Peguam yang juga ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin berharap isu adanya campuran pihak ke tiga dalam urusan kepolisian negara ini seperti didedahkan Tan Sri Musa Hassan tidak disapu ke bawah karpet, dinafikan dengan kenyataan sahaja.
Baginya yang pernah mengendalikan kes habeas corpus khususnya membabitkan mereka yang dikenakan tahanan daerah atau buang daerah, pendedahan itu tidak boleh dipandang ringan sebaliknya tindakan yang lebih konkrit dan berintegriti perlu diambil demi menjaga nama baik dan integriti pasukan PDRM.
Beliau turut meminta Musa menamakan siapakah pihak-pihak ketiga yang beliau maksudkan itu dan apakah jenis campurtangan yang membabitkan pihak ketiga tersebut?
Zulkifli berkata, beliau sendiri semasa mengendalikan beberapa kes habeas corpus tahanan buang daerah pernah dimaklum bagaimana beberapa "runner" dan "balaci" menjalankan kegiatan bagi pihak-pihak tertentu.
“Kononnya untuk mendapatkan pembebasan mereka yang ditahan ini. Malahan dikalangan mereka yang biasa mengendalikan kes-kes habeas corpus pasti akan mendengar cerita bagaimana Orang-Orang Kena Tahan ini boleh mendapatkan pelepasan dengan membayar kepada "runner-runner" dan "balaci-balaci" ini,” katnya..
Menerusi blognya, Zulkifli mendakwa, ikut ceritanya pembayaran itu untuk dibayar kepada "pihak atasan tertentu".
“Kekadang jumlahnya mencecah sampai RM25,000 seorang!! Itu cerita tahun 1980an dan 1990an. Agaknya jumlahnya berapa lah sekarang ini,” tanya beliau.
Bagaimanapun, beliau sendiri tidak tahu samada perkara ini benar-benar berlaku atau tidak, kerana mereka yang terlibat akan membuat deal terus dengan pihak berkenaan tanpa melalui peguam.
“ Yang kita tahu bila pergi ke mahkamah, kadang-kadang dokumen yang difailkan tak cukup atau cacat, atau Afidavit yang difailkan tidak memenuhi kehendak perundangan, dan kerap juga kes-kes habeas corpus ini dimenangi atas-atas sebab teknikal sahaja,” ujarnya.
Katanya samada kesilapan teknikal itu disengajakan oleh pihak berkenaan atau tidak, atau kerana bayaran yang telah dibuat atau tidak, itu tidak dapat beliau sahkan.
“Apa yang saya tahu, pernah klien saya memberitahu saya "semua sudah setel bos",” katanya.
Bagi beliau, pendedahan dibuat bekas orang nombor satu PDRM itu serius dan bukan pertama kali maka sewajarnya wajib disiasat.-AD