Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengumumkan keputusannya secara rasmi untuk bertanding bagi jawatan ketiga tertinggi di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Naib Presiden hari ini. Di dalam PKR, jumlah tempat yang diperuntukkan untuk jawatan Naib Presiden adalah lima tempat. Nurul Izzah pula baru sahaja menjadi ahli Parlimen buat penggal pertama selepas menewaskan penyandangnya dari Barisan Nasional (BN),Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Nurul Izzah yang pernah digelar sebagai ‘Puteri Reformasi’ apabila mendapat simpati para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Anwar menghadapi episod-episod memilukan semasa mempertahankan maruahnya selepas disingkirkan dari kerajaan pada tahun 1998. Kini, Puteri Reformasi yang baru memasuki umur 30 tahun bakal melakukan sesuatu yang dianggap radikal dan bercita-cita tinggi untuk mara lebih jauh lagi dalam parti tanpa melalui proses-proses pentarbiyahan kepimpinan dari peringkat bawah.
Setakat ini, Nurul Izzah telah mendapat sebanyak lapan pencalonan dari hampir 48 cabang PKR yang sudah pun bermesyuarat sehingga hujung minggu lepas. Berita-berita portal seperti Malaysiakini dan the Malaysian Insider pula dengan yakin memaklumkan semalam bahawa Nurul Izzah akan mengumumkan penyertaannya bagi merebut jawatan Naib Presiden itu. Nurul Izzah dijangka mengadakan sidang akhbar petang ini bagi mengesahkan perkara tersebut.
Pemimpin-pemimpin PKR yang lain yang sudah cukup dua pencalonan sekurang-kurangnya bagi melayakkan mereka bertanding bagi jawatan itu ialah Menteri besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Chua Jui Meng, Tian Chua, Fuziah Salleh, Dr Lee Boon Chye, Dr Mansor Osman, Azmin Ali, Yahya Saari, Mustaffa Kamil, S. Manikavasagam, Shamsul Iskandar Akin, R. Sivarasa, Datuk Zaid Ibrahim, N. Gobalakhrisnan dan Dr Xavier Jayakumar. Namun, memperolehi pencalonan yang cukup untuk bertanding tidak beerti mereka yang dicalonkan itu telah bersedia untuk bertanding.
Nama-nama di atas seperti Khalid Ibrahim, Zaid Ibrahim, Azmin Ali dan Tian Chua boleh dikeluarkan dari senarai di atas kerana sama ada sudah mengumumkan pendirian bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden ataupun masih berkira-kira untuk bertanding jawatan kedua tertinggi itu. Namun begitu, pastinya sesetengah mereka ini telah membawa budaya blok atau pasukan politik dengan mendapat sokongan beberapa pemimpin atau ahli kanan parti itu. Ini telah ditunjukkan semasa beberapa siri sidang akhbar bagi menunjukkan satu perikatan menyokong calon-calon yang didokong.
Nurul Izzah tidak dinafikan mempunyai peluang untuk kehadapan pada usia muda disebabkan faktornya sebagai anak kepada Ketua Umum PKR. Mungkin bagi sesetengah orang kita sejak zaman-berzaman amat percayakan konsep peribahasa ’Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi’ yang bermaksud ciri-ciri kepimpinan seseorang bapa atau ibu itu pastinya akan diturunkan kepada anak-anaknya. Dari segi sainsnya mungkin ada sedikit kebenaran akan hal ini tetapi kepimpinan secara lahirriyah perlulah disertakan dengan pengetahuan, latihan, amalan dan pengalaman bagi mengukuhkan kekuatan falsafah politik diri sendiri dan perjuangan massa.
Memang tidak dinafikan dalam sejarah dunia sekalipun, banyak sudah peristiwa berlaku di mana bapa dan anak pernah menjadi pemimpin. Antaranya ialah H.W George Bush dan anaknya, George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat, trio Nehru, Indra Gandhi dan Rajiv Gandhi di India; Zulfikar Ali Bhutto dan Benazir Bhutto di Pakistan, beberapa Perdana Menteri di Jepun yang merupakan ahli keluarga dan banyak lagi di seluruh negara. Termasuklah di negara kita apabila Allahyarham Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib Razak yang turut memegang jawatan Perdana Menteri. Ini baru sahaja contoh untuk jawatan-jawatan tertinggi kerajaan. Belum lagi untuk mereka anak-beranak yang hanya setakat menteri mahupun golongan-golongan korporat. Bukan itu sahaja, sejak awal peradaban manusia, anak mengganti bapa sebagai raja, sultan, maharaja dan jawatan lain sewaktu dengannya kerana itulah kepercayaan manusia ketika itu.
