Bahagian Kedua
Wawancara Eksklusif dengan Presiden Perkasa
Oleh Stephanie Sta Maria
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ibrahim Ali tidak menghadapi kekurangan idea dan beliau tidak pernah teragak-agak untuk menyuarakannya. Satu sikap yang menyebabkan beliau terbelit dengan berbagai kontroversi dan mencuba untuk menepisnya.
Tetapi Ahli Parlimen Pasir Mas Bebas itu tidak membiarkan dirinya terganggu, sama ada mendapat pujian atau atas kelantangannya bersuara. Sebaliknya beliau lebih mementingkan isu yang diketengahkan tetapi tercicir dan tidak mendapat perhatian ekoran dari cara penyampaian yang tidak menyakinkan.
Dalam satu wawancara eksklusif bahagian kedua dengan Free Malaysia Today, beliau berkongsi pendiriannya tentang pendidikan 1Malaysia, kegagalan Umno dan PAS dan masa depan Perkasa.
"Saya terlalu sibuk dengan Perkasa untuk memikirkan masa depan politik saya dan masih terlalu awal untuk bercakap berhubung hal itu," katanya ketika ditanya tentang pendirian dan persiapannya menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Buat masa ini, saya puas hati dengan kedudukan saya dan saya mampu untuk bertanding sebagai calon bebas sekali lagi.
"Tetapi saya juga terbuka kepada sebarang bentuk rundingan dengan pihak-pihak lain supaya membolehkan saya bertanding satu lawan satu berbanding pertandingan tiga penjuru," katanya.
Beliau bagaimanapun menentang cadangan Perkasa menjadi sebuah parti politik pada masa yang terdekat ini kerana menurut beliau kita sudah mempunyai jumlah parti politik yang cukup di negara ini.
Lanskap politik tanah air
Tegas beliau, "Perkasa harus kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tapi dapat memain peranan dalam membentuk lanskap politik tanah air dari segi membentuk pendapat umum.
Mengenai sumber kewangan, Ibrahim berkata, "kami tidak menerima sumbangan daripada sesiapa pun. Kami hanya hidup atas yuran ahli. Ketika majlis besar-besaran di adakan, kami mengutip derma daripada ahli-ahli. Tapi kami tidak menerima wang daripada Umno atau Dr Mahathir."
Menurutnya, Perkasa kini mempunyai ahli rasmi seramai 50,000 orang dan lebih 200,000 ahli yang belum diproses borang keahliannya.
Mengenai kesanggupan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi sokongan, beliau berkata, "saya mengakui bahawa kenyataan positif Dr Mahathir tentang Perkasa menarik ramai sokongan terhadap Perkasa. Malah beliau mempertahankan saya sebagai ketuanya. Saya benar-benar menghargainya.
"Saya tidak fikir beliau suka dengan saya tapi kerana beliau yakin untuk menyokong apa yang betul. Ini membuat beliau berbeza dengan para pemimpin lain," jelas beliau.
Ciri kepimpinan
Ibrahim juga menyentuh mengenai ciri-ciri kepimpinan yang perlu dimiliki oleh seseorang yang dapat memelihara kepentingan orang-orang Melayu.
"Mestilah ada orang dalam kerajaan, bercakap dengan terus terang dan bersuara menentang golongan-golongan yang tuntutan mereka bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan."
"Masalah timbul apabila para pemimpin memanipulasi kenyataan-kenyataan politik dan cuba mengambil hati semua orang tanpa merujuk kepada perlembagaan," tegas beliau.
Beliau menambah, "masalah paling besar hari ini ialah penafsiran tentang 1Malaysia oleh pihak pembangkang dan setengah-setengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Perkasa memahami konsep 1Malaysia iaitu Rakyat Diutamakan Pencapaian Didahulukan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menekankan hal ini dan konsep ini terdapat dalam ruang lingkup perlembagaan.
