Jumaat, 28 Mei 2010

Usul-usul Yang Dicadang Untuk Dibahas di Peringkat Kongres Tahunan Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia


1. Usul Pakatan Rakyat

            Kepimpinan dan akar umbi Keadilan-PR tidak harus terbuai dengan kemenangan PR dalam PRU-12 dan beberapa siri Pilihanraya Kecil seperti di Parlimen Sibu. Kemenangan PR dalam menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN merupakan satu petanda bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa hak mereka diperjuang dan dijamin keadilannya. Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

            Penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat ditubuhkan secara rasmi di peringkat negeri-negeri dan sebarang penganjuran program melibatkan parti-parti komponen haruslah dibawah Pakatan Rakyat. Serentak dengan ini Sektetariat Pemuda Pakatan Rakyat akan ditubuhkan secara rasmi di peringkat pusat dan negeri.

2. Usul Pilihanraya


            Pakatan Rakyat harus akur dan sedar bahawa pengundi muda memainkan peranan yang sangat besar di dalam mencorak landskap politik tanah air. Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 misalnya, menyaksikan seramai 600,000 pengundi muda dinafikan hak untuk mengundi. SPR dilihat gagal berperanan untuk menarik minat rakyat khususnya generasi muda dalam proses pendaftaran pengundi. Ini bersandarkan kepada laporan di mana dianggar lebih 4.5 juta rakyat yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

            2.1 Mekanisme pendaftaran pengundi baru oleh Keadilan amnya dan AMK khususnya diperkemas melalui strategi-strategi yang komprehensif.
           
            2.2 Pengerusi SPR harus meletakkan jawatan pada kadar segera khususnya selepas beberapa salahlaku di dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu termasuklah yang melibatkan bidangkuasa Pengerusi SPR sendiri. Pengerusi SPR haruslah dilantik dikalangan rakyat Malaysia yang kredible dan mempunyai track record yang terbukti mempertahankan integrity dalam tugas.

            2.3 SPR didesak untuk mewujudkan sistem pendaftaran pengundi baru secara automatik bagi semua rakyat Malaysia yang mencecah usia 21 tahun.

            2.4 SPR mempermudahkan kaedah mengundi agar rakyat tidak mempunyai alasan untuk tidak turun mengundi pada hari pengundian.

            2.5 Keadilan di peringkat pusat mewujudkan Jentera Khas untuk melakukan penetrasi kawasan luar bandar dalam dua aspek: pendaftaran pengundi baru dan penyaluran maklumat-maklumat berhubung Keadilan-PR.

            2.6 SPR haruslah bertanggungjawab kepada Parlimen untuk memastikan adanya unsur semak dan periksa pada SPR dan memastikan SPR bebas dari manipulasi pihak pemerintah.  

3. Usul Ekonomi

            AMK merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas inisiatif Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid IBrahim yang telah membantu AMK untuk menubuhkan Yayasan Rosli Dhoby pada 14 Mei yang lepas. Yayasan ini, yang mendapat pembiayaan RM10,000.00 oleh Tan Sri Khalid nyata memberi satu suntikan semangat dan kelak akan berperanan sebagai tapak latihan anak-anak muda khususnya di Negeri Sarawak dalam prospek latihan, kepimpinan, ekonomi dan kebajikan.

Rentetan daripada itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

            3.1 penubuhan Yayasan Ahmad Boestamam yang memainkan peranan sebagai tapak penyediaan latihan kepimpinan generasi muda parti dan juga penganjuran program-program yang mensasarkan strategi menarik sokongan generasi muda untuk bersama-sama menyertai Keadilan.

            3.2 Pakatan Rakyat melalui Kerajaan-kerajaan Negeri mewujudkan satu skim pinjaman mikro bagi golongan muda untuk mereka mengembangkan lagi keupayaan mereka dalam prospek ekonomi domestik dengan penglibatan dalam sektor industri

            3.3 Satu Dana Sokongan Pemantapan Parti diwujudkan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan pengurusan parti di kalangan aktivis dan akar umbi parti yang selama ini telah banyak memberikan khidmat tanpa mengira material dan masa secara sukarela.

