Sudah ada suara-suara sumbang termasuk pemimpin pembangkang yang memperlekeh bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor yang dilantik sebagai Senator dan mengangkat sumpah di Dewan Negara, Isnin.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar contohnya turut mempersenda Ezam dengan sindiran orang UMNO kena keluar parti dan menghentam parti serta pemimpin UMNO sebelum masuk semula untuk diberikan jawatan termasuk Senator.
Ahli Parlimen PAS Pokok Sena itu mungkin terlupa bagaimana Datuk Zaid Ibrahim yang belum lama keluar UMNO masuk PKR dan mengutuk UMNO baru saja diangkat jadi calon kerusi pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor memintas orang-orang lama dalam PKR.
Bagaimanapun, kritikan-kritikan kononnya beliau tidak layak menerima jawatan itu, dibalas Ezam dengan menyatakan perlantikan itu bukan atas merit politik tetapi perjuangannya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya memerangi gejala rasuah.
Ezam sejak meninggal PKR pada 2007, adalah Pengerusi Gerakan Anti Korupsi (Gerak) Malaysia dan kemudian menjadi pengasas dan pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara yang berpejabat di Jakarta Indonesia.
Beliau yang menyertai menyertai UMNO kemudiannya dikutuk oleh segelintir pemimpin PKR dan juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak" merujuk kepada pendedahannya tentang beberapa kotak dokumen rahsia tidak lama dulu.
Bercakap dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah Senator di bangunan Parlimen, Ezam menilai, semua dakwaan itu bertujuan memburuk-burukan dirinya.



Beliau anggap pelantikannya itu tiada kaitan dengan tindakannya meninggalkan PKR dan menyertai UMNO semula sejak dua tahun lalu.
Apapun menurutnya lantikan sebagai Senator itu akan menjadi pentas terbaik baginya untuk menentang anasir jahat termasuk pengkhianat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara.
Beliau juga menafikan sudah meninggalkan perjuangan reformasi yang dilaungnya sejak kes pemecatan bekas timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.
“Kita perlu reform…saya tak khianat atau lari agenda reformasi tetapi bukan reform yang merosakkan negara,” katanya yang turut melahirkan keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang bersunguh-sungguh berusaha membuat perubahan itu.
Menurut Ezam, golongan terbabit sanggup mengadai kepentingan negara serta menjual nama Yang Di Pertuan Agong demi menjayakan agenda reformasi dengan mainan politik yang melampau.
Ditanya kemungkinan akan ditohmah oleh pembangkang kononnya beliau sudah dibeli UMNO dengan jawatan Senator bagi membongkar tindak tanduk Anwar, ini jawapan Ezam: “Kalau begitu orang pertama yang beli saya adalah Anwar Ibrahim,”
Bekas Setiausaha Politik Anwar itu merujuk bagaimana beliau beria-ria mempertahankan kesalahan Anwar dengan membongkar beberapa perkara termasuk kes rasuah membabitkan pemimpin kerajaan Barisan Nasional ketika masih bersama PKR.
Ezam yang diasak soalan sama ada sudah dan akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet menegaskan, beliau amat berpuas hati dengan kedudukan sebelum ini dan jawatan bukannya sesuatu yang besar ataupun satu ganjaran.
Menurutnya, beliau bukan seorang yang mengejar jawatan malah ketika dalam UMNO sebelum ini, beliau hanya bertanding sekali dalam pemilihan parti pada 1999.
“Saya adalah orang perjuangan. Jawatan ini (Senator) diberi bukan kerana politik tetapi atas sumbangan saya dalan NGO,” katanya.
Namun,apabila ada lagi wartawan bertanyakan soalan sama, Ezam hanya berkata, “Saya jawab bila Perdana Menteri dah buat keputusan. Saya tak boleh dahului Perdana Menteri.
Ada juga pemerhati yang melihat pelantikan Ezam dapat menjadi faktor nilaitambah dalam persidangan Dewan Negara kerana telah melalui pelbagai liku politik dalam usia muda yang belum pernah dilalui oleh kebanyakan ahli politik lain.

Ini selain boleh menangkis segala hujah pembangkang terutama isu yang dimainkan Anwar di luar mahupun di dalam Parlimen.