Khamis, 10 Jun 2010

Ucapan Kumutha jadi tumpuan perwakilan

KOTA BHARU, 10 Jun: Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya. Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.
Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.
Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.
“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.
Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.
“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.
Katanya,  jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.
Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.
“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.
Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.
“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.
Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.
Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.
“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya.

Lapangan terbang Sungai Besi dibangunkan tidak lama lagi: Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Lapangan Terbang Sungai Besi yang kini dijadikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), akan ditutup tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada projek pembangunan ‘‘Greater KL’’ seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Sambil mengesahkan lapangan terbang berusia 54 tahun itu bakal dimajukan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kawasan itu akan dibangunkan semula secara bersama melibatkan kerajaan, swasta dan pelabur asing.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Taman LTAT Bukit Jalil di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa pelabur dari Timur Tengah yang dilihat berpotensi terlibat dalam pembangunan kawasan lapangan itu.
Katanya satu perjanjian telah ditandatangani dua minggu lepas membabitkan kementerian, pemaju iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pelabur dari Timur Tengah.
Beliau yang enggan mendedahkan butiran perjanjian tersebut berkata pelan pembangunan lapangan terbang itu masih dalam peringkat perbincangan semua pihak yang terlibat.
Sambil menafikan penglibatan pihak atau individu tertentu untuk meraih keuntungan dalam pelan itu, beliau berkata projek terbabit adalah perkongsian awam dan swasta bagi menyertai pembangunan projek yang dipimpin syarikat berkait dan kerajaan.
Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau ‘‘Greater KL’’ akan dijadikan bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Laporan itu turut menyebut antara projek yang akan dibangunkan syarikat GLC seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi dan KL International Financial District.
Ahmad Zahid berkata fasiliti dan infrastruktur yang lebih canggih akan dibangunkan di kawasan terbabit bersesuaian dengan persekitaran lapangan itu yang menuntut sentuhan pembangunan moden.
“Kita tidak boleh menolak pembangunan. Lapangan ini yang terletak di kawasan strategik dan di tengah-tengah pembangunan yang pesat dan ia perlu diubah suai,” katanya tanpa mendedahkan butiran pembangunan projek itu termasuk kos dan tarikh ia akan dibangunkan.
Beliau berkata apabila projek pembangunan kawasan lapangan terbang itu dimulakan, operasi pemindahan agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat di lapangan terbang itu akan dijalankan secara berperingkat.
Aset negara seperti pesawat yang kini berada di pangkalan terbabit akan dipindahkan di Pangkalan TUDM Subang atau pangkalan lain yang bersesuaian, katanya.
Lapangan Terbang Sungai Besi merupakan lapangan terbang pertama di negara ini dan diisytiharkan bertaraf antarabangsa oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri pertama Malaysia) pada 1 Ogos 1956.
Lapangan terbang itu mula dibina pada tahun 1930 dan diperbesarkan pada tahun 1948. Kapal terbang pertama yang mendarat di lapangan terbang ini ialah sebuah pesawat British, B.O.A.C. pada tahun 30-an.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata LTAT juga akan terlibat dalam projek pembangunan kuarters kerajaan di Jalan Cochrane dan Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh yang akan dipindahkan ke Kem Semenyih.
Terdahulu di majlis itu LTAT menyerahkan 50 kunci kepada pemilik rumah baru projek perumahan Parcel 1 Taman LTAT merangkumi 500 unit pangsapuri kos rendah, 192 unit pangsapuri kos sederhana rendah dan 136 unit pangsapuri kos sederhana.
Pangsapuri ini ditawarkan kepada anggota tentera dengan subsidi sehingga 38.2 peratus untuk 500 unit pangsapuri kos rendah. – Bernama

Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Costantinople




fatih
HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.
_________________________________________________________
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda
Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE
Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
rantai merentang teluk horn
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
rantai yang digunakan rantai merentangi teluk horn
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan
Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.
sumber - Satu Perkongsian

Ramai Kak Pidah Dalam Dewan Muslimat


Perwakilan tolak usul tubuh muslimat muda

Dewan Muslimat PAS hari ini menolak usul menubuhkan sayap baru muslimat muda biarpun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat menyarankan agar sayap baru itu ditubuhkan bagi menarik golongan muda.

Penolakan usul itu, yang dibawa perwakilan Pengkalan Chepa, Zaharah Mohd itu, dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan di muktamar di Kota Bharu.

Zaharah mencadangkan usul muslimat muda itu supaya disertai wanita muda berusia bawah 40 tahun sebagai menampung pertambahan ahli membabitkan generasi muda dan langkah menarik golongan muda.

Bagaimanapun, ketika membahaskan usul berkenaan perwakilan Ipoh Timur, Diana Mohd Sani membantah usul itu.

Beliau berkata masanya belum tiba bagi Dewan Muslimat PAS menubuhkan sayap baru itu meskipun sudah menjangkau 50 tahun penubuhannya. - Bernama

Ulasan GB

Dewan Muslimat dah garang kerana dah tuntut kerusi Naib Presiden? Sudah tak perlu dengar nasihat dan saranan Mursyidul Am PAS, TGNA yang mencadangkan sendiri agar ditubuhkan sayap baru iaitu Muslimat Muda?

UMNO sudah ada Puteri UMNO, PKR sudah ada Srikandi, jadi saranan TGNA itu adalah tepat pada masanya bahawa Dewan Muslimat perlu ada sayap Muslimat Muda untuk menarik golongan muda menyertai aktiviti dan program parti.

Kita masih ingat sewaktu Puteri UMNO hendak ditubuhkan dulu, yang menentangnya ialah Ketua Wanita, Rafidah Aziz kerana bimbang Pergerakan Wanita UMNO akan lemah apatah lagi menggugat peranan dan status quo wanita UMNO yang sememangnya sudah kerepot di mata para pemuda dan pimpinan UMNO sendiri.

Kini nampaknya perwatakan Kak Pidah itu berulang di dalam Dewan Muslimat. Ditolaknya usul penubuhan sayap Muslimat Muda cadangan TGNA.

Yang rugi ialah wanita sendiri, terutama mahasiswi-mahasiswi di ipt tempatan tiada pilihan selain dari memenuhi borang Puteri UMNO yang diedarkan kepada mereka secara berleluasa, berputih mata dan berdosalah muslimat PAS kerana gagal menyediakan alternatif kepada mereka dan sekadar menjadi pemerhati apabila tenaga muda dari kalangan mereka sudah berada di pihak lain.

Ubah-ubahlah perangai supaya cerdik sikit demi keutuhan parti. TGNA tidak mencadangkan sesuatu untuk meruntuhkan parti seperti pemimpin lain. Yakinlah!