            3.4 Dana untuk menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Rakyat yang bertujuan khusus untuk memberikan bantuan guaman kepada mana-mana aktivis,ahli parti ataupun individu teraniaya yang ditahan secara salah oleh pihak berkuasa kerana terlibat di dalam aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan aman dan lain-lain aktiviti,

4. Usul Politik

Dalam Kongres Khas yang lepas, Pindaan Perlembagaan meluluskan bahawa AMK akan disertai oleh ahli parti yang berusia 35 tahun ke bawah. Pun begitu, pelaksanaannya ditangguhkan sementara waktu. AMK menghormati pindaan tersebut dan menginsafi bahawa untuk terus kekal relevan di persada politik tanah air, Keadilan amnya dan AMK khususnya harus dipimpin oleh generasi muda.

AMK tidak harus menjadi jentera penggerak dan mobilisasi bawahan semata-mata. AMK harus dilibatkan di peringkat dasar strategik parti yang melibatkan pembuatan keputusan di mana AMK selaku representasi generasi muda parti harus diambil kira secara serius.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

            4.1. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan harus bersifat terbuka dalam menerima idea daripada kepimpinan generasi muda.

            4.2 Generasi muda parti diberikan ruang di dalam kapasiti tadbir urus kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengikut latar belakang profesional dan kelayakan yang diperoleh oleh kalangan mereka.

            4.3 Sebuah Sekretariat Latihan yang akan merangka Kurikulum Khas mengenai perjuangan parti diwujudkan secara rasmi dan dibentuk di peringkat pusat untuk mengendalikan Kursus Induksi Ahli Parti.

            4.4 Kepimpinan dan ahli AMK diwajibkan menyertai Kursus Induksi Parti dan juga Sekolah Politik yang kini diselenggara secara khusus oleh Institut Kajian Dasar.

Siap sedia ganti Umno BN-Zuraida


KOTA BHARU, 28 Mei: Wanita Keadilan semua peringkat termasuk Serikandi perlu bersiap sedia untuk melangkah bagi memacu pentadbiran negara bersama Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat kian retak menanti belah.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Pakatan Rakyat dilihat paling relevan menerajui pemerintahan Malaysia memandangkan parti berteraskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC sudah ditolak rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional Tahunan Wanita 2009, di Dewan Utama KTC, di sini sebentar tadi.
Tambahnya, rakyat tidak boleh lagi menaruh harapan kepada komponen BN berkenaan kerana ternyata mereka sudah gagal menangani pelbagai isu rakyat di negara ini.
Lebih malang lagi apabila semua parti komponen lain dalam BN hanya mengikut telunjuk Umno sahaja.
"Parti-parti komponen lain hanya bertindak sebagai pak angguk sahaja kepada Umno. Fakta telah menunjukkan soal polisi kerajaan hingga kepada pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihanraya adalah hak mutlak Umno sahaja.
"Ini jelas terbukti dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di mana keputusan pemilihan calon oleh Presiden MIC diketepikan begitu sahaja dan akhirnya calon yang dikemukakan Umno menjadi pilihan,’ujarnya.
Justeru itu, tambahnya rakyat yang telah muak dengan parti-parti boneka seperti MIC dan MCA kini beralih arah kepada perjuangan Pakatan Rakyat yang lebih adil dan mengutamakan pembelaan nasib rakyat jelata.
Ia terbukti dengan kemerosotan sokongan pengundi Tionghua yang hanya tinggal 20% sahaja kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Tegasnya, gelombang kemerosotan sokongan rakyat terutamanya masyarakat Tionghua terhadap Umno dan BN telah melanda Sibu di mana Pakatan Rakyat mencapai kemenangan yang begitu bersejarah.
"Wanita Keadilan menyeru semua penyokong dan ahli parti komponen BN agar insaf dan meninggalkan gabungan lapuk yang didominasi Umno.
"Marilah bersama kami mendokong politik baru Pakatan Rakyat. Jangan biarkan politik Umno terus-terusan menjatuhkan maruah rakyat, Malaysia ini adalah hak rakyat dan bukan hak Umno,’ujarnya.

