Siapa yang dapat control Datuk Ibrahim Ali.Beliau memang sudah dikenali sebagai loose cannon sejak masih dalam UMNO lagi.

Cuma suaranya kebelakangan ini lebih bergegar dan menjadi perhatian ramai dengan adanya Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau ringkasnya PERKASA.
Mereka yang tahu latar belakang Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas dan stailnya pasti tidak hairan dengan apa saja karenahnya kerana beliau memang begitulah orangnya dulu,kini dan selamanya sekalipun tanpa PERKASA.

Beberapa hari kebelakangan ini isu PERKASA menjadi semakin riuh bila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kata bahawa parti itu tidak akan menyokong pertubuhan berkenaan maupun Ibrahim pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Hakikatnya memang tidak ada peliknya Tengku Adnan membuat kenyataan seumpama itu kerana memang UMNO tidak mempunyai apa-apa ikatan rasmi dengan PERKASA.

Sebagai Setiausaha Agung UMNO dan juga BN itu adalah satu kenyataan rasmi yang perlu beliau buat supaya segalanya jelas.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan begitu juga Ibrahim sendiri tidak pernah istihar UMNO dan PERKASA mempunyai apa-apa hubungan rasmi ataupun pernah memeteri apa-apa perjanjian.

Cuma siapapun tidak dapat nafikan ada dikalangan ahli PERKASA terdiri dari orang UMNO.

Atas sebab itu Ibrahim tidak peduli langsung pelbagai andaian dibuat dari kenyataan Tengku Adnan yang cuba digambarkan seolah-olah UMNO telah putuskan hubungan rasmi dengan PERKASA.

Soalnya hubungan apa? Ia tidak lebih dari hubungan persepsi.

Dalam senario politik semasa adalah tidak menghairankan tindak tanduk PERKASA yang dilihat sebagai pertubuhan ekstremis Melayu hendak digambarkan sebagai suara UMNO.

Usaha untuk menghakis keyakinan orang bukan Melayu terhadap Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum ke 13 nanti kini datang dalam berbagai bentuk.

PERKASA kini menjadi kambing hitam paling cantik untuk mereka sembelih digunakan bagi mencetuskan ketakutan orang-orang bukan Melayu kerana jerit pekiknya keatas pelbagai isu orang Melayu.

Puak-puak ini macam tidak nampak tindak tanduk pertubuhan-pertubuhan Cina seperti Gabungan Persatuan-persatuan Cina ,Siqiu yang pernah membuat macam-macam tuntutan menjelang pilihanraya umum 1999 dulu.

Begitu juga Persatuan Gabungan Guru Sekolah China (Jiao Zong) dan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong) dan sebagainya yang tidak kurang lantang menyuarakan tuntutan melibatkan kaum mereka.

Kenapa suara pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan ini tidak disatukan dengan MCA,Gerakan atau lebih-lebih lagi DAP yang semua orang tahu sikapnya.

Apa yang nak hairan kalau bos pakatan rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut UMNO memperjelaskan hubungannya dengan PERKASA.

Itu sudah menjadi modal politiknya untuk ' mandikan ' UMNO.

Anwar tidak melihat sendiri bagaimana Ibrahim selamba menyuarakan pendirian dan pandangan kritikal PERKASA mengenai beberapa isu di depan Perdana Menteri sendiri dalam satu majlis anjuran PERKASA baru-baru ini.

Lojiknya itu bukan caranya kalau UMNO dan PERKASA ada hubungan rasmi.

Itu suara sebuah NGO yang merasa ia juga ada hak menuntut apa dirasanya perlu dituntut macam juga Siqiu ataupun Jiao Zong dan Dong Zong bagi orang Cina.

Dalam SMSnya kepada media sehari selepas Tengku Adnan membuat kenyataan, Ibrahim antara lain menegaskan pertubuhan itu tidak memerlukan sokongan UMNO atau mana-mana parti politik.
Katanya PERKASA juga tidak pernah mengikat pandangan politik ahlinya siapa mereka nak undi masa pilihanraya umum ke 13 nanti.

Pokoknya jangan risau…UMNO tetap UMNO sebagai sebuah parti politik...PERKASA tetap sebagai NGO…dan Ibrahim Ali tetap dengan jerit pekiknya.

Tiada siapa yang mampu mengubah Ibrahim Ali yang naluri semulajadinya nak perkasakan orang Melayu melalui caranya yang tersendiri.- AD.