Ulama, Pemuda PAS ambil langkah gesa hapus semua judi


MACHANG, 10 Jun – Dewan Ulama PAS Pusat bergerak satu langkah ke depan dengan mendesak kerajaan pusat agar menghapuskan semua bentuk perjudian di negara ini.
Sayap ulama PAS itu juga mendesak supaya semua premis judi ditutup.
Bagaimanapun ketegasan itu tidak menyebut bila ia harus dilakukan.
Kelainan ini diperlihatkan walaupun Pemuda PAS baru-baru ini telah memulakan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dengan kerjasama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan berhubung kelulusan mengendalikan operasi judi sukan.
Pendirian Dewan Ulama itu diputuskan sebagai salah satu usul Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS yang berlangsung Markas Dewan Ulama di sini hari ini.
”Judi jelas diharamkan dalam Islam. Aktiviti pelbagai bentuk judi diadakan di bawah BN sejak merdeka, dan ditambah dengan perjudian sempena musim bola sepak, maka kita sudah dapat lihat kesan-kesan buruk.
“Kita dapat melihat bahawa judi adalah seperti penyakit kanser, boleh membawa pelbagai kanser.
“Oleh itu Dewan Ulama mendesak agar kerajaan menghapuskan lessen perjudian dalam semua bentuk, mendesak menteri yang meluluskan lessen (judi) meletak jawatan,” kata usul itu.
Dewan Pemuda PAS yang mengadakan muktamarnya di Kota Baru hari ini juga dijadual meluluskan usul meminta agar judi sukan dihapuskan.
Persidangan Pemuda PAS akan disambung malam ini.
Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan Al-Tantawi berkata, sayap itu akan memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya.
“Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini.
“Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama, penasihat agama dan mufti–mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini,” jelasnya.
Justeru, menurut beliau, sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi.
“Negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan teladan kepada mereka,” katanya.
Jelasnya, kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lessen premis perjudian yang beroperasi di bawah wilayah penguasaan mereka.
“Lantaran itu kami (Dewan Pemuda) yakin pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanah air dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamadun ummah,” tambahnya lagi.

Khalid pertikai RMK-10, dakwa abai Selangor


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikaikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa ia mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Beliau juga menyifatkan pentadbiran Najib sebagai telah hilang focus dalam mencapai matlamat RMK-10.
“Adakah keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan ini disebabkan politik? Jika ya, keputusan ini telah membelakangkan kepentingan rakyat.
“Saya ingin menegaskan bahawa usaha mentranformasi ekonomi Malaysia perlu diberi penekanan terhadap tiga perkara penting iaitu penilaian semula saiz sektor awam, meliberalisasi saluran tranformasi dan membina ‘talent bank’ di kalangan tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.
Sehubungan itu kata beliau, RMK-10 hanya memberi fokus terhadap pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), tetapi tidak di Selangor dan Lembah Klang.
“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.
“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Selangor dan Lembah Klang yang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia selama ini langsung tidak dinyatakan dalam RMK-10.
“Perdana Menteri hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, Selangor yang merupakan sebahagian daripada Bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.
“Selangor juga mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.
“Selain itu, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.”
Khalid juga mempersoalkan pentadbiran Najib sama ada sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industry paling banyak pada 2008 dan 2009.
“Adakah pentadbiran Najib sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2008 dan 2009, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?
“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya iaitu sektor pendidikan, pelancongan dan kesihatan, kesemua sektor ini berpusat di Lembah Klang.
“Selain itu, sektor industri dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Perwakilan Pemuda PAS Mahu Pucuk Pimpinan 'Tawan' Warga Felda

KOTA BARU: Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pahang menegur kepimpinan PASPusat kerana mengabaikan masyarakat Felda yang selama ini dilihat menjadi 'simpanan tetap' Umno dan Barisan Nasional (BN) untukmemenangkan parti itu pada setiap kali pilihan raya.
Wakilnya, Mohd Haris Faizol Ismail berkata, PAS perlu memenangi Pahang yang mempunyai majori pengundi Felda paling ramai di negara ini terlebih dahulu jika ingin mengambil alih pentadbiran Kerajaan Pusatdaripada BN.
"Tidak ada pun Lujnah Felda, sedangkan di negara ini ada 317 rancangan Felda dan sekurang-kurangnya lebih 112,000 keluarga.Inilah pengundi yang sepatutnya kita dekati jika mahu mengambil-alih Putrajaya," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Centre di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, kelompok pengundi Melayu di kalangan warga Felda perlu diberi perhatian di samping usaha untuk mendekati orang bukan Melayu agar menyokong PAS.
"Inilah pengundi Melayu yang kita perlu harapkan, bukannya hanya bergantung kepada undi bukan Melayu.
"Mereka adalah pengundi teras sebenarnya, jika kita mahu menwan Putrajaya, terlebih dulu kena tawan Pahang... jika dapat tawan Pahang barulah dapat menawan Malaysia, kerana Pahang mempunyai pengundi Feldapaling ramai yang menjadi nadi Umno dan BN," katanya.
Dalam pada itu beliau turut melahirkan kekecewaan kerana kepimpinan PAS Pusat seolah-olah meminggirkan golongan pengundi Felda.
"Kami di Pahang kesal kerana PAS seolah-olah meminggirkan golongan pengundi Felda terutamanya pengundi generasi kedua apabila tiada suara pembelaan untuk golongan itu walaupun menyedari ianya senjata ampuhUmno dan BN," katanya.

Surat terbuka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong : 'hepi besday, sir !'

Daulat Tuanku !!


Rasanya tak terlambat untuk cheGuBard mengucapkan salam selamat sempena Hari Keputeraan Tuanku pada 4 Jun lepas. Alhamdunillah rakyat telah dikurniakan cuti untuk beristirehat bersama keluarga dari kesibukan tugasan semasa sekurang - kurangnya sehari berkat Hari Keputeraan Tuanku.

Sempena hari Keputeraan juga telah terkunia bukan sedikit pingat - pingat kepada perbagai jenis manusia dari dalam dan luar negara yang hidup dan tak dilupa telah meninggal dunia dengan membawa perbagai gelaran kurniaan raja. Harapnya kurniaan pingat ini hendaknya atas jasa mereka ke atas negara ini bukanlah kerana kedudukan mereka atau lobi pemimpin tertentu regim parti penguasa. Agar nanti apabila dia bertukar parti tidak ditarik semula pingatnya seperti Chua Jui Meng mantan memanda Menteri. sila klik sini
Sempena Hari Keputeraan Tuanku cheGuBard selaku anak muda yang berdiri atas nama sebuah perkumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menyatakan taat setia kepada Tuanku dan institusi beraja dalam negara berdasarkan perlembagaan negara.

Cuma selaku anak muda tidak dapat diselindungkan kekhuatiran memikirkan bagaimana untuk memastikan terus institusi beraja kebanggaan orang Melayu dan Malaysia ini dapat terus berkekalan.

Ketika Tuanku dilantik bukan sedikit harapan khususnya anak muda Malaysia terhadap Tuanku selaku pewaris yang agak muda dan berpendidikan dalam mereformasikan institusi beraja dan memberikan nafas baru membentuk persepsi yang lebih menyakinkan dikalangan anak muda. Sudah tercapai atau tidak mungkin tuanku sendiri ada jawapanya.

Intai dan pelajarilah institusi beraja di banyak negara bagaimana peranan dimainkan. Ada yang sudah umpama muzium dan alat keraian seperti kebanyakan negara Eropah termasuk England tetapi ada juga yang terus kekal dihormati seperti di Thailand.

Mainkanlah peranan sewajarnya di tengah masyarakat yang makin kalut dan kusut. Tuanku sewajarnya jangan takut gunakan kuasa demi kepentingan rakyat. Janganlah hendaknya ada sedikit rasa gusar terhadap regim penguasa.

Dalam perkara Islam dan Melayu setakat ini cheGuBard dan SAMM berseteju peranan terus dimainkan oleh Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu. Namun khuatir juga sejak kebelakangan ini banyak sangat penggunaan nama istana diselewengkan dalam perkara ini mutaakhir ini, malah banyak 'kenyataan' dan 'titah' juga mula diselewengkan.

