM sanggup buat apa saja sehingga orang Melayu berpecah tiga dan masing-masing hendak rebut kuasa…kalau diikutkan pemimpin semacam ini orang Melayu akan berpecah sepuluh dan akan tidak ada kuasa politik lagi.”
“Ianya (orang Melayu) akan jadi macam di Singapura di mana orang Melayu tiada kuasa langsung, bunyinya samarata…kerakyatan samarata tapi kita tahu tak rata…tak guna bahasa Melayu…tidak ada sekolah Melayu…tidak dapat kerja…semuanya jadi orang yang dipinggir…itulah yang akan jadi pada orang Melayu bila kita tidak ada kuasa bersuara langsung dalam kerajaan.
Menjawab persoalan samada PERKASA patut didaftar sebagai parti politik, Mahathir berkata, “apa yang penting adalah ahli PERKASA mengundi.



“Mereka boleh mengundi siapa saja terutama pada mereka yang mempertahankan keharmonian rakyat…tak semestinya mereka mengundi PAS…sekarang ni PAS dah boleh jual ‘Melayu’ asalkan boleh mendapat sokongan dari parti lain. Saya fikir PERKASA akan memberi sokongan pada kerajaan atau UMNO…tu pandangan saya”.
Mengenai tindak tanduk kaum lain membuat pelbagai tuntutan kerana melihat peluang dari perpecahan Melayu,Dr Mahathir berkata kerajaan yang lemah memang tidak dapat laksanakan dasar-dasar yang seimbang antara kaum.

“Kita dapat lihat kadang-kadang seolah-olah nak ambil hati puak itu dan puak ini. Dulu kerajaan cukup kuat, jadi apabila ada tuntutan kita tidak selalunya layan tuntutan mereka melainkan yang adil.”
“Tapi sekarang ini kerana ianya nampak lemah, saya fikir kerajaan terpaksa akur pada desakan walaupun kerajaan cuba untuk mempertahankan tapi bila lemah, kebolehan kita untuk bertindak adalah terhad,’ katanya.
Mahathir juga mengakui kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang menganggap pembangkang tidak kuat tetapi orang Melayu itu sendiri yang lemah.
Menurutnya, perkara itu jelas bila orang Melayu sendiri lemah dengan tidak memenangkan BN di Kedah.



“Sebagai contoh orang UMNO mengundi PAS sebab mereka membenci kerajaan semasa itu bukan kerana mereka tidak suka BN.
Sebelum itu Mahathir dan Siti Hasmah tiba di perkarangan stesyen Keretapi Pasir Mas pukul 4 petang diiringi lebih 1000 buah motosikal dan disambut oleh tarian singa, paluan gedang budaya kaum Siam dan persembahan silat Melayu.
Lebih 10,000 orang berhimpunan sejak awal petang bagi mendengar ucapan bekas Perdana Menteri itu yang kembali semula mengunjungi Kelantan empat tahun selepas peristiwa semburan cecair pemedih mata di Lapangan Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 28 Julai 2006.-AD.