Di dalam Islam pula, jika dikirakan mengikut amalan Rasulullah S.A.W pula, unsur kuasa kekeluargaan tidak pun diterapkan dan malah dielakkan di dalam pentadbirannya. Bukan itu sahaja, Rasullullah juga berjuang menghapuskan sistem kabilah yang penuh assabiyah yang berpaksikan kepada kaum keluarga yang diamalkan oleh beberapa bani dalam puak Quraisy. Baginda juga berjaya kemudiannya menyatukan dua kumpulan besar iaitu Ansar dan Muhajirin atas nama Islam yang bersaudara. Malah, ketika wafatnya Baginda, rakannya yang penuh kebolehan dan pengalaman dilantik menjadi Khalifah Abu Bakar Sidik menggantinya dan bukannya keturunan dan sanak-saudaranya. Hanya setelah wafatnya khalifah ketiga, Uthman Affan pada tahun 656 Masehi yang dibunuh, barulah naik sepupu kepada Rasullulah iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dengan sokongan isteri baginda, Aishah. Sikap yang mementingkan keturunan mulai menapak semula dalam dunia Islam selepas itu apabila pemerintahan Khulafa Al-Rasyidin yang terakhir itu tumbang disebabkan oleh Muawiyah Abu Suffyan yang akhirnya mengasaskan kerajaan Bani Umaiyyah yang mengamalkan sistem raja berketurunan.
Tidak dinafikan Nurul Izzah mempunyai kebolehan tetapi mungkin masanya belum sampai lagi baginya mengorak langkah demikian. Jika beliau tetap bertanding jawatan itu, perlakuannya tidak kurang sama dengan tindakan Khairy Jamaluddin yang bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno semasa pemilihan yang lepas. Ketika itu, bukan sahaja parti pembangkang tetapi juga mulut-mulut dalam Umno sendiri yang menyumpahnya (Khairy) sebagai bercita-cita tinggi naik dalam kerajaan memandangkan beliau adalah menantu kepada Perdana Menteri ketika itu.
Keadaan yang agak serupa ini nampaknya akan berlaku dalam PKR sekarang. Tidak dinafikan, dalam mana-mana parti pun, hatta kerajaan atau pembangkang, golongan ’pembodek’ politik memanglah ramai. Siapalah tidak gembira kerana berkawan dengan Nurul Izzah. Siapa tidak mahu berkawan atau bekerja dengan anak Ketua Umum PKR yang disebut-sebut menjadi Perdana Menteri sekiranya berjaya merampas Putrajaya dari BN nanti. Bukankah untung badan jika Anwar betul-betul berjaya jadi PM nanti? Bagi Nurul Izzah pula, saudari perlulah berada dalam dunia realiti dan tidak hanya menyanggup membuat keputusan bertanding hanya kerana orang-orang di sekelilingnya yang tidak berani berkata sesuatu bagi membuatnya kecil hati.
Walaupun Nurul Izzah bertanding atas dasar konsep amalan demokrasi yang memberikannya hak untuk bertanding, beliau janganlah lupa pada persepsi orang lain. Andaikata tidak kisah dengan persepsi penyokong BN tidak apalah tetapi ambil kiralah persepsi orang ramai yang sama ada ahli PKR, parti-parti dalam Pakatan Rakyat(PR) dan mahupun rakyat marhaen yang duduk di atas pagar yang pernah membuang undi yang menyaksikan satu tsunami politik pada pilihanraya lepas. Rata-ratanya, mereka yakin masa untuk Nurul Izzah turut serta di kalangan ’pembesar’ PKR itu belum sampai lagi.
Bukan itu sahaja, Nurul Izzah baru sahaja menyertai permainan politik yang bakal menggugatkan kedudukan bapanya yang kini dilihat sebagai ’berkecuali’ di dalam memilih calon kesukaan. Memanglah ada mereka yang mengatakan Anwar menyokong Azmin Ali di belakang tetapi Anwar masih cerdik untuk bermain dengan silap mata politik. Sehingga kini belum jelas nampak Anwar mahupun Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail terdorong ke arah menunjukkan sokongan mereka terang-terangan kepada mana-mana calon terutamanya kerusi Timbalan Presiden PKR.