Ini bukan zaman Melaka, dunia berkembang pesat sewajarnya isi kandung dalamnya juga harus transform secepat perkembangan dunia jika tidak mahu ketinggalan. Rakyat tidak lagi boleh akur membuta tulis. cheGuBard emncadangkan demi mempertingkatkan martabat dan terus mendapat penghormatan selaku Ketua Penguasa dalam perihal agama dan adat istiadat maka Raja Melayu itu sendiri harus diperkasakan lagi. Sesiapa juga yang menjadi Ketua Penguasa Agama seharusnya tahu dan mahir dalam bidang tersebut juga. Tiba masanya Majlis Raja - Raja mensyaratkan agar semua tuanku - tuanku Ketua Agama seharusnya sekurang - kurangnya punya Diploma Pentadbiran dan syariah Islam agar mampu memainkan peranan yang lebih efisyen. Tidaklah hanya menerima nasihat dari seorang dua yang punya kepentingan tertentu.

Sekian sahaja dan sekali lagi cheGuBard ucapkan Selamat Hari Keputeraan moga Tuanku dirahmatiNya dan dibebaskan minda serta roh demi menjalankan tanggung jawab demi mestikan keadilan dan kemakmuran dalam negara.

Bimbang rakyat hanya ada geran, bukan tanah

KOTA BHARU, 10 Jun: "Kita bimbang satu hari nanti, rakyat negara kita hanya akan mempunyai geran tanah sahaja bukannya tanah,” kata perwakilan dari Kawasan Seri Gading, Johor Mohd Alias Sabu.
Ini, katanya kerana semakin banyak tanah akan menjadi milik rakyat negara luar dan ia juga boleh dilihat dalam pembangunan Bandar Baru Iskandar Johor.
“Yang mana rakyat negara ini tidak akan mampu membeli bangunan yang berharga ratusan ribu ringgit dan rakyat negara luar dapat memilikinya," ujar beliau lagi pada Muktamar Pemuda PAS Pusat ke-51.
Beliau menyatakan demikian berhubung isu penyerahan tanah milik KTMB di Tanjong Pagar kepada Singapura.
Mengenai pemberian lesen judi oleh kerajaan Pusat kepada syarikat Berjaya Group, katanya ia merupakan langkah terburuk dalam menangani gejala perjudian di negara ini.
Malah, katanya pihak Mmno BN tidak berminat langsung untuk membasmi perjudian, malah ingin menambahkan lagi dengan alasan menghalang perjudian secara haram.
Mohd Alias juga berkata, Pemuda PAS seharusnya sentiasa menjadi golongan pendesak kepada kerajaan maupun pimpinan parti dalam pelbagai isu yang boleh memudaratkan negara ini.
Menyentuh isu negara yang semakin hilang aset negara, beliau berkata sehingga kini sudah banyak perkara yang boleh menghancurkan negara seperti isu perebutan Batu Puteh yang sudahpun menjadi milik Singpura dan terbaru pendedahan terhadap pemberian dua blok minyak L dan M kepada Brunei yang mengakibatkan negara kerugian berbillion ringgit.

Susahnya jika lidah Menteri kita "bercabang"

Malunya Malaysia punya menteri sebegini! Dalam sehari dua ini Parlimen Malaysia menjadi tempat pertunjukkan "spesis" lidah bercabang!

Yang pertamanya PM Najib menyatakan dalam Parlimen,beliau belum lagi keluar lesen judi bola. Beliau tunggu reaksi rakyat dahulu. Manakala diluar Parlimen, dengan bangganya Vincent Tan menyatakan Berjaya telah diberi lesen untuk kegiatan judi bola.

Yang keduanya, Menteri Nazri Aziz menjawab secara bertulis kepada MP Kota Melaka bahawa kabinet telah PUTUSKAN untuk buat bangunan Parlimen baru berharga Rm800juta di Putrajaya. Manakala dalam sidang media di luar Parlimen, Nazri menyatakan kabinet masih BERBINCANG untuk membuat keputusan.

Adakah menteri kabinet kita begitu "bodoh" matematik tidak tahu nilai RM150 juta untuk baiki Parlimen lebih murah berbanding buat bangunan baru dengan harga RM800 juta?

Atau dalam kepala mereka sudah terbayangkan habuan komisen projek RM800 juta?

Benarlah kata Sasterawan Negara A.Samad Said, Malaysia punya menteri yang mempunyai lidang bercabang dua dan telinga satu!

Statistik gejala sosial resahkan perwakilan


PANTAI CAHAYA BULAN, 10 Jun - Pihak penguasa seperti Jabatan Agama Islam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan agar memandang serius isu gejala sosial seperti kadar kelahiran bayi  luar nikah  di Malaysia yang semakin parah dan berleluasa.


Usul ke empat berkenaan penguatkuasa wanita yang dijelaskan panjang lebar pembentangnya, Puan Rosnani Jusoh meresahkan semua perwakilan.


Jelasnya, sebagaimana perangkaan  rasmi  Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga 2008 yang menunjukkan lebih daripada 257,000 sijil kelahiran  bayi didaftarkan  tanpa catatan nama bapa (anak luar nikah).


"Secara purata didapati sebanyak 2,500 kes anak luar nikah direkodkan  pada setiap bulan atau 83.3 kes kelahiran  berlaku pada setiap  17 minit 17 saat dan statistik bagai tempoh  4 tahun (1999 hingga 2003) juga menunjukkan 44% kelahiran anak luar nikah berketurunan melayu beragama Islam," katanya.


Fakta yang dibentangnya itu tadi membawa kepada cadangan usul agar Jabatan Agama Islam Johor memperbanyakkan pengambilan pegawai penguatkuasa pencegah maksiat dari kalangan sukarelawan yang terdiri dari lelaki dan wanita warganegara Malaysia berusia 30 tahun ke atas bagi menampung kekurangan pegawai yang sedia ada.


Usul yang turut disarankan kepada negeri-negeri yang dikuasai di bawah Pakatan Rakyat ini turut menarik perhatian YB Dr. Halimah Ali, AJK DMPP.


Beliau menjelaskan, walaupun Pakatan Rakyat di bawah Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menangani, mencegah dan membentaras gejala sosial melalui pelbagai program dan peraturan.


Beliau yang juga merupakan Exco Pendidikan Negeri Selangor berkata, realitinya, muslimat perlu berpijak di bumi yang nyata untuk membuat sebarang tindakan berhubung cadangan tersebut.


"Melalui pendekatan yang holistik di mana PAS perlu melaksanakan perkara yang termampu dibuat dalam lingkuangannya sendiri," tambahnya.


Usul ini akhirnya diterima dengan pindaan.

Isu masjid: Hasan Ali saman Zahid Hamidi, Zainal


KUALA LUMPUR, 10 Jun — Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini memfailkan saman fitnah RM20 juta terhadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Utusan Malaysia dan portal berita Agenda Daily berhubung artikel menyentuh isu menggunakan masjid untuk berpolitik.

Turut disaman ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Zainal Abidin Sakum.
Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor memfailkan saman fitnah ekoran artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Agenda Daily.
“Dalam artikel yang disiarkan Utusan Malaysia dan Agenda Daily kedua-dua individu tersebut (Zahid dan Zainal Abidin) telah memfitnah saya dengan mengatakan bahawa saya mempolitikkan khutbah Jumaat ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.
“Selain itu, artikel itu juga mengatakan bahawa saya menderhaka kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menjadikan masjid dan surau sebagai gelanggang berpolitik,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Difahamkan writ saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Akibat penerbitan artikel tersebut, Hasan mendakwa, artikel itu memberikan gambaran beliau merupakan seorang yang tidak bermoral itu, telah mencemarkan reputasi dan nama baiknya.
Di samping itu, Hasan mendakwa, imej dan krediabilitinya sebagai seorang pemimpin tercemar kerana fitnah tersebut.
“Disebabkan fitnah itu imej saya sebagai pemimpin sudah tercemar dan tercalar.
“Justeru saya membuat keputusan untuk memfailkan saman fitnah ini sebagai satu langkah untuk membersihkan semula imej saya supaya dapat menjalankan tugas dengan baik tanpa ada sebarang persoalan ataupun keraguan,” katanya.