PKR lancar 'Serikandi keADILan'


KOTA BHARU, 28 Mei: Sayap baru Parti Keadilan Rakyat ‘Serikandi keADILan’ yang dianggotai wanita muda hari ini telah dilancarkan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sempena majlis kongres wanita berkenaan pagi tadi.
Pelancaran itu juga turut menampilkan saf kepimpinan Serikandi peringkat Pusat yang diketuai Siti Aisyah Sheikh Ismail bersama 14 orang lagi anggota jawatankuasanya yang lain.
Pada masa yang sama juga pelancaran logo Serikandi dan logo Kongres Wanita Keadilan Rakyat juga turut dilancarkan oleh Zuraida.
Dianggarkan lebih 400 perwakilan dan pemerhati mengikuti sidang kongres ke-6 yang julungkali diadakan di Kelantan itu.
Zuraida, dalam ucapan dasarnya berkata Serikandi yang bakal menjadi pelapis pemimpin Negara masa hadapan perlu diperkasakan dari sekarang.
Sambungnya, dengan pelbagai program latihan, membina sahsiah diri yang murni, Wanita PKR masa hadapan akan lebih dipercayai rakyat diperingkat akar umbi.
"Pakatan Rakyat terutama sekali Wanita Keadilan akan terus menjadikan pengarusutamaan wanita sebagai agenda utama perjuangan,"ujarnya.
Aaisyah ketika diberi penghormatan untuk berucap pada majlis itu berharap semua wanita-wanita muda yang ada di dalam parti itu tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk memantapkan perjuangan parti.
Sambungnya, perjuangan yang perlu diteruskan perlu diisi sebaik mungkin oleh Serikandi bagi mencapai hasrat parti dan Pakatan Rakyat dalam meneruskan hasrat rakyat pelbagai peringkat.
"Kami sambut demi untuk melihat generasi akan datang lebih mempunyai jaminan masa depan yang baik dari melihat generasi yang ada terus berlalu tanpa dipimpin.
"Biarpun srikandi Keadilan masih belum diserapkan di dalam perlembagaan parti namun itu bukan satu halangan buat kami untuk meneruskan setiap erti perjuangan yang kami ingin bina,"ujarnya.
Barpun pihaknya dihimpit dengan pelbagai permasaalahan pada peringkat awal penubuhan, namun kini hasil kerjasama semua pihak Serikandi mampu bergerak di persada politik tanah air.

Anwar: Ada bukti kukuh wakil rakyat keluar ditawar RM2 juta


May 28, 2010
KOTA BARU, 28 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh menunjukkan wakil-wakil rakyat yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat ditawar RM2 juta dan kontrak lumayan sebagai ganjaran.
“Kini kita telah memperoleh keterangan kukuh bahawa ahli Parlimen ditawar RM2 juta dan ada juga yang mendapat kontrak kerajaan berjuta ringgit nilainya,” kata Anwar (gambar)dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata selama ini acapkali “kita mendakwa wakil-wakil rakyat Pakatan yang “melompat” dan bersekongkol dengan Umno-BN di atas nama ‘wakil bebas mesra BN’ diberikan ganjaran wang dan kontrak.”
Katanya. Selama itulah mereka belum memberikan sebarang penafian tegas, sebaliknya berdolak dalih mengalih pandangan massa.
Bagaimanapun tegas Penasihat PKR itu, kini pihaknya sudah memperoleh bukti berkenaan.
Selasa lalu The Malaysian Insider memetik sumber daripada kalangan pemimpin parti itu melaporkan PKR bercadang untuk mendedahkan perkara itu dengan terperinci dalam Kongres Nasional Keenamnya bermula semulama.
Sejak awal tahun 2009, 10 orang masing-masing lima Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah keluar PKR dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Tanpa menyatakan bila maklumat itu diperolehi, Anwar berkata, bukti kukuh itu akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.
“Maklumat tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh terdekat insha-Allah,” katanya.
Anwar akan menghadiri Kongres Nasional Keenam peringkat pusat yang bermula esok.
Bagaimanapun dalam kenyataan itu Anwar tidak menjelaskan sama ada pendedahan melibatkan Ahli Parlimen atau ADUN ataupun kedua-duanya sekali.
Beberapa pemimpin yang ditemui The Malaysian Insider awal minggu ini berkata mereka menunggu “lampu hijau” pucuk kepimpinan untuk membuat pendedahan ketika Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Baru.
“Kami mengarah ke sana, sekarang tunggu lampu hijau daripada (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila dan siapa yang perlu membuat pendedahan... kemungkinan ketika Kongres Nasional kali ini... sama ada Datuk Seri Anwar sendiri ataupun pemimpin kanan yang lain,” kata seorang pemimpin kanan parti itu, tetapi enggan namanya didedahkan atas alasan parti masih memikirkan strategi pendedahan.
Menurut pemimpin itu, pendedahan mereka akan memfokus terhadap lima Ahli Parlimen yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.
Kecuali Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang telah dipecat oleh PKR, empat lain mengumumkan keluar parti atas alasan kecewa dengan kepimpinan dalaman PKR dan juga Pakatan Rakyat.
Ketika sesi perbahasan di Parlimen pertengahan Mac lalu, lebih sebulan selepas keluar PKR, Ahli Parlimen Bayang Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli telah mendedahkan sedikit sebanyak gerak-geri Anwar termasuk rancangan 16 September 2008 mahu mengambil alih kerajaan pusat.
Tiga Ahli Parlimen lain ialah Bagan Serai, Nibong Tebal dan Wangs Maju.
Zulkifli pula mendedahkan isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia.
Zulkifli mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.
Ekoran pendedahan itu, Najib mengadakan pertemuan dengan kedua-dua mereka di Washington ketika lawatan ke Amerika Syarikat.