Jika Nurul Izzah bertanding, pastinya beliau tidak akan dapat lari daripada menyertai mana-mana perikatan yang ada. Oleh itu, perikatan yang disertai itu akan menyebabkan satu persepsi umum sebagai kumpulan yang menjadi pilihan kepada Anwar dan Wan Azizah dalam senyap. Lambat launnya nanti bagi menang salah satu kerusi Naib Presiden itu, Nurul Izzah akan menunjukkan paksinya sama ada kepada Azmin ataupun Zaid Ibrahim. Kedudukan ini pastinya sukar kepada Nurul Izzah kerana kedua-dua calon besar Timbalan Presiden PKR itu dilihat rapat dengannya sebagai keluarga dan juga rakan sekerja.
Nurul Izzah rapat dengan Azmin seperti keluarganya sendiri semasa Anwar ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Zaid pula adalah Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan di mana Nurul Izzah adalah Timbalannya. Sebelum ini, Nurul Izzah sudah membuat pendirian tidak menyokong mana-mana seorangnya. Tetapi kini dengan mengesahkan akan bertanding sebagai Naib Presiden, mahu tidak mahu, Nurul Izzah perlu tunjukkan paksinya dalam politik berkumpulan yang sedang diamalkan oleh PKR. Yang saya yakin ialah Nurul Izzah akan menyertai pakatan Azmin.
Kita memang kasihan dengan Nurul Izzah suatu ketika dahulu kerana terpaksa melalui saat-saat getir bersama Wan Azizah dan keluarganya ketika bapanya diheret ke sana-sini sehinggalah dipenjarakan selepas dipecat dari kerajaan lebih 10 tahun lalu. Namun begitu, itu bukannya satu sebab untuk kita membenarkan permainan politik yang diaturkan olehnya ataupun untuknya. Beliau masih lagi perlu belajar segala hal selok-belok politik dari bawah supaya beliau lebih dihormati kelak sekiranya ibu bapanya berundur dari politik bagi memberikan ruang padanya berkecimpung dalam arus perdana PKR.
PKR kena sedar bahawa rakyat marhaen yang memilih PKR bersama-sama PAS dan DAP bagi membentuk pembangkang yang kuat di Parlimen dan kerajaan-kerajaan di beberapa negeri adalah kerana parti-parti kerajaan adalah dilihat sebagai mengamalkan politik berpasukan/regu, politik keluarga, kronisme, rasuah dan banyak lagi. Jika Anwar dan Wan Azizah memberi restu kepada Nurul Izzah bagi bertanding walaupun atas dasar amalan demokrasi dan hak, pastinya itu adalah satu kesilapan yang sangat besar. Satu kesilapan yang bakal menjerumuskan PKR sekali lagi ke lembah bahaya. Trend berduyun-duyun ahli dan pemimpin PKR yang pernah keluar PKR sejak tahun lepas pastinya akan berulang. Mereka yang sudah keluar dari PKR pula akan tersenyum-senyum sebab dakwaan mereka sebelum ini bahawa wujudnya amalan politik kekeluargaan dalam PKR rupa-rupanya nampak benar di kaca mata rakyat.
Persepsi adalah satu perkara yang perlu diambil kira oleh Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah. Demokrasi memanglah demokrasi, hak memanglah hak tetapi sentimen rakyat perlulah diselami oleh mereka terlebih dahulu. Mereka kena kembali dahulu sedar bahawa tujuan rakyat menyokong mereka kerana mereka kecewa dengan BN. Tetapi jika PKR juga mengamalkan benda yang sama, pastinya ini akan mengecewakan mereka. Jika diberi pilihan sekali lagi daripada kedua-dua pakatan parti yang sama-sama mengamalkan politik keluarga, biarlah pilih BN sebab BN sudah terbukti mahir dalam mentadbir negara sekurang-kurangnya sedangkan PKR ini satu risiko yang sukar diambil terutama pengalamannya dalam pentadbiran.
Para penyokong PKR adalah golongan muda, terpelajar, menengah dan penduduk bandar. Cubalah tanya golongan ini mengenai politik kekeluargaan, pasti majoritinya menolak akan amalan itu. Tidak seperti golongan Melayu luar bandar dan ultra yang masih ramai menyokong Umno. Minda mereka hanya memuja kepada Umno dan isu anak naik menjadi menteri menggantikan bapanya adalah sesuatu yang biasa sahaja dan boleh diterima. Tetapi golongan yang menyokong PKR percayakan bahawa mereka sendiri secara individunya adalah sama-sama layak untuk menjadi pemimpin PKR.