Mahkamah arah bekas tahanan ISA dibayar pampasan RM3.3 juta

PUTRAJAYA, 10 Jun – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan agar RM3.3 juta dibayar kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ditahan menyalahi undang-undang atas dakwaaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.
Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata mahkamah bersetuju dengan plaintif seorang ahli perniagaan Badrul Zaman P.S. Mohamed bahawa penahanannya di bawah ISA 1994, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.
Mohd Hishamudin dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mempertimbangkan kos kecederaan terhadap reputasi plaintif dengan memerintahkan untuk membayar tuntutan ganti rugi am dan teladan dengan kos kepada beliau.
Beliau berkata setelah membaca dengan teliti autoriti itu, satu ganti rugi sebanyak RM20,00 sehari adalah adil dan saksama untuk dibayar kepadanya dengan mengambilkira fakta plaintif yang dialami semasa dalam tahanan.
Katanya dengan mengambilkira 300 hari dalam tahanan, plaintif hendaklah dibayar RM6 juta, bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk memberikan diskaun 50 peratus kepada defendan yang mahkamah fikirkan adalah ail dan munasabah.
Mohd Hishamudin yang kini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, juga memerintahkan agar ganti rugi teladan RM300,000 diberikan atas dua alasan, pertama kerana penahanan menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan, kedua perintah penahanan terhadap plaintif dilanjutkan selepas pencegahan penahanan pada awalnya selama dua tahun.
Badrul Zaman memfailkan saman itu pada 30 Nov, 1994, menamakan superitenden Pusat Tahanan Kamunting sebagai defenan pertama, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.
Dalam saman itu, plaintif menyatakan bahawa beliau tidak mencabar kesahihan perintah penahanan pertama mengikut Seksyen 8(1) ISA pada 12 Sept, 1991 di mana beliau ditahan selama dua tahun.
Bagaimanapun, beliau mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu yang dikeluarkan Timbalan Menteri untuk tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa 14 Sept, 1993.
Plaintif mencabar kesahihan di mana beliau hanya menjalani tahanan itu dengan arahan perintah tahanan tanpa kenyataan bertulis perintah tahanan tersebut dan fakta dakwaan berdasarkan perintah tahanan berkenaan.
Pada 1994, Badrul Zaman memfailkan satu writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mahkamah berkenaan membenarkan permohonannya dan membebaskannya.
Mahkamah itu memutuskan bahawa penahanan yang dilanjutkan itu adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan atas alasan tidak ada pematuhan dengan peruntukan ISA.
Ketika ditemui Badrul Zaman berkata beliau gembira dengan keputusan itu setelah menunggu hampir 16 tahun untuk mendapatkan keadilan bagi membersihkan reputasinya. Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Isnan Ishak berkata beliau akan merujuk keputusan ini kepada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan rayuan.
Peguam M. Manoharan mewakili Badrul Zaman. – Bernama

Muslimat tolak usul penubuhan Dewan Muslimat Muda

PANTAI CAHAYA BULAN, 10 Jun - Walaupun PAS kini menuju ke arah kemudaan berbanding UMNO yang semakin ketuaan, usul Penubuhan Dewan Muslimat Muda khusus untuk wanita muda bagi menampung pertambahan ahli dari kalangan generasi muda dibawa untuk dibahas di dewan Muktamar telah ditolak setelah dibahas.


Ini merupakan kali ketiga usul penubuhan dewan muslimat muda dibahaskan. Usul kali ketiga ini diusulkan oleh Puan Zaharah Muhammad perwakilan dari DMPK Pengkalan Chepa, Kelantan.


Dalam perbahasan berkenaan usul tersebut, wakil Negeri Terengganu melihat selama 50 tahun ini adalah kerjasama yang baik antara muslimat yang berpegalaman dengan yang muda dalam gerak kerja plihan raya dan tidak perlunya kepada penubuhan dewan.


Manakala perwakilan Ipoh Timur menegaskan bahawa kepentingan latihan dan pendedahan program kepada pelapis muda adalah satu pendekatan yang baik bagi menjalin kesinambungan gerak kerja.


Muslimat dari kawasan Petaling Jaya utara dalam perbahasan itu pula katanya, perkongsian idea antara yang tua dan muda adalah lebih baik.


Sementara muslimat dari kawasan Subang juga menjelaskan perlunya memperkasa Nisa' sedia ada daripada meneruskan usul penubuhan dewan muslimat baru.


Pengerusi Nisa', Dr. Rosni Adam pula menegaskan bahawa kemungkinan akan berlaku masalah dalaman serta hilang fokus kepada gerak kerja sekiranya penubuhan dewan muslimat muda.


"Pertubuan Nisa' yang sedia ada perlu diberi dimantapkan organisasinya, dakwah ketemporari," katanya.

Najib guna analogi bola sepak untuk majukan Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Piala Dunia yang bermula esok di Afrika Selatan turut mewarnai ucapan Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Dewan Rakyat hari ini.
Diketahui sebagai penyokong setia Manchester United, Perdana Menteri menyuntik “semangat daripada Piala Dunia” itu ketika membuat kesimpulan pembentangannya dengan menggunakan analogi kejayaan sesebuah pasukan bola sepak sebagai kiasan untuk merealiasasikan hasrat menjadikan Malaysia negara maju.
“Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain tanpa mengira posisi perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan.
“Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan.
“Untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dengan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu,” katanya.
Najib turut mengambil contoh tiga penyerang terulung dunia, Wayne Rooney (England), Lionel Messi (Argentina) dan Cristiano Ronaldo (Portugal) yang tetap memerlukan pemain terbaik di setiap posisi seperti pertahanan dan penjaga gol untuk terus mencipta kejayaan berpasukan.
“Orang Melayu,  Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Melanau, Murut, Sikh, Asli, Serani dan Siam, setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti hari ini.
“Perlu diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka semua seandainya dilakukan secara kolektif,” katanya.
Perdana Menteri turut menggunakan kiasan acara larian berganti-ganti bagi menggambarkan pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Malaysia, antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram.
“Hari ini, ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan, hanya menanti tekad untuk menggapai kejuaraan.
“Lantaran itu, saya ingin mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik, di mana semua mempunyai rasa kepunyaan dan semua bakat dihargai dan digunakan sebaik-baiknya, katanya. – Bernama

Gambar sekitar Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-51









Pas perlu memimpin bukan dipimpin

MULAI Khamis hingga Ahad ini (10 hingga 13 Jun) giliran Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula mengadakan kongres ataupun muktamar. Muktamar kali ini berlangsung di Pusat Terbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa. Dua minggu lalu rakan mereka, PKR berjaya mengadakan kongres ke-6 di Kota Bharu Kelantan.

Muktamar kali ini menggunakan tema “Keadilan Islam”. Pemilihan tema ini dikira tepat dan bersesuaian dalam rencana PAS untuk menjadi parti global di masa akan datang.
Seperti muktamar yang lalu muktamar ke 56 ini juga penting. Walaupun ianya tidak melibatkan pertandingan tetapi ia tetap mendapat perhatian dari dalam dan luar negara.