Korporat pernah mohon lesen judi dari PAS

Kerajaan persekutuan digesa mencontohi kerajaan Kelantan yang tegas, komited dan tidak berkompromi dalam isu perjudian.


TV Selangor memetik Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri pernah didatangi Tan Sri Vincent Tan tetap pimpinan PAS tidak tunduk kepada keinginan ahli korporat itu.

Katanya, tokoh korporat itu datang memohon untuk memperoleh lesen judi selepas tamat pilihan raya umum 2008 tetapi ditolak.

Vincent Tan melalui Kumpulan Berjaya memperoleh lesen judi bola yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan baru-baru ini, sempena kejohanan Piala Dunia Jun ini.

"Pada Jun 2008, ambo (saya) diberi satu surat dari Vincent Tan. Surat itu dialamat pada Menteri Besar Kelantan dan untuk ambo. Nak suruh lulus semula lesen judi 4 nombor ekor di Kelantan.

"Surat itu masih simpan, tak tunjuk pada Tok Guru kerana ambo jawab balik kepada wakil Vincent Tan - tak payah sampai Tok Guru. Aku bagitau, permohonanmu tidak layak sama sekali," kata Husam ketika berucap di Majlis Ceramah Perdana Isu Judi di Kota Bharu, malam semalam.

Husam menegaskan tidak ada lesen judi diluluskan kerajaan Kelantan sejak PAS memegang tampuk kuasa negeri pada 1990.
Beliau turut melahirkan kekesalannya kerana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin bersetuju dengan pelaksanaan judi bola.

Kata Husam, pengumuman yang dibuat Awang Adek mengecewakan penduduk Bachok yang mengundinya sebagai ahli parlimen pada pilihan raya umum lalu.

"Munasabahlah Islam larang perjudian dan munasabahlah bagi seorang yang waras pemikiran mementingkan akhlak dan nasib rakyat untuk berfikir bagaimana untuk kurangkan tabiat ini.

"Di Barat, mereka tubuhkan NGO untuk mendidik rakyat hentikan ketagihan judi. Tetapi malangya, ada orang Kelantan, orang Melayu, orang Islam sokong judi," katanya lagi.

