Ramai yang ingin tahu bagaimana Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor melalui calonnya P. Kamalanathan yang dimenangi dengan majoriti 1,725 undi
Sejak kematian Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad 25 Mac lalu, parti itu berkeyakinan terus akan mengekalkan kerusi itu walau siapapun yang diletakkan sebagai calonnya.
Hanya ada dua sebab utama bagaimana BN berjaya menumpaskan PKR dalam pertandingan dua penjuru tersebut iaitu strategi BN mengena dan PKR tersilap congak. Faktor beberapa orang pemimpin PKR meninggalkan parti itu menjadi bonus kepada kejayaan BN.
Kesilapan paling utama bagi PKR ialah terlalu fokus kepada pengundi Cina yang kononnya menjanjikan sokongan melebihi 90 peratus kepada pembangkang. Lantaran itu, PKR menyerahkan tugas dan tanggungjawab menjaga pengundi Cina kepada ‘tycoon’ pengusaha pasir dan pelbagai pengusaha lain manakala pemimpin PKR cuba menambat hati pengundi Melayu di kawasan Felda khususnya dalam DUN Hulu Bernam.
Para peneroka ini sebenarnya adalah penyokong kuat dan pengundi tegar BN sejak sekian lama lagi, khususnya semasa Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menjadi Ketua UMNO bahagian Hulu Selangor.
Jika pada pilihanraya umum 2008, PKR meraih 63 peratus undi Cina bermakna BN hanya mendapat 37 peratus, kali ini pihak pembangkang dijanjikan lebih daripada 90 peratus tetapi janji ini tidak menjadi kenyataan
MCA dan Gerakan dalam masa yang sama gagal menambat hati pengundi Cina.Ini jelas sangat dengan semua peti undi berada dalam keadaan gelap iaitu BN tewas.
Apa sebenarnya yang pengundi Cina mahukan…?
Projek pembangunan yang dibawa dan dijanjikan bukan pelembut hati mereka. Walaupun cuma 26 peratus masyarakat Cina di situ, merekalah yang menguasai bidang ekonomi dan perniagaan. Dan, seperti rakan-rakan mereka di Jinjang dan Kepong serta Sungai Besi dan Bukit Bintang, masyarakat Cina tidak akan memberi undi kepada parti pemerintah.
Congak PKR yang meleset ini diburukkan lagi apabila strategi BN mengena sasarannya. BN lebih banyak bergerak dari rumah ke rumah setelah menyedari bahawa ceramah-ceramah terbuka hanya dipenuhi jentera kerja dan ahli-ahli parti dari kawasan tempatan. Meraih undi dari rumah ke rumah dengan kaedah berkenalan dan mengenalpasti serta menyelesaikan masalah berjaya ‘memujuk dan menawan’ hati para pengundi.
Kaedah ini sangat penting kerana BN pula sejak dari awal lagi menghadapi suasana kelam-kabut apabila Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu berkeras mahu mengekalkan anak didiknya yang juga timbalannya, Datuk G. Palanivel untuk merampas kembali ‘kerusi empuknya’ yang diduduki Allahyarham Dr. Zainal semasa hayatnya .
Kehendak Samy tidak menepati langsung denyut dan nadi penduduk dan pengundi tempatan yang telah memberi isyarat jelas menolak Palanivel dalam pilihanraya umum 2008 dengan keputusan yang amat mengaibkan.
Dalam PRU 2004, Palanivel yang bertanding untuk penggal ketiga mendapat majoriti 14,483 undi tetapi pada PRU 2008 beliau ditolak dengan kekalahan 198 undi. Peliknya, ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri Selangor dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor itu dimenangi wakil-wakil BN dengan jumlah terkumpul melebihi 6,200 undi.
Kini, kerusi itu kembali kepada BN melalui calon ‘underdog’ yang pada mulanya bukan calon yang diharapkan oleh masyarakat India dan jauh sekali oleh orang Melayu , tetapi berjaya mengenepikan ’calon gergasi’ PKR. Dato’ Zaid Ibrahim. Pengundi mengharapkan V. Mugilan iaitu Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, sebagai calon.
Malangnya Mugilan tidak mendapat restu Samy, tetapi beliau yang juga Naib Ketua MIC pusat menerima nasibnya itu dengan hati terbuka dan terus memberikan sokongan kepada Kamalanathan.
Walaupun banyak pemerhatian terfokus kepada pemilihan calon oleh kedua-dua belah pihak PKR dan BN, pada analisis Agendadaily, kesungguhan pelbagai pihak menjadi penentu kepada kejayaan Kamalanathan.
Sejak penamaan calon lagi, PKR merasa amat selesa untuk menang dengan majoriti 2,000 undi berdasarkan perkiraan mendapat sokongan 20% undi Cina, 10% undi India dan 25% undi Melayu. Dengan sokongan sehingga 55% para strategis parti itu mendabek dada pasti menang mudah dalam pilihanraya kecil itu.
BN pula, pada masa yang sama mensasarkan kejayaan sehingga 5,000 undi tetapi sumber risikan menjangkakan majoriti 1,800 sahaja. Jentera kerja terus bekerja keras untuk meningkatkan pencapaian tetapi demikianlah yang telah ditentukan.
Kehadiran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Kubu Bharu, malam Jumaat untuk mengutuk dan menghina Sultan Selangor mengenai larangan berpolitik di masjid telah memberi ‘rahmat’ kepada orang Melayu di sini.