Ada sedikit kelainan dalam muktamar kali ini. Di mana muktamar dewan pemuda dan muslimat yang ghalibnya di rasmikan oleh Timbalan Presiden tetapi kali ini perasmian serentak dewan-dewan akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesuai dengan muktamar kali ini tidak melibatan pertandingan, sudah pasti ianya akan memberi lebih tumpuan kepada memesyuawarah beberapa isu semasa yang ada sangkut paut dengan hala tuju perjuangannya. Memandangkan pilhan raya umum ke – 13 semakin dekat sudah pastilah muktamar turut memberi fokus kepada persiapaan menghadapi pilihan raya dengan permantapan parti dan juga pengemasan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Yang tidak akan terelak dari disinggung nanti juga ialah mengenai isu kepimpinan dalam PAS. Isu ini akan akan dicuri oleh perwakilan untuk memperkatakan kerana pada tahun depan PAS akan berhadapan dengan pemilihan hierarki kepimpinannya, sedikit sebanyak kempen untuk pertandingan akan datang akan terbawa pada muktamar.

PAS yang kini dibawa pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden dengan Nasharuddin Mat Isa, sebagai timbalannya manakala Datuk Mustapa Ali selaku Setiausaha Agung tentu akan dinilai sejauh manakah kemantapan dan keberkesanan kepimpinan mereka. Tidak dapat tidak kempimpinan mereka berdua yang diidolakan sebagai kepimpinan ulama akan diperkatakan.

Apakah perwakilan akan memberi kredit ataupun akan mengdiskreditkan kepimpinan mereka?
Dari zahir ianya seperti tidak ada masalah yang timbul setakat ini antara kedua mereka serta saf kepimpinan yang termasuk Naib-Naib Presiden dan ketua-ketua Dewan, Ulama, Pemuda dan Muslimat. Walaupun ada gangguan-gangauna kecil yang boleh sifatkan kenakalan semulajadi dalam sesebuah organisasi namun mereka utuh dan dapat melaksanakan tanggungjawab parti dengan baik.

Kemajuan yang dicapai PAS waktu ini, terutamanya mempamerkan kemantapan organisasi, kesetiaan dan komitmen ahli dan penyokong di bawah naungan mereka menjelaskan akan keberkesanan kepimpinan mereka. Kemantapan parti memberi erti kepimpinan mereka di terima dan disokong.

Sesungguhnya ahli PAS boleh berbangga dalam suasana rakan mereka PKR bersabung nyawa berhadapan dengan kerenah ahli yang tidak sabar dan lebih mementingkan diri sehinggakan ada yang berpaling tadah, namun fenomena ini tidak berlaku kepada PAS. Kekukuhan iktikad perjuangan di kalangan ahli PAS khasnya para wakil rakyat adalah berkat kepimpinan dan doa mutabar ulamanya.

Cuma malang sedikit bila mana ada usaha kecil untuk memecilkan mereka dari gelora mainstrem PAS waktu ini. Sifat kurang mesra atau wajah serius Abdul Hadi masih lagi menjadi sebutan. Begitu juga dengan pembawaan Nasharuddin yang dikatakan mirit keelitan, turut disebut-sebut. Sepatutnya roman kemanusiaan ini tidak menjadi perhatian sebaliknya apa yang perlu dilihat ialah keberkesanan dan kemajuan harakah di bawah tangan mereka. Bak seorang imam dalam solat, mungkin cara takbiratulihram dan rukuknya tidak sama atau sempurna, tetapi yang lebih afdal diperhatikan bahawa solatnya masih utuh pada rukun-rukun asasnya.
Begitu juga dengan lujnah yang diwujud di bawah pentadbiran mereka setahun lalu akan turut dinilai dan dikaji. Apakah ianya telah melaksanakan tanggungjawab parti yang disarankan dalam muktamar PAS lalu atau sebaliknya.

Isu-isu lain yang akan dikemukakan nanti tentulah berhubung persekitaran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan peranan PAS dalam komponen itu sendiri. Kerjaaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui PAS tidak akan terlepas dari disorot dan diulas oleh para muktamir. Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kini agak gawat ekoran beberapa orang Adun telah menimbulkan masalah di Kedah. Isu itu akan jadi tumpuan para muktamir berkenaan.

Para muktamir akan bangkit mengemukakan cadangan atau memberi idea jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku di negeri berkenaan. Mungkin juga ada yang mencadangkan satu mekanisme perlu diambil bagaimana untuk menghalang kejadian keluar atau lompat parti dari berlaku.

Selain itu yang mungkin juga akan diberi pehatian ialah mengenai apa yang berlaku di Kelantan tertuamanya wujud apa disifatkan sebagai ‘musuh dalaman’ yang membuat onar sehingga mengkucar kacirkan pentadbiran kerajaan. Masalah ini perlu diberi perhatian agar Kelantan senantiasa berada dalam keselamatan dan terus menjadi negeri pemancu dan pemimpin kekuatan Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara lain yang kemungkinan akan menjadi perhatian perwakilan ialah mengenai penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Pembentukan dewan ini satu kemajuan kepada PAS namun ia perlu diperhalusi secara komprehensif oleh para perwakilan. Apakah Dewan ini perlu diberi kuasa memilih seperti ahli lain atau sebaliknya.

Untuk memberi laluan kepada ahli Dewan Himpunan bertanding menggunakan lambang bulan tidak menjadi masalah, tetapi untuk menentukan dasar dan polisi parti mungkin ada masalah. Kalau PAS boleh memberi keizinkan kepada Ibrahim Ali, apa salahnya diberikan kepada ahli Dewan. Rasanya ahli Dewan lebih ikhlas dan jujur daripada Ibrahim Ali.

Isu lain yang tidak boleh dikesampingkan oleh perwakilan dan ini saya rasa cukup penting mengenai keupayaan PAS sebagai sebuah parti alternatif kepada semua parti dan semua bangsa dan kaum di negara ini. Dengan anjakan perubahan dan kemajuan yang dicapai PAS mendadak muasir ini, di mana melangkau batas-batas kebiasaan dan budaya, PAS sebenarnya sudah kuat dan relevan menjadi sebuah parti alternatif bukan saja kepada Melayu tetapi juga kepada bukan Melayu.

Misalnya kewujudan Dewan Himpunan yang mempunyai ahli seramai 20,000 menunjukkan keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS sebagai sebuah badan siasah di negara ini. PAS patut mengkaji mengambil kesempatan ini untuk meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti yang kuat. Apa yang umum nampak penerimaan itu kerana progresif dan rasionalnya perjuangan PAS waktu ini. Penerimaan mereka itu juga menunjukkan mereka percaya dan yakin dengan kepimpinan PAS pada masa ini.

Di sini menunjukkan orang percaya kepada PAS. Keyakinan ini bersendi kepada sikap dan pembawaan PAS yang realistik dalam masyarakat majmuk dan sedia membuat ijtihad politik yang baru. Misalnya kejayaan dan ketulusan serta penerimaan kerajaan PAS Kelantan menjadi sumbernya dan kejayaan ini turut sama disebut-sebut parti rakan Pakatan Rakyat dan juga parti lawan.

Kehebatan ini juga ada sangkut paut dengan kekeramatan pemimpin kerohanian PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Malangnya kelebihan dan penghormatan itu semacam tidak dikesan dan dimanfaat oleh PAS. PAS terus menjadi parti yang merendah diri dan tidak mahu menabirkan kekuatan dan kehebatannya. PAS masih merasakan diri mereka kerdil kerana terlalu menebalkan sikap zuhud.

