Jika benar Datuk Zaid Ibrahim dinamakan oleh PKR calon pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor, pemilihan itu sedikitpun tidak menghairankan pemimpin-pemimpin UMNO terutama yang amat mengenali bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu.
“Kita memang suka dia jadi calon. Rakan lama kita. Dia pilihan yang perfect ,” kata ahli MT UMNO Datuk Dr Abdul Latif Ahmad.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan itu, Zaid ada pengalaman sebagai senator, menteri dan tahu selok belok mentadbir.
“Beliau calon de facto Anwar Ibrahim. Zaid ada segala-galanya dan pasti itu beri kelebihan pada PKR,” ujar Abdul Latif penuh sinis kepada Agendadaily di Parlimen ketika diminta ulas pakatan rakyat meletakkan Zaid bertanding di Hulu Selangor.
Katanya, Zaid jauh lebih baik jika dibandingkan dengan anak tempatan yang akan dicalonkan BN bagi mewakili rakyat di parlimen tersebut.
Pendapat Dr Latif turut disokong ahli parlimen Johor Bharu Datuk Seri Shahrir Abdul Samad yang menyifatkan Zaid adalah golongan Melayu elit yang ada serba serbi termasuk hobi-hobi luar biasa dan istimewa.
Namun beliau tidak menyebut apa yang dimaksudkan dengan hobi luar biasa kecuali merujuk kegemaran golongan elit.
“Dia boleh jadi jaguh PKR. Pilihanraya kecil ini akan jadi pertembungan antara atap genting dengan atap rumbia,” kata Shahrir yang juga bekas menteri.
Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menilai pemilihan Zaid tidak beri apa-apa kesan kepada BN kerana komponen BN sudah tetapkan perancangan memenangi parlimen Hulu Selangor tanpa mengira siapa dicalonkan PKR.
“Zaid tak ada asas bertanding di sana. Beliau bukan anak tempatan...orang luar. Pengundi mungkin sudah rasa khidmat wakil rakyat PKR yang lalu (alllahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad). Hampir dua tahun mereka terabai,” katanya.
Beliau yang juga ahli parlimen Rembau berkata Zaid diberikan karpet merah oleh Anwar kerana itulah yang diamalkan pemimpin PKR seperti didedahkan bekas ahli parlimen PKR yang keluar jadi wakil rakyat Bebas.
AD.