Tetapi terdapat setengah-setengah golongan seperti (Penasihat DAP) Lim Kit Siang, yang secara terang-terang menyalahtafsir konsep "Malaysian Malaysia".
"Bangsa Malaysia"
Mereka ini adalah manusia hipokrit paling besar. Jika kita bercakap tentang "bangsa Malaysia" maka biar kita ada sekolah-sekolah kebangsaan sahaja dan bubarkan sekolah-sekolah vernakular.
Tidak munasabah dan adalah pelik untuk bercakap tentang "bangsa Malaysia" dan pada masa yang sama melindungi bahasa ibunda.
Tuntutan DAP sebenarnya bertentangan dengan konsep "bangsa Malaysia" dan Perkasa melihat pandangan ini dengan serius. Tapi DAP akan terus hidup selagi mereka memainkan isu politik perkauman dan atas garisan chauvinistik.
Ditanya sama ada PAS memainkan peranan yang secukupnya untuk melindungi kepentingan Melayu beliau berkata, "peranan mereka sebagai pelindung orang Islam dan bangsa Melayu telah beralih kepada Perkasa.
"Mereka melihat PAS sebagai sebuah parti yang telah menyeleweng dari matlamat perjuangan asal dan kurang lantang dalam menyuarakan isu-isu yang menyentuh orang Melayu.
Apabila isu melibatkan orang Melayu atau Islam dibangkitkan di Parlimen, PAS mendiamkan diri kerana ingin mengelak dari isu itu diperbesarkan oleh DAP. Tapi DAP tidak mempunyai masalah untuk mengkritik isu-isu yang difikirkan penting sama ada ia memberi kesan kepada PAS atau tidak.
Pemuda Umno berdiam diri
Malahan Umno begitu berhati-hati apabila menyentuh tentang isu Melayu berikutan keputusan pilihan raya umum lalu. Pemuda Umno sepatutnya menimbulkan banyak isu tetapi pemimpinnya berdiam diri.
Inilah caranya bagaimana Perkasa mendapat sokongan. Kami tidak keluar berkempen untuk menjualnya seperti agensi pemasaran. Orang-orang Melayu kecewa kerana Umno kurang berusaha untuk melindungi kepentingan mereka dan PAS pula sibuk menjual Islam kepada DAP.
Ibrahim juga menyentuh tentang Pemuda Umno hari ini berbanding Pemuda pada masa lalu. "Saya adalah bekas ahli exco Pemuda Umno dan Pemimpin Pemuda Bahagian dan saya berani mengatakan bahawa Pemuda Umno hari ini sungguh berlainan berbanding masa lampau.
Saya terpaksa menjadi ketua bahagian untuk satu penggal sebelum layak menjadi ahli exco. Dari situ, saya mengambil masa bertahun-tahun untuk menjadi pemimpin pemuda. Tapi Khairy Jamaluddin timbul, entah dari mana, terus naik ke atas puncak.
Beliau (Khairy) didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang tapi tiada tindakan diambil terhadap beliau. Beliau bukan pemimpin pelajar atau seorang aktivis dan malahan, tidak mempunyai pengalaman untuk jawatannya.
Beliau hanya seorang menantu kepada seorang bekas perdana menteri. Jadi apa yang boleh anda harapkan daripada seorang pemimpin seperti ini yang menjawat Ketua Pemuda?
Isu yang menjadi kegemaran Khairy ialah menyerang Anwar Ibrahim. Baguslah ……. kerana saya juga menghentam Anwar. Tapi bagaimana dengan isu nasional yang lain?
Pemuda Umno sepatutnya bercakap tentang rasuah, penyalahgunaan kuasa, urus tadbir yang baik dan ketelusan seperti mana yang kami lakukan sebelum ini.
Kami mampu melakukannya kerana kami bersih, tidak terlibat dengan projek-projek mega kerajaan dan bukan menantu perdana menteri. Maka kami tidak boleh bercakap dengan bebas mengenai isu-isu penting nasional. Hari ini mereka hanya memetik satu atau dua isu untuk kelangsungan hayat politik mereka.