Dengan kelebihan itu seharusnya PAS tidak berada di belakang parti lain yang menjadi penyedak ataupun penguat semangat. Sesekali pemimpin PAS harus berani mengemukakan idea dan berani memberi pandangan dan melentang keliberalisasian wawasan Pakatan Rakyat. Apa yang penting PAS perlu melorongkan idealisme Islam ke dalam Pakatan. Tidak ada guna PAS menang pilihan raya dan menawan beberapa negeri tetapi PAS tidak boleh untuk melaksanakan apa yang menjadi matlamat perjuangan asalnya.

Masalah dan perkara ini juga patut direnung dan diwacanakan dalam muktamar kali ini. Para perwakilan tidak perlu malu ‘alah’ mengenai hal ini dan takut untuk menyebutnya. Muktamar adalah forum untuk kita mengemukakan pandangan dan pendapat secara bebeas tetapi tetap beradat.

Sekali lagi ditegaskan PAS harus mempersiapkan diri untuk muncul menjadi parti memimpin dan bukan dipimpin. Lagipun disegi usia PAS merupakan parti yang tertua dalam Pakatan. Persediaan untuk menjelmakan PAS menjadi parti memimpin, para pemimpin harus menyatukan idea dan bergerak seiring memperbetulkan fikrah, uslub dan strategi seperti mana dimaktub dalam perlembagaan. Percanggahan ideologi, uslub serta buta strategi tidak memungkin untuk PAS mengapai harapan ini.

Isu-isu remeh dan lapok yang digunakan untuk tujuan peribadi seperti si anu masih berhubung dengan si anu ataupun si anu tidak Islamik, seharusnya dilupakan saja. Apa yang penting semua keretakan-keteretakan kecil yang berlaku dalam parti hendaklah diplaster biar ianya tidak nampak dek mata zahir. Yang penting PAS perlu dikonkrit dengan semangat ukhwah Islamiah dan iltizam yang satu demi menegakkan kalimah Allah atas muka bumi ini berdasarkan acuan Quran dan Hadith.

Manakala mengenai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang PAS perlu meletakkan agenda utamanya untuk merampas Terengganu, mengekalkan Kedah dan Kelantan. Selain itu satu plan tindakan kena digarap bagaimana untuk menambahkan kerusi PAS di Perlis, Perak, Selangor, Pahang dan lain-lain negeri. Keperluan itu untuk menjadikan PAS akan memimpin negeri-negeri itu di masa akan datang.

22 Jun sebutan semula kes Aminulrasyid

26b5935e38b71fb34d5459bdd2a71add SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 22 Jun ini bagi sebutan semula kes anggota polis Koperal Jenain Subi yang terlibat dalam kejadian tembakan sehingga menyebabkan kematian Aminulrasyid Hamzah, 15, di sini April lalu.
Hakim Latifah Mohd Tahar turut menetapkan tarikh itu untuk penyerahan dokumen dan tarikh perbicaraan pertama.

Jenain, 48, lalu mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian remaja itu di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu pelajar tingkatan 3 itu sebelum terbabas di Jalan 11/2G di sini kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Jenain yang menyertai pasukan polis pada 1985 sebelum ini pernah bertugas di mahkamah, dan semasa kejadian, beliau merupakan seorang anggota polis peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Ketua Unit Pendakwaan Selangor Ruslan Abu Bakar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan manakala Jenain diwakili peguam M.Athimulan dan Salim Bashir.
Peguam pemerhati mewakili keluarga Aminulrasyid, Karpal Singh, dilihat turut hadir ke mahkamah pagi tadi.

SETIAP RAKYAT BERHUTANG SEBANYAK RM15,576? Kerana hutang gomen.......

Jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka berjumlah RM405.1 bilion atau 52. 9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010.

Kira-kira 96 peratus daripada jumlah hutang berkenaan dibiayai melalui sumber dalam negeri.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 5.3 peratus pada 2010 berbanding tujuh peratus pada 2009.

Ini bermakna setiap rakyat akan berhutang sebanyak RM15,576 seorang.

Nik Aziz sifatkan UMNO: Tangan kanan hulur salam, tangan kiri lipat senjata

"Ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata," demikianlah yang disifatkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat ketika mengungkit pengalaman kerjasama antara PAS dengan UMNO-BN.
"Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan," kata Nik Aziz.
PAS sebagai parti politik pernah menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU pada tahun 1959, kemudian menyambut huluran tangan Allahyarham Abdul Razak, Perdana Menteri pada tahun 1973 untuk menyertai BN.  Bagaimanapun, kerjasama yang bermatlamatkan perpaduan ini berakhir dengan perpechan dalam PAS, dengan munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa, kata Nik Aziz.
Nik Aziz berkata sedemikian dalam ucapan perasmian serentak Muktamar Tahunan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, semalam.
Alternatif kepada BN dalam PRU 13
Nik Aziz kemudian mengulas bagaimana PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional (Parti Keadilan Rakyat kemudiannya) untuk membentuk Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999, dan mencapai muafakat "satu lawan satu" dalam PRU tahun 2008, yang berakhir dengan kemenangan kepada pembangkang.
"Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan BN yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.  Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya," ulasnya.
"Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada BN bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.  Pilihanraya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali.  Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah," tambahnya.
Eratkan hubungan dengan DAP-PKR
"Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita.  Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab."
Nik Aziz cukup optimis dengan masa depan PR, "Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh.  Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan.  Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir."
"Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru.  Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat.  Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah."
PAS perlu lebih cergas meraih sokongan Melayu
Nik Aziz turut mengulas perkembangan terkini senario politik tanah air, yang menyaksikan kecenderungan pengundi bukan Melayu kepada PR, dan Melayu kepada BN di sebaliknya.
"PRU12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana BN telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.  Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu."
Beliau berkata, "Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius.  PAS sebagai alternatif kepada UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu.  Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan 'Ketuanan Melayu' yang merupakan dongengan pemimpin UMNO."
Nik Aziz sempat mengungkit isu royalti minyak, "Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.  Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri.  Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri.  Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup."
Selain menyasarkan pengundi Melayu, Nik Aziz turut berharap agar PAS meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada golongan Non-muslim, yang digelar sebagai "saudara kita".
Islam bukan milik bangsa Melayu
"Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh UMNO.  Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu.  Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu."
Menyentuh usaha PAS untuk mendampingi bukan muslim, Nik Aziz berkata, "Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS).  Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita."
"Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Nonmuslim).  Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam."
"PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Non-muslim.  Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya.  Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya.  PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus."
"Saya optimis, jika masyarakat Non-muslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh BN akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya."
Sepakat Putrajaya
"Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu-Non Muslim.  Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan 11 pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina."
"Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN."
"Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat.  Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan 'beli undi' dan sekular Barisan Nasional.  Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat."
*Tulisan ini disedut dan disunting daripada teks ucapan perasmian al-Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat, semalam.

Murnikan Perjuangan Dengan Ruh Islam

 KOTA BHARU, 10 Jun - Penglibatan bersama Parti Islam Se Malaysia [PAS] mestilah berpaksi di atas Intima’ul Aqidi  iaitu penglibatan berasaskan Aqidah perjuangan yang sohih dan di atas paksi inilah kita menggerakkan misi dan visi perjuangan kita .Demikian dijelaskan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan.

"Perjuangan kita bukan perjuangan yang berasaskan semangat perkauman sempit yang mencetus sengketa diantara rakyat dalam negara kita" katanya ketika membentangkan Ucapan Dasar Ketua PAS Pusat di Kelantan Trade Center, pagi tadi.

Menurut beliau lagi matlamat perjuangan bukanlah kepentingan peribadi dan kelompok tertentu yang akhirnya akan menumbuhkan rasa benci tanpa asas di antara satu sama lain .