Pengundi atas pagar khususnya marah dengan kenyataan Nik Aziz lantas menyokong BN kerana PAS sendiri tidak berkempen dengan sepenuh hati di sini kerana dipercayai masalah lama dengan Zaid ibarat luka lama yang masih berdarah.
EXCO kerajaan negeri, Datok Hassan Ali yang berkempen ketika membaca khutbah Jumaatnya di Bukit Sentosa sehingga terlupa berselawat ke atas Nabi junjungan turut memburukkan keadaan sehinggakan ada jemaah yang bersolat zuhur sahaja pada hari Jumaat berkenaan.
Pada awalnya pengundi tempatan mahukan calon Melayu bagi kerusi Hulu Selangor. UMNO telah berusaha untuk menjadikan hasrat pengundi itu menjadi kenyataan, tetapi BN yang berpegang kepada prinsip setiakawan dan berkongsi kuasa mengekalkan MIC untuk bertanding.
Ini menyebabkan penduduk merasa agak kecewa pada mulanya tetapi gembira mendapat tahu PKR pasti meletakkan calon Melayu. Bagaimanapun, apabila Datuk Zaid Ibrahim yang diputuskan, mereka lebih kecewa kerana yang mereka mahukan ialah Datuk Dr. Halili Rahmat, anak watan Hulu Yam, seorang doktor pakar bedah otak - doktor peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim
Bukan sahaja pengundi kecewa, malah selang beberapa hari, Dr. Halili sendiri meletakkan jawatannya dan keluar dari PKR. Perkembangan ini memberi tamparan kepada PKR kerana para pengundi yang menyokong Dr. Halili, turut berenggang dari parti itu.
Pucuk pimpinan PKR seperti biasa ‘meratapi’ pemergian Dr. Halili dan rakan-rakan dengan berkata, tindakan itu tidak memberi kesan kepada parti dan memang telah diduga. BN pula dalam masa yang sama mengusung dan menjaja bekas calon pada 1999 dan 2004 itu ke serata pelusuk Hulu Selangor
Pendedahan-pendedahan mengenai perwatakan Zaid Ibrahim turut menjadi faktor kejayaan Kamalanathan. Calon BN ini seorang pegawai perhubungan awam amat mesra rakyat, petah bercakap Tamil, Inggeris dan juga Bahasa Malaysia. Begitu juga dengan isterinya Sobhana yang turun padang membantu suaminya.
Kepetahan Kamalanathan dan prinsipnya tidak langsung menyerang calon dan partinya membuatkan beliau disenangi masyarakat. Beliau yang turun padang dari pagi hingga ke pagi setiap hari bagaikan mempunyai persamaan dengan mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib semasa menjadi wakil rakyat di DUN Batang Kali.
Kehadiran Zaid sebagai calon helikopter dari Kota Baharu Kelantan ditolak oleh anak-anak tempatan, walaupun PKR, khususnya Anwar Ibrahim tetap meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana ‘terkhayal’ dengan janji pengundi Cina yang diwar-warkan akan memberikan sokongan serendah-rendahnya 90 peratus kepada pembangkang.
Dua hari menjelang hari pengundian, BN menganjurkan makan malam yang besar di Hulu Yam setelah didatangi Najib Tun Razak pada sebelah petang dan Muhyiddin Yassin dua hari sebelumnya.. Langkah itu bagaimanapun berakhir begitu sahaja tanpa peningkatan dari segi undi..
Kerja keras BN khususnya Perdana Menteri dan timbalannya terus mendekati dan menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat Cina termasuk mengenai sekolah-sekolah Cina di Hulu Yam, Rasa dan Batang Kali belum cukup menyakinkan mereka untuk kembali bersama-sama BN.
Walaupun pimpinan MCA khususnya Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah berusaha sedaya upaya, kesan tidak kelihatan. Soi Lek telah mengunjungi penduduk Cina sebelum tarikh penamaan calon lagi dan selepas proses penamaan beliau melipatgandakan usaha dibantu oleh beberapa pemimpin lain seperti Datuk Ng Yen Yen, Datok Donald Lim Siang Chai dan pemimpin tempatan.
Walaupun pengundi Cina belum kembali ke pangkuan BN, khususnya MCA, setidak-tidaknya mereka juga telah menghampakan PKR .
Projek-projek mi segera seperti menurap jalan, pemberian sumbangan termasuk kerusi roda dan janji-janji pelbagai projek oleh kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PKR juga gagal menawan hati pengundi yang sebelum 2008 selesa di bawah pentadbiran BN
Sekali lagi timbul pertanyaan yang perlu dijawab oleh MCA dan Gerakan, apa sebenarnya yang pengundi Cina mahukan! Mungkinkah BN pula perlu bertanya adakah ia masih bergantung harap kepada pengundi Cina ataupun sebaliknya!
Bagi masyarakat India pula, mereka terus meningkatkan sokongan kepada BN setelah berpuas hati dengan mengekalkan kerusi ini untuk MIC. Begitu juga dengan kira-kira 1,000 orang pengundi Orang Asli yang turut menghampakan PKR.
Walaupun lima hari sebelum hari mengundi PKR termakan dengan janji 300 Orang Asli di Serendah untuk menyertai parti itu, jelas BN tetap menjadi pilihan mereka pada hari penentuan 25 April 2010 - tarikh keramat yang menjadi catatan sejarah kepada BN.