Ini kerana mereka walaupun anak guru, anak petani, anak peneroka dan sebagainya, mereka yakin dalam alaf baru ini, semua pihak berhak dan layak diketengahkan menjadi pemimpin jika berkebolehan. PKR kena akur hakikat ini kerana itulah idea yang cuba dibawa oleh PKR untuk digarapkan dalam masyarakat Malaysia moden bahawa kita adalah sama. Namun, jika PKR gagal menghalang berlakunya politik kekeluargaan yang berlebihan, tidak hairanlah kalau PR akan terus diibaratkan ’pungguk rindukan bulan’ bila bercakap tentang penaklukan Putrajaya.
Dengan Anwar dan Wan Azizah memberi restu kepada anaknya nanti, dengan itu akan membuka jalan kepada parti pemerintah bagi menggunakannya sebagai satu isu bagi menonjolkan PKR adalah parti milik Anwar Ibrahim dan bukannya milik rakyat. Hanya 5% undi swing daripada kantung PR sekarang kepada BN, pastinya Anwar akan menggigit jari pada PRU akan datang. Biarlah Nurul Izzah belajar dahulu menjadi pemimpin politik setempat, menjadi pemimpin di kalangan ahli politik muda ataupun menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat terlebih dahulu. Amat menyedihkan kerana dalam sejarah politik kekeluargaan dunia ini, andaikata ketiga-tiga mereka (Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah-jika menang Naib Presiden) yang berada dalam satu keluarga menduduki jawatan-jawatan tinggi dalam PKR bolehlah disamakan dengan amalan bekas Presiden Saddam Hussein yang meletakkan kedua-dua anaknya, Uday dan Qusay dan adik-beradiknya menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan parti Bath di Iraq semasa zaman kekejaman mereka.
Tindakan Nurul Izzah ini pasti mengundang padah lambat-launnya. Namun begitu, terpulanglah kepada 450,000 ahli-ahli PKR yang bakal mengundi nanti. Pilihan adalah ditangan anda. Jika anda sayangkan parti, anda tunjukkan kepada kepimpinan parti bahawa politik kekeluargaan yang berlebihan adalah tidak diterima. Maka anda tidaklah mengundi Nurul Izzah untuk jawatan itu. Keputusan anda nanti akan diperhatikan oleh para pengundi atas pagar terutamanya mereka yang pernah memberikan undi peluang kepada PKR untuk membuat keputusan sama ada memberi peluang sekali lagi kepada PKR dan PR pada pilihanraya akan datang.
Saya secara peribadinya mengagumi Nurul Izzah, maka apa yang dituliskan di sini tidak menyerang peribadinya kerana peribadinya memang amat baik dan berjernih. Hanya saya bimbang keputusan yang dibuatnya itu bersama-sama Anwar dan Wan Azizah dengan maklumat, harapan dan keghairahan melebih-lebih itu bakal memusnahkan parti. Di kala BN menyerang PKR dengan menuduhkannya sebagai parti keluarga Anwar dan milik Anwar, bukankah tindakan ini laksana mengiya-iyakannya? Apakah lagi modal untuk Anwar menafikan kelak jika diserang sekali lagi mengenai PKR parti miliknya? Inikan sudah terang lagi bersuluh. Rakyat juga ada tahap persepsi dan penerimaannya. Rakyat mungkin terfikir andaikata PKR memerintah, jika sekarang pun anak sendiri hendak jadi Naib Presiden dibenarkan, apatah lagi bila Anwar menjadi PM, silap-silap saudara mara dan semua anaknya menjadi menteri. Jadi, beranikah kami hendak menyokong PKR lagi? Bukankah itu risiko besar? Persepsi lawan hakikat demokrasi perlulah dipertimbangkan juga. Mudah-mudahan Nurul Izzah ada membaca ’nasihat’ ini dan memikirkan hasratnya semula.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com


KUALA LUMPUR, 23 Sept – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam yang dianggapnya boleh menjejaskan hubungan baik dua negara yang telah terjalin sekian lama.
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Sambil berkata beliau bukannya rasis, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara ini.



























CATATAN