"Perjuangan PAS bukan  perjuangan yang jumud dan primitif jauh sekali terlibat dengan gerakan terrorist dan ekstremist.Perjuangan kita bukan perjuangan yang menabur fitnah , mengumpat cela dan memaki hamun sehingga menambah dosa dan mengundang murka Allah," ujarnya.

Nasrudin menegaskan Perjuangan PAS bukanlah perjuangan untuk berpolitik semata – mata apatah lagi mencari kuasa dan pengaruh .

Sebaliknya, beliau menegaskan perjuangan PAS ialah perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya sebagaimana yang diwarisi dari junjungan terbesar , Rasulullah saw yang kemudiannya diteruskan para sahabat ,salafussoleh dan para ulama’ .

"Sementara politik , kuasa dan pengaruh hanyalah alat untuk mencapai matlamat yang kita perjuangkan," katanya lagi.

"Perjuangan kita ialah perjuangan untuk menyebarkan Islam,  menyeru dan memahamkan manusia agar kembali kepada cara hidup yang diredhai oleh Allah swt dalam seluruh aspek kehidupan mereka merangkumi politik , ekonomi dan sosial .

Perjuangan PAS ujarnya, perjuangan membasmi segala maksiat dan mungkar yang mengheret rakyat terjebak dalam jenayah , gejala sosial dan krisis nilai yang membinasakan tamadun kemanusiaan .Perjuangan untuk memartabatkan nilai – nilai murni sehingga membentuk sebuah negara yang adil , aman , sejahtera , maju, membangun dan mendapat keampunan Allah.

Ia juga merupakan perjuangan untuk menentang kezaliman dan penindasan lantas membela masyarakat yang sering menjadi mangsa penindasan dan ketidakadilan.


Nasrudin juga berkata pemuda kebanggaan Rasulullah adalah pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah.

"Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .

"Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .

"Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah ," katanya lagi.

'Jalan mudah selesai kemelut ekonomi beban rakyat'

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan rasa curiga terhadap penyelesaian kemelut ekonomi yang mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Keadaan negara sekarang sebenarnya sebagaimana yang telah digambarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, boleh jadi bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi. Ianya kerana tidak cermat dan telus mengurus strategi pemberian subsidi.

"Kita amat curiga bahawa dalam mencari penyelesaian kemelut ekonomi kerajaan BN yang diterajui oleh Umno, (ia) mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Pandangan dan pendekatan serta tindakan yang mereka ambil tidak pernah mengambil kira pandangan kita," kata ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh dalam teks ucaptamanya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Tambahnya, sejak merdeka lagi, strategi pemberian subsidi adalah untuk kebajikan rakyat, tetapi kini ianya dilihat banyak menguntungkan kroni-kroni.

"Konsesi tol lebuhraya dengan perjanjian yang berat sebelah, subsidi gas untuk penjana kuasa letrik dan perjanjian jual-beli dan banyak lagi penyelewengan yang tidak dibentang dalam kajian yang mereka war-warkan kepada rakyat.

"Bagi kita, negara akan muflis bukan kerana subsidi tetapi selagi Umno menguasai kerajaan. Negara akan bankrap kerana dasar 'crony capitalism'- mementingkan suku-sakat, penyelewengan dan rasuah yang sinonim dengan Umno-BN sekarang.

"Kenyataan 1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, hanya satu slogan kosong bagi mengaburi mata rakyat," katanya.

Nuridah berkata, Muslimat tidak akan menyokong sama sekali sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN yang telah mengkhianati amanah rakyat serta sangat memusuhi perjuangan mereka.

Namun, beliau berkata, mereka masih bersedia membuka pintu dialog dengan sesiapa sahaja demi menjaga maslahah (keperluan) dan kesejahteraan ummah.

Sementara itu, beliau turut menasihati Muslimat PAS supaya keluar dari budaya negatif yang akan merugikan jamaah.

"Muslimat PAS mesti keluar dari budaya negatif yang merugikan jamaah kita. Jauhilah sikap mencari kesalahan sahabat seperjuangan di dalam jamaah hanya disebabkan perselisihan pendapat.

"Bagi kita kepelbagaian pendapat dan pendekatan adalah satu rahmat. Ianya perlu bijak diuruskan pada landasan syarak agar menghasilkan rumusan serta natijah yang cemerlang.

"Hindarilah budaya hanya pandai memberi kritikan melulu yang tidak berhemah, menyakiti hati sesama anggota jamaah yang akan menghilangkan rasa hormat terhadap pemimpin dan orang yang dipimpin.

"Semua kritikan bernas mestilah disusuli dengan tindakan yang berkesan dan praktikal. Utamakanlah akhlak berjamaah dalam segala urusan setiap masa, agar kita dapat menghimpun sebanyak mungkin pahala berjamaah untuk bekalan kita di akhirat kelak," tegasnya.

Beliau turut membaca sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah, ayat 195 bagi mengukuhkan hujahnya.

Muktamar Agung PAS kali ke-56 di Kelantan menyaksikan majlis perasmian persidangan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama dilakukan serentak di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam, disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Usul tergempar DMPP - Kutuk tindakan rakus tentera Israel

Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap kebiadapan berterusan yang dilakukan oleh Regim Haram Israel terhadap rakyat Palestin sejak Israel mula mewujudkan Negara Haram nya di atas bumi Palestin pada tahun 1948.


Dewan Muslimat menginsafi betapa telah ramai jiwa ummat Islam Palestin dan para aktivis sukarelawan kemanusiaan antarabangsa tanpa mengira kaum, agama dan usia yang telah pun menjadi mangsa kerakusan Regim Zionis laknatullah. Setiap hari sehinggalah ke hari ini ada sahaja pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Zionis Israel. Ini termasuklah pembunuhan ke atas kanak-kanak, para wanita dan warga tua meskipun mereka itu tidak bersenjata.


Dewan Muslimat menyedari betapa Regim Haram Israel ini telah pun mengenakan sekatan sam ada melalui udara, darat dan air ke atas umat Islam Palestin di bumi Gaza sejak tahun 2006 iaitu selepas kemenangan dan penubuhan Kerajaan Hammas di Palestin. Seterusnya menyekat apa sahaja bentuk bantuan termasuklah bantuan perubatan hatta bantuan kemanusiaan yang sampai daripada luar kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza. Menjadikan hidup rakyat Palestin serba terhimpit kesusahan dan dirundung penderitaan berpanjangan.


Dewan Muslimat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rakus terbaru Tentera Haram Komando Israel yang melakukan serangan ganas ke atas armada misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza (LifeLine For Gaza – Talian Hayat Untuk Gaza: Menerobos Tembok Kematian) khususnya ke atas Kapal Induk Mavi Marmara yang telah mengakibat sekurang-kurangnya 19 orang sukarelawan misi bantuan kemanusiaan terbunuh, berpuluh-puluh cedera, bahkan menjadikan rakyat kita iaitu 12 orang (daripada armada Mavi Marmara) + 6 orang (daripada armada Rachel Corrie) bak nyawa di hujung pedang!


Dewan Muslimat menginsafi bahawa segala bentuk kekejaman, kebiadapan, manipulasi dan taktik kotor Israel dalam menguasai dunia secara halus dan licik ini mesti segera dihentikan dan ditangani secara lebih tegas, strategik, bersepadu, terurus serta terarah khususnya oleh negara-negara Islam di seluruh dunia termasuklah Malaysia.