Siapa sepatutnya menjadi Ketua Pemuda Umno? Masih terlalu awal untuk membuat ramalan kerana ramai calon. Timbalannya Razali Ibrahim adalah salah seorang.
Jika anda mahu seorang dari kumpulan yang lebih berpengalaman yang masih boleh menyuarakan pandangan dengan lantang, maka orang itu ialah Tajuddin Rahman (ahli parlimen Pasir Salak). Jika saya masih dalam Umno, saya akan beri pertimbangan untuk bertanding.
Jangka hayat Najib bergantung kepada ekonomi
Mengenai kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalannya, beliau berkata Najib bekerja keras dan persoalan utama apa yang telah bertukar sejak beliau mengambil alih pentadbiran dan bagaimana rakyat merasai tentang perubahan?
Apabila Najib dan Muhyiddin (Yassin) mengambil alih, negara kita berada dalam keadaan yang teruk, baik dari segi ekonomi dan politik. Tidak mudah bagi mereka mencapai kejayaan dalam tempuh masa yang singkat tapi terdapat beberapa perubahan yang baik telah berlaku.
Bagi saya, jangka hayat Najib bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Jika Rancangan Malaysia Kesepuluh dan pembentangan bajet akan datang benar-benar memberi faedah kepada negara dan rakyat maka yang lain-lain menjadi baik.
Malaysia juga menitikberatkan soal keselamatan negara dan mereka mempunyai pengalaman untuk menyedari perkara ini dijamin oleh parti. Sekarang ini mereka tidak berpuas hati dengan keadaan semasa tapi jika keadaan ekonomi bertambah baik, Barisan Nasional akan memenangi semula majoriti dan mengambil balik semua negeri.
Beliau berkata, "apabila kita berdepan dengan isu-isu yang sensitif, kita harus membuat keputusan sama ada kita mahu negara ini selamat atau terus menerus mendesak sesuatu isu kerana kebanggaan atau berdasarkan hak asasi manusia. Ada ketikanya anda harus bertolak ansur demi perpaduan dan keselamatan."
Mengenai sistem pendidikan di negara ini beliau berpendapat sistem berdasarkan kebolehan dan kemampuan (meritocracy) tidak dapat dilaksanakan dengan adil kerana sistem ini menafikan golongan yang berpendapatan rendah di negara ini.
Biasiswa untuk pelajar miskin
"Tujuan biasiswa diwujudkan ialah untuk diberi kepada pelajar-pelajar Melayu, Cina dan India yang miskin di luar bandar dan bukan di bandar di mana ibu bapa mereka mampu membiayai pendidikan mereka.
"Saya ingin melihat peluang-peluang diberi kepada para pelajar miskin yang mendapat 5A berbanding pelajar-pelajar dari keluarga yang kaya yang mendapat 9A," ujar beliau.
"Telah terbukti para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan di universiti walaupun mereka memasukki universiti dengan kelulusan yang minima. Kerajaan menyediakan biasiswa bernilai RM1.4 bilion untuk hanya 1,500 pelajar. Berapa ramai dari golongan miskin?" soal beliau.
Menyentuh mengenai kemudahan di sekolah Ibrahim berkata, "saya ingin melihat sekolah-sekolah di luar bandar menikmati kemudahan yang sama seperti kemudahan yang terdapat di sekolah di bandar.
"Saya ingin melihat guru-guru lepasan ijazah di sekolah-sekolah ini. Kenapa tidak ada orang yang bercakap mengenai persamaan kemudahan di semua sekolah di bawah 1Malaysia?" soal beliau.
"Saya juga mahu sekolah-sekolah berasrama penuh dimansuhkan kerana tidak semua pelajar dapat masuk ekoran tempat yang terhad. Dan mereka yang layak memasukki sekolah-sekolah berasrama penuh adalah juga mereka yang mendapat biasiswa," terangnya.
ESOK: Bahagian Akhir