Ketua Wanita: PKR perlu kekal peneraju Pakatan


May 28, 2010
KOTA BARU, 28 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang telah kehilangan 10 wakil rakyat sejak awal tahun lalu dan di sebalik serangan bertubi-tubi perlu membina persepsi sebagai peneraju Pakatan Rakyat (PR).
Memberikan pandangan ini, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, untuk memimpin perubahan total parti itu perlu dihormati oleh kawan dan lawan.
Kata Zuraida, PKR sewajarnya meneruskan peranannya sebagai penstabil dan peneraju selepas berjaya membawa membawa bersama DAP dan PAS dalam PR bersama PKR.
“Dulu DAP dan PAS tidak boleh duduk bersama... mereka berada dalam kedudukan ekstrem tetapi apabila PKR wujud, Datuk Seri Anwar berjaya membawa kesemua parti bersama, dan menjadi penstabil dan perantara... kami mahu perkara ini diteruskan,” katanya.
Anwar, Penasihat PKR juga merupakan Ketua Umum PR dan Ketua Pembangkang di Parlimen.
PKR diberikan peranan sebagai Ketua Pembangkang atas kapasitinya mempunyai kerusi terbanyak di kalangan pembangkang di Dewan Rakyat.
Anwar menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos 2008.
Walaupun PKR kehilangan “kelebihan” itu selepas lima wakil rakyatnya keluar parti sejak Februari lalu tetapi peranan sebagai peneraju itu dikekalkan atas semangat PR.
Ketika ditemui wartawan kemudian Zuraida menambah, beliau tidak merujuk kedudukannya itu terjejas tetapi mahu menekalkan keperluan tersebut untuk menghadapi landskap politik masa depan.
Katanya lagi ketika ini PKR sedang hebat diasak dengan bertali arus oleh segenap aparat kerajaan dan juga organisasi yang berada dalam  cengkaman mereka. 
Zuraida juga menafikan kedudukan PKR sebagai peneraju dalam PR walaupun ada wakil 
“Serangan yang datang dari segenap penjuru ini ditumpukan terutama sekali kepada pimpinan tertinggi kita yang dilihat mampu menarik kepercayaan rakyat. 
“Pastikan kita tetap kental memimpin perubahan ini dan terus dengan usaha mendampingi dan membina kepercayaan rakyat,” kata beliau dalam ucapannya pada Kongres Nasional Keenam Wanita PKR di sini hari ini.
Sebanyak 106 daripada 126 bahagian sahaja menghantar perwakilan ke kongres Wanita kali ini.
Kata beliau, selagi perjuangan PKR untuk menyelamatkan Malaysia belum selesai, maka selagi itulah ia perlu menyusun langkah, strategi dan pelan tindakan yang sesuai bagi menuju cita-cita murni tersebut. 
“Sebagai parti induk yang telah diberi kepercayaan oleh rakan-rakan kita bagi memimpin Pakatan Rakyat, kita harus mendepani cabaran ini dengan dinamik dan kreatif,” katanya.
Zuraida (gambar) yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, pihak pimpinan di semua peringkat perlu akur dan melakukan anjakan paradigma yang serius dan konsisten. 
“Kita perlu mengukuhkan tekad dan kental dalam membina persepsi untuk dipersembahkan kepada rakyat. 
“Paling utama ialah membina persepsi sebagai peneraju dalam Pakatan Rakyat. Untuk memimpin perubahan total, kita perlulah dihormati oleh kawan dan lawan,” katanya.
Zuraida juga berkata PKR juga perlu memainkan peranan bagi mengelak kebergantungan kepada kekuatan parti sahabat sahaja yang sedikit sebanyak bakal menghakis penghormatan dan kepercayaan terhadap parti.
“Organisasi yang kukuh adalah inti kepada gerakan massa yang berjaya.
“Umpama ‘kuat pohon kerana akar, kuat akar kerana tanah’, struktur parti dari peringkat ranting, cabang, negeri dan pusat mestilah bergerak lancar dan seiring. 
“Usaha memperkasakan struktur akar umbi amat penting dan merupakan asas kepada pembinaan empayar ketuanan rakyat,” katanya.
Zuraida menambah, ahli jawatankuasa parti dan anggota di kesemua peringkat yang bakal diterjemahkan kepada jentera pilihan raya perlu digilap dari awal. 
“Ini penting bagi mengelak kebergantungan kepada kekuatan parti sahabat sahaja yang sedikit sebanyak bakal menghakis penghormatan dan kepercayaan terhadap parti kita,” katanya.
Justeru, katanya, pihaknya menyeru kepada pimpinan parti di semua peringkat, agar Wanita diberi laluan untuk diarusperdanakan seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
“Pada masa yang sama, Wanita juga perlu melengkapkan diri, mara dengan gagah bersaing bersama-sama pimpinan lain dalam mencorakkan lanskap politik baru negara,” katanya.