Maka, Sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali Ke-50 ini mengambil ketetapan berikut:

1. Berdiri teguh dan menyokong penuh di belakang rakyat Palestin dan keluarga mereka dalam menegakkan hak dan keadilan mereka yang telah diceroboh oleh Zionis Israel dengan bersiap siaga untuk membantu mereka dari semua aspek termasuk menghantar sukarelawan muslimat ke bumi Gaza;


2. Memastikan DMP semua peringkat proaktif dan terlibat secara tersusun dan berperancangan dalam semua tindakan berkaitan dengan isu Palestin;


3. Menyokong penuh tindakan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat pendedahan berkaitan APCO dan seterusnya kewujudan “pengaruh Israel” dalam pentadbiran Malaysia termasuklah institusi-institusi keselamatan negara;


4. Menetapkan agar PAS dan Pakatan Rakyat menjuarai usaha penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza bersama negara-negara lain;


5. Menyokong penuh semua usul yang menyokong Palestin termasuk mendesak Perdana Menteri Malaysia konsisten dalam semua tindakan pada setiap masa dalam dan luar negara untuk melaksanakan semua usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Jun 2010 berkaitan Isu Keganasan Israel;


6. Menggesa Malaysia agar mengambil pendekatan yang lebih waspada dalam menyekat segala rancangan Regim Zionis dalam apa jua bentuk yang sedang berusaha melebarkan pengaruh, anasir dan penguasaannya di dalam Malaysia melalui pelbagai proksi dan cara. Hentikan sebarang kerjasama perdagangan dengan Israel dan BOIKOT segala produk bersangkutan dengannya;


7. Mendesak Kerajaan Malaysia segera menghentikan khidmat syarikat perunding antarabangsa iaitu APCO Worldwide yang juga merupakan proksi kepada kepentingan politik Israel dan Amerika yang kini dibiayai hampir RM78 juta sebagai badan perunding kepada Perdana Menteri Malaysia, DS Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Jahanam, Jahanam – Jahanam Israel!
Khaibar, Khaibar – Wahai Yahudi!
Tentera Muhammad – Pasti Datang!
Selamatkan Gaza – Bebaskan Gaza!
Dengan Darah – Dengan Nyawa – Kami Pertaruhkan – Untukmu Al Aqsa!
Hidup, Hidup – Hidup Islam!

Pemegang saham Berjaya akan bertemu di EGM

Berjaya Corporation mengesahkan bahawa satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pengumuman hasratnya untuk mengambil alih Ascot Sports.

"Satu pekeliling akan dihantar kepada pemegang saham mengenai tarikh EGM itu akan diadakan, bersama dengan terma dan syarat lesen pertaruhan sukan itu," kata jurucakapnya yang mengesahkan perkara itu.

Menurut Akta Syarikat, para pengarah boleh memanggil EGM pada bila-bila masa, tetapi ia mesti diadakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh EGM dipanggil.

Pada masa yang sama, pemegang saham tidak kurang daripada 10 peratus daripada modal syarikat, juga boleh memanggil EGM.

BCorp, dalam satu kenyataan bertarikh 12 Mei lalu, yang memaklumkan kepada Bursa Malaysia hasratnya untuk mengambil alih Ascot Sports, mengatakan bahawa perjanjian jual beli (SPA) akan disediakan untuk diteliti di pejabat syarikat itu di Berjaya Times Square.

Namun, Malaysiakini tidak diberikan akses kepada SPA. Jurucakap Berjaya, yang enggan disebutkan namanya, berkata perjanjian tersebut hanya boleh diteliti oleh pegawai Bursa dan bukan untuk tatapan umum.

Elakkan pemimpin 'Tangkap Muat' - Ketua Pemuda

KOTA BHARU, 10 Jun - Pemuda PAS mendesak agar pemilihan pemimpin parti perlulah mengutamakan merit dan keutamaan adalah kepada mereka yang telah melalui proses pentarbiyahan yang mantap.


Pemilihan yang dilakukan secara 'tangkap muat' atau 'tunjuk muka' hendaklah dihapuskan ketika membuat pemilihan calon dalam pilihanraya bagi mewakili PAS.


Bagi mengisi ruang ini, Pemuda PAs mestilah memastikan proses mengilang dan menhasilkan saff manhaj dan modul tarbiyah parti dapat diuruskan dengan sistematik.


Ketuanya, Ustaz Nasrudin berkata Akademi Tarbiyah Pemuda wajar dibentuk agar menjadi sebuah pusat yang terancang untuk melahirkan penggerak tarbiyah.


"Harapan saya pada pemilihan parti yang akan datang, Dewan Pemuda PAS tidak segan untuk mengangkat muka apabila mampu mengemukakan pemuda yang layak membarisi kepimpinan PAS di peringkat pusat"ujarnya lagi.


Pemuda PAS juga berharap gerakan Islam PAS menjadi satu gerakan yang tidak sekadar untuk memenangi kerusi pilihanraya tetapi juga membawa mesej perjuangan suci sekali gus menawan seramai mungkin pengundi agar menerima Islam.


"Kemenangan tetap dicari dalam setiap pilihanraya tetapi ia juga perlu mengekalkan wajah asalnya sebagai gerakan Islam yang berpolitik dan berjuang untuk membebaskan manusia dari neraka Allah swt"katanya.


Bagi merealisasikan gerakan Islam ini, Nasrudin menyeru agar semua peringkat bekerja keras dalam melahirkan pemuda Ansoorullah.


Beliau juga menggariskan  kriteria pemuda yang boleh menjadi pejuang seperti sentiasa siap sedia menyahut seruan perjuangan, menjunjung segala peraturan dan arahan jemaah, mempunyai kualiti dan tahap piawaian serta mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw dalam menguruskan perjuangan tahaddiyat(tentangan), Memiliki aqidah perjuangan yang mantap, Bersedia menggerakkan perubahan dalam negara, Aktif menyertai aktiviti amal Islami, Pemuda yang tidak membazirkan masa dalam bertelagah sesama sendiri, sentiasa peka terhadap keperluan jemaah serta sentiasa berlapang dada dan merendah diri.

Muslimat PAS lulus usul wanita jadi naib presiden


Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS pusat hari ini meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk disandang anggota wanita parti itu.

Usul berkenaan, yang turut mencadangkan diwujudkan jawatan Pesuruhjaya IV peringkat negeri untuk disandang oleh wanita, telah dibentangkan oleh wakil Kubang Kerian, Nurliza Yahya, yang berpendapat jawatan-jawatan itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan muslimat terhadap parti.

Semasa perbahasan wakil Selangor, Noraini Hussin, bagaimanapun membantah usul itu kerana berpendapat bahawa selama inipun PAS tidak pernah meminggirkan muslimat dalam urusan parti.

"Saya bantah usul ini untuk diterima kerana selama ini PAS telah iktiraf kekuatan muslimat sama dengan naib presiden," katanya.

Noraini berkata kini terdapat 30 peratus penglibatan anggota wanita dalam urusan Pas termasuk dalam soal menggubal dasar parti.

"Malahan muslimat PAS juga terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menang dan dilantik sebagai ADUN dan juga ahli parlimen," katanya.

Wakil Padang Rengas, Husna Saidon, pula menyokong usul itu dan berkata jawatan naib presiden untuk muslimat penting bagi mendapatkan pemimpin wanita yang mampu membuat dasar khususnya dalam isu berkaitan wanita.

"Naib presiden muslimat juga penting dalam berperanan menghubungkan kepimpinan wanita dari parti komponen DAP dan PKR (dalam pakatan pembangkang)," katanya.

- Bernama