
Datuk Zaid Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam merangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat, turut hadir pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
KOTA BARU, 11 Jun — PAS tidak mahu bergopoh-gopoh dalam menonjolkan dirinya sebagai peneraju dalam Pakatan Rakyat, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.Sebaliknya tegas beliau, PAS mahu mengutamakan persefahaman dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pakatan Rakyat dianggotai PAS, PKR dan DAP ditubuhkan selepas prestasi pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
“(Soal) dominasi tidak berbangkit, kita berjalan dengan cara yang baik,” kata Hadi.
“Sehingga kini, saya dah jawab... sehingga kini kita utamakan persefahaman, (keputusan) kolekif. Kita tidak gopoh dalam menonjolkan diri,” kata beliau selepas menyampaikan ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini hari ini.
Beliau mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan memainkan peranan secara kolektif, pendekatan yang diamalkan sehingga ke hari ini.
“Kita tidak gopoh, kita gopoh... yang penting semua ke depan, di tempat masing-masing,” katanya.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Lim Kit Siang.
Beberapa pemimpin lain DAP dan PKR juga hadir.
Ketiga-tiga pemimpin ini memeterai Dasar Bersama Pakatan Rakyat pada konvensyen sulung 19 Dis lalu.
Ketika ditanya mengenai cadangan Dewan Pemuda PAS supaya Pakatan Rakyat mengkaji semula perjanjian pengagihan kerusi ekoran isu melompat parti sejak awal tahun lalu, Hadi berkata, cadangan itu dan isu lompat parti adalah dua “perkara lain.”
“PAS mempunyai satu cara tersendiri, satu mekanisme, PAS telah berjaya... sebagaimana saudara-saudari tahu, mutakhir ini, tidak seorang pun (dari PAS) yang melompat parti,” katanya.
Mengenai saranan Wanita PKR minggu lalu supaya parti itu memainkan peranan sebagai peneraju dalam Pakatan Rakyat, Hadi memberitahu: “Itu mesyuarat mereka, masing-masing hak untuk memberi pandangan... keputusan berdasarkan persefahaman bersama.”
Terdahulu dalam ucapannya, Hadi berkata, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, dengan model Islam yang sebenar akan terus diperkasakan.
“Beberapa siri pilihan raya kecil yang dihadapi bersama oleh parti dalam Pakatan Rakyat, dengan pilihan raya kecil Sibu menjadi yang terkini telah menjadi medan pengukuhan hubungan antara parti di mana PAS telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerakerja sehingga membuahkan hasil yang boleh mengubah lanskap politik negara,” katanya.
Hadi menambah, PAS merasa amat berbesar hati dengan perkembangan yang sangat positif apabila PAS bersama-sama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat menjayakan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama tahun lalu.
Mengenai saranan Dewan Ulama dan Pemuda PAS agar judi diharamkan di semua negeri pimpinan Pakatan Rakyat, Hadi menjelaskan, “kita ada jawatankuasa di peringkat Pakatan (untuk mengkajinya).”
“Pada masa yang sama, kita menyedari kedudukan di negeri mana kita berada, memimpin... negeri yang kita pimpin berdasarkan pada cara kita.
“Itu pun kita kena lihat pada hak-hak penganut agama lain,” katanya.
Hadi memberikan contoh pengalaman mentadbir Kelantan dan Terengganu oleh PAS.
“Kita tidak melakukan begitu sahaja tetapi memanggil semua pemimpin agama lain, tanya mereka apa yang dibenarkan oleh agama mereka, yang tidak dibenarkan oleh agama mereka, apa yang dibenarkan oleh agama mereka itu, tidak boleh kita ganggu,” kata Hadi lagi.














































PENGKALAN CHEPA, 10 Jun - PAS membuka lembaran baru apabila mengizinkan mana-mana calon bukan Islam yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya sama ada daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat ataupun tidak, menggunakan logo PAS.
MUKADDIMAH