Pemuda kecewa PKR masih biarkan amalan KKN dalam parti


Oleh G. Manimaran

KOTA BARU, 28 Mei — Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kecewaan kerana parti itu masih tidak melaksanakan agenda perubahan dengan menyeluruh, sebaliknya muka-muka lama yang mendokong amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) Umno-BN terus dikekalkan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata mereka ini yang bergelumang dengan korupsi dibiarkan terus memegang kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
“Justeru, kenapa hairan jika kerajaan negeri masih dilihat tidak mampu bertindak dengan sebaiknya untuk kepentingan rakyat?
“Pada Kongres yang lalu, kita sudah memberi ingatan terbuka agar anasir-anasir Umno-BN yang sebati dengan amalan korup ini dibersihkan daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat,” kata beliau dalam ucapannya pada Kongres Nasional Keenam AMK di sini pagi ini.
Bagaimanapun Shamsul Iskandar tidak merujuk dengan langsung kes-kes yang dimaksudkan.
Kata beliau, selagi mereka tidak disingkirkan, mereka akan terus-terusan menjalankan usaha sabotaj daripada dalam. 
“Mereka ini berusaha secara aktif memburukkan imej kerajaan Pakatan Rakyat dan menggagalkan usaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kehadiran secara pasif mereka yang menjadikan rasuah sebagai cara hidup sekalipun, memberikan kesan negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat.
“Harapan mereka hanya satu. Untuk rakyat melihat kerajaan Pakatan Rakyat gagal dan akhirnya Umno-BN akan dapat kembali berkuasa,” katanya.
Shamsul Iskandar menyoal “kenapa kita terus membiarkan anasir korup sebegini terus melakukan sabotaj?”
Padahal mandat rakyat kepada PKR, kata beliau, bukan sekadar untuk memanaskan kerusi Menteri Besar atau semata-mata mentadbir negeri dengan cara lama. 
“Rakyat memberi kita mandat untuk menyingkirkan anasir korup Umno-BN ini daripada kerajaan,” katanya.
Tegas beliau, AMK hari ini mempertegaskan kembali perjuangannya menentang KKN. 
“Sekiranya kita terpaksa membersihkan parti ini daripada unsur-unsur antireformasi yang mesra dengan pengamal korupsi, Angkatan Muda Keadilan bersedia.
“Kita tidak takut dengan risiko. Kita bersedia menghadapinya, sebagaimana kita tidak pernah gentar memerangi rasuah dalam kerajaan selama ini. 
“Kita bertanya kepada elemen-elemen anti-Reformasi, apakah mereka mempunyai keberanian menghadapi kita?” katanya lagi.
Dengan menegaskan perubahan adalah perlu dan tidak pernah mudah, Shamsul menambah, “tetapi kita tidak punya pilihan.”
“Kita tidak boleh menuruti cara lama Umno-BN. Kita mesti punya keberanian, semangat, untuk mencetuskan perubahan dan terus berjuang memastikan perubahan itu berjaya,” katanya.
Shamsul Iskandar juga berkata, AMK juga mendesak agar dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang telah dicapai secara muafakat tidak dipandang sepi. 
Katanya, ia perlu segera digarap dan dilaksanakan dengan tekun oleh setiap kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
“Sampai bila kita mahu terus berkempen kepada rakyat hanya dengan bermodalkan bekalan air percuma? Kita perlu merealisasikan wawasan bersama di dalam bidang ekonomi dan urustadbir kerajaan yang baik,” katanya.
Shamsul Iskandar juga berkata kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh bersandar pada kelemahan BN selama ini. 
“Benar, setelah lebih 50 tahun memerintah, masih terlalu banyak yang gagal dilakukan oleh BN. Benar, adalah tidak adil untuk mengharapkan kerajaan yang belum pun genap tiga tahun memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki semua kepincangan yang ditinggalkan BN,” katanya.

Julang kebajikan wanita - S'gor, Pulau Pinang dipuji

Wanita Keadilan hari ini memuji kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang mengangkat martabat wanita melalui pelaksanaan dasar pentadbiran mereka, lebih-lebih lagi Selangor yang dikatakan ketara menjulang kebajikan wanita.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin berkata Selangor memperkasakan Pusat Sehenti OSCC, kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat kerajaan negeri, 90 hari cuti bersalin (dan dua minggu cuti untuk suami) dan Skim Kesihatan Wanita.

Kerajan Pulau Pinang pula, katanya, melantik wanita sebagai Yang Dipertua serta Pegawai Daerah yang membuktikan kerajaan pakatan rakyat komited mengiktiraf kepimpinan wanita. 

Berucap pada kongres pergerakan itu di Kota Bharu, hari ini, Zuraida juga meminta pucuk pimpinan PKR supaya mengarusperdanakan sayapnya sebagai usaha menambat hati lebih wanita untuk menyokong perjuangan rakyat melalui Pakatan Rakyat.

Katanya, tindakan itu penting berikutan sokongan golongan wanita terhadap Pakatan dikatakan rendah berbanding lelaki.

"Kerja penerangan juga perlu dipergiatkan dan dilakukan secara berkala. Maklumat mesti disampaikan melalui pelbagai cara yang lebih kreatif dan mengikut citarasa politik baru.

"Justeru, Wanita Keadilan menyarankan agar diwujudkan Jawatankuasa Penerangan Peringkat Negeri bagi menyaingi dan mematahkan propaganda anjuran Barisan Nasional (BN) yang banyak mengganggu pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Contohnya, penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta JASA yang sentiasa mencuba untuk melemahkan dan memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Jawatankuasa Penerangan peringkat negeri perlu diwujudkan secara khusus. Ia perlu diselaras dengan kerajaan negeri bagi memastikan komitmen padu dan kegiatan penerangan berjalan lancar, sistematik dan menyeluruh," katanya.

Kongres PKR: Utusan M'sia - media tak diundang

Akhbar milik Umno - Utusan Malaysia menjadi tetamu tidak diundang untuk membuat liputan kongres nasional PKR yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali menyifatkan media tersebut sebagai tetamu yang tidak dijemput pada kongres kali keenam parti itu yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre.

Bagaimanapun katanya, PKR tidak akan mengambil tindakan menghalau wartawan, jurukamera dan jurufoto media itu.

"Kita tidak halang, mereka ini macam orang yang tidak dijemput tetapi kita tidak halau mereka," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, malam semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa pihak media menerima sistem pesanan ringkat (SMS) yang memaklumkan wartawan daripada Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan pada kongres berkenaan.

Wartawan Utusan Malaysia, Rodelio Junjun Taucan berkata pihaknya menerima SMS itu pada petang semalam dan beliau tidak mengetahui bahawa wujudnya larangan itu.

"Saya terima SMS petang semalam ia menyukarkan pihak kami membuat liputan kongres," katanya.

- Bernama

Pendedahan : Siapa Taek Jho Low? AMK mahu dia disiasat

Ketua pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa supaya seorang pemuda Malaysia yang dilaporkan sering berbelanja mewah di luar negara disiasat.

Pemuda tersebut, Taek Jho Low sebelum ini mencuri perhatian apabila dilaporkan oleh akhbar New York Post sebagai rakyat Malaysia yang berbelanja ratusan ribu ringgit untuk mendampingi selebriti Hollywood.

Mengikut New York Times, Jho Low didakwa membelanjakan AS$50,000 semalaman untuk berhibur dan menghadiahkan 200 botol arak berjenama bernilai AS$1,000 sebotol kepada pelakon Hollywood, Megan Fox.

Shamsul Iskandar mendakwa beliau menerima maklumat bahawa pemuda berkenaan juga berhubungan akrab dengan seorang daripada anak kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap ketika menyampaikan ucapan dasarnya di kongres AMK di Kota Bharu hari ini, beliau meminta siasatan sama ada Jho Low adalah individu yang terlibat dalam pembangunan komersil tanah lapangan terbaang Sungai Besi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuala Lumpur.

"Tolong siasat, anak muda ini berbelanja sakan, apa kaitannya dengan Malaysia. Apa kaitannya dengan Big Ma?," soalnya.


Beliau berkata, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor perlu memberi penjelasan berikutan lelaki berusia 28 tahun itu memiliki kekayaan melimpah ruah hingga berita kekayaan Jho Low dikaitkan dengan keluarga Perdana Menteri.

Dalam ucapannya itu, Shamsul Iskandar juga mahu siasatan dijalankan ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan penyelewengan wang, seperti yang didedahkan penulis Barry Wain.
Selain itu, beliau turut mendesak supaya 'Private Khairy Jamaluddin' disiasat berhubung kaitan ketua pemuda Umno itu dengan firma perundingan Apco.

"Kerana maklumat yang kita terima, rakan baik (Khairy) yang beri cadangan supaya guna Apco," katanya lagi.

Dalam sidang medianya selepas itu, Shamsul Iskandar mendakwa Taek Jho Low juga merupakan seorang penasihat bagi pihak berkuasa pelaburan bagi negeri Terengganu yang kini dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad.


Katanya, maklumat itu diperolehinya daripada pihak yang tidak senang dengan perkembangan berkenaan.

Tambahnya, beliau pasti Jho Low mempunyai harta bernilai berbilion ringgit jika mampu berbelanja sebanyak 50 hingga 60 ribu setiap malam dan tinggal di apartmen mewah.

"Saya minta (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) SPRM supaya siasat," katanya yang mempertikaikan bagaimana seorang pemuda seperti Jho Low mampu berbelanja seperti itu.