8 JULAI — Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan. Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat.
Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.
Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan.Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah .
Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu “ power corrupts and absolute power corrupts absolutely” (“Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak”) .
Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.
Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di Negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.
Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alas an sekalipun.
Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan
diri untuk mencetak,menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.
Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.
Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya , jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini , untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.
Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun. Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.
Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.
Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar teersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.
Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.
Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan.
Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.
Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil “ audi alteram partem” ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).
Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri.
Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) .
Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )
Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi .
Tidakkh akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan?
Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.
Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini-rakyat atau pengundi .
Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari!
* Mohamed Hanipa Maidin ialah ahli jawatankuasa pusat PAS.
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Dewan Pemuda PAS menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat perubahan besar terhadap undi pos dengan menggantikan sistem lama kepada sistem pengundian awal menjelang Julai 2011, tetapi sangsi Barisan Nasional (BN) akan bersetuju dengan cadangan tersebut.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, cadangan SPR untuk membuat perubahan itu pasti sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mendapatkan persetujuan Kabinet pusat, pimpinan BN yang meletakkan harapan total terhadap undi pos selama ini.
Dalam kebanyakan kes hampir keseluruhan undi pos akan memihak kepada BN kecuali dalam beberapa kes seperti ketika pilihan raya kecil Telok Kemang pada 2001.
“Cadangan itu bagus tetapi adakah Kabinet akan setuju kerana selama ini undi pos adalah deposit tetap kepada undi BN?
“Ini kerana ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos, jadi saya tidak fikir BN dengan mudah bersetuju dengan cadangan tersebut,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi blog http://kentong-suhaizan.blogspot.com.
Beliau berkata beberapa cadangan SPR sebelum ini untuk memastikan ketelusan pilihan raya tidak berjaya apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan cadangan tersebut.
“Sebagai contoh sebelum ini SPR telah mengeluarkan peraturan tidak membenarkan parti bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi, parti pembangkang mematuhi peraturan itu tetapi ejen BN pula adalah sebaliknya.
“Begitu juga ketika pilihan raya 2008 di mana SPR telah membelanjakan banyak wang untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk pengesahan pengund, namun apabila ada pihak berkepentingan tidak bersetuju akhirnya SPR terpaksa akur dan membatalkan penggunaan dakwat hitam.
“Dalam pilihan raya 2008 pula SPR juga menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan pesuruhjaya sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon tetapi ramai calon Umno-BN tidak sempat untuk membuat pengesahan pesuruhjaya sumpah tersebut, lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir.
“Jadi saya yakin cadangan SPR itu akan menerima nasib yang sama,” katanya.
Bagaimanapun Suhaizan berkata sistem pengundian awal ini sebenarnya masih tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah ketidaktelusan dalam undi pos.
“Ini kerana ruang-ruang ketidakadilan dan manipulasi masih terdapat dalam beberapa perkara. Antaranya, kita melihat bagaimana hanya pihak kerajaan BN sahaja dibenarkan masuk ke kem untuk berkempen.
“Selain itu, sistem pengundian awal ini akan menyebabkan semua anggota tentera, polis dan SPR berkumpul di satu tempat untuk mengundi. Jadi bagaimana SPR mahu mengarahkan pihak tentera untuk tidak membuat sebarang aktiviti di luar kem pada masa mereka mengundi?
“Justeru saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam?” katanya.
Sebelum ini Dewan Pemuda PAS mengesyorkan gerakan Himpunan Bersih II bagi mendesak pilihan raya yang adil dan bersih diadakan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-13.
Cadangan ini dikemukakan ketika banyak pihak mula bercakap mengenai kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.
Ada yang meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung antara tiga hingga 12 bulan ini.
“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa pilihan raya umum ke-13 akan mengejutkan semua pihak seolah-olah sebagai isyarat bahawa ia akan diadakan lebih awal daripada yang sepatutnya.
“Justeru memandangkan pilihan raya negara terlalu terdedah kepada manipulasi, Jawatankuasa Bersih perlu berbuat sesuatu dengan mengadakan Himpunan Bersih II dan ia akan diadakan pada hari Sabtu terdekat selepas Perdana Menteri membubarkan Parlimen,” kata Suhaizan.
Perhimpunan Bersih kali pertama telah digerakkan di ibu negara pada 10 Nov 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih yang turut disertai pelbagai parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menuntut pilihan raya yang adil.
Awal bulan lalu, Dewan Pemuda PAS membahaskan usul agar diadakan Himpunan Bersih II bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Perkara ini juga menjadi perhatian dalam Kongres Nasional Keenam PKR kira-kira dua minggu sebelum itu.
Dalam ucapan dasar pada kongres itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pakatan Rakyat agar sekali lagi mengadakan Himpunan Bersih II untuk menjamin perjalanan pilihan raya yang adil.



Mengikut tinjauan soal selidik bebas yang dibuat oleh Merdeka Centre, seramai 58% rakyat tidak puas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam mengendalikan kes Aminulrasyid dan antaranya seramai 70% kaum Cina tidak puas hati dengan tindakan polis manakala untuk kaum Melayu seramai 50% tidak puas hati dan 32% puas hati, dan untuk kaum India, 64% tidak puas hati dan 18% puas hati dangan tindakan polis. Seramai 91% rakyat seluruh Malaysia pernah dengar tentang kes Aminulrasyid<7>. Perangkaan soal selidik ini secara kasar telah mencerminkan kecenderungan dan pendapat rakyat jikapun tidak seratus peratus tepat.
Jika keadaan tidak mengendahkan nyawa rakyat oleh pihak polis, sikap keangkuhan Ketua Polis Negara (gambar kiri) dan perangai membutakan mata Menteri Dalam Negeri terus berlaku tanpa berhenti, rakyat pasti akan berpendapat bahawa dakwaan kerajaan BN bahawa "tugas polis adalah melindungi nyawa dan harta rakyat" hanya merupakan satu penipuan. Kalau situasi ini bertambah teruk, apa yang akan terjadi kepada usaha Tuan Perdana Menteri untuk membentuk "Satu Malaysia" adalah amat ngeri direnungi.
Ketika mengulas selanjutnya, ahli parlimen Petaling Jaya Utara - DAP ini berkata kerajaan memilih untuk memotong subsidi seperti makanan, petrol dan sebagainya yang akan menimbulkan ketidakpuasan warga kota, malah penduduk luar bandar, apabila harga barang kawalan seperti gula juga dinaikkan harga.
Tony Pua berkata demikian dalam satu forum berjudul "2019 - Ekonomi Malaysia bankrap?", anjuran DAP di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Ahli panel yang lain termasuklah pengkaji politik Ong Kian Ming dan penganalisa politik Jamaluddin Ibrahim. Kira-kira 120 orang menghadiri majlis perlancaran buku Tony Pua, termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Graduan Universiti Oxford ini berkata, "Walaupun pendapatan negara kita amat tinggi lima tahun kebelakangan ini, Petronas menyumbang RM270 bilion untuk kerajaan. (Tapi) masalah kita adalah, tidak kira berapa banyak anda menyumbang kepada saya (kerajaan), saya (kerajaan) akan meminjam wang yang lebih banyak dari bank dengan wang yang sedia ada itu...tanpa memikirkan sama ada wang ini berkekalan."
"Kalau PRU diadakan sekarang, sekiranya dimenangi orang seperti ini (menuding kepada Tony Pua), apa yang akan terjadi kepada orang seperti kami? Macam mana dengan UMNO?" tanya Jamaluddin.
Ong Kian Ming (gambar kiri) berkata, biarpun bilangan institusi pengajian tinggi tempatan agak banyak, malah memperoleh peruntukan daripada kerajaan untuk menjalankan kajian, namun profesor belum mencecah taraf yang tinggi, melahirkan graduan yang juga tidak tinggi